Khamis, 12 September 2013

1626. Hand Made.


Kisah Asalnya kaum 'Ad. 

Di zaman Nabi Nuh a.s., telah terjadi bencana alam iaitu banjir besar. Hampir seluruh penduduknya terbunuh, kesan dari banjir yang luar biasa itu. Hanya kira-kira 80 orang sahaja yang selamat. Mereka yang selamat ialah mereka yang bersama-sama dengan Nabi Nuh a.s di dalam sebuah bahtera.

Selepas kejadian malapetaka yang diturunkan Allah S.W.T., kerana keengkaran umat Nabi Nuh as., manusia berkembang semula dan bertebaran di muka bumi ini. Sebahagian darinya menamakan kalangan mereka sebagai kaum 'Ad.

Kaum 'Ad ini adalah orang yang kuat tubuhnya. Tidak seorang pun dapat mengalahkan mereka. Seolah-olah mereka itu laksana besi yang dapat mengalahkan orang lain. Kaum-kaum lain amat takut kepada mereka. Kaum 'Ad juga golongan yang kaya raya. Memiliki binatang ternakan yang banyak jumlahnya. Mereka juga mempunyai anak yang ramai.


Kaum 'Ad termasuk dalam golongan yang tinggi darjat berbanding dengan kaum-kaum lain. Selain digeruni, mereka juga dihargai dan disegani oleh pelbagai pihak. Mereka tinggal di negeri yang aman dan makmur.

Trajisnya kaum ini tidak pernah bersyukur kepada Allah S.W.T.. Begitu banyak nikmat, rezeki dan rahmat Allah S.W.T., dilimpahkan kepada mereka. Mereka lupa dengan kisah azab Allah S.W.T., kepada umat Nabi Nuh as., yang telah diceritakan oleh kaum keluarga mereka yang terdahulu.

Bahkan mereka masih dapat menyaksikan kesan-kesan ribut taufan yang besar itu. Mereka juga lupa mengapa Allah S.W.T., menurunkan bencana yang dahsyat kepada umat Nabi Nuh a.s. Umat Nabi Nuh enggan percaya kepada apa yang dibawa oleh Nabi Nuh as., iaitu mengEsakan Allah S.W.T.. Sebaliknya mereka menyembah berhala. Mereka menentang Nabi Nuh as.

Kaum 'Ad menjadi kelompok manusia yang engkar suruhan Nabi Hud as., seperti umat Nabi Nuh as. Mereka sujud kepada berhala-berhala "hand made" mereka sendiri. Kepada patung-patung dan berhala "hand made" inilah mereka berdoa dan meminta pertolongan. Mereka juga melakukan retual pemujaan dengan menyembelih haiwan-haiwan, seperti tahiat dan tingkah laku umat Nabi Nuh A.S., yang terdahulu.

Walau pun berakal tetapi mereka tidak sanggup melarang diri mereka dari menyembah benda-benda rekaan dan buatan mereka sendiri. Akal mereka telah terbelenggu dari menerima seruan Nabi Hud as., agar mengEsakan Allah S.W.T..

Mereka merasa diri mereka sangat tinggi darjatnya dan sangat kuat, hinggakan tiada siapa yang dapat menandingi mereka, menyebabkan mereka semakin angkuh dan takbur. Mereka tidak bimbang menganiaya dan membinasakan orang lain. Dalam peperangan mereka akan membakar rumah-rumah dan tanam-tanaman mush-musuhnya.

Akhirnya kaum 'Ad menjadi golongan yang hanya suka kepada bersenang-senang dan bermain-main serta fikiran mereka hanya kepada makan dan minum sahaja. Mereka tidak peduli dengan penderitaan orang lain. Yang penting rumah mereka gah di mata orang lain. Lagaknya seolah-olah mereka akan menongkat dunia dan tidak akan mati.

Nabi Hud A.S., sebagai utusan Allah S.W.T..

Nabi Hud as menyeru kepada mereka, "Wahai kaumku, sembahlah Allah S.W.T., tiada Tuhan selain Dia". Untuk memperbaiki tingkah laku kaumnya yang telah sesat dan Nabi Hud as.,melanjutkan seruannya: “Wahai kaumku, mengapa kamu menyembah batu (berhala-berhala) itu, pada hal ia tidak dapat memberi manfaat dan mudharat kepadamu. Kenama kamu tidak menyembah Tuhan yang menjadikan kam? Allahlah yang telah menjadikanmu. Dialah yang telah memberi rezekimu. Hartamu yang banyak itu pun, adalah pemberian Allah. Anak-anakmu yang banyak itu pun, adalah kurnia Tuhan jua. Allah telah menjadikanmu manusia beruntung, mendapatkan kekayaan dan kehormatan sesudah kaum Nabi Nuh. Sepatutnyalah kamu mengerti dan insaf. Sembahlah Allah, dan janganlah disembah selainNya. Perhatikanlah olehmu, bahawa seekor anjing, selalu berterima kasih kepada tuannya. Adakah anjing peliharaan yang melawan tuannya. Adakah anjing yang telah jinak, meninggalkan tuannya dan pergi mencari tuan yang lain? Mengapa manusia lebih rendah dari haiwan itu?” 

Panjang lebar Nabi Hud as., menyeru kepada mereka. Mereka masing-masing berpandangan kehairanan. “Apakah perkataan Hud itu?” Kata seorang. “Apakah maksud Hud bercakap demikian?” Sahut yang lain. “Kami tidak mengerti apa maksud perkataan itu.” Kata yang satu lagi. Sementara yang lain pula berkata “Sungguh Hud seorang gila dan seorang bodoh.” 

Ketika Nabi Hud as., mengajak mereka kepada jalan Allah kedua kalinya, berkatalah pemimpin mereka: “Kami memandang engkau ini seorang yang bodoh dan ucapanmu itu adalah dusta belaka.”
Berserulah Nabi Hud as: “Aku bukanlah dusta dan bukanlah aku bodoh sebagi kamu sangkakan itu. Aku adalah utusan Allah. Aku diperintahkan untuk menyampaikan risalah Tuhanku kepadamu. Aku ini dating kepadamu semata-mata memberi nasihat yang baik.” 

Selanjutnya Nabi Hud as berseru: “Wahai kaumku!, aku ini adalah sahabatmu yang baik. Wahai saudaraku, kenapa kamu takut dan lari daripadaku, padahal aku tidak merugikanmu. Aku tak mengharapkan hartamu. Mengapa kamu takut mempercayai Allah? Pada hal Allah tidak akan mencabut harta kekayaanmu itu, jika kamu berIman kepadaNya. Bahkan Allah akan memberi berkat rezekimu. Kekuatanmu akan ditambahnya, jika kamu berIman. Kamu tidak perlu ragu-ragu atas risalah yang aku bawa ini. Aku menjadi Rasul untuk kamu sekalian, tanpa memandang siapa-siapa.” 

Kaumnya tidak dapat menjawab secara benar, kerana kalah dalil. Hanya mereka menolak seruan itu dengan kata-kata yang menghina Nabi Hud as., mereka berkata: “Tuhan kami telah marah kepadamu hai Hud, sehingga akal fikiranmu menjadi rosak dan tidak betul lagi.” 

Nabi Hud as., terus menyeru: “Ketahuilah bahawa berhala-berhala ini tidak memberi manfaat dan tidak memberi mudharat kepadamu, sebab ia adalah batu. Batu yang tidak boleh berkata-kata dan tidak boleh mendengar.” 

Kaum ‘Ad tetap tidak mahu mengalah. Malah mereka berkata pula: “Apa dalilmu atas kebenaran perkataanmu. Sungguh tidak akan ada dalilmu itu. Hai Hud, kami tidak akan meninggalkan Tuhan kami yang telah lama kami sembah kerana seruanmu yang baru ini. Apakah kami akan meninggalkan Tuhan yang telah disembah oleh nenek moyang kami, kerana perkataanmu? Sungguh tidak mungkin. Jika engkau tak mahu percaya dengan Tuhan kami, kami pun tidak akan takut azabnya yang engkau katakan itu. Cubalah datangkan azabnya itu, kami ingin tau.” 

Detik kehancuran dan pupusnya kaum 'Ad dari muka bumi buat selama-lamanya 

Maka turunlah hujan. Mereka sungguh gembira kerana mereka memang sedang menghajatkan turunnya hujan. 

Nabi Hud as., menyeru kepada mereka: “Hujan ini bukan hujan rahmat, tetapi adalah hujan azab Allah.”
Kaum Hud tetap tidak mempercayai seruan Nabi Hud as. Maka datanglah angin rebut yang kuat dan amat dahsyat. Berterbangan dan bertebaranlah segala apa yang dirempuh oleh angin tersebut. Pokok-pokok bukan sekadar tumbang, malah tercabut dan diterbangkan angin. 

Rumah-rumah mereka tidak terkecuali, habis berkecai dan diterbangkan angin berserta penghuninya sekali. Haiwan-haiwan ternakan pun turut diterbangkan angin taufan tersebut. Anak-anak memekik dan perempuan-perempuannya meraung ketakutan. Dunia menjadi semakin gelap gelita. Mereka tidak dapat melihat apa-apa lagi. Angin yang disangka membawa hujan sebenarnya azab dari Allah S.W.T., untuk mereka yang telah ingkar perintah dan laranganNya. 

Kejadian ini berlaku dalam masa tujuh hari tujuh malam tanpa henti. Inilah kesudahan malapetaka yang dihadapi oleh kaum ‘Ad yang sombong dan takbur. Yang tinggal hanyalah mayat-mayat mereka bergelimpangan, terkapar di tanah. Datanglah burung-burung memakan bangkai mereka sehingga licin. Rumah-rumah musnah dan menjadi rata, umpama kata bahasa “padang jarak, padang tekukur.”
Nabi Hud a.s., terselamat dari bencana, malapetaka azab tersebut dan termasuklah orang-orang yang berIman mengEsakan Allah S.W.T.. 

Allah Maha Besar.
Wassalamu.


Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 

Tiada ulasan: