Khamis, 12 September 2013

1627. Peristiwa dan teguran yang bermanfaat.



Asal mulanya kisah. 

Sudah dua puluh satu kali dia menunaikan Fardhu Haji. Kepulangan Abu Hassan dari menunaikan Fardhu Haji di Mekah kali ini amat jauh berbeza dari perjalanan-perjalanan ke Mekah yang sebelumnya. Abu Hassan banyak berubah. Lebih banyak berdiam dan seolah-olah ada perkara membeban yang sedang dihadapinya.

Atas desakan murid-muridnya, Abu Hassan seorang Ulama menceritakan pengalamannya menunaikan Haji yang terakhir kalinya, yang pada pendangannya amat jauh berbeza dengan pengalaman Hajinya sebelum ini.
Abu Hassan memulakan ceritanya, pada kebiasaannya kalau aku ke Mekah, ada sahaja orang lain atau sanak saudara yang turut serta. Maklumlah pada pandangan mereka aku sudah sering ke sana dan pasti sudah mengetahui sedalam-dalamnya soal-soal Rukun Islam yang ke lima ini. 

Mula perjalanan kerana Allah S.W.T.. 

Untuk yang kesekian kalinya aku bertekad untuk pergi ke Mekah menunaikan Haji secara bersendirian. Tidak seperti selalunya aku pergi secara berkumpulan atau beramai-ramai. Kebiasaannya aku ke Mekah dengan berjalan kaki. Aku membawa bekalan dan keperluan untuk mengerjakan Haji. 

Menjelang waktu Solat Zohor aku telah sampai di Fadisiyah. Aku singgah di Masjid dan menunaikan Solat Zohor  yang ketika itu tiada seorang pun yang datang berSolat. Setelah selesai aku pun bangkit dan bersiap-siap hendak keluar dari Masjid tersebut. 

Peluang keemasan yang terabai.
Tiba-tiba aku dapati seorang lelaki duduk bersandar di Tiang Masjid berhadapan dengan Mimbar. Pakaiannya compang camping, kotor dan tidak terurus. Melihatkan aku hendak keluar dari Masjid, dia pun bangun mendapatkan aku. “Tuan! Pada pandangan aku, engkau sedang dalam perjalanan hendak ke Mekah. Bolehkah aku mengikut tuan kerana telah lama berkeinginan untuk menunaikan Fardhu Haji di Mekah.” Kata lelaki  itu. 

Aku memikir-mikirkan apa yang diperkatakannya itu. Kerana aku masih berdiam, dia pun meneruskan kata-katanya, “Mungkin aku boleh menolongmu tuan!.”

“Tidak! Aku tidak memerlukan sesiapa pun untuk membantuku kerana aku sanggup membantu diriku sendiri.” Jawap aku kasar dan tegas, memandangkan memang sejak mula aku sudah bertekad tidak mahu diganggu oleh sesiapa pun. 

“Aku tidak boleh bersama tuan, walau pun rakan untuk berjalan kaki?.” “Tidak!” Jawab aku sedikit rasa kesal kerana menganggap lelaki itu telah mengganggu rancangan asal aku. Akhirnya aku meninggalkan lelaki itu dan meneruskan perjalanan, sambil memikirkan siapa sangka, mungkin lelaki itu seorang pengemis atau penjahat yang sengaja hendak mengganggu perjalananku. 

Dalam perjalanan tersebut wajah dah peristiwa dengan lelaki itu beransur-ansur luput dari ingatanku. 

Sesuatu yang mengejutkan dan menjadi tanda tanya 

Aku sampai di Akabah beberapa hari kemudian. Aku pun ke Masjid untuk menunaikan Solat Zohor. Aku terkejut melihat lelaki di Fadisiyah sudah pun duduk bersandar di Tiang Masjid. 

Aku tertanya-tanya “Kenapa lelaki itu mendahului aku sampai di Akabah. Usai Solat Zohor, hatiku tidak tertanggung untuk mengetahuinya. Aku dekati lelaki itu seraya berkata dan bertanya “Eh, engkau sudah ada di sini dan lebih dahulu dari aku?” 

Bersangka baik seama manusia itu indah.

Lelaki itu tersenyum seraya menjawab “Hai Abu Hassan, tuan jangan takbur melihat manusia serba kekurangan seperti aku. Beberapa hari yang lepas tuan tidak sudi membawa aku, aku juga sanggup pergi sendiri tanpa pertolongan tuan atau orang lain. Allah SWT., akan melimpahkan kurniaanNya kepada orang yang kelihatan lemah.” 

Aku termangu dan tidak terkata apa-apa serta tertanya-tanya dari mana lelaki itu mengetahui namaku. Kemudian aku pun meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan lelaki itu lagi. Aku berusaha memadamkan ingatanku terhadap lelaki itu, namun sentiasa teringat dan ingin tahu siapakah sebenarnya lelaki itu. 

Kota Suci Mekah di halaman rindu. 

Kerinduanku terhadap Kota Suci Mekah seumpama rindunya seseorang kepada kekasihnya terubat, lima belas hari kemudiannya, setibanya aku di sana. Aku menangis semahu-mahunya bila melihat Kota Suci Mekah telah pun berada di hadapanku, seraya membaca doa-doa memuji keAgongan Allah S.W.T.. 

Aku terus ke Masjidil Haram untuk mengerjakan Tawaf dan Solat Sunat di Makam Nabi Ibrahim as.. Berderau darahku bila melihat lelaki di Fadisiyah, sekali lagi telah mendahului sampai dan duduk dengan membelakangkan Makam Nabi Ibrahim as dengan menghadap Kaabah.

Jawapan yang benar dari peristiwa pahit yang menginsafkan.

Selayaknya lelaki itu seperti seorang Wali atau Keramat. Seperti dia sudah tahu di mana seharusnya dia boleh nampak aku dan telah terlebih dahulu sampai di Mekah. Aku menangguhkan hajatku untuk berSolat Sunat dan aku terus mendapatkan lelaki itu, seraya berkata: “Wahai tuan yang mulia. Maafkanlah aku kerana sudah menayakiti hati tuan dan telah berkasar terhadap tuan. Selarang akulah yang meminta tuan supaya aku boleh ikut bersama-sama tuan.” 

Lelaki itu tersenyum dan menjawab: “Dahulu aku ingin mengikut tuan tetapi tuan tidak suka berkawan denganku yang seperti anjing kurap ini. Tuan terlalu berpandukan kepada manusia yang kelihatannya serba kekurangan, daif dan penuh kelemahan. Hakikatnya tuan lalai bahawa Allah S.W.T., sudah memberikan kelebihan kepada manusia yang serba kekurangan. Mungkin juga tuan menganggap aku penjahat dan ingin menipu tuan. Bukankah pernah terfikir di hati tuan perasaan sedemikian rupa itu?”.

Aku terdiam dan tanpa terduga dia telah menyerlahkan segala apa yang pernah terlintas di hatiku terhadap dia beberapa hari yang lalu. Ternyata dia beroleh kelebihan dari Allah S.W.T., iaitu boleh membaca apa yang tersirat dan terlintas di hatiku. Aku rasa tewas dan terasa amat malu sekali terhadapnya. “Siapakah lelaki ini sebenarnya?” Getus hatiku lagi.

Kesombongan yang menjadi paparan kata-kata.

“Bukankah tuan pernah memandang jijik kepadaku seorang yang hina, tidak punya dan daif ini? Sehingga tuan sanggup menolak permintaanku untuk mengikut tuan ke Mekah. Pelik betul, sekarang tuan pula meminta untuk mengikutku?”. Ujar lelaki itu lagi.

Berdesing telingaku mendengar kata-katanya itu yang membuktikan dia telah membaca getus hatiku sebentar tadi. Kata-katanya itu mampu meleraikan dan meruntuhkan tanggapan dan keegoanku sebelum ini terhadapnya. Aku insaf dari kealfaan.

“Aku tidak mengharapkan seseorang pun untuk menjadi kawanku. Aku hanya suka berkawan dengan Yang Maha Berkuasa. Aku serahkan diriku ini dengan sepenuhnya kepadaNya. Dialah Allah S.W.T., yang menggerakkanku dan memberikanku kuasa ghaib yang tidak tuan miliki. Aku bukan bermegah tetapi berkata benar yang benar dan sebenar-benarnya kepada tuan hanya kerana Allah S.W.T., Tuhanku dan Tuhan tuan juga, jika tidak masakan kita sama-sama bertujuan ke Mekah mengerjakan Fardhu Haji. Tuan pun merasa hairan kerana acap kali pertemuan kita ini tuan rasakan begitu aneh sekali. Aku berkeputusan tidak akan mengikut tuan dan aku tidak dapat menerima tuan mengikutku. Berpisahlah kita setekat ini”. Kata-kata lelaki itu membuat aku terus terkedu dan lidahku kelu untuk berkata apa-apa.

Kesedaran yang terlewat tetapi perlu.

Aku sungguh merasa kesal kerana dipertemuan yang pertama kami di Fadisiyah, aku tidak menghiraukannya. Jika tidak tentunya aku beroleh ilmu pengetahuan dari lelaki tersebut, sepanjang perjalanan ke Mekah bersamanya. Lebih dari tegurannya yang jujur tentang perbuatanku terhadapnya  itu semasa di Fadisiyah. Aku tewas dengan seseorang yang punya kelebihan ghaib dan boleh membaca isi hati serta fikiran orang lain, kurniaan Allah S.W.T..

Takbur dan riak membunuh ruang dan peluang teratas dalam kehidupan.

Penyesalan ini semakin tidak tertanggung olehku bila aku mengetahui siapa sebenarnya lelaki itu. Kebetulan semasa di Mekah aku dapat berjumpa dengan Syeikh Abu Yazid Al Bistami dan Abu Bakar Al SIbli dan beberapa orang lagi Ulama Besar lainnya. Kepada mereka aku ceritakan kisah pertemuanku dengan lelaki tersebut.

Syeikh Abu Yazid tersenyum lantas berkata: “Memang satu kerugian besar kerana tuan tidak menyambut huluran tangannya yang ingin bersahabat dengan tuan. Dia sebenarnya memang tidak mahu berkenalan atau bersahabat dengan sesiapa pun. Tuan kenal dengan orang itu?” Aku menggeleng-gelengkan kepalaku.
“Dia ialah Abu Jaafar Al Majzub. Seorang Keramat yang sangat disegani dan doanya sangat makbul.” Sambung Syeikh Abu Yazid menjelaskannya lagi. Benar-benar aku merasa sungguh kesal dan timbul keinginan aku untuk berjumpa dengannya kembali dan menunaikan apa-apa permintaannya.

Dengan beribu-ribu Umat Nabi Muhammad S.A.W., yang sedang Ukuf di Padang Arafah, tidak mungkin aku dapat menemui Lelaki Keramat Allah S.W.T., itu. Aku menoleh dan aku melihat Abu Jaafar berada disampingku sambil tersenyum. “Tuan masih ingin berjumpa denganku?” Aku merasa gembira dan ingin bersalaman denganya, tetapi hampa kerana tiba-tiba dia sudah ghaib.

Ruang dan peluang yang telah terkunci mati.

Dari bahagian dalam jiwaku seperti ada sesuatu yang mendesakku, aku menoleh. Abu Jaafar sudah berada disisiku sambil tersenyum. Peristiwa dan kesempatan ini aku lalui semasa Melimpar Jumrah di Mina. “Apa yang tuan kehendaki dariku.” Tanyanya. “Aku ingin meminta maaf dan seterusnya ingin bersahabat dengan tuan dan mengharapkan doa-doa yang makbul dari tuan. Bukankah tuan ini Abu Jaafar yang doa-doanya selalu makbul?” Kata dan pintaku kepadanya.

“Kalau tuan mahukan doa yang makbul, tuan pergilah ke Muhtazam dan berdoalah di sana. Setiap manusia mesti berusaha melepaskan dirinya dan berdoa untuk dirinya sendiri.” Jawabnya sambal tersenyum.

Selepas berkata-kata Abu Jaafar pun menghilang entah ke mana dan sejak itu aku tidak lagi dapat berjumpa dan melihatnya lagi. Sesungguhnya aku menyesal dan sepenuh-penuhnya kerana Allah S.W.T.. Dari peristiwa tersebut aku beroleh pengajaran yang amat pahit tentang manusia dan kehidupan di dunia ini.

Kelalaian tidak mengenal siapa kamu.

Sebagai manusia kita sepatutnya tidak mudah terpengaruh dengan yang buruk atau pun yang baik. Yang buruk atau yang baik itu ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Dalam yang buruk masih ada yang baik dan yang baik tentu ada yang buruknya. Renungkanlah kamu semua dan sama-samalah kita bermuhasabah diri kerana Allah S.W.T., dengan sepenuh jiwa dan raga kita.

Demikianlah Abu Hassan menyudahkan ceritanya kepada anak-anak muridnya. 


Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 

Tiada ulasan: