12 September, 2013
Kantoi!! Pemimpin Sabah Dedah Mahathir Menipu Dalam RCI
Pemimpin politik Sabah membidas keterangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah
hari ini dan menyifatkannya satu penipuan kerana bekas perdana menteri
paling lama berkhidmat itu pernah membuat kenyataan sebaliknya sebelum
ini.
Pengerusi Parti Reformasi Negeri Sabah (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan
berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan Dr Mahathir yang sering
meletak kesalahan kepada pihak lain.
"Beliau tidak menafikan kad pengenalan diberikan secara haram. Beliau
hanya tidak tahu tentang Projek IC yang diberikan namanya oleh pihak
lain," katanya apabila dihubungi The Malaysian Insider.
Jeffrey menjelaskan kenyataan Dr Mahathir itu tidak konsisten apabila
sebelum ini mantan perdana menteri itu pernah menyatakan bukan satu
kesalahan memberi kad pengenalan kepada penduduk yang telah lama tinggal
di negara ini.
Pengerusi PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin menggesa kerajaan Barisan
Nasional (BN) agar segera mencari dalang dalam Projek IC kerana hanya
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang boleh mengeluarkan kad pengenalan.
“Ini satu penipuan oleh Dr Mahathir. Beliau telah berdusta. Sebelum
pilihan raya umum ke-13 (PRU13), beliau telah mengakui sebanyak 200,000
pendatang asing dari Filipina dan Indonesia yang beragama Islam telah
diberikan kerakyatan.
“Semasa menjawab pertanyaan daripada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan
beberapa NGO pada satu majlis sebelum PRU13, Dr Mahathir turut
menjelaskan ada dalang di sebalik Projek IC tersebut.
“Kerajaan BN lambat bertindak dalam isu ini. Mereka seharusnya menangkap
dalang projek ini lebih awal. Projek ini jelas memberi kewarganegaraan
kepada warga asing yang yang belum layak menjadi warganegara,” katanya
kepada The Malaysian Insider.
Beliau turut menggesa parti komponen BN Sabah seperti Parti Bersatu
Sabah (PBS), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO)
dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain yang menafikan berlakunya
Projek IC di negeri di bawah bayu itu agar segera membuat laporan polis.
Katanya, Projek IC telah mencetuskan pelbagai persoalan seperti nama
mereka yang memperoleh kad pengenalan menerusi projek tersebut muncul
dalam daftar undi beberapa PRU lepas.
“Sebelum ini, banyak nama yang telah disebut berkait dengan Projek IC.
Kita harus selesaikan kes ini dengan menangkap mereka seperti bekas
Menteri Kemajuan Bandar dan Wilayah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin untuk
menjalankan siasatan lanjut.
“Kebanjiran pendatang asing di Sabah bukan sahaja memberi kesan buruk
kepada negeri itu tetapi nama baik Malaysia secara umumnya. Perniagaan
di negeri Sabah kini banyak dimonopoli pendatang asing ini kerana mereka
mampu menawarkan harga dengan lebih murah.” katanya.
Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong turut mengecam Dr Mahathir kerana tidak berkata jujur dalam RCI berkenaan.
Katanya, Dr. Mahathir jelas terlibat dalam kontroversi itu sejak bekas
Pengarah JPN Tamparuli Yakup Damsa mendakwa Abdul Aziz membenarkan
rumahnya digunakan sebagai pusat tandatangan kad pengenalan biru untuk
pendatang asing di bawah Projek IC.
“Sejak Abdul Aziz mendakwa tidak mengetahui hal ini, maka jawablah
dengan tuhan nanti. Dia boleh nafi apa sahaja tetapi tidak pada tuhan,”
katanya.
Katanya, tidak boleh dibayangkan terlalu ramai pendatang asing boleh
mendapatkan kad pengenalan di Sabah meskipun ada warga asing yang
berkahwin dengan warganegara Malaysia masih sukar mendapatkan status
penduduk tetap.
Dr Mahathir semasa RCI semalam berkata tidak pernah mendengar mengenai
Projek IC sehingga pendedahan baru-baru ini dan katanya tidak pernah
mengeluarkan mana-mana perintah berkaitan pemberian kad pengenalan
secara sembarangan kepada pendatang asing di Sabah.
Beliau menjelaskan proses pemberian kad pengenalan kepada pendatang
haram sudah pun dijalankan sebelum PBS berkuasa di negeri itu dan
berdasarkan perlembagaan, kewarganegaraan boleh diberikan kepada
pendatang jika mereka layak dan menepati semua syarat ditetapkan.
Pemimpin paling lama menerajui kerajaan itu berkata tiada keperluan
untuknya mengeluarkan arahan supaya pendatang asing diberikan kad
pengenalan kerana ia dilakukan mengikut undang-undang sedia ada dan
tidak memerlukan arahan kerana ia adalah proses biasa.
Ketika ditanya sama ada bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Mustapha Harun
ada meminta kebenarannya mengenai pemberian kad pengenalan kepada
pendatang asing, Dr Mahathir berkata, beliau tidak ingat ada memberi
sebarang arahan tertentu tetapi ada menasihati Mustapha supaya mengikut
undang-undang. ~the malaysian insider
Sumber: (Kantoi).
Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan