Awal hasrat kami ke Lahad Datu dikhuatiri dan mengundang resah kaum keluarga. Maka ramai para ibu yang tersandar dan tidak sedikit para isteri yang tidak tidur malam memikirkan bahaya yang mungkin menimpa pasukan Misi Keamanan Mesej Keimanan.

Rentetan pencerobohan di Tanduo dan Semporna, wilayah itu dalam sekelip mata menjadi ‘neraka’ yang amat ditakuti. Penduduknya saban malam lelap berbantalkan ketakutan berselimutkan debaran. Alhamdulillah, hari ini detik itu sudah pun berlalu.

Syukur kepada ALLAH dan terima kasih kepada kerajaan dan pasukan keselamatan yang bekerja-keras.

Pada kebanyakan penduduk tanah semenanjung, Lahad Datu dan Semporna hanyalah sebuah daerah di dalam sebuah negeri di dalam Malaysia. Namanya disebut-sebut dan dikenali hanya selepas peristiwa bersejarah April lalu.

Namun di sisi umat manusia dari Barat dan Eropah ia adalah syurga di atas dunia. Maha Suci ALLAH yang menciptakan alam ini dengan penuh keindahan dan kesempurnaan.

Sesempurna namanya itulah ibarat kepada tepian lautan dan gugusan pulau-pulau di Semporna sehingga pihak diiktiraf sebagai lautan yang paling jernih oleh pihak National Geography.

Pelancong dari luar menyebut Sabah sebagai paradise in earth. Jika tidak masakan putera raja dari London menjadikan Lembah Danum di Lahad Datu sebagai destinasi berbulan-madu. Itu belum lagi meninjau lautan dan pulau-pulau indah dari Menara Kayangan, di puncak Gunung Silam.

Benar firman ALLAH menceritakan akan keindahan ini yang maksudnya, “Dan kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kukuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata. Untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingat ALLAH).” (Qad: 7-8).

Orang beriman menjadikan setiap ciptaan ALLAH sebagai sarana untuk menambah ilmu dan menguatkan iman. Syukur dan tahmid kepada ALLAH yang menempatkan kita di dalam sebuah negara yang kaya dengan sumber, mewah dengan hasil mahsul dan penuh pemandangan yang indah.

Dahulu siapa sangka rerumput yang tumbuh di gugusan kepulauan Semporna itu khasiatnya tinggi dan kini menjadi suatu komoditi yang berharga. Demikian juga industri sarang burung walet (burung layang-layang) yang memberikan pulangan yang sangat lumayan.

Benar sesungguhnya rezeki itu dari ALLAH, bukan sesiapa selainnya. ALLAH berhak membuka kelapangan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Demikian juga kisahnya dengan industri pelancongan. Mengapa menghabiskan sedemikian ribuan ringgit ke Bali, Mauritius atau Hawai walhal mereka di sana setiap hari bermimpi untuk datang ke sini.

Bak kata pepatah inggeris, the grass always greener the other side, begitu juga sebilangan dari kita.

Islam menganjurkan umatnya untuk berjalan-jalan melihat kebesaran ALLAH. Firman Allah dalam ayat yang lain maksudnya: “Dia (ALLAH) menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya, dan Dia (ALLAH) meletakkan gunung-gunung di atas bumi mengukuhkan kamu; dan Dia (ALLAH) membiakkan padanya (bumi) pelbagai jenis binatang.

Dan Kami (ALLAH) turunkan air dari langit, lalu Kami (ALLAH) tumbuhkan padanya pelbagai jenis (tumbuh-tumbuhan) yang baik. Inilah ciptaan ALLAH, maka perlihatkanlah kepadaku apa yang telah diciptakan oleh yang selain Dia (ALLAH); bahkan orang yang zalim itu dalam kesesatan yang nyata.” (Luqman: 10-11).

Orang-orang beriman menggunakan seluruh kesempatan yang ada untuk memikirkan tentang kebesaran ALLAH. Baik dari sebesar gunung, awan dan lautan sehinggalah kepada makhluk sekecil nyamuk dan lalat.

Berjalan-jalan melihat alam ciptaan ALLAH atau sering disebut juga sebagai melancong, berlibur atau wisata. Para ulama’ membahaskannya dalam bab Adab Siyahah yakni Etika Melancong.

Inilah maksud Syeikh Ibnu Uthaimin ketika menjelaskan firman ALLAH, “Atau siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi dan yang menurunkan air untukmu dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun yang berpemandangan indah” (an Naml: 60).

Beliau mengatakan, “Ayat ini menunjukkan bolehnya jalan-jalan di taman dan mencari kesenangan dengannya kerana ALLAH berfirman ‘kebun-kebun yang berpemandangan indah’.

Seorang itu tidaklah dicela ketika mengatakan, ‘Aku akan melihat-lihat kebun dan taman yang ALLAH ciptakan dari air hujan yang Dia turunkan’. Kita tidak boleh mengatakan bahawa ini adalah kegiatan yang sia-sia. Jika kita tidak memberi kesempatan badan untuk ‘refreshing’  maka akibatnya kita mudah jemu dengan rutin harian. Kesan buruknya prestasi kerja dan kualiti hidup kita akan menurun.”

Tidak perlu bajet yang besar-besar untuk keluar negara mencari Eifel di Paris atau menjejak Collesium di Rome Italy. Sedangkan terbentang di tanah-tanah menganjur dari Utan Kandis sampai hujung benua Tanjung Piai Pontian, dari Kudat ‘Tip of Borneo’ hinggalah sampai ke Kalabakan terus ke Tenom membawa ke Kuching semuanya indah dan cantik di pandang mata.

Bahkan destinasi pelancongan dalam negara ada yang disenarai sebagai yang terbaik di dunia. Semporna sebagai contoh memiliki 49 pulau-pulau indah dan dinyatakan sebagai lautan paling jernih di dunia.

Bukan sahaja di pulau bahkan di sekitar tanah besar Semporna sendiri sudah dapat dilihat anak-anak ikan berenang-renang.

Mohon maaf sekiranya ramai yang menelan air liur membaca rencana ini. Penulis tidak bermaksud membuat sesiapa terkilan atau kepingin. Benar, tidak semua orang diberikan rezeki dan kesempatan untuk berjalan-jalan ke negeri atau negara orang melihat alam.

Memang dunia ini indah dan cantik kerana yang menciptakannya dalam enam masa yakni ALLAH AZZA WA JALLA yang memakai gelar Yang Maha Bijaksana. Pun begitu sebagaimana indahnya pun alam ini, ia tetap sebuah persinggahan yang sangat sementara.

Andai kita pernah merasai bahawa banyaknya nikmat di atas dunia ini tidak sempat kita cicipi dan rasai, maka pujuk dan bawalah diri kita ke sebuah negeri yang lebih luas dan lebih indah dari dunia dan seisinya yakni negeri akhirat. Renungkan sabda Nabi kita yang maksudnya, “Demi ALLAH, dunia ini dibandingkan dengan akhirat ibarat seseorang yang mencelupkan jarinya ke laut; air yang tersisa di jarinya ketika diangkat itulah nilai dunia.” (Riwayat Muslim).

Maka baharulah dada kita akan terasa lapang dan jiwa kita terasa tenang. Tidak ada apa yang ingin kita gusarkan atau layak kita hasadkan setelah mengetahui bahawa nikmat di negeri akhirat. Kita tidak pernah akan mampu membayangkan kerana nikmat syurga itu tidak pernah terbayangkan.

Yang ada hanya gambaran sebagaimana firman ALLAH maksudnya: “Mereka itulah bagi mereka syurga Adn, mengalir sungai-sungai di bawahnya, dalam syurga itu mereka dihiasi dengan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau dari sutera halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas pangkin-pangkin yang indah. Itulah pahala yang sebaik-baiknya, dan tempat istirahat yang indah.” (al-Kahfi: 18).

Tidak ada kelayakan yang lebih layak memasukkan seseorang hamba itu ke dalam syurga melainkan iman yang benar dan amal soleh. Tidak lain dan tidak bukan ia diambil garis dan pedomannya dari al-Quran dan as-Sunnah sesuai cara faham dan beramal para sahabat Nabi.

Abu Hurairah ada meriwayatkan sebuah hadis dari Rasulullah SAW maksudnya, “Dan bagi syurga itu lapan pintu. Maka siapa yang termasuk dari orang yang menegakkan ibadah sembahyang, dia akan dipanggil dari pintu sembahyang.

Bagi orang berpuasa ia akan dipanggil dari pintu puasa. Orang yang bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah. Dan yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

*Presiden Skuad Iman iLMU Sabah