Hadith riwayat Bukhari & Muslim daripada Tsauban r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda; "Hampir tiba suatu masa dimana bangsa-bangsa dari seluruh dunia bersatu datang mengerumuni dan membantai kamu (umat Islam) bagaikan orang yang hendak makan talam hidangan". 
 
Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah kerana jumlah kami sedikit Ya Rasulullah?".
 
"Tidak, bahkan kamu terlalu banyak. Tetapi kamu umpama buih dilautan. ALLAH akan mencabut perasaan takut dihati musuh terhadap kamu, dan ALLAH campakkan perasaan wahan didalam diri kamu".
 
Seorang sahabat bertanya, "apakah itu wahai Ya Rasulullah?"
 
"Hubbud dunya wakaro hiyatul maut - terlalu cintakan dunia dan terlalu takut mati!".
 
Sebenarnya itulah yang sedang dilalui oleh umat Islam seluruh dunia hari ini.
 
Negara paling kaya ialah umat Islam, dengan kekayaan emas hitam yang ALLAH anugerahkan, negara umat Islam menjadi terlalu kaya. 
 
Bangunan tertinggi didunia ialah di bumi umat Islam. Dahulu Menara Berkembar Petronas di Malaysia setinggi lebih kurang 800m, kemudian kini diikuti oleh Burj Al-Khalifa di Dubai setingga hampir 1000m atau 1km. 
 
Dan terbaru sedang rancak dibina di Jeddah melebihi satu kilometer!
 
Malah Masjidil Haram dan Baitullah menjadi kerdil dibayangi Menara Zam-Zam dan jam terbesar didunia!
 
Tetapi di bumi umat Islam lah keadaan yang paling bergelora dengan pembunuhan dan pergaduhan hampir tiap hari. 
 
Tidak dinamakan Pakistan kalau tidak keluar berita pengeboman di masjid dan tempat awam. Calon Perdana Menterinya sendiri Benazir Bhutto mati berkecai akibat dibom!
 
Afghanistan, Iraq, Libya, muncul berita mengenainya hampir tiap hari muka hadapan media dunia akibat persengketaan dan pembunuhan sesama sendiri.
 
Libya, Tunisia, Iraq, Afghanistan dan kini Mesir sudah hancur lebur. Manakala umat Islam di Selatan Thailand, Selatan Filipina menjadi mangsa rakusan kuffar hampir setiap hari.
 
Umat Islam Palestin, samada di Gaza, Tebing Barat, Hebron, termasuk Baitul Maqdis diperlakukan seperti haiwan oleh kuffar tanpa belas kasihan lagi.
 
Subhanallah! Sadaqa Rasulullah SAW! Benar sabda Nabi SAW bahawa kelak nanti umat Islam akan dilayan seperti haiwan!
 
Hari ini umat Islam memang dilayan seperti haiwan. Ada tempat di mana anjing dan haiwan lain boleh melalui pemeriksaan imigresen dan kastam dilayan dengan penuh kemuliaan, dijaga hak asasi haiwan-haiwan ini. Tetapi kalau membawa nama Islam, ada bin atau binti, bertudung, berserban, berjambang janggut, apatah lagi berjilbab; anjing pun akan sedih duka melihat cara umat Islam dilayan.
 
Ada yang dihalau keluar daripada sekolah dan pejabat, ada yang dipecat daripada pekerjaan, ada yang tempat kediamannya diselongkar, pergerakan dan kehidupan umat Islam dipantau dengan kamera CCTV, ada yang dibunuh dan dilonggok macam tin sardin sahaja, semuanya atas nama memerangi keganasan, terorisma.
 
Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir dari Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda; "akan datang suatu masa nanti di mana seseorang mukmin itu lebih hina daripada domba". 
 
Kita sedang melalui zaman itu sekarang. Tetapi malang terlalu ramai umat Islam yang tidak menyedarinya, samada kerana terlalu sibuk mengejar dunia, atau tidak mahu campurtangan, tidak mahu ambil tahu, kerana takut kehilangan kedudukan, jawatan dan nikmat duniawi yang sedang dikecapi!
 
Kuffar telah berjaya memusnahkan kesatuan, perpaduan dan persaudaraan umat Islam seluruh dunia. Ukhwah Islamiyyah hanya tinggal slogan menyambut maulid atau Ma'al Hijrah. Hakikatnya kita umat Islam yang punya Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Qiblat, Satu Aqidah; tetapi berpecah malah berbunuhan sesama sendiri sehingga membolehkan kuffar menyusup masuk ke negara umat Islam dan menundukkan mereka seperti haiwan!
 
Terkini, bumi anbiya' Syam, atau dikenali sebagai Surya sedang didalam proses untuk diterkam dan dihancurkan oleh kuffar, dengan dibantu samada secara langsung atau tidak langsung oleh umat Islam sendiri!
 
Maqam Nabi Zulkifli a.s, Dimasyq
 
Bumi Syam dikenali sebagai bumi anbiya', bumi para Nabi utusan ALLAH. Daripada Antokiah dan Halab di utara Syria, sehingga ke Dimasyq (Damsyik), sejarah peninggalan para Nabi begitu jelas. 
 
Kalau kita melalui perjalanan darat dengan kenderaan, sepanjang jalan kita akan dapat lihat perkuburan para Nabi ini melalui kubah-kubah hijau di atas perkuburan tersebut. Sama ada kubur anak Nabi Adam a.s di Pergunungan Ruknuddin, Maqam Nabi Zulkifli a.s di perkampungan Ruknudin, Maqam Nabi Yahya di dalam Masjid Umayyad dan ramai lagi.
 
Malah ahlul-bait, ahli keluarga Rasulullah SAW dan para sahabat besar Baginda juga ramai disemadikan di bumi Surya. Termasuk kuburan sahabat yang dijamin syurga seperti Saidina Bilal Bin Rabbah r.a, Saidina Khalid Al-Walid Saifullah r.a.
 
Dan juga kubur para pejuang dan khalifah Islam seperti Sultan Salahudin Al-Ayubi yang dikebumikan diperkarangan Masjid Umayyad, Dimasyq.
 
Dan ketiga-tiga agama wahyu, iaitu Islam, Yahudi dan Nasara mempercayai bahawa diakhir zaman, Nabi Isa a.s akan diturunkan disebuah menara putih di sebuah masjid di Dimasyq. Ramai yang yakin dan percaya menara putih yang dimaksudkan itu ialah Menara 'Isa di Masjid Umayyad (gambar atas).
 
Umat Islam mempercayai Nabi Isa a.s akan diturunkan untuk memperbetulkan semula aqidah manusia yang rosak kerana mengangkat Baginda sebagai Anak ALLAH; dan memimpin tentera umat Islam dibawah Imam Mahdi untuk menghancurkan Dajjal dan tenteranya terdiri daripada kalangan Yahudi;
 
Umat Nasara mempercayai Nabi Isa akan diturunkan sebagai penyelamat, Messiah the Saviour untuk mereka, dan menghancurkan manusia yang menolak ketuhanan Salibiah!
 
Umat Yahudi pula mempercayai Nabi Isa akan diturunkan untuk menghancurkan mereka, kerana Yahudi lah yang telah 'membunuh' Nabi Isa a.s dengan menyalib Baginda mengikut iktikad dan kepercayaan Kristian.
 
Maknanya bagi kesemua penganut agama wahyu, bumi Surya adalah bumi penentu bagi nasib mereka. Masing-masing ada kepentingan iktikad dan keagamaan untuk memastikan bumi Surya duduk dibawah genggaman atau kekuasaan mereka.
 
Bermakna kesemuanya mempercayai pemerintah bumi Surya yang menguasai Dimasyq adalah penentu kepada halatuju tamadun kemanusiaan, dan bumi Syam ini adalah permulaan kepada aakhirul zaman - permulaan kepada tamatnya era kemanusiaan di muka bumi ini.
 
Itulah muqaddimah yang ingin saya sampaikan, supaya umat Islam memahami konflik ciptaan zionis dan barat yang sedang berlaku di hadapan mata kita di Surya, yang dikenali di barat sebagai Syria.
 
Modus operandi mereka sama sahaja sebagaimana yang mereka berjaya lakukan dengan jayanya dahulu di bumi umat Islam samada di Hijjaz, Usmaniah, Andalusia, India dan Melayu Nusantara. Bumi pemerintahan Islam itu kini sudah hancur dan terhapus daripada peta dunia.
 
Bumi Hijjaz berpecah menjadi Arab Saudi, Jordan, Emiriyah Arab, Mesir, Afrika dan lain-lain;
 
Bumi Usmaniah berpecah menjadi Turki, Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan, Kurdistan, Bosnia-Herzgovina, Eropah Timur dan lain-lain!
 
Bumi India berpecah menjadi India dibawah pemerintahan penganut hindu, dan Pakistan, Bangladesh!
 
Bumi Melayu-Nusantara berpecah menjadi Tanah Melayu, Brunei, Indonesia tetapi kekal dibawah pemerintahan umat Islam. Tetapi umat Islam nusantara lain kini dibawah pemerintahan bukan Islam seperti di Thailand, Filipina, Singapura, Kampuchea; dan kebanyakkan mereka hidup dalam kezaliman atau penganiayaan!
 
Dalam dunia moden kini, mereka berjaya memecahbelahkan umat Islam. Kini Libya sudah hancur, Iraq sudah musnah, Mesir sudah punah, Surya menunggu masa untuk diratah.
 
Dari dahulu sehingga kini, mereka memulakan gerakan kehancuran umat dengan melaga-lagakan umat Islam samada atas perbezaan mazhab, fahaman sunni-syiah, perbezaan fahaman politik atau berebut kedudukan, jawatan dan habuan. 
 
Dan apabila proses melaga-lagakan itu berjaya, mereka akan dengan mudah menyusup masuk atas alasan misi bantuan kemanusiaa, pasukan pengaman, penasihat keselamatan, pembawa modal pembangunan dan macam-macam lagi.
 
Akhir kalam umat Islam hancur, agamanya rosak, aqidahnya musnah, negaranya ranap!
 
Sebab itu saya berpesan kepada diri saya dan seluruh umat Islam seantero dunia, janganlah mudah terpedaya dengan mainan propaganda media barat yang mendakwa kononnya pertelingkahan di Syria adalah antara puak syiah dan sunni. Dan dakwaan konon Presiden Bashar adalah daripada syiah Alawiyyah yang mahu menghapuskan kaum sunni.
 
Sebenarnya ini adalah satu dakwaan yang ternyata satu penipuan dan penuh pembohongan!
 
Saya sendiri pernah berada di bumi Surya, termasuk di Dimasyq (Damsyik), Hom dan Halab (Aleppo). Saya dapat melihat dengan mata kepala sendiri kehidupan umat Islam disana sangat aman dan harmoni.
 
Malah kita tidak berasa pun berada dibawah pemerintahan selain orang Islam. Masjid sunni, sebagaimana masjid syiah, masjid wali dan lain-lain bercambah begitu banyak di bumi Surya, bumi anbiya'. 
 
Malah masjid terbesar dan tertua di Dimasyq, Masjid Ummayad, yang disebut sebagai masjid keempat mulia dalam Islam (selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa) juga adalah masjid ahlus sunnah.
 
Perkuburan ahlul bait termasuk para sahabat utama Rasulullah seperti Saidina Bilal r.a dan Saidina Khalid Al-Walid bukan sahaja tidak dimusnahkan oleh Kerajaan Surya, malah dijaga begitu rapi.
 
Bersama para ulama Surya
 
Saya juga punya ramai sahabat disana terdiri termasuk seorang ulama sunni menjawat jawatan Mufti Dimasyq Sheikh Fatah Al-Bazim. Malahan ulama tersohor sunni Sheikh Wahbah Az-Zuhaili, pengarang kitab terkenal Fiqh al-Islami wa Adillatuhu al-Juz' al Thalith menetap dan punya masjid dan pusat pengajian di Dimasyq.
 
Beribu pelajar Malaysia fahaman sunni yang telah dan sedang mengikuti pengajian di Surya. Malahan ada yang dibiaya oleh institusi-institusi di Surya. Saya tidak pernah dengar adanya pelajar Malaysia dianiaya atau dizalimi Kerajaan Surya samada semasa dibawah pemerintahan Allahyarham Presiden Hafiz Al-Assad, mahupun anaknya sekarang Presiden Bashar Al-Assad.
 
Malah isteri Presiden Bashar bernama Asma Akhras Al-Assad adalah seorang sunni. Asma dilahirkan daripada keluarga sunni warga Britain, dibesarkan di Britain dan lulusan Kings College London. Seorang ahli perbankan antarabangsa sebelum mengahwini Bashar!
 
Jadi dimana yang dikatakan Bashar zalim terhadap penganut sunni?
 
Ini semua mainan propaganda barat yang mahu melaga-lagakan umat Islam. Akhirnya yang lemah nanti ialah negara Islam. Syria satu-satunya negara umat Islam yang menjadi ancaman kepada kewujudan negara haram zionis Israel. Syria mempunyai angkatan tentera yang boleh menggugat rejim haram Israel. Malahan sumber bekalan air yang utama bagi negara Israel datangnya dari bumi Syria yang mereka rampas di Bukit Golan.
 
Sudah-sudahlah tu. Berapa lama kita umat Islam mahu diperbdohkan oleh kuffar. Tengok bagaimana ada parasit-parasit yang berjaya dipekaldaikan oleh kuffar dalam negara kita; sehingga mereka sudah tidak tahu nak membezakan antara aqidah dan siasah, antara yang Islam dan kafir. Hingga mereka lebih rela bersahabat dan bersaudara dengan syaitan dan harbi semata-mata untuk mendapat undi dan memenangi kerusi. Sehingga sanggup meludah mana-mana umat Islam yang membawa agenda perpaduan dan ukhwah siasah syara'iah!
 
Saya tidak kata Syria tidak ada masalah. Saya tidak kata Presiden Bashar Al-Assad itu sempurna. Mereka mungkin ada masalah; mereka mungkin tidak sempurna. Tetapi itu adalah masalah dalaman mereka yang perlu mereka selesaikan secara muafakat dan husnul zan. Bukan dengan cara memberontak, apatah lagi mengangkat senjata.
 
Dan lebih malang kalau puak yang bertelingkah 'menjemput' pihak asing datang 'membantu'. Kita sendiri membuka pintu merobohkan kedaulatan negara. Akhirnya yang menerima bahananya ialah rakyat sendiri. Mana mungkin 'negara asing barat' mahu membantu secara percuma; tanpa sebarang kepentingan atau agenda mereka sendiri. Janganlah lupa amaran ALLAH dalam Surah Al-Baqarh:120!
 
Itulah punca runtuhnya Kerajaan Islam Andalusia. Itulah punca hancurnya Khilafah Uthmaniyah. Malah itulah punca kejatuhan Kesultanan Islam Melaka.
 
Akibat kejatuhan Andalusia, akhirnya menjadi negara kuffar Sepanyol dibawah pemerintahan raja kristian Ferdinand dan Isabella.
 
Diatas kehancuran Kerajaan Islam Usmaniyah, muncul negara sekular Turki dibawah pemerintahan pepatung Barat Mustafa Kamal Attarturk.
 
Akibat kehancuran Kerajaan Islam Melayu Nusantara, akhirnya penganut empayar kristian British menjadi pemerintah.
 
Bukalah mata, besarkan jiwa, segarkan minda; sejarah sudah tercatat bagaimana kita hancur oleh kerana tiadanya lagi ukhwah dan kesatuan umat. Kita bertelingkah dan bertengkar atas perkara furuq; malah sampai sanggup menggadai aqidah dan keimanan!
 
Semuanya atas nama demokrasi ciptaan zionis barat, atas nama kebebasan tanpa batas, atas nama hak asasi kemanusiaan bertunjangkan kehaiwanan. Kita mengejar habuan dunia, kedudukan, jawatan! Dan kita takut kehilangan semua itu.
 
Kita sudah menjadi umat hubbud dunya wakaro hiyatul maut. Dan ALLAH telah mencabut perasaan gerun dan takut musuh kita, malah kini musuh tanpa segan silu dan dengan berani dan secara terbuka meratah dan menjamah kita.
 
Walaupun negara umat Islam kaya-raya dengan hasil minyak bernilai trillion, walaupun umat Islam ramai dengan jumlah mencecah billion; tetapi kita sekadar menjadi buih pandiran memerhati saudara seagama dan satu aqidah dilayan seperti haiwan, dimamah dan diratah tanpa belas ihsan.
 
Bersatulah wahai umat Islam. Kembalilah kepada Al Quran. Sesiapa sahaja yang berpegang kepada lafaz La ila ha illallah - yang mengangkat syahadah dan mempersaksikan Tidak ada Tuhan melainkan Allah Maha Esa, mereka adalah saudara kita dan wajib kita pertahankan mereka.
 
Wallahua'lam dan wassalam.
 
Adios amigos, grasias senor.
 
Zulkifli Bin Noordin
Isnin
24 ZulQaedah 1434
30 Sept 2