بِسْمِ
اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
, الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ
وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ , صِرَاطَ
الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ
الضَّالِّينَ.
Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Allah S.W.T..
Nabi Muhammad S.A.W..
Penjelasan Isu Kalimah Allah Oleh Dr. Asri.
Ramai minta saya tulis artikel tentang isu nama Allah yang dipanaskan
semula dan terus menjadi krisis antara sesetengah pihak Muslim dengan
sesetengah pihak Kristian. Saya sebenarnya telah coretkan hal ini pada
tahun 2007 masa saya masih memegang jawatan Mufti Negeri Perlis. Di sini
saya sentuh sekali lagi.
Isu kalimah Allah ini akan menjadi satu sejarah yang menarik dan tersendiri di Semenanjung Malaysia.
Isu seperti ini tidak wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab
dan Bible dalam Bahasa Arab sejak sebelum dan selepas Nabi Muhammad
s.a.w. memang menggunakan perkataan Allah merujuk kepada Tuhan.
Bahkan kaum Quraish sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w. juga guna
nama Allah. Bapa Nabi Muhammad s.a.w. bernama Abdullah yang bermaksud
hamba Allah. Padahal bapa Nabi Muhammad s.a.w. tidak sempat pun bertemu
dengan Nabi s.a.w. sebagai Rasulullah. Kristian Qibti (Coptic) di Mesir
juga sejak sekian lama memanggil Tuhan ‘Allah’.
Demikian Kristian Lebanon dan Jordan, gereja-gereja mereka berdoa dengan
memanggil ‘Allah’ sejak zaman silam. Apa yang hendak dihairankan,
asal-usul ajaran mereka daripada ajaran Nabi Isa a.s. Justeru bukan
sahaja perkataan Allah, banyak lagi perkataan yang membabitkan akidah
yang sama antara Islam dan Kristian seperti nama Para Nabi; Ibrahim,
Musa, Harun, Isa dan lain-lain.
Orang Islam seluruh dunia setiap hari melafazkan ayat dalam Surah
al-Fatihah (maksudnya): ‘segala puji bagi Allah tuhan segala alam’.
Tiada Muslim pun yang menyebut ‘segala puji bagi Allah Tuhan kaum
muslimin sahaja’. Ini kerana Muslim mengakui Allah itu Tuhan untuk
semua, bukan Tuhan untuk kaum dan pihak tertentu sahaja.
Maka isu kalimah Allah tidak pernah timbul di negara-negara Arab. Bahkan
mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan apabila kita memberitahu
kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu Allah. Di Sabah dan
Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka menggunakannya.
Kristianisasi
Di Semenanjung Malaysia, dalam kitab agama Sikh, nama Allah disebut.
Sementara orang cina yang bukan Muslim di Kelantan terbiasa dengan
kalimah ‘Inshaa Allah’. Ada lagu negeri-negeri yang terdapat ‘kalimah
Allah’ yang dinyanyikan oleh semua rakyat berbilang agama. Logo-logo
Polis dan Tentera tertulis ‘Allah’ dan ‘Muhammad’. Logo-logo itu dipakai
oleh anggota yang Muslim dan non-muslim.
Namun apabila orang Muslim di Malaysia digembar-gemburkan isu tentang
Kristianisasi, maka keadaan resah mula timbul dalam kalangan umat Islam.
Kristianisasi sesuatu yang benar-benar wujud. Orang Muslim dalam negara
ini bimbang. Maka, apabila timbul edaran pihak Kristian dalam bahasa
Melayu yang menyebut Tuhan sebagai Allah yang selama ini dari segi
kebiasaan orang Melayu Semenanjung hanya mereka sahaja memakai kalimat
ini, maka emosi mereka mula bangkit. Apa tidaknya, mengapakah hanya
versi Melayu sahaja yang hendak digunakan ‘perkataan Allah’?! Mengapa
tidak edaran gereja yang berbahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain
juga menggunakan Allah?
Provokatif
Kelihatan seolah macam macam ada ‘hidden agenda’ ataupun ‘mala fide’ di
situ. Maka ramai yang membantah dan menganggap ada unsur provokasi agama
di pihak Kristian, bukan kerana mereka memang ingin memanggil tuhan itu
Allah, tetapi sekadar umpan yang hendak digunakan bagi memancing umat
Islam yang terbiasa dengan kalimah itu. Maka kelihatan unsur provokatif
di situ.
Maka, bantahan untuk orang bukan muslim menggunakan nama Allah dalam
edaran bahasa Melayu kelihatan macam mempunyai alasan di sudut
keharmonian masyarakat berbilang agama dan ijtihad pentadbiran. Ia bukan
berasaskan nas yang jelas melarang secara langsung hal itu, tetapi atas
asas pemerintah bertindak demi kepentingan awam.
Jika sekadar itu, maka bolehlah terima pendapat yang melarang. Ia bukan
larangan mutlak bahawa bukan-Muslim sama sekali tidak boleh menyebut dan
menggunakan nama Allah, tetapi menggunakan nama tersebut dalam bentuk
provokasi agama dilarang.
Salah faham
Malangnya ada Muslim yang tidak jelas hal ini sehingga menyatakan bukan
Muslim sama sekali tidak boleh menggunakan nama Allah. Kononnya nama
Allah eksklusif untuk Muslim sahaja. Ada pula yang berfatwa ‘murtad
sesiapa yang membenarkan. Pada hal nas asal, dalam al-Quran dan
al-Sunnah membenarkan bahkan menggalakkan mereka menggunakannya selagi
mana penggunaan itu merujuk kepada Tuhan Yang Sebenar ataupun ‘The
Supreme Being’. Banyak ayat al-Quran yang menegaskan hal ini. Firman
Allah:(maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad)
bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan
hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi
sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah
(Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan
pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak
menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).
Bahkan Nabi s.a.w. ketika mencabar orang-orang Kristian bermubahalah
ataupun bersumpah laknat, mereka diminta bersumpah dengan nama Allah,
bukan nama Jesus. Firman Allah maksudnya: “Sesungguhnya bandingan
(kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah
telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah
engkau!" maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka
jangan sekali-kali engkau dalam kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian
sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau
beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah
kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami
serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita
memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya
laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta". (Surah Ali
‘Imran 59-61).
Jika Islam larang mereka secara mutlak menyebut Allah, bagaimana mungkin mereka disuruh bersumpah dengan nama Allah?!
Al-Imam Muslim dalam sahihnya pula meriwayatkan hadis mengenai
perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w. dengan Quraish Mekah, seperti
berikut: “Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi
s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w.:
barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun
Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu
Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu
BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari,
Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut.
Ertinya, Nabi s.a.w membenarkan penggunaan nama Allah seperti yang pihak
kafir Quraish minta. Jika itu dilarang, tentu cadangan mereka ditolak!.
Lojik
Kita bayangkan jika mereka langsung tidak boleh panggil Allah, bagaimana
dengan Kristian Arab jika datang ke Malaysia? Apakah mereka terpaksa
menahan diri dari menyebut masya Allah dengan diganti ‘masyaa God’.
Jika bukan Muslim bertanya siapakah tuhan saya yang sebenar. Muslim
hendaklah menjawab Allah. Dia tidak boleh berkata ‘tuhan awak lain dan
tuhan saya lain. Awak tidak boleh menyebut nama tuhan saya’. Jika dia
berkata demikian, maka dia syirik.
Maka, sepatutnya larangan itu hanya apabila ia dalam bentuk provokasi
yang menimbul ketegangan masyarakat. Kenyataan yang menyatakan larangan
itu mutlak adalah tidak berasaskan ajaran Islam. Apatah lagi kenyataan
yang memurtad sesiapa yang mengizinkan seakan memurtadkan Nabi s.a.w.,
dan umat Islam di seluruh dunia.
Maka, kita Muslim hendaklah mengendali isu dan mengetahui hubung kait
sesuatu itu sebelum hendak dibangkit sentiment agama mengenainya. Jangan
kita melebihi kadar yang sepatutnya, juga jangan kita lalai tentang
keamanan dan keharmonian hidup dalam negara yang pelbagai agama. Dakwah
Islamiah hendaklah ditingkatkan. Sebarkan Islam dan banyakkan dialog
antara agama seperti yang Dr Zakir Naik lakukan. Kenapa kita sentiasa
ketakutan ditewaskan sehingga begitu defensive?! Bawalah mesej Islam
dengan penuh hujah dan hikmah.
~Dr. Asri
Sumber: (addin77.blogspot.com) .
Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.
(Surah Al-Kahf ayat 59)
Tiada ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah (SWT).
Perhatian: Pemaparan
tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan
pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk
menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan
larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak
bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan
perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana
individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina.
BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan