Sabtu, 9 November 2013

2317. Kisah Sebuah Negara Mundur Yang Semakin Blur.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.

Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Meja www.peceq.blogspot.com 
_._
Sebuah negara mundur yang sepatutnya dalam usia sudah melebihi setengah abad sudah menjadi kelompok negara maju. Ohh! mungkin usia 50 tahun singkat sangat bagi sebuah negara  seluas lebih 300 000 kilometer persegi. Eh! kena bandingkan  dengan sebuah negara lain yang jadi negara maju dalam masa singkat.

Sekadar Hiasan _._ Sumber gambar: (atsixty-zakriali) _._ 

Dengan hasil kekayaan yang pelbagai yang sebelumnya dirompak penjenayah bernama penjajah, negara itu jadi bebas. Bebas yang bukan sekadar bebas dalam erti kata sebenar, tetapi penjenayah meninggalkan bekas, meninggalkan tetopeng untuk terus merompak hasil bumi negara, bagi kepentingan peribadi.

Kononnya oleh kerana sudah terlalu lama terjajah, tetopeng pun mengorak langkah. Negara kita mesti jadi negara maju pada tarikh sekian tahun. Beban kerajaan mesti dikurangkan. Kita jual kepada individu atau syarikat yang mampu berdaya saing untuk mengambil alih. Inilah antara jenayah tetopeng yang masih tidak disedari sebahagian besar kasta penyokong dan pengikut atau bahasa lagunya "pak turut."

Seiring dengan tetopeng sebagai penjenyah berlesen terus tamak haloba berserta amanah dan kejujuran tiada dalam kamus hidup rohnya, berperanan keuntungan jadi bahan kautannya. Kerugian jadi bahan dan bebanan tanggungan rakyat banyak termasuklah disandarkan juga kepada penyokong dan pak turutnya.

Tetopeng bila berkata dia seringnya akan menyembunyikan fakta, mengaburi sejarah negara, membelakangi fakta akaun negara. Jika tidak berbuat begitu akan terdedah kedurjanaan tetopeng itu tadi dan tetopeng akan kehilangan sokongan pendokong, pak turut yang sangat mudah ditipu beratus-ratus kali. Paling malang tetopeng akan kehilangan kuasa yang semakin mendekat.

Menjadi tetopeng mesti bijak. Supaya tidak terdedah kejahatannya, tetopeng juga menguasai institusi undang-undang. Letakkan berserta gertakan kepada kepala-kepala yang sepatutnya amanah dan adil dalam institusi tersebut. Maka tonggang-langganglah keputusan pengadilannya. Yang salah bebas, yang benar terpenjara. Sebabnya takut tembelang tetopeng pecah. Maka kekallah nama tetopeng itu sebagai negarawan terulung walau pun telah mati.

Tetopeng juga mesti bijak memainkan isu bangsa. Tetopeng menggariskan ini tanah tumpah darah kita. Kita bangsa asal negara ini. Kita mesti jadi tuan. Bila berpolitik kita mesti dahulukan bangsa. Agama kita kemudiankan. Rupa-rupanya bila berprinsip sedemikian rupa, tetopeng bukan sahaja semakin jauh tersesat, tetapi bertanggung-jawab mengajak anak buahnya, penyokongnya dan pengikutnya dekat dengan sikap dan sifat syaitan laknatullah. Maka semakin ramai tidak sedar sudah tersesat dari landasan fitrah kehidupan.

Dalam keadaan sedemikian rupa bagaimana mungkin sebuah negara dengan hutang piutang semakin meningkat, keborosan tetopeng semakin menjadi-jadi sehingga boleh lelap tidur dalam upacara rasmi yang dihadirinya, untuk berubah menjadi negara maju. 1000 tahun tidakkan mungkin?.

Tetopeng juga bertanggung-jawab menjadikan sesebuah negara itu kaya dengan cerita fitnah, kaya dengan perkara dusta, mewah dengan sikap dendam kesumat dan jitu dengan perasaan hasad dengki. Andai tidak bersikap begitu, akan membuaklah segala kejahatannya di mata rakyat banyak.

Kerana konsep ketuanan itu jugalah yang pakar jadi tidak sudi kembali ke tanah tumpah darahnya. Negara tumpah darahnya jadi tanah penuh dengan rasuah. Apa perlunya menumpahkan penuh kesetiaan kepada negara yang memandang sinis kepadanya kerana dia bukan berdarah tuan bangsa.

Jadilah dia pakar negara asing atau menteri di negara barunya. Keadaan ini juga menjadikan individu yang sebangsa dengan tetopeng terus tegar dengan kepakarannya bekerja di negara asing. Malah lebih rela menjadi warga negara lain. Kembali sekadar menjengah keluarga di tanah asalnya atau sekadar melancong, itu pun kalau masih sudi.

Tetopeng ini ibarat melihat duit siling, nampak banyak di atas meja. Sepatutnya dia amanah. Cekut siling itu masukkan dalam tabung buluh. Tetapi tidak!, cekut siling itu masuk poket. Enjoy!!! selagi masih bernyawa atau tewas belum terpancar di wajah mukanya. Jadi tetopeng kena bijak bernafas, namun menanggung rugi tidak, jauh sekali dari emosi rasa bersalah.

"Sesekali keybord dipatuk"

In Syaa Allah Bermanfaat.

Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 
urv.
_._ 

Tiada ulasan: