بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.
Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
MOHAMAD NOR ZAHARUDDIN KASIMON
6 Januari 2014
PENGALAMAN helikopter Nuri ditembak komunis di hutan semasa Ops Gubir di Sempadan Kedah - Thailand 1970an sehingga mengakibatkan tiga komando tercedera tidak akan dilupakan Emran Karno, 64, sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota keselamatan negara.
Ketika itu dia bersama lima anggota Y Skuadron Rejimen Gerak Khas (RGK) dalam perjalanan ke tapak lokasi pendaratan untuk melakukan pembersihan iaitu menghapuskan ancaman aktif pengganas yang boleh mengancam keselamatan anggota yang bakal turun dari helikopter.
“Kami di dalam pesawat tersebut dikehendaki menyediakan tempat pendaratan untuk pesawat yang membawa anggota Askar Melayu. Kami turut memastikan kawasan tersebut selamat daripada ancaman pengganas dan laluan yang bakal dilalui nanti bersih daripada jerangkap samar.
"Sampai sekarang, saya masih lagi ingat detik pesawat tersebut ditembak bertalu-talu oleh pengganas komunis berhampiran kawasan pendaratan.
"Juruterbang yang menyedari pesawat kami ditembak, sempat berpatah balik ke Kem Gubir. Syukur kami selamat tiba di kem, walaupun helikopter dinaiki kehabisan minyak akibat tangkinya ditembak,” katanya kepada Sinar Harian.
Tiga rakannya yang turut sama berada dalam pesawat tersebut mendapat kecederaan. Rakannya itu, Truper Sahak mendapat kecederaan di jari, Truper Awang Ibrahim ditembak di paha, manakala Sarjan Kassim mengalami kecederaan di bahagian punggungnya.
Tambah memeranjatkan, hasil pemeriksaan mendapati pesawat tersebut ditembak sebanyak 45 das dan mujur tiada sebarang kemalangan jiwa akibat kejadian tersebut.
Tragedi berdarah
Menceritakan pada awal pembabitannya dalam bidang ketenteraan, Emran memulakan tugas seawal usia 23 tahun. Pada 1972, beliau menghadiri temu duga di Gemencheh, Negeri Sembilan dan akhirnya diterima memulakan latihan selama enam bulan di Port Dickson.
Selepas tamat latihan, Emran terus diserapkan ke Batalion 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seremban. Pada 1973, dia dipindahkan ke Serian, Sarawak.
Setelah cukup perkhidmatan dua tahun setengah, Emran membuat keputusan untuk menyertai unit elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mengambil kursus asas komando di Kem Sungai Udang, Melaka pada 1974.
“Ketika itu untuk menyertai komando, kita perlu berada di dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya dua tahun setengah dan baru boleh mengambil kursus asas komando. Pada waktu itu, dengan azam, minat dan semangat membara saya mengambil keputusan untuk mengambil kursus tersebut.
“Setelah dilanyak dari segi mental dan fizikal selama tiga bulan dengan latihan khusus, barulah saya layak ditauliahkan sebagai anggota komando sebelum disarungkan beret hijau yang menjadi kebanggaan dalam ATM,” katanya yang turut dianugerahkan pelatih muda terbaik asas komando.
Setelah berada di unit komando, Emran telah menyertai pelbagai operasi khusus dan sulit seperti Ops Rangkum, Ops Gonzales, Ops Gubir dan pelbagai lagi yang menguji ketangkasan dan kemahirannya sebagai anggota komando.
Emran menunjukkan Diploma Komando yang masih disimpan rapi.
Sehari selepas kejadian helikopter yang dinaiki Eman ditembak pengganas semasa Ops Gubir, Emran dan pasukannya telah diarahkan untuk masuk ke kawasan tersebut melalui jalan darat pula dan Pegawai Pemerintah ketika itu ialah Leftenan Kolonel Hasbullah Mohd Yusof.
“Waktu inilah tak akan saya lupa apabila Seksyen Komander saya, Sarjan Jingat dari Sarawak cedera parah akibat terpijak jerangkap samar yang dipasang musuh di kawasan hutan dan mengakibatkan kaki kanannya putus.
Emran (dua, kanan) ketika sertai pertandingan menembak di Brunei.
“Semasa operasi memburu saki-baki komunis di Bukit Kayu Hitam pada 1985, kami dari Z Skuadron pernah bertempur dengan musuh sehingga menyebabkan anggota komando iaitu Truper Osman meninggal dunia terpijak jerangkap samar di depan mata saya,” katanya.
Ikut jejak langkah
Bersandarkan pengalaman perkhidmatannya, Emran telah menggunakan kepakaran menembak untuk menyertai kejohanan menembak yang dianjurkan ATM dan pasukan keselamatan negara luar.
“Saya merupakan seorang daripada penembak tepat di dalam unit saya dan saya pernah mendapat johan keseluruhan di peringkat antarabangsa iaitu semasa pertandingan di Singapura pada tahun 1983 dan di Brunei pada tahun 1986.
“Disebabkan kepakaran menembak saya itu, saya pernah diamanahkan untuk menjadi jurulatih menembak Bakat (Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera) dan seterusnya sebagai jurulatih komando,” katanya.
Selepas 15 tahun berkhidmat di dalam ATM, Emran mengambil keputusan untuk berhenti daripada tentera pada 1987 dan pangkat terakhir yang disandangnya adalah koperal.
Perjuangannya dalam ATM kemudian terus disambung oleh lima anak lelakinya mengikuti jejak langkahnya sebagai anggota tentera tetapi tiada seorang pun yang menjadi komando seperti dirinya.
Emran pulang ke kampungnya di Kampung Sanglang, Segamat dan kemudian menyara diri dan lapan anaknya dengan bekerja kebun. Kini dia melakukan pelbagai pekerjaan seperti tukang gali kubur, pembuat keranda dan deejay majlis rasmi dan perkahwinan.
“Walaupun sudah lama meninggalkan unit komando, saya masih berjiwa ketenteraan lagi dan semangat sebagai anggota komando masih menebal tambah-tambah lagi selepas menyertai Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM).
“Sebab itu saya marah apabila ada pihak yang cuba membawa balik abu mayat Chin Peng ke negara. Ini kerana kami telah bermandi darah untuk memastikan negara ini bebas daripada pengganas. Jika diperlukan, saya akan kembali mengangkat senjata bersama-sama berjuang,” katanya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/45-das-tembusi-nuri-1.237698
Tiada ulasan:
Catat Ulasan