Selasa, 22 April 2014

4867. Menghadapi satu pertuduhan sahaja.


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ



AS gugur 3 pertuduhan terhadap pegawai TUDM


Amerika Syarikat menggugurkan tiga daripada empat pertuduhan terhadap pegawai Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang ditahan di lapangan terbang Texas atas tuduhan cuba menyeludup sepucuk pistol pada 16 April lalu.

Dalam kenyataan medianya hari ini, TUDM bagaimanapun menjelaskan perbicaraan yang dijadual pada 21 April telah ditunda ke tarikh baru yang ditetapkan oleh Mahkamah Lubbock, Texas.

"Pada peringkat awal, Mejar Mohd Faiz Abdul Jalil telah dicadangkan untuk dikenakan dengan empat pertuduhan oleh pihak pendakwa.

"Namun demikian, beliau kini hanya dipertuduhkan atas satu kesalahan iaitu pemilikan senjata atau bahan letupan oleh seorang bukan pendatang," kata TUDM.

TUDM berkata Mohd Faiz ditahan di Lapangan Terbang San Angelo Texas, Amerika Syarikat pada 16 April lalu telah dipindahkan dari penjara Taylor Country ke penjara Lubbock Country pada 21 April.

Manakala laporan portal berita tempatan Texas Bigcountryhomepage.com melaporkan Mohd Faiz ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup senjata api ke dalam penerbangan itu.

Beliau dilaporkan dalam perjalanan untuk menaiki satu lagi penerbangan pulang ke Kuala Lumpur melalui Dallas.

Pada masa yang sama, TUDM turut menumpukan perhatian untuk menjaga kebajikan keluarga Mohd Faiz terutama dalam menghadapi situasi sukar tersebut.

Manakala pejabat atase pertahanan Malaysia di Washington mengikuti perkembangan kes itu dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada Kementerian Pertahanan.


Sumber: (http://www.malaysiakini.com/news/260748

Tiada ulasan: