1. Wanita pertama menggunakan nama samaran ‘Dua’. Beliau menjadi anggota Daesh apabila berkahwin dengan seorang militan Daesh di Raqqa, Syria. Beliau menceritakan dipaksa berkahwin dengan militan Daesh berasal dari Arab Saudi oleh keluarganya yang miskin. Militan tersebut menawarkan wang sebanyak RM10,750 (USD$2,500) kepada keluarganya.

Memandangkan keluarganya memerlukan wang dan takut untuk menolak tawaran tersebut, beliau akhirnya terpaksa berkahwin selama enam bulan sebelum militan tersebut terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri.

Apabila berkahwin, Dua menjadi ahli Briged Khansa yang meronda di pasar, terlibat dalam serbuan dan membawa wanita yang menyalahi kod pakaian ke ibu pejabat.

Menurut Dua, wanita yang bersalah ini mulanya diberi amaran dan jika mereka berterusan melakukan kesalahan, mereka akan disebat dengan kabel, sebanyak 20 atau 40 kali sebatan (juga terhadap lelaki yang bertanggungjawab terhadap wanita tersebut). Dua turut menyebat pesalah wanita, walaupun pakaian mereka mempunyai sedikit corak/reka bentuk.

2. Seorang rakan Dua, Umm Asma, boleh ‘bercakap bahasa Inggeris rojak’. Antara tugasnya adalah menerima dan meraikan wanita yang datang dari luar Syria-Iraq. Sebahagian wanita yang diterima oleh Umm Asma adalah dari Jerman, Perancis dan United Kingdom, serta negara-negara lain. Sebagai penterjemah, Umm Asma akan melakukan terjemahan dengan wanita dari negara luar ini sebelum membawa mereka ke ibu pejabat dan memberikan mereka ‘pakaian Islam’.
  • Katanya, kebanyakan wanita asing yang terpedaya ini amat gembira dan teruja ketika mula-mula tiba di Syria, kerana mereka percaya akan berada di sebuah negara Islam yang menjalankan hukum Allah.
“Mereka datang kerana cintakan Daulah Islam dan cintakan agama Islam,” kata Umm Asma. Beliau juga menjelaskan bahawa Daesh menggunakan perekrut wanita untuk mempengaruhi wanita datang ke Syria-Iraq melalui media sosial.
3. Wanita ketiga ditemu bual adalah Umm Ous yang terlibat memberikan latihan kepada ahli Briged Khansa, tetapi fokus terhadap kerja merekrut militan wanita dari negara luar. Wanita Briged Khansa diberikan latihan agama selama 15 hari di masjid atau ibu pejabat sebelum diteruskan dengan latihan menggunakan senjata seperti pistol.
  • Untuk wanita tempatan, mereka diajar cara menggunakan pistol, tetapi untuk wanita asing, mereka diajar menggunakan senjata untuk melakukan serangan.
Menurut ketiga-tiga wanita ini, pada asalnya mereka gembira menjadi sebahagian daripada Daesh sebelum berubah fikiran setelah melihat sendiri keganasan dan kekejaman Daesh.
KEKEJAMAN UNTUK MENGGERUNKAN
Menurut Dua, Daesh akan memancung kepala pesalah, meletakkan kepala-kepala ini atas jalan raya, atau meletakkan badan-badan ini di tempat di mana semua orang boleh lihat, termasuk kanak-kanak.
Sambung Umm Asma, Raqqa semasa bawah penaklukan Daesh adalah seperti dalam cerita seram.
Katanya: “Mayat dibiarkan… mayat digantung di jalan raya, semua orang yang lalu terpaksa melihatnya… ia berbau busuk dan anjing akan datang memakannya… Anda akan melihat kepala-kepala manusia di atas tanah. Ia amat menjijikkan.”
Ketiga-tiga wanita bekas militan Daesh ini yang menyesal kerana menyertai Daesh, kini terpaksa hidup bersembunyi di Turki dan tidak pasti akan nasib mereka pada masa hadapan.
4. Kisah lain adalah tentang Khadijah yang menyertai Daesh dan akhirnya bertindak keluar. Dia adalah seorang wanita Syria berumur 25 tahun, seorang guru sekolah rendah yang pada asalnya mendapat inspirasi dari Revolusi Syria untuk menyertai Daesh.
  • Khadijah terpisah daripada keluarga beberapa kali kerana perang saudara di Syria. Kerana terdesak dan perlu mencari saudara-mara, maka Khadijah mula melayari media sosial Daesh dan seterusnya bertemu dengan perekrut dari Tunisia.
  • Terpengaruh bahawa Daesh merupakan lanjutan kepada Arab Spring dan perekrut berjanji kepada Khadijah bahawa beliau boleh berkahwin jika berpindah ke Raqqa.
  • Terpengaruh dengan sistem kebajikan yang didakwa dilaksanakan oleh Daesh. Akhirnya Khadijah menuju ke Raqqa dan memasuki Briged Khansa.
  • Semasa menjadi anggota Briged Khansa ini, Khadijah melihat sendiri keganasan dan kekejaman Daesh di depan mata. Beliau juga menjadi saksi bagaimana militan Daesh melayan isteri masing-masing dengan kasar dan ganas sehingga terpaksa dihantar ke hospital.
  • Akhirnya beliau mengambil keputusan meninggalkan Daesh apabila Komander Briged Khansa menguruskan perkahwinannya dengan seorang lelaki dari Arab Saudi.
PENGAJARAN
  • Golongan wanita, khususnya golongan mudanya merupakan kelompok yang menyokong dan menyertai Daesh, sama ada dari Asia Barat, Eropah, Amerika Syarikat mahupun Malaysia.
Antara faktor menyebabkan wanita terjebak adalah terpedaya dengan propaganda media Daesh, dipujuk secara halus oleh perekrut Daesh (lelaki dan wanita), tertipu dengan kewujudan ‘Daulah Islam Daesh’ dan sistem pentadbirannya, terpaksa berkahwin dengan militan Daesh serta faktor persekitaran.
  • Ibu-bapa, adik-beradik dan saudara-mara perlu bertanggungjawab memastikan wanita dalam keluarga mereka tidak menyokong dan terjebak dengan Daesh dengan diberikan maklumat dan ilmu yang betul.
  • Kekasaran dan keganasan Daesh terhadap golongan wanita menyebabkan Islam sebagai agama kasih sayang disalah anggap, ditakuti dan dimusuhi oleh bukan Islam.