بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
﷽
Ada 10 manusia yang dijamin Allah dalam al-Quran masuk neraka. Hal ini diceritakan ulang agar kita, hati hati jangan meniru perangai mereka iaitu;1. abu lahab
2. istri abu lahab
3. qobil anak Nabi Adam
4. kan'an anak Nabi Nuh
5. azar ayahanda Nabi Ibrahim
6. fir'aun
7. qarun,
8. hamman
9. manruj
10. isteri Nabi Luth
Dari Ali R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "DOA ADALAH SENJATA BAGI ORANG-ORANG MUKMIN, TIANG BAGI AGAMA DAN NUR BAGI LANGIT DAN BUMI" (Hadis Riwayat Hakeem)
Pesanan terkenal Khalifah Umar al-Khattab kepada salah seorang gabenor wilayahnya yang berbunyi: “Janganlah kamu berjanji yang bukan-bukan ketika sedang berasa terlalu gembira dan janganlah pula kamu menghukum yang bukan-bukan juga ketika sedang berasa amat marah.”
8 Sumbangan Abu Bakar As-Siddiq Sebagai Khalifah Pertama Umat Islam
OLEH RABIATUL ADAWEEYAH, PADA 24 JUN 2017
Saidina Abu Bakar as-Siddiq merupakan khalifah pertama umat Islam selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.
Ketika permulaan pemerintahannya, keadaan umat Islam agak terumbang-ambing lantaran Rasulullah s.a.w yang baru sahaja wafat. Namun pelbagai ujian dan cabaran tersebut berjaya ditangani oleh Abu Bakar dengan cemerlang.
Walaupun Saidina Abu Bakar hanya memerintah selama dua tahun sahaja, iaitu bermula pada tahun ke-11H sehingga 13H (632-634M), tetapi dalam tempoh yang singkat itu banyak sumbangan yang telah diberikan terhadap perkembangan Islam sehingga digelar sebagai ‘penyelamat umat Islam’.
Antara sumbangan semasa kekhalifahannya ialah;
#1 – Meneruskan Dakwah Islam
Dari awal menerima Islam lagi, Abu Bakar as-Siddiq sudah memulakan usaha dakwahnya. Beliau sering mengajak para sahabatnya untuk mengenali dan menerima Islam dengan menunjukkan sikap dan pekerti yang baik.
Saidina Abu Bakar telah berjaya menarik ramai antara teman akrabnya menerima Islam melaluinya seperti Zubair bin Awwam, Usman bin Affan, Saad bin Abi Waqqas, Abdurahman bin Auf dan Talhah bin Ubaidah.
#2 – Memerangi Golongan Murtad Dan Nabi Palsu
Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, ramai dalam kalangan umat Islam kembali menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka.
Mereka berpendapat perintah Islam hanya dilakukan semasa Rasulullah masih hidup sahaja dan apabila Baginda sudah tiada maka tidak perlu mengikut ajaran Islam lagi.
Golongan ini juga telah menyalahtafsirkan ayat al-Quran sehinggakan enggan membayar zakat dan ada juga yang mengakui sebagai nabi dan rasul, selain murtad.
Lalu, bagi menangani masalah dan mengelak daripada terus menular, Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan ar-Riddah ini.
Antara orang yang mengaku menjadi nabi dan mempunyai ramai pengikut ialah Musailamah al-Kazzab, yang akhirnya berjaya ditumpaskan oleh Khalid al-Walid dalam suatu pertempuran.
#3 – Membahagikan Wilayah Pentadbiran
Khalifah Abu Bakar berusaha melicinkan pentadbiran kerajaan Islam dengan membahagikan Tanah Arab kepada 10 wilayah iaitu Mekah, Taif, al-Jund, Khalwan, Yaman,Bahrin, Jarsh, Hadhramaut, Zabid dan Nijran.
Dalam dasar pemerintahannya lagi, beliau melantik seorang amir atau ketua bagi mentadbir setiap wilayah yang dipecahkan itu, namun kuasa utama masih di tangan khalifah.
Pembahagian wilayah ini memudahkan pentadbiran agar lebih bersistem serta senang diselenggara.
#4 – Membebaskan Diri Dari Cengkaman Rom Dan Parsi
Khalifah Abu Bakar juga berjaya mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar. Beliau juga berjaya membebaskan negeri-negeri yang berada di bawah cengkaman Rom dan Parsi.
Ketika itu, pasukan tentera Islam diketuai panglima Khalid bin al-Walid yang juga berjaya mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar seperti Parsi di sebelah Timur, serta serangan Byzantine (Rom Timur) di sebelah Barat.
#5 – Memerangi Pasukan Rom
Sebaik saja menjadi khalifah, Abu Bakar as-Siddiq mengerahkan pasukan Islam meneruskan perjalanan menggempur barisan tentera Rom di sempadan Utara.
Arahan ini telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w sebelum kewafatan Baginda di bawah pimpinan Usamah bin Zaid.
#6 – Perluasan Kerajaan di Wilayah Utara
Dalam usaha menyebarkan dakwah serta meluaskan kerajaan Islam, Saidina Abu Bakar menghantar pasukan Muslimin memerangi Byzantine (Rom Timur) dan empayar Parsi.
Khalid al-Walid sebagai ketua penglima ketika itu telah berjaya menawan Iraq hanya dalam satu kempen ketenteraan; pasukan Islam dapat menguasai wilayah al-Hirah pada tahun 634M.
Dan di bawah pimpinan empat panglima terhandal iaitu Abu Ubaidah ibnul Jarrah, Yazid bin Abi Sufyan, Amr ibnu Ash dan Syurahbil; mereka dikirim untuk menjalankan penawanan ke atas Syria.
#7 – Memperkenalkan Sistem Gaji Kepada Tentera
Saidina Abu Bakar as-Siddiq juga memperkenalkan bayaran gaji kepada golongan tentera Islam. Gaji para tentera dibayar melalui harta rampasan perang atau ghanimah.
Selain itu, Khalifah juga mewujudkan undang-undang tanah seperti bayaran cukai al-Kharaj (cukai tanah) dan Jizyah (cukai perlindungan) bagi orang kafir.
Pada masa ini, diberikan juga perlindungan kepada golongan Mawali iaitu orang bukan Arab yang memeluk Islam. Mereka turut diberikan keistimewaan seperti kaum Arab Muslim, tetapi dikenakan cukai tambahan.
#8 – Pengumpulan Mushaf Al-Quran Dan Hadis
Khalifah Abu Bakar as-Siddiq juga mengarahkan Zaid bin Thabit agar mengumpul dan menyusun semua naskah al-Quran yang selama ini ditulis di atas kulit binatang, batu dan sebagainya untuk disalin semula.
Ini kerana selepas peperangan melawan golongan murtad, ramai penghafaz al-Quran yang terbunuh.
Salinan tersebut telah disimpan oleh beliau sendiri dan diamanahkan kepada Saidina Umar bin al-Khattab, Saidatina Hafsah (isteri kepada Nabi Muhammad s.a.w) dan Saidina Uthman bin Affan.
Khalifah juga membukukan hadis Rasullullah sebagai panduan umat Islam, bertepatan dengan situasi kemunculan ramai nabi palsu yang mengelirukan masyarakat ketika itu.
Walaupun hanya memerintah selama dua tahun, jasa dan sumbangan Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai pemimpin pertama umat Islam sangat besar.
Menerima jawatan sebagai khalifah Islam sebaik kewafatan Rasululullah s.a.w saja adalah satu sumbangan yang tidak ternilai dan tiada galang gantinya.
Bahkan kebanyakan tindakan semasa pentadbirannya sangat penting demi kebaikan umat dahulu sehingga hari ini.
Contoh terbaik adalah pengumpulan naskah al-Quran dan membukukan himpunan hadis Rasulullah s.a.w. Semoga kita sebagai umat Islam tidak sesekali lupa dan sentiasa menghargai segala jasa dan sumbangan beliau terhadap agama murni ni.
Rujukan:1. (laman web) Cikgustpm.blogspot.my
2. Mahayudin Hj. Yahya. (2014) Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, Shah Alam: Oxford Fajar.
3. Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, (2014). Teks STPM Pra U Sejarah Islam Penggal 2, Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd: Bandar Baru Bangi).
4. Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad Wan Sulong,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, Pearson Malaysia Sdn. Bhd: Kuala Lumpur.
5. Al-Kandahlawy, Muhammad Yusof (1984). Kehidupan Para Sahabat Rasulullah SAW, Show Towers, Singapura : Pustaka Nasional PTE LTD Singapura
KONGSIKAN ARTIKEL INI
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah ramai yang akan mendapat manafaat.
Sumber:https://tazkirah.net/8-sumbangan-abu-bakar-as-siddiq-sebagai-khalifah-pertama-umat-islam/
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan