Selasa, 19 Disember 2017

6726. Islam dan Falsafahnya dalam Kebudayaan Melayu.

ﺑِﺴْــــــــــــــــﻢِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺍﻟﺮَّﺣْﻤَﻦِ ﺍﻟﺮَّﺣِﻴْـــﻢ
“Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.” (QS. Al 'Imran 3:185) 
ISLAM DAN FALSAFAHNYA DALAM KEBUDAYAAN MELAYU (Islam and Its Philosophy in Malay Culture) 
IDRIS ZAKARIA Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

ABSTRAK Artikel ini mengupas falsafah pemikiran Islam yang menjadi asas kepada pembentukan kebudayaan dan kesenian Melayu. Aspek-aspek falsafah pemikiran Islam yang menjadi asas pembentukan kebudayaan dan kesenian Melayu adalah: (a) faham akidah; (b) rasional dalam Islam; (c) toleransi dalam Islam; (d) ukhuwwah; (e) pandangan sejagat Islam; (f) fahaman Ahli-Sunnah Waljamaah; (g) ciri-ciri kedamaian; dan (h) kesenian Islam. Falsafah pemikiran Islam kini sedang menghadapi cabaran besar yang berkemungkinan menghakis asasasas pembentukan kebudayaan dan kesenian Melayu serta akhirnya jati diri Melayu sendiri. Justeru, orang Melayu mempunyai tanggungjawab besar untuk mendaulatkan Islam yang menyediakan asas kepada pembentukan kebudayaan dan kesenian Melayu serta di akhirnya jati diri orang Melayu.

PENGENALAN. 

Tajuk Islam dalam kebudayaan Melayu ini adalah antara tajuk yang sangat fundamental dan ia telah ditulis atau dibahas oleh ramai sarjana Nusantara dan pengkaji-pengkaji Melayu Nusantara. Antaranya ialah Sayyid Muhammad Naquib Alatas (1972), John Bousfield (1983), Vladimir Braginsky (1993), Ismail Hussein (1995), A.H. John (1985), Mohd Taib Othman (1980), Sidek Fadzil (1999), Mohd.Uthman El-Muhammady (1977), Abdul Aziz Deraman (1992), Hamdan Hassan (1980) dan Ismail Hamid (1986). Telah banyak sudut dibahas berkaitan dengan peradaban atau kebudayaan Melayu ini, malah mengiktiraf bahawa Islam adalah unsur penting yang membentuk pola budaya masyarakat Melayu ini. Ini bermakna kepercayaan-kepercayaan lain seperti Hindu, Buddha, faham Confucius dan Kristian bukan asas penting peradaban berkenaan walaupun dari segi rekod sejarahnya Hindu dan Buddha telah mendahului Islam dari segi pertapakan di daerah ini.

Hampir 800 tahun Hindu-Buddha mempengaruhi minda orang Melayu dan dalam jangka masa itu, kerangka berfikir orang Melayu dibelenggu oleh corak berfikir yang bersifat khayalan dan mitos yang tidak memberi kefahaman akan pentingnya aspek-aspek rasionalisme dan intelektualisme. Selain dari kekurangan tersebut, ajaran-ajaran Hindu-Buddha tidak memberi perubahan terhadap sistem nilai masyarakat apalagi falsafah dan metafizik. Rakyat dipisah-pisahkan dengan sistem kasta dan pelbagai ciri-ciri perbezaan kemanusiaan. Rakyat bawahan terputus hubungan dengan kaum-kaum yang dianggap tinggi. Sistem feudal tambah memberatkan lagi kehidupan rakyat. Ajaran-ajaran agama pula banyak berlegar di kalangan kraton dan istana, tidak turun kepada petani-petani di kampung. Ajarannya pula bersifat mitos dan khayalan. Apabila Islam datang, berlakulah transformasi besar-besaran yang melibatkan perubahan falsafah hidup, pemikiran dan jiwa orang-orang Melayu di Alam Melayu.

ISLAM DAN FALSAFAHNYA DALAM KEBUDAYAAN MELAYU.  

Faktor dominan yang menyerap dalam sendi-sendi Kebudayaan Melayu atau Kebangsaan itu ialah Islam berbanding dengan lain-lain unsur agama dan ciriciri kepercayaan. Mengapa terjadi demikian? Apakah kekuatan-kekuatan yang membolehkannya mengalahkan yang lain? Mengapa Melayu dan lain-lain etnik di Nusantara ini senang menghayatinya dan membiarkannya membentuk pola budaya mereka? Sudah tentu ada kekuatan-kekuatan yang konsisten hingga berjaya diterima dan dinobatkan sebagai norma penting dalam Kebudayaan Kebangsaan negara Malaysia. Berikut dijelaskan secara ringkas beberapa dasar, sifat dan watak agama ini sehingga ia berjaya menjadi jiwa Kebudayaan Kebangsaan Malaysia:

Faham Akidah Yang Mudah Diterima Akal. Kebudayaan dan kesenian menyangkut berbagai-bagai bidang hidup dan setiap bidang itu mempunyai pertalian antara satu sama lain. Yang menjadi pokok seni dan budaya itu ialah akidah atau menjunjung ke Esaan Tuhan dan membenarkan kerasulan Muhammad s.a.w. Ajaran pokok ini menjadi teras budaya dan seni Islam. Ketiadaan teras ini, menjadikan aspek yang lain tidak bermakna. Mana Sikana dalam bukunya Falsafah dan Seni Kreatif Melayu (1966) menukilkan persoalan agama menjadi titik-tolak, penentu dan peletak dasar seni dan budaya dalam Islam. Ini tidak menghairankan justeru dalam falsafah Islam, Tuhan adalah penentu segala perkara (Allah is the measure of all things) berbeza dengan tradisi dan falsafah sekular Barat dan bukan Barat yang lain di mana manusialah penentu segala perkara (man is the measure of all things). Apabila titik berangkatnya sudah berbeza maka sudah tentulah perbezaan itu mempengaruhi seluruh spektrum kehidupan secara umum dan seni serta budaya secara khusus (Mana Sikana 1966).

Jelasnya, Islam mempunyai falsafahnya sendiri tentang kesenian dan kebudayaan. Perkara pokok dalam hal ini ialah persoalan akidah, tanpa mengenepikan peranan akhlak dan syariat dalam penghasilan kesenian dan kebudayaan. Walaupun keindahan dan kecantikan diterima sebagai suatu kesukaan semulajadi manusia, tetapi ‘kebenaran’ adalah dasar. Ini bermakna kesenian Islam merangkumi bersama nilai-nilai indah (al-Jamal) dengan kebenaran (al-Haqq). Para seniman termasuk artis (dalam pengertian yang luas) adalah orang-orang yang semestinya mendukung falsafah di atas. Seni yang diperjuangkan pula adalah kerana Allah untuk manusia bukan seni untuk seni. Falsafah seni untuk seni tidak banyak membawa faedah kepada manusia, apalagi kepada agama!

Walaupun Islam menjunjung nilai-nilai ‘indah’ tetapi ia tidak boleh disamakan dengan tradisi lain khasnya Barat. Fahaman tentang ‘indah’ dan juga ‘baik’ berbeza dasarnya dengan Barat. Sekali lintas kata Shahnon Ahmad, pengertian ‘indah’ dan ‘baik’ ini sama dasar yang umumnya dipegang oleh Barat, iaitu sebuah karya seni perlu beautiful dan beneficial, tetapi yang sebenarnya pengertian Barat ini jauh berbeza kalau dibandingkan dengan pengertian ‘indah’ dan ‘baik’ dalam Islam. ‘Indah’ dalam Islam adalah salah satu zat Allah bukan hanya indah dalam cara atau teknik tetapi indah dalam Kebenaran Hakiki. Allah adalah benar dan Kebenaran Hakiki itulah indah bukan hanya cara atau teknik penyampaian Kebenaran hakiki itu yang indah. Begitu juga dengan pengertian ‘baik’, baik pada Islam ialah nilai-nilai yang telah ditetapkan oleh Allah, iaitu Kebenaran Hakiki; berbeza dengan ‘baik’ atau beneficial di Barat yang ditetapkan oleh manusia (1981).

Shahnon membandingkan lagi dengan pengertian indah dalam fahaman sekular. Menurutnya, konsep ‘indah’ sebagai salah satu zat Allah jelas berbeza dengan konsep ‘indah’ sekular. ‘Indah’ pada sekularis adalah indah demi untuk  keindahan, indah pada teknik yang hanya membekalkan indera-indera dengan apa yang dikatakan pleasure. Oleh itu, dalam sastera Barat, keindahan hanya diperkaitkan dengan estetika. Ini dicapainya menerusi kekuatan daya kreatif dan daya imaginasi dengan penciptaan bentuk-bentuk yang unik. Berdasarkan freedom of expression seluruh kebebasan diberi untuk mengolah bentuk-bentuk ini. Dari sinilah timbul dan berkembangnya konsep Seni untuk Seni yang beliau anggap bercanggah dengan Islam kerana seni di sini semata-mata untuk mengisi ruang tanpa rasa memperhitungkan Kebenaran Hakiki tadi (Shahnon Ahmad 1981).

Fungsi Rasionalisme Islam. Dalam menelusuri pelbagai kekuatan yang ada dalam Islam itu, Syed Muhammad Naquib (1972) lebih selesa menekankan tentang jasa besar Islam menggerakkan daya rasional dan intelek manusia MelayuIndonesia. Perkara ini ditonjolkan justeru umat Melayu buat pertama kalinya dibawa dalam arus intelek dan rasional yang sebelum itu tidak ditekankan. Jasa ini menurut Syed Muhammad Naquib (1972) membawa manusia MelayuIndonesia pelbagai peringkat ke zaman baru yang lebih maju dan berjaya.

Inilah menurut Syed Muhammad Naquib (1972) yang amat bermakna kepada manusia Melayu-Indonesia dan bukan sejarah lain yang lebih tua dan kuno. Syed Muhammad Naquib (1972) telah menggunakan istilah zaman baru yang bermakna Islam telah memberikan wajah dan inspirasi baru terhadap kehidupan dan kebudayaan Melayu. Abad keenam belas dan ketujuh belas menurut beliau adalah tempoh waktu subur dalam penulisan-penulisan sastera dan falsafah, metafizik dan teologi, lahir tokoh-tokoh ternama menulis atau menyalin bahan dari Timur Tengah dalam bidang-bidang di atas. Malah kitab suci Al-Qur’an telah diterjemahkan dan disyarah berdasarkan al-Baydawi. Bidang tasawwuf menjadi begitu popular dan banyak hasil tulisan atau salinan dibuat pada masa ini. Justeru, bagi Syed Muhammad Naquib (1972) zaman itulah yang boleh disifatkan sebagai zaman pembangunan rasionalisme dan intelektualisme yang tidak pernah berlaku di zaman sebelum kedatangan Islam di Asia Tenggara.

Alam Melayu dilanda pengaruh persuratan yang meluas. Dari segi penulisan, alam Melayu ini telah menyaksikan lahirnya karya-karya besar, baik di Champa, Sumatera, Jawa mahupun Sulawesi. Di Champa misalnya, sebanyak 1350 buah buku tentang pemikiran dan penulisan falsafah agama telah dilahirkan sejak abad kelima. Salah seorang yang terkenal ialah Jaya Inderawarman VI. Di Seriwijaya ada tokoh pemikir dan guru Dharmapala dan Syakyakirti. Di Jawa ada penulis terkenal seperti Empu Kanwa, Empu Dharmaja, Empu Tantalur dan Empu Parapanca yang telah menghasilkan buku Nagarakartagama. Di Sunda ada Hikayat Perahyangan dan di Sulawesi ada buku I La Galigo yang merupakan karya besar rumpun Melayu yang tidak kalah dengan cerita Ramayana dan Mahabaratha di India. Di Malaysia ada tokoh Tun Sri Lanang yang telah menghasilkan buku Sejarah Melayu, di samping itu telah lahir pula Hikayat Hang Tuah (Ismail Hussein et al. 1995).

Bidang kesusasteraan turut menambah lagi kecemerlangan tamadun Melayu dahulu. Dengan sifat kreativiti yang tinggi, orang Melayu menyaksikan kemunculan hikayat-hikayat yang membawa mesej Islam melalui penceritaan tokoh atau peristiwa-peristiwa seperti Hikayat-Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan Berbelah, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Mi’raj, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Iskandar Dzulkarnain, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Hanafiah, Hikayat Nabi Sulaiman dan Hikayat Amir Ibn Umayah yang berkiblat Islam dan Timur Tengah.

Terdapat juga karya-karya yang bersifat Nusantara seperti Hikayat Raja Pasar, Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Melayu, Hikayat Panji Kuda Semirang, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Pelanduk Jenaka, Hikayat Shah Kobat, Hikayat Hang Tuah dan lain-lain lagi. Kejayaan orang Melayu terserlah setelah Islam datang dan kejayaan ini dapat dilihat di Pasai (1250-1524), Melaka (1400-1511), Johor (1511-1779), Acheh (1500-1900), Palembang (1650-1824), Riau (1779-1911) dan beberapa tempat lagi (Teuku Iskandar 1995).

Tentu sekali kita tidak dapat melupakan sumbangan ulama’ dan penulispenulis agama dalam perbincangan tentang tamadun Melayu ini. Pada zaman Islam itu, alam Melayu menyaksikan kelahiran tokoh-tokoh ternama seperti Syed Hussain Jamaluddin al-Qubra, Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Sumaterani, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Sinkel, Syeikh Yusuf al-Makasari, Syeikh Daud al-Fatani, Haji Wan Ahmad bin Muhamad Zain bin Mustafa al-Patani, Abdul Samad al-Palembani, Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi, Syeikh Muhamad Arsyad al-Banjari, Syed Abdul Kadir Kedah, Syeikh Abdul Malik Tuk Pulau Manis, Terengganu, Haji Abdul Samad bin Muhamad Salleh al-Kelantani (Tuan Tabal), Muhamad Yusuf bin Ahmad al-Kenali (Tuk Kenali), Syeikh Muhamad Idris Abdul Rauf al-Marbawi dan lain-lain lagi. Ramai lagi kalau ditinjau di Jawa, Indonesia. Pengumpulan dan syarahan terhadap warisan gemilang agama ini telah dilakukan oleh Allahyarham Tuan Haji Ahmad Saghir Abdullah.

Watak Damai dan Toleransi. Kedalaman citra ketibaan Islam tersebut dalam memaut hati-nurani bangsa Melayu di Nusantara ditunjukkan oleh kesenian dan kebudayaan bangsa Nusantara ini. Apakah citra tersebut? Azyumardi Azra (1999) seorang sarjana sejarah dan pemikiran Islam Indonesia kontemporari dalam bukunya Renaissance Islam Asia Tenggara menyebut:

Salah satu sumber optimisme kalangan pengamat luar tentang Kebangkitan Islam di Asia Tenggara pada umumnya didasarkan pada pengamatan mereka tentang watak atau karakteristik Islam di kawasan ini. Mereka melihat Islam di Asia Tenggara mempunyai watak atau karakteristik yang khas, yang berbeza dengan watak Islam di kawasan lain. Khususnya di Timur Tengah. Karakteristik terpenting di Asia Tenggara itu, misalnya watak yang lebih damai, ramah dan toleran.

Menurut kajian Azyumardi Azra (1999), ada juga kalangan orientalis yang mengakui hakikat wujudnya damai dan toleransi ini. Di antaranya ialah Thomas W. Arnold dalam bukunya The Preaching of Islam (1950) yang berpendapat penyebaran Islam di Asia Tenggara lebih “lunak” lebih “jinak” atau bahkan sangat akomodatif vis a vis kepercayaan, praktik keagamaan dan tradisi lokal. Sebab itulah, Islam di Asia Tenggara dipandang oleh sebahagian pengamat Barat sebagai bersifat “sinkretik”, tidak murni dan kerana itu, “lebih jelek” atau “kurang murni” dibandingkan Islam di wilayah-wilayah lain, khususnya di Timur Tengah (Thomas W. Arnold 1999).

Menyentuh tentang sikap toleransi pula, orang-orang Melayu (Islam) di Malaysia contohnya dari awal lagi telah mengamalkan sikap toleransi tersebut. Pembentukan Perlembagaan Negara Malaysia 1957 membuktikan telah wujud hakikat tolak ansur dan persefahaman antara kaum yang menjadi landasan kepada pembentukan sebuah negara yang bersatu-padu. Syarat-syarat yang longgar mengenai kerakyatan telah diberi kepada orang-orang bukan Melayu iaitu Cina dan India dan orang-orang Melayu pula telah mendapat kedudukan istimewa mengikut Perlembagaan sejajar dengan hakikat mereka adalah tuan negara ini. Dengan itu wujudlah apa yang dikatakan perjanjian murni antara Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang mewakili orang-orang Melayu, di satu pihak dengan Malaysian Chinese Association (MCA, Cina) dan Malaysian Indian Congres (MIC, India) yang mewakili orang-orang bukan Melayu di satu pihak yang lain. Tolak ansur dan kelonggaran dalam soal pemberian kerakyatan tersebut merupakan suatu keuntungan yang besar kepada orang-orang bukan Melayu kerana dalam tempoh setahun selepas negara merdeka 31 Ogos 1957 seramai kira-kira 800,000 orang bukan Melayu telah diterima menjadi warganegara, walhal mereka tidak tahu dan tidak fasih berbahasa Melayu dan adat budaya Melayu.

Deklarasi Hidup Bersaudara. Teks Sejarah Melayu iaitu suatu teks tentang bangsa Melayu menggambarkan Melaka adalah sebuah negeri perdagangan dan sebuah pelabuhan entrepot yang terkemuka di dunia. Inilah punca utama ekonomi bagi Melaka. Melaka menjadi pusat tumpuan saudagar dan pedagangpedagang asing termasuk dari Timur Tengah (Shellabear 1977).

Tergambar dengan jelas di sini kekuatan Islam dalam konteks solidariti sosial. Semua orang bersaudara (al-Hujurat, 49:10), “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” Semua bangsa dari serata negara telah berhimpun dan berniaga di Melaka. Solidariti sosial itu menjadi pemangkin kemajuan Melaka.

Mohd. Yusof Hashim (1992) dalam The Malay Sultanate of Malacca ada menyatakan:

If has often been remarked that the Islam made a great cultural and intellectual impact on the indigenous population who became Muslim. Basically, the concept that All Muslim are brothers became the principle for the solidarity of Muslim society whether its members were local Muslims or Muslims from Arabia, Persia and Southern India.

Keadaan aman yang sama juga berlaku di kawasan-kawasan lain di Asia Tenggara. Para pedagang boleh berurus niaga dengan tenang. Tidak ada peperangan. Bangsa Barat sahaja yang menjadi bangsa yang memperkenalkan “budaya jahat” di Nusantara ini. Deklarasi hidup bersaudara ini berjaya menyumbang kepada suasana damai di rantau ini. Bangsa Arab juga faham hal ini, namun latar sejarah, mazhab dan amalan agama yang berlainan serta perbezaan kepentingan menjadikan mereka kelihatan gagal mempraktikkan deklarasi samawi ini. Maka tidak hairanlah mereka kalah berdepan dengan negara kecil Israel, atau bertelagah sesama mereka akibat berlainan mazhab.

World-View Kehidupan Dunia dan Tuntutan Spiritual. Satu lagi faham Islam yang berjaya memikat hati nurani bangsa Melayu ialah falsafah hidupnya yang menekankan hubungan intim dunia-akhirat. Faham Animisme mengarah manusia Melayu membentuk hubungan dengan fenomena alam hingga mereka sendiri tertakluk di dalamnya. Fahaman ini tidak memiliki sebarang kekuatan moral dan intelek. Pengaruh Hindu-Buddha pula membawa manusia Melayu kepada pengaruh kerohanian dan nilai-nilai akhlak yang mengandungi unsur-unsur ritualistik melampau dan tidak memberi panduan yang cukup bagi menguasai dunia praktikal. Kedua-dua fahaman dan kepercayaan ini kemudiannya kalah apabila berhadapan dengan peradaban Islam yang lebih komprehensif mengadun sekali gus tuntutan agama dan keduniaan. Inilah yang membentuk kekuatan justeru keserasiannya dengan kehendak asli manusia. Dalam perspektif Islam, tuntutan hidup duniawi dan ukhrawi tercantum satu dan sepadu. Di sini manusia Melayu mendapat paradigma baru berbanding dengan tradisi sebelumnya.

Al-Quran meletakkan dasar cantuman hidup duniawi dan ukhrawi ini: “Apabila selesai sembahyang (Jumaat) maka bertebaranlah kamu di bumi dan carilah dari keutamaan Allah (yakni carilah harta untuk keperluan hidup)” (alJumu’ah:10) dan “Dan tuntutlah atau carilah apa-apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan akhirat) dan janganlah kamu lupakan nasibmu di dunia ini...” (al-Qasas:77).

Dasar kehidupan ‘dua-dunia’ tidak terpisah ini telah diamalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat baginda, seterusnya dituruti oleh pemimpin-pemimpin dan umat Islam yang memahami falsafah ini. Dan inilah citra Islami yang dengan mudah diterima oleh bangsa Melayu di Nusantara ini. Justeru itulah sebenarnya tuntutan fitrah semulajadi manusia. Manusia Melayu senang dengan adanya ajaran berkepentingan dua dunia ini yang perlu difahami ialah tradisi ilmu ini telah dapat mendamaikan fikiran masyarakat. Dalam hal mengatur dan menguruskan kehidupan umat Melayu di Nusantara ini, mazhab syafi’i menyusun kerangka hubungan manusia-manusia, manusia-Tuhan dan manusia-alam. Fiqh al-Syafi’i berorientasikan ilmu telah berjaya meletak dasar dan menentukan ciri-ciri budaya, falsafah dan Tamadun Melayu Islam di rantau ini. Hukum-hukum Islam telah dijalankan di Melaka, Kedah, Aceh dan lain-lain daerah atau negeri tanpa ada pertelingkahan hingga membawa kepada pembunuhan atas nama mazhab seperti yang sering terjadi di beberapa buah negara Islam di Timur Tengah termasuk juga Pakistan hingga ke hari ini.

Fahaman Ahli-Sunnah Waljamaah. Satu lagi faktor pemangkin kepada keamanan di rantau ini ialah pendekatan faham sunni yang bersifat sederhana. Walaupun ada pengaruh-pengaruh Saidina Ali dan Syiah seperti yang tergambar dalam beberapa hasil persuratan Melayu pada peringkat awal sejarah Islam di rantau Melayu seperti hikayat tentang Saidina Ali, Fatimah dan keturunannya dengan pelbagai unsur kehebatannya, kitab-kitab agama ulamak Melayu dahulu seperti Badrut Tamam Wan Nujumus Sawaqib, Haqiqatul-Azhar Wa Rayahin, al-Fatawa al-Fataniyah oleh Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani, Nasihat Ahlil Wafa ‘ala Wasiyatil Mustafa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Kasyful Ghummah, Warduz Zawahir, Fathul Manan, Jam’u al-Fawaid, Furu’ al-Masail oleh Syeikh Daud bin Abdullah alFatani, Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Muhd Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Acheh), Fathul Makkah dan Nurul Anwar oleh Syeikh Uthman bin Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak) (Haji Wan Muhammad Shaghir Abdullah 1996). Namun apabila aliran fikiran sunni menapak, maka pengaruh Syiah semakin malap dan tinggal menjadi warisan persuratan. Muhammad Uthman el-Muhammady (1997) menekankan bahawa dengan berlakunya proses Islamisasi di rantau ini, maka timbullah Tamadun Islam Sunni dengan ciri-cirinya yang jelas. Manifestasi kelainan-kelainan dalam kepercayaan dan amalan serta kebiasaan kehidupan dalam rantau ini memang ada, namun begitu kehidupan dan kaedah amalan serta nilai-nilai adalah daripada Islam Sunni. Kelainan yang ada adalah aspek-aspek pinggiran dalam budaya Melayu yang perlu diperbetulkan secara bijaksana dan berhikmah sesuai dengan perkembangan Islam yang berlaku dalam rantau Melayu ini.

Tasawwuf dan Kedamaian. Dalam soal di mana bermulanya sifat damai dan toleransi itu, sarjana sastera Melayu dari Rusia Vladimir I Braginsky (1993) yang pernah menjadi guru besar sastera Melayu di Universiti Negeri Lomonosov di Moskaw, dalam pendahuluan bukunya Tasawwuf dan Sastera Melayu berpendapat bahawa mubaligh-mubaligh sufi dengan tabiat sufi itu telah berjaya mengembangkan Islam di Nusantara ini.

Peranan para sufi sangatlah besar dalam hal Islamisasi ini. Pengembara-pengembara sufi sejak akhir abad ke 12 lagi telah semakin ramai berada di Nusantara. Mereka berjaya mengislamkan ramai orang Melayu Nusantara dengan mengambil pendekatan sosial yang harmoni iaitu menekankan kesesuaian
Islam dengan keadaan masyarakat setempat. Banyak tariqat berkembang di seluruh Nusantara.

Walaupun tariqat yang masih kekal menurut Abu Hassan Sham (1980) hanyalah 12 jenis sahaja, tetapi perkara yang penting disebutkan ialah kesan tindakan mereka itu yang bersifat damai, toleransi dan harmoni, bukan berkonfrantasi yang berhubungan dengan kekuatan militer. Di Nusantara
Islam tidak pernah berkembang dengan cara agresif. Inilah satu senario damai di Nusantara yang menjadi kekuatan menarik bangsa Melayu menganut dan mengamalkan Islam.

Mengapakah Fahaman Sunni dianggap damai dan sederhana sementara aliran syiah dan lain-lain didakwa ekstrem? Fahaman Sunni lebih sederhana dan halus perbicaraannya sementara Syiah lebih radikal justeru ada norma-norma politik di dalamnya. Contoh yang boleh ditunjukkan di sini ialah sikap mereka terhadap para sahabat Rasulullah saw yang disifatkan sebagai murtad. Semua
sahabat Rasulullah saw adalah perosak agama. Kebenaran hanya ada pada alMiqdad bin al-Aswad, Ammar bin Yasir, Abu Dzar al-Ghaffari dan Salman al-Farisi. Inilah sahaja orang-orang yang boleh dipercayai. Orang lain dari aliran ini boleh diperangi justeru mereka perosak agama. Angin perseteruan ini berpanjangan hingga kini. Syiah sangat radikal dalam mempertahankan doktrin
mereka. Mereka sedia mati syahid (menurut tafsiran mereka) demi menjaga dan mengembangkan ajaran mereka. Aliran ini tidak sesuai dengan tabii damai orang-orang Melayu di rantau ini.

Demikian antara sifat-sifat dan kekuatan dalaman ajaran Islam yang membentuk falsafah dan sendi-sendi kebudayaan dan kesenian bangsa Melayu sehingga bangsa Melayu menjadi bangsa yang mencapai renaissance dengan kedatangan Islam dan bukan kepercayaan lain.

Kesenian Islam. Oleh kerana falsafah Islam serasi dengan kehidupan dan jiwa orang Melayu, nilai-nilai Islam telah diserap dalam kehidupan orang Melayu seperti dalam cara berpakaian dan meraikan tetamu. Penerimaan dan penyerapan itu juga amat jelas dalam bidang-bidang senibina, seni khat, seni
ukir, dan seni teater yang mempunyai falsafah Islam:

i. Senibina

Masjid, surau dan rumah orang Melayu jelas mempamerkan senibina Islam. Reka bentuk bumbung biasanya direka dalam bentuk limasan, yang mana cerminnyabertingkap tiga, atau lima, lebar di bahagian bawah dan menirus ke atas. Masjid Agong Damak di Jawa dan juga Masjid Kampung Laut Kelantan adalah antara contoh terbaik seni bina ini. Bumbung limas itu melambangkan tingkat-tingkat perjalanan kaum sufi iaitu tariqat, haqiqat dan makrifat. Bahagian bawah yang lebar menggambarkan lautan manusia, manakala bahagian atas yang tirus pula mempamerkan tentang matlamat akhir yang dituju dan dituntut oleh umat Islam iaitu keredhaan Tuhan Yang Maha Esa. Bahan binaan adalah dari kayu waktu itu, dan kini dengan simen dan batu-bata, namun unsur-unsur kesenian Islam tetap terpelihara.

Bentuk kubah masjid pula umumnya ditafsir sebagai lambang langit yang melengkungi kehidupan kita, sementara lampu-lampu yang dipasang adalah bintang-bintang di langit dan lantai pula adalah bumi ini sendiri. Ini bermakna seni bina telah digunakan sepenuhnya oleh seniman-seniman dan pereka-pereka Islam Melayu dahulu untuk menggambarkan World-View Islam yang melibatkan
hubungan tiga dimensi iaitu Allah, manusia dan alam ini.

ii. Seni Khat (Kaligrafi)

Orang Melayu di Nusantara ini telah menjadi penggemar malah pewaris seni khat yang indah setelah berlaku penerimaan tulisan Arab atau al-Quran. Tulisan jawi adalah berpunca di sini. Melalui pengembangan agama dan persuratan, seni khat (kaligrafi) turut sama berkembang sejajar dengan seni bina, seni ukir, sulaman dan tenunan. Terdapat berbagai-bagai bentuk seni khat, antaranya ialah
seni khat rakaah dan nasakh yang begitu popular di kalangan orang-orang Melayu di Nusantara. Pengaruhnya luas, ada juga pengaruh Baghdad, Parsi, Andalus, Istanbul dan sebagainya.

Di alam Melayu pula seni khat mempengaruhi seni batik, batu nisan, keris, rencong dan lain-lain. Dalam perkembangan terkini seni lukis moden, terdapat lukisan yang menggunakan kaligrafi (Nik Hassan Shuhaimi 2000). Seni khat yang tertua di Tanah Melayu tertera ada batu nisan yang ditemui di Terengganu bertarikh 1303 Masihi. Batu bersurat yang ditemui hampir-hampir terbenam di tebing Sungai Tersat, Kuala Berang itu bertarikh 1303M – 702M, dan dipercayai contoh awal penggunaan seni khat dalam Bahasa Melayu. Seni khat Nasakh ini merakamkan ajaran dan hukum Islam serta adat dan sistem pemerintahan di Terengganu ketika itu. Tetapi, ada lagi elemen yang dikatakan lebih awal iaitu penemuan wang dinar di Kubang Laba, Kelantan yang mencatatkan nama pemerintahan Al-Yusus dan Al-Mutawakil bertarikh 1181M – 557H (Nik Hassan Shuhaimi 2000).

Seni khat yang berupa pemaduan ayat-ayat al-Quran dengan motif tumbuh-tumbuhan itu sebenarnya melambangkan paduan dua jenis ayat atau tanda kebesaran Tuhan iaitu ayat Al-Quran yang boleh dibaca dengan ayat Al-Kawn yakni tanda yang wujud di alam ini. Semuanya adalah tanda-tanda kebesaran Tuhan. Biasanya seniman Islam akan memilih ayat-ayat yang bersesuaian dengan mesejnya. Jelasnya, kesenian Islam tidak hanya mengandungi nilai estetik tetapi turut terkandung muatan intelektual yang khas dan mendalam (Sidek Fadzil 1999). Kulit buku-buku agama dihiasi dengan khat yang cantik. Di rumah-rumah orang Islam, seni khat telah menghiasi ruang tamu. Perusahaan penulisan seni kaligrafi ini telah berkembang dalam dunia perniagaan. Terdapat
penjualan-penjualan bahan-bahan seni khat ini di gedung-gedung membeli belah di serata bandar di alam Melayu ini.

iii. Seni Ukir

Seni ukir Islam jelas dapat dilihat pada rumah-rumah orang Melayu di seluruh Nusantara. Kalimah-kalimah seperti Allah, Muhammad dan Bismillah sering menjadi bahan ukiran pada kayu yang diletakkan di pelbagai tempat dalam rumah, masjid dan lain-lain institusi yang ada hubungan dengan agama dan adat budaya setempat. Konsep ukiran teratai umpamanya banyak ditemui dalam ukiran-ukiran pada mimbar masjid. Ukiran ini membuktikan penghayatan Islam orang-orang Melayu sudah dibudayakan dalam seni ukir. Kelopak teratai berkembang yang melambangkan Rukun Islam atau Rukun Iman yang tercantum harmoni dalam satu ikatan tauhid.

Orang Melayu turut merealisasikan citra keislamannya dalam ukiran-ukiran di batu nisan, seni bina wakaf, seni ukir pada perahu, keris dan sebagainya. Namun tidak dinafikan adanya percampuran antara seni Melayu tradisional dengan unsur-unsur ajaran Islam yang dilambangkan dalam ukiran seperti ukiran pada perahu. Terdapat ukiran-ukiran yang berunsur Islam tetapi ada juga adat-adat pemujaan pantai terus diadakan di mana pawang perahu memainkan peranan yang penting. Dalam pemujaan, kepala perahu, biasanya wajah burung bangau akan dikalungi bunga. Bangau lambang kuasa menangkap ikan dan mempunyai hubungan dengan dewa-dewa di laut (Nik Hasan Shuhaimi 2000).

iv. Seni Teater

Wayang kulit mempunyai peranan yang penting dalam penyebaran Islam dan turut memperkayakan kesenian Islam. Contoh yang paling menonjol sekali ialah amalan para wali di Jawa, Indonesia. Sebelum Islam, seni ini didominasi oleh pengaruh Hindu yang sebelum itu menyerap pengaruh animisme, kisah-kisah Ramayana dan Mahabharatta. Pengembang-pengembang Islam telah menggunakan strategi ini untuk tujuan dakwah. Watak-watak yang muncul adalah perlambangan perjalanan iman mencari dan mencapai keinsafan. Layar atau kelir melambangkan langit dan alam semesta, debog melambangkan bumi, sementara blencong pula adalah simbol matahari. Dalang pula menggambarkan bagaimana Tuhan menguasai dan mengendalikan makhluk-makhluknya (Siddiq Fadzil 1999).

Wayang kulit itu memancarkan isi penting daripada ajaran Islam bagi orang-orang yang dapat memahaminya. Contohnya, Lakon Jimat Kalimasada. Perkataan jimat adalah bahasa Jawa yang bermakna ‘azimat’. Adapun kalimasada pula bermaksud kalimah syahadah. Seni ini mengisahkan tentang kekeramatan kalimah syahadat, azimat yang dimiliki oleh keluarga yang baik-baik seperti Pandawa. Pandawa Lima ditafsirkan sebagai Rukun Islam yang lima. Ada juga ditafsirkan sebagai sembahyang lima waktu. Azimat itulah yang cuba dicari dan mahu dicuri oleh Dewa Srani untuk tujuan jahat iaitu menguasai dunia. Jadi cerita dari seni teater ini memberi nasihat dan peranan agar orang-orang Islam memelihara kalimah syahadat yakni agama Islam. Itulah sumber kekuatan mereka. Dewa Srani adalah kaum Nasrani iaitu Kristian barat yang sentiasa berusaha menguasai dunia Islam (Siddiq Fadzil 1999).

Demikian tujuh kekuatan di samping ciri-ciri lain yang ada di dalam diri Islam itu sendiri yang telah terbukti berjaya membentuk pola kebudayaan orang Melayu di Nusantara ini dan di lain-lain daerah. Orang Melayu bagai benar-benar serasi dengan ajaran Islam justeru gambaran keserasiannya itu tergambar kepada kehidupan bukan sahaja orang Melayu di alam Melayu ini, malah orang-orang Melayu di Afrika Selatan, orang-orang Melayu di Australia, di Kemboja dan lain-lain tempat. Hindu-Buddha yang datang lebih awal di daerah ini gagal menyerapi dan menguasai hati budi orang Melayu ini. Islam pergi lebih jauh dari itu iaitu membentuk pola dalaman dan luaran kebudayaan bangsa Melayu.

CABARAN PENGHAKISAN PEGANGAN ISLAM

Islam sepanjang sejarahnya tidak sunyi daripada menghadapi pelbagai bentuk tentangan dan halangan silih berganti sejak dari zaman awal Islam lagi. Rasulullah saw dan para sahabat, tanpa merujuk kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain, sentiasa berhadapan dengan tentangan kaum kafir Quraisy, Yahudi dan lain-lain sepanjang hayatnya.

Ada banyak cabaran yang telah dan sedang dihadapi oleh Islam dan memberi impak kepada kebudayaan bangsa. Penulis ingin tumpukan kepada dua cabaran sahaja di kesempatan ini iaitu (a) Gerakan Liberalisme dan Pluralisme agama (b) Gelombang Globalisasi. Kedua-dua elemen ini berupaya memberi kesan negatif terhadap kehidupan beragama dan kebudayaan bangsa dalam jangka masa panjang.

Mengenai Liberalisme, didapati bersama-sama dengan perkembangan dakwah Islamiyyah yang sahih berkembang juga satu aliran baru yang banyak bercanggah dengan hakikat Islam. Aliran ini ialah Islam Liberal atau faham Pluralisme yang kini giat disebarkan di Indonesia. Aliran ini berasal dari Barat. Dalam wacana akademik peringkat tinggi ia digerakkan oleh para sarjana, tetapi kini turun hingga ke rakyat biasa dan digerakkan sendiri oleh ilmuan-ilmuan pengajian Islam. Fahaman baru ini menganggap semua agama di dunia sama sahaja, sama-sama menyeru kepada kebenaran dan kebenaran itu kepada mereka satu jua, al-Qur’an yang ada pada umat Islam kini dikatakan sebagai tidak asli lagi kerana ayat-ayatnya sudah bercampur-campur antara ayat-ayat Allah SWT dengan kata-kata Rasulullah saw, Saidina Abu Bakar, Omar dan lain-lain, undang-undang rejam, potong tangan dan lain-lain didakwa tidak ada dalam al-Qur’an. Itu semua dibuat oleh orang-orang Arab, perempuan Islam boleh berkahwin dengan lelaki bukan Islam dan demikian sebaliknya, hukum-hukum Islam melanggar hak asasi manusia dan sudah tidak sesuai dengan perkembangan zaman, syurga bukan hanya untuk orang Islam sahaja tetapi terbuka kepada penganut Kristian, Hindu-Buddha, Confucius dan lain-lain, tidak ada monopoli ilmu-ilmu agama, tafsiran Islam itu terbuka sifatnya dan siapa pun boleh mentafsirnya tidak terikat kepada ulamak-ulamak, wahyu masih wujud lagi dan pembahagian harta dalam al-Qur’an perlu dikaji semula dan lain-lain lagi.

Impak negatif muncul dari gerakan ini. Al-Qur’an akan dikritik seperti buku-buku Sastera, boleh dipilih untuk ditaati ataupun tidak. Ulamak-ulamak tersohor tidak perlu dihormati lagi dan empat mazhab besar fiqah bukan lagi rujukan autoritatif. Semua orang boleh mentafsir al-Qur’an. Perkahwinan cacamarba akan berlaku. Umat Islam akan menganut budaya baru iaitu fahaman Liberal. Bentuk fahaman ini sedang disuburkan di banyak tempat di Indonesia dan digerakkan oleh sarjana-sarjana Islam sendiri. Mereka telah dan sedang menggunakan pendekatan-pendekatan ceramah, dialog, penerangan dalam radio, akhbar, seminar, wacana ilmu, tulisan dan lain-lain lagi bagi menyebar fahaman ini. Pengaruh fahaman ini telah mula sampai di Malaysia (Idris Zakaria 2006).

Cabaran kedua ialah globalisasi. Ia adalah satu proses dan fenomena yang bersifat multi-dimensi, meliputi aspek-aspek ekonomi, politik, kemasyarakatan, budaya dan ideologi. Ia tidak boleh dilihat hanya merangkumi dimensi ekonomi, perdagangan dan teknologi semata-mata seperti yang difahami umum. Oleh sebab ia merupakan satu proses, maka ia berfungsi melahirkan satu fenomena sedunia yang muncul hasil daripada cantuman pelbagai proses transnasional dan struktur domestik yang membolehkan ekonomi, politik, budaya dan ideologi sesuatu negara mencerobohi atau menembusi sempadan negara lain. Ia juga melibatkan pemampatan masa dan ruang dalam hubungan sosial serta kemunculan kesedaran secara global tentang pemampatan masa dan ruang tersebut (Abd. Rahman 2000).

Ia juga disifatkan sebagai satu konsep “Order Dunia Baru” yang diyakini dapat menggantikan kelemahan order dunia yang ada. Intipati yang diperjuangkan ialah kecenderungan dunia tanpa sempadan, transparensi dan ketelusan yang membolehkan pelbagai pengaruh luar memasuki sesebuah negara di seluruh dunia tanpa sempadan. Thomas Freidman dalam The Lexus and the Olive Tree (2000) menyebut globalisasi adalah sistem antarabangsa yang membentuk politik tempatan dan hubungan antarabangsa setiap negara. Freidman (2000) mungkin melihat globalisasi ini sebagai sistem gantian selepas tamat perang dingin dan kejatuhan Tembok Berlin. Ia disokong kuat oleh kemajuan teknologi maklumat dan pergerakan perdagangan dunia yang pantas (Idris Zakaria 2005).

Proses globalisasi tajaan negara maju Barat ini sudahpun menguasai dunia. Walaupun ia dikatakan ada membawa kebaikan dan perubahan-perubahan tertentu kepada negara-negara membangun, tetapi sangkaan ini tidak tepat. Ada kesan-kesan negatif yang muncul daripada globalisasi ini yang dapat dirasai oleh negara-negara yang baru hendak membangun termasuklah negara-negara miskin yang majoritinya terdiri daripada negara-negara dunia ketiga termasuk negara-negara Islam yang sememangnya tidak bersedia dalam menghadapi gelombang globalisasi ini (Hassanudded A.Aziz 2004).

Di sini timbul masalahnya. Cuba kita padankan balik makna dan perjuangan kebudayaan kita seperti yang tertera dalam Kongres Kebudayaan Melayu Pertama dahulu iaitu pada tahun 1957. Dalam kongres itu dinyatakan (ASMAD 1982):

Kongres Kebudayaan Melayu yang pertama ini ialah kita mengambil keputusan dan ketetapan dan bergerak pada membaharui kembali kebudayaan kita di atas asas kebudayaan pusaka kita dalam ketika kerakyatan di negara pusaka kita ini sedang mula berubah dengan corak baru. Maka, dalam perubahan ini bangsa Melayu dan kebudayaan Melayu inilah yang mesti dijadikan asas fardu rumpun kebudayaan bangsa kita yang kan bertunas dan hidup subur kembali di antara kebudayaan bangsa-bangsa di dunia kelak.

Maka di sini tergambar masalah yang kita hadapi sekarang. Globalisasi itu tidak mengenali pusaka bangsa tersebut. Gelombang itu juga tidak menghormati adat sopan, tradisi bangsa, agama dan lain-lain malah ia membadai semua agama yang wujud di dunia ini. Sebab itulah tindakan-tindakan yang praktikal perlu dilakukan segera untuk mempertahan dan memperkasakan kebudayaan bangsa.

KEDAULATAN ISLAM DAN PEMERKASAAN BUDAYA: APA TUGAS KITA? 

Sehingga kini, Islam tetap kukuh dan kekal dalam sanubari orang-orang Melayu. Salah satu definisi Melayu itu sendiri adalah bangsa yang beragama Islam, dengan makna orang yang berkulit sawo-matang ini, jika tidak menerima Islam sebagai agama dan keyakinannya, ia tidak lagi dikira Melayu. Justeru, sewaktu Perlembagaan negara disusun, hal ini telah dimuktamadkan dan ia terus kekal dahulu, kini dan selamanya.

Penulis mendapati bahawa beberapa perkara muncul menjadi prioriti dari segi tugas kita sekarang berkaitan dengan kebudayaan ini: (1) Berusaha sedaya mungkin memahami Islam dalam ajaran dan wajahnya yang sebenar berdasarkan etika dan adab ilmu, sambil menghormati para ilmuan Islam tersohor dan berotoriti yang telah membentuk minda, wajah dan budaya dahulu. Adab tertib menuntut ilmu Islam wajib dipatuhi. Al-Quran dan Sunnah Nabawiyah menjadi rujukan-rujukan utama. Kefahaman yang betul dapat menyelamatkan diri keluarga dan masyarakat dari gejala kesesatan, karut-marut, dan idea-idea sesat; (2) Komponen ‘Islam’ dalam Kebudayaan dan Kesenian Kebangsaan perlu terus diperkasakan sambil berinisiatif melahirkan idea-idea baru (berasaskan Islam) dalam bidang ini. Hal ini sangat penting justeru norma-norma budaya kita mempunyai mesej-mesej kehidupan yang baik dan tema-tema yang Islamik di samping beberapa hal tentang perlakuannya yang boleh diubah suai selaras dengan tuntutan Islam itu. Tindakan mengharamkan semua hasil-hasil budaya 

dan kesenian bangsa adalah ekstrem dan tidak relevan. Budaya dan kesenian bangsa Arab pun tidak ditolak oleh Islam semuanya; (3) Gelombang globalisasi kini akan membadai apa sahaja yang berada di hadapannya, tidak kira apakah ia berupa agama ataupun budaya. Gejala ini didefinisikan sebagai kewujudan perhubungan (interconnectedness) antara segala aktiviti dan tindakan manusia secara global dalam aspek-aspek ekonomi dan perdagangan, teknologi dan kemahiran, pemikiran dan nilai, corak dan gaya hidup dan lain-lain yang sifatnya merentasi sempadan negara dan bangsa. Budaya asing akan membanjiri sebuah negara dan sukar untuk dikawal. Unsur-unsur Kebudayaan tempatan akan berhadapan dengan arus baru dunia ini. Akibatnya jika kekuatan dalaman tidak utuh seperti pemerkasaan Islam sebagai a complete way of life, serta pengukuhan norma-norma Kebudayaan dan Kesenian tempatan, jati diri bangsa kita lambat laun akan dikikis dan dihakis oleh arus gelombang itu.

Tugas kita di sini ialah membajai semangat, kesedaran dan kerjasama yang utuh diperlukan untuk terus berkembang sambil mempertahankan semua elemen jati diri bangsa Melayu ini; (4) Generasi muda kini khususnya yang lahir sekitar 80-90an adalah barisan pelapis untuk terus memperjuangkan agama dan kebudayaan bangsa kita, dan mereka itu, kebanyakannya menikmati pola kehidupan selesa atau zon selesa. Dalam situasi ini, mereka terlalu mudah menyerap ke dalam diri apa sahaja elemen budaya baik dari Barat atau Timur asalkan ia menggembirakan. Akibat daripada cita rasa mereka yang berkiblatkan unsur-unsur luar dan mendewakannya, maka hilanglah sikap dan semangat untuk menghayati nilai-nilai budaya bangsa sendiri. Untuk kumpulan ini, badanbadan kesenian dan kebudayaan malah kerajaan sendiri melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan perlu melipatgandakan tugas dan komitmen mereka dalam menghidup, mengembang dan memperkukuhkan budaya bangsa. Bangsa Melayu yang tidak mengambil berat perkara ini, lambat laun jati diri serta pengenalan terhadap bangsa itu sendiri akan terhakis. 

Orang-orang Melayu yang bermastautin di Australia Barat atau di Cape Town, Afrika Selatan umpamanya sudah mulai nipis pengenalan bangsa dan diri mereka sendiri. Kita di sini perlu mengambil iktibar dari apa yang sedang berlaku kepada mereka; dan (5) Pusat-pusat pengajian terutamanya Universiti dan Kolej diharapkan terus memainkan peranan menghidupkan nilai-nilai budaya dan kesenian bangsa melalui program-program bersifat ilmiah dan kegiatan kokurikulum dalam bidang ini. Para pelajar yang rata-ratanya adalah belia terpelajar negara mempunyai tugas memajukan negara yang sekaligus turut menghayati dan memajukan Kebudayaan bangsa. Maka sokongan ilmu dan penyelidikan dalam bidang ini boleh menjamin kelangsungan budaya kita. Justeru tugas ini relevan disempurnakan oleh mereka.

KESIMPULAN 

Islam dengan jelas telah memahatkan falsafahnya dalam kebudayaan Melayu sehingga Islam di Malaysia (selepas merdeka 1957) contohnya telah di angkat sebagai paksi penting dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Tiga prinsip utama telah ditetapkan dan tidak boleh diubah atau ditukar iaitu: (1) Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini; (2) Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebangsaan; dan (3) Islam telah menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan itu. Islam telah bertapak di Nusantara ini lebih dari 600 tahun dahulu dan ia menjadi agama manusia wilayah ini. Sebarang bentuk penyelewengan atau gugatan terhadapnya perlu ditentang. Justeru ia perlu diperkasakan sepanjang masa. Inilah tugas yang wajib dipikul oleh kita semua kerana Islam adalah agama kita dan “diri kita sendiri”.

RUJUKAN

Abd. Aziz Deraman. 1977. Islam dan Kebudayaan Melayu. K.L: DBP.

Abu Hassan Sham. 1977. Beberapa Aspek Dari Sejarah Melayu. K.L: Utusan Publication & Distributors.

Abu Hassan Sham. 1980. “Tariqat Napsyabandiah dan Peranannya dalam
Kerajaan Melayu Riau Sehingga Awal Abad Kedua Puluh” dalam Prof Khoo et al (sidang Pengarang) Tamadun Islam di Malaysia. K.L: Persatuan Sejarah Malaysia.

Abd. Rahman. 2000. “Wacana Globalisasi.” Dlm. Noraini Othman dan Sumit K.Mandal (Pnyt), Malaysia Menangani Globalisasi: Peserta atau Mangsa?. Bangi: Penerbit UKM.

Abd. Samad Ahmad (ASMAD) (Penyelenggara). 1982. Kongres Kebudayaan Melayu Pertama (30 Dis 1957 - 2 Januari 1958). Melaka: Majlis Kebudayaan Negeri Melaka.

Ahmad Sunawari Long et al. 2010. Minoriti Melayu Muslim-Cape Town. Bangi: JUF, UKM.

Azyumardi Azra. 1999. Renaisans Islam Asia Tenggara. Bandung: P.T. Remaja Rosdakarya.

Braginsky, Vladimir I 1993. Tassawwuf dan Sastera Melayu: Kajian dan TeksTeks. Jakarta: RUL.

Hassanudden A.Aziz. 2004. “Globalisasi, Dinar Emas dan Dunia Islam” dalam PEMIKIR, Januari-Mac 2004. KL: Utusan Melayu Sdn.Bhd.

Idris Zakaria. 2005. “Tradisi Timur dan Cabaran Globalisasi” dalam Wan Abd. Hamid Wan Teh et al. Budaya dan Pemikiran dalam Masyarakat Global: Malaysia dan China. KL, DBP.

Idris Zakaria. 2006. “Liberalisma/Pluralisma” P.Pinang: Jab.Mufti.

Ismail Hussein et al. 1995. Tamadun Melayu jilid lima. K.L: DBP.

Muhd. Uthman el. Muhammady. 1997, Mac. Islam Sebagai Benteng Peradaban Melayu - Cabaran Masa Hadapan. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Peradaban Melayu, 1-3 Mac 1997 anjuran bersama Jabatan Persuratan Melayu UKM dan Berita Harian (M) Berhad.

Muhd. Uthman el. Muhammady. 1977. Memahami Islam, Insan, Ilmu dan Kebudayaan. Kota Bahru, Kelantan: Pustaka Aman Press.

Mohd. Yusof Hashim. 1992. The Malay Sultanate of Malacca. K.L: DBP.

Mana Sikana. 1966. Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. K.L: DBP.

Mak Phoeun. 1996. “KEMBOJA” dalam P-B. La Font (ed.) Semenanjung Indo China: Suatu Pengenalan (Terj.) oleh Mohd Zain Musa. K.L: DBP.

Mohd. Taib Othman. 1980. “Islamization of the Malays : A Transformation of Culture” dalam Tamadun Islam di Malaysia.” K.L: Persatuan Sejarah Malaysia.

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman. 2000. “Kesenian Melayu: Roh Islam Dalam Penciptaan.” Dlm. Mohd. Taib Osman dan A. Aziz Deraman (Pnyt.), Tamadun Islam di Malaysia (hlm. 287-337). K.L: DBP.

Shahnon Ahmad. 1981. Kesusasteraan dan Etika Islam.. K.L: Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 1972. Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. K.L: UKM.

Shellaber, W.G. 1977. Sejarah Melayu. K.L: Fajar Bakti.

Sidek Fadzil. 1999. Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Bangi: UKM.

Sumber:
http://www.ukm.my/jhadhari/makalah/khas2012/JD005862%2091-108.pdf
.

Tiada ulasan: