Sabtu, 31 Mac 2018

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa. 7211.

Kes Prebet Adam Mengamuk Contoh Betapa Bahayanya Berita Palsu – Annuar

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, berita palsu di dalam Islam dianggap sebagai satu fitnah di mana perbuatan fitnah ini amat berbahaya sehinggakan Islam meletakkan perbuatan fitnah ini dosanya adalah lebih besar daripada perbuatan membunuh manusia.


Jelasnya, sebab itu ajaran Islam mengajar penganutnya agar menyiasat dan meneliti terlebih dulu sebarang berita atau informasi yang sampai, terutamanya yang datang daripada golongan fasik kerana bimbang berita-berita tersebut tidak benar dan fitnah, agar umat Islam tidak membuat keputusan atau tindakan yang disesali selepas itu akibat terpengaruh dengan berita-berita palsu tersebut.


“Saya nak tarik perhatian kita dalam kes prebet Adam yang mengamuk di Chow Kit satu ketika dulu. Selama ini, apa yang kita tahu prebet Adam mengamuk ekoran adiknya dipukul di padang golf sehingga mati oleh Almarhum Sultan Johor dan fakta tersebut masih kekal di kalangan rakyat di negara ini.


“Bagaimanapun, selepas seorang bekas wartawan membuat penelitian tentang isu ini dan bertemu sendiri dengan prebet Adam yang tinggal di utara tanahair, barulah terbongkar rupa-rupanya fakta yang kita percayai selama ini adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.


“Menurut rakan saya yang menemui prebet Adam dalam mendapatkan penjelasan sebenar dalam isu beliau mengamuk itu, prebet Adam sendiri menafikan bahawa faktor utama beliau mengamuk di sebabkan adiknya dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor. Bahkan kata Adam, beliau hanya mempunyai seorang adik dan adiknya itu telah lama meninggal dunia akibat kebakaran ketika masih kecil


“Barulah saya tahu, bahawa cerita yang kononnya beliau mengamuk disebabkan adiknya dibunuh Almarhum Sultan Johor yang saya percaya selama ini adalah cerita palsu. MasyaAllah, cerita ini sudah bertahun-tahun dipercayai oleh kita semua dan berdosanya kita kerana mempercayai cerita fitnah yang terbongkar hanya dalam masa berpuluh tahun selepas kejadian itu,” tegasnya.


Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel program diskusi “Anda Tanya Kita Jawab” anjuran UMNO Online dan Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan secara langsung di PWTC, Rabu.


Jelas beliau lagi, kes prebet Adam itu kemudiannya dijadikan sebagai alasan untuk mengurangkan kuasa Raja-Raja di negara ini.


“Barangkali kes prebet Adam ini sengaja digunakan sebagai senjata dalam kes mengurangkan kuasa Raja-Raja dulu. Saya lihat, Dr Mahathir merupakan pengamal cara ini. Inilah yang dilakukan ketika beliau mahu menggubal undang-undang bagi mengurangkan kuasa Raja-Raja di negara ini.


“Sebagai contoh, dalam isu terkini, Dr Mahathir tahu bahawa duit 1MDB tidak hilang. Beliau tahu sangat-sangat tentang perkara itu sememangnya tidak betul. Tapi, beliau gunakan cara yang ekstrim untuk menarik perhatian rakyat, contohnya secara terang-terang menuduh duit 1MDB itu dicuri oleh Perdana Menteri.


“Beliau menggunakan perkara ini sebagai satu kaedah, untuk  membentuk keyakinan dan persepsi di kalangan rakyat, dan beliau tahu apabila persepsi itu sudah melekat di pemikiran rakyat, maka ia amat susah untuk diperbetulkan semula. Kemudian, Dr Mahathir mengulangi perkara itu setiap kali beliau bercakap atau membuat kenyataan media,” ujarnya.


Justeru, dengan adanya undang-undang berita palsu ini kata Annuar lagi, tahap kebertanggungjawaban rakyat terhadap berita-berita palsu ini akan lebih tinggi berbanding hari ini.


“Ertinya kalau kita membuat sesuatu, contohnya menyebarkan berita-berita palsu ini, maka kita mestilah bertanggungjawab dalam perbuatan kita itu. Maka dengan wujudnya undang-undang ini akan membuatkan rakyat akan meneliti dan menyiasat kebenaran sebarang informasi yang mereka terima sebelum disebarkan melalui medium media sosial seperti facebook dan whatsapp,” tegasnya.-MediaUMNO

Sumber: 
Kes Prebet Adam Mengamuk Contoh Betapa Bahayanya Berita Palsu Annuar
Khutubah Jumaat... 
.

Tiada ulasan: