Isnin, 14 Mei 2018

Harga barang lebih mahal jika hapus GST dan kembalikan SST? 7608.

Semasa artikal ini disiarkan PH masih di pihak pembangkang.

Pandangan peribadi:

Ikut pemahaman admin sebelum GST., Malaysia telah sedia ada pelbagai cukai barangan dan perkhidmatan yang berjumlah 16%. Apabila 6% GST masuk ke ruang ekonomi Malaysia, menjadikan cukai barangan dan perkhidmatan berjumlah 22%.

Ramai menyangka GST akan buat harga barangan dan perkhidmatan menjadi murah, seiring dengan kata menteri waktu itu. Barangan dan perkhidmatan akan lebih murah jika pencukaian berjumlah 16% itu dihapuskan. Tetapi pemerintah waktu itu terus mengekalkan cukai sedia ada. (Cukai sedia ada 16% + GST 6% cukai barangan dan perkhidmatan kepada 22%)

Penghapusan GST oleh pemerintah terkini bermaksud meninggalkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan pada kadar 16% kembali.

Sekian.

Harga barang lebih mahal jika hapus GST dan kembalikan SST
March 9, 2018

Jika ada pihak ikhlas mahu menghapuskan cukai kepenggunaan, mereka akan menurunkan kadar GST ke sifar, bukannya memperdaya orang dengan menukarnya kepada SST
KOMEN 
Oleh Sufiyan Abas
Kita sambut baik manifesto pembangkang yang dibentangkan semalam. Di sini saya ingin tumpukan kepada tawaran mereka dalam menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Sekiranya, kita membaca versi panjang manifesto tersebut di bawah Janji 1, muka surat 16, mereka sebenarnya akan memansuhkan GST, tetapi akan mengembalikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lapuk.
Jadi, ini bermakna cukai kepenggunaan masih dikekalkan. Adakah ia langkah yang bijak? Apakah perbezaan antara GST dan SST? Bukankah dalam kedua-dua senario, kita perlu membayar cukai juga?
Gerakan memansuhkan GST datangnya daripada persepsi ia menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Kita terpaksa membayar lebihan 6% daripada harga yang dibeli.
Walau bagaimanapun, tanpa kita sedari, sebelum GST kita telah membayar cukai kepenggunaan di bawah rejim SST. SST ini tersembunyi, manakala GST tidak.
Penukaran SST kepada GST pada 2015 sebenarnya hanyalah perubahan dari segi sistem percukaian, bukannya pengenalan cukai tambahan.
Persoalannya kini, adakah rakyat masih perlu membayar cukai sekiranya kita memansuhkan GST? Jawapannya adalah ya. Malahan, harga barang mungkin meningkat lagi di bawah SST.
Lihat contoh di bawah:
SST telah dikenakan ke atas RM yang pertama (iaitu bekalan koko). Kemudian, dalam rantaian bekalan, sistem SST mengenakan cukai ke atas kos kumulatif RM2 (semasa coklat dihasilkan di kilang).
Ini bermakna, SST mengenakan cukai pada RM yang pertama (di peringkat bekalan koko) sebanyak 2 kali! Apabila coklat itu dijual di kedai, SST dikenakan ke atas RM pertama sebanyak 3 kali dan RM ke-2 (peringkat pengilang) sebanyak 2 kali!
Inilah yang kita gelar “cascading effect” atau cukai bertindih, membuktikan SST ini bermasalah.
Pada waktu sama, GST memastikan kita tidak dikenakan cukai berganda. Di bawah sistem GST, cukai 6% dikenakan di setiap aras pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Ianya sama rata sepanjang nilai tambah rantaian bekalan – kepada pembekal, pengilang dan peruncit.
Perlukah kita kembali kepada SST?
Langkah untuk kembali kepada sistem SST merupakan langkah keterbelakang, terutamanya ketika lebih 160 negara di seluruh dunia sudah beralih kepada sistem GST.
Hal ini kerana, hasil daripada persetujuan antara pakar-pakar dan pertubuhan ekonomi antarabangsa merumuskan GST tiada cukai bertindih (cascading effect), lebih telus dan mempunyai sistem kawal selia menyeluruh bagi mengelakkan penyelewengan.
Cadangan menggantikan GST kepada SST seperti berbalik kepada roda petak daripada roda bulat. Penguatkuasaan cukai sebanyak 6% akan dikenakan pada setiap peringkat pengilang, pengedaran sehinggalah ke peringkat pengguna.
Di bawah sistem SST, harga produk sering diubah suai sesuka hati oleh orang tengah kerana mereka tidak perlu menyatakan jumlah cukai sebenar.
Terdapat banyak kes di mana pengilang tidak mendedahkan kadar SST mereka dan menyimpan kutipan cukai ini yang dikenakan ke atas pengguna.
Apabila kita melihatnya secara objektif, GST merupakan langkah ke depan. Sekarang, ramai menentang GST kerana ia muncul secara jelas di dalam bil mereka, mengingatkan mereka sedang membayar cukai. Manakala di bawah sistem SST pula, peniaga tidak perlu menyatakan cukai. Jadi, kita tidak terasa seperti membayar cukai kerana tidak sedar kewujudannya.
Ada yang akan bertanya, jika SST menjadikan barangan lebih mahal, mengapa harga barangan lebih murah sebelum kedatangan GST, iaitu di bawah SST?
Terdapat 2 jawapan bagi persoalan ini. Pertama sekali dan yang paling popular adalah kegiatan pencatutan. Orang tengah mengambil kesempatan menaikkan harga dan menuduh GST penyebabnya.
Sebab ke-2 adalah GST lebih cekap dan menyeluruh dalam pengutipan cukai kerana ianya dikawal selia sistem kukuh, menyebabkan tiada sesiapa dapat lari daripada dikenakan GST.
Isu pokoknya, tiada sesiapa yang suka membayar cukai. Namun, penghapusan GST tidak bermakna cukai akan dihapuskan. Sebaliknya, SST akan dikembalikan.
Jika ada pihak ikhlas mahu menghapuskan cukai kepenggunaan, mereka akan menurunkan kadar GST ke sifar, bukannya memperdaya orang dengan menukarnya kepada SST.
Jadi, pembangkang perlu bersikap jujur terhadap rakyat, sudah tentu mereka tahu kelemahan sistem SST ini kerana ramai di antara mereka terdiri daripada golongan yang arif dalam ilmu kewangan.
Jadi, adakah mereka benar-benar percaya kepada sistem ini atau mereka hanya mahu memansuhkan GST (untuk digantikan dengan SST) semata-mata untuk memancing undi?
Kesimpulannya, terdapat 2 perkara utama yang perlu difahami. Pertama, sekiranya GST dihapuskan, ia akan disusuli SST. Kedua, SST adalah sistem lapuk dan tindakan mengembalikannya adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.
Dasar yang diguna pakai untuk negara kita perlulah bersesuaian buat jangka panjang (#Forwardlooking), bukannya yang lapuk. Oleh itu, penting untuk kita menerapkan pemikiran #ForwardTogether demi merealisasikan masa depan cerah.
Sufiyan Abas ialah tmbalan presiden Organisation for National Empowerment (ONE).
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Harga barang lebih mahal jika hapus GST dan kembalikan SST | Free Malaysia Today

BERITA  | GST
GST cukai lebih adil, telus dan berkesan - Ketua Pengarah Kastam
Tan Su Lin, Astro Awani |  Diterbitkan pada Mac 30, 2015 16:16 MYT
Jabatan Kastam Diraja Malaysia memberi jaminan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 
adalah cukai yang adil, telus dan berkesan. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KELANA JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia memberi jaminan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah satu cukai yang bersifat adil, telus dan berkesan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata berbanding Cukai Perkhidmatan Dan Jualan (SST) sebelum ini, melalui pelaksanaan GST, pengguna kini dapat mengetahui jenis cukai yang dibayar serta jumlahnya.

Khazali membayangkan apa yang boleh dijangka pada 1 April nanti adalah urusan perniagaan masih berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, sistem cukai kepenggunaan akan digantikan dengan sistem yang lebih baik.

"Kita memang dah terbiasa dengan cukai kepenggunaan secara sedar atau tidak sedar. Tetapi rasanya ramai orang tidak sedar kita sudah ada cukai kepengunaan."

"Jadi apabila GST dilaksanakan, ia lebih telus, orang tahu sekarang perbelanjaan kita adalah tertakluk kepada cukai kepengunaan sedangkan sebelum ini orang tidak tahu pun dia bayar cukai," kata Khazali kepada pemberita selepas majlis pelancaran set panduan GST oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat Jabatan Kastam di Kelana Jaya.

Jelasnya lagi, Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan ketika ini mempunyai banyak kelemahan seperti cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal.

"Sepertimana cukai seperingkat ini, apabila kita bayar dan kemungkinan berlaku, malah sebenarnya kita sudah ada bukti bahawa berlakunya kesan cukai berganda."

"Kadang kala cukai yang dikenakan 10% itu boleh mencapai 16% hingga 18% sebab berlaku tambahan cukai atas cukai yang dikenakan pada peringkat awal. Jadi kita mahu memperkenalkan cukai yang lebih berkesan dan telus," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kastam akan menambah 1,600 pegawai baharu bagi memantau pelaksanaan GST supaya lebih telus.

"Kerajaan telah memutuskan untuk menambah jawatan dan separuh daripadanya telah diambil dan kita masih dalam proses pengambilan lagi pegawai untuk penuhi apa diluluskan kerajaan."

"Anggaran lebih kurang 1,600 jawatan baru diluluskan kerajaan," kata Khazali.


Tiada ulasan: