Isnin, 14 Mei 2018

Kelantan dan Bekas Perdana Menteri. 7609.


Sunday, May 13, 2018

Faktor rakyat Kelantan tolak PH
MENYOROT POLITIK KELANTAN

KE MANA saya pergi saya akan ditanya mengenai nasib Pakatan Harapan (PH) di Kelantan. Entah kenapa saya seolah-olah menjadi papan hitam untuk ditulis dengan pertanyaan dan persoalan itu. Selama saya berada di pusat pengawalan (kem berhimpun) wakil-wakil rakyat PH di sebuah hotel di Petaling Jaya, setiap kawan dan orang mengenali hubungan saya dengan Kelantan bertanya tentang negeri ku itu.

"Kenapa Kelantan dan apa jadi dengan Kelantan, Tokti?" Semua bertanya dengan mempamerkan  bayangan wajah sedih mendukacitakan.

Mereka hairan dan anih dengan apa berlaku di Kelantan, nasib yang menimpa PH. Kelantan dan Terengganu menjadikan dua buah negeri yang seakan tersisih dari negeri-negeri di sebelah pantai Barat. Penyisihannya begitu ketara sekali apabila PH tidak mendapat satu kerusi pun di negeri berkenaan hatta sekadar untuk dijadikan benih untuk menanam di musim mendatang.

Mereka tidak percaya yang PH Kelantan akan mendapat telur (kosong). Riak terkini di Kelantan yang berlaku semasa hari penamaan calon, kemunculan putera sulung Nik Abdul Aziz, Nik Omar menyebabkan mereka tidak percaya apa yang ternatijah kemudiannya. Ia sungguh-sungguh membuatkan mereka mengeluh dan menggeleng-geleng kepala tanpa disedari penuh ketidakpercayaan.

Memang kemunculan putera sulung Nik Abdul Aziz itu dihari penamaan calon menambahkan nilai kepada PH. Tiba-tiba sahaja meletup suatu gelombang dan kejutan dengan kemunculan Nik Omar itu. Dunia jadi semacam tersentak dan bergegar dengan tiba-tiba ekoran kehadirannya memegang panji PH. Dalam sekelip mata juga nama Nik Omar meniti dari bibir ke bibir. Ia bukan saja menggemparkan Kelantan bahkan auranya hingga terbias sampai ke Putrajaya Kuala Lumpur.

Kunjungannya ke Putrajaya untuk berceramah bersama Dr Mahathir di malam sehari sebelum pilihan raya mendapat sambutan luar biasa. Seramai 450 ribu orang yang mengikut live menerusi Facebook, menjadikan anngka itu memecah rekod.

Di kalangan rakyat Kelantan tiba-tiba berasakan kemunculan Nik Omar itu sebagai penjelmaan semula Nik Aziz yang sudah pun hilang dipandang mata sejak tiga tahun lalu. Lantas harapan besar diletakkan kepada Nik Omar. Tindakan beraninya itu kerana penyertaanya dikatakan tidak mendapat restu keluarga disambut meriah oleh penyokong PH. Dipercayai rakyat Kelantan khasnya yang berada di garis tengah akan bersimpati kepada PH menerusi Nik Omar yang menampilkan perwatakan ayahnya.

Nik Omar dilihat sebagai pemuda yang keluar dari gua al-Khafi untuk membantu Husam Musa yang berseorangan di Kelantan atau hanya di dampingi beberapa rakan yang sudah tidak begitu harum lagi, serta oleh pemain politik amatur. Saya sendiri yang mengikut jejak Nik Omar sebaik selepas beliau disahkan menjadi calon menyifatkan beliau adalah jelmaan Tok guru Nik Aziz, menjadi pengganti Allahyarham Nik Aziz di mana kemunculan itu untuk membantu Husam dan Kelantan.

Namun sangkaan itu meleset. Harapan besar yang disangkut di bahunya tidak sampai matlamat. mungkin kerana ia bergerak dalam batas masa kerana kemunculan di saat-saat akhir. Gelombang atau kegemparan dibentuk Nik Omar itu tidak memberi bekas besar hatta gagal pula untuk menenggelamkan kampung halamannya sendiri di Pulau Melaka Pengkalan Chepa. Nik Omar juga tertumus di Chempaka. 

PH Kelantan bukan hanya tidak mampu mendapatkan satu kerusi bahkan banyak calon-calonnya hilang wang pertaruhan. Kekalahan calon PH itu termasuk juga Husam yang dijangka dapat menawan satu kerusi parlimen Kota Bharu juga turut syahid. Rata-rata calon PH untuk kerusi Dun memperolehi undi sekitar 2,000 sahaja berbanding dengan Pas antara 5,000 hingga 7,000.

Apa yang berlaku kontras dengan apa diramalkan. Saya sendiri sebenarnya tidak meletak angka yang tinggi kepada pencapaian PH, cukup kalau setakat menang di tiga kerusi Dun dan satu parlimen. Sekiranya PH berjaya meraih lima hingga tujuh kerusi Dun saya mengira PH sudah pun boleh menguasai Kelantan dengan syarat Putrajaya dikuasai oleh PH.

Hari ini PH berjaya menawan Putrajaya, tetapi malangnya PH gagal menang di Kelantan.  

Yang dilihat dan terhakikat sebelum ini sangat berbeza sekali. PH tidak menang walaupun satu kerusi. Sejak awal lagi bila ditanya mengenai Kelantan saya menjawab "di Kelantan PH belum cukup power". Saya tidak fikir kalau Kelantan akan jatuh ke tangan PH seperti di negeri-negeri sebelah barat banjaran Titiwangsa. Pandangan saya kontras dengan mereka lain yang sangat menyakini PH akan berhasil di Kelantan.

Ketika ditanya tentang Kelantan dan kekalahan teruk PH, saya tidak menjawab dan berjanji untuk menjawabnya dalam blog. Nah, pagi ini saya ada masa untuk menulis bercerita kenapa PH gagal untuk memiliki walaupun satu kerusi di Kelantan dan mengapa Pas yang diharapkan akan "rebah bertungging" di Kelantan masih utuh malahan bersemangat.

Keunikan orang Kelantan.

Alasan utama saya kenapa PH tidak menang di Kelantan dan Pas dapat mengekalkan kerajaan peninggalan Tok guru secara lebih bergaya lagi ialah kerana keunikkan orang Kelantan. Apa yang berlaku dalam Piraum itu menggambarkan keunikan orang Kelantan terus kekal. Orang Kelantan tidak mudah untuk bergerak mengikut arus perdana, dan ia suka menentang arus. Inilah jati diri bangsa Kelantan.  Orang ke kanan ia ke kiri saat orang ke kiri ia akan membeluk ke kanan. Apakah sikat dan sifat ini sesuatu yang dinamik atau pun sebaliknya?

Selama lebih 60 tahun rakyat Kelantan tidak mempedulikan UBN walaupun parti itu menguasai Malaysia. Kejayaan UBN selama ini membawa pembangunan kepada negeri-negeri diperintahnya sedikit pun tidak meruja dan mempesonakan mereka.  Hanya tahun 1978 rakyat Kelantan mengalih rasa kepada Umno itu pun hanya 12 tahun sahaja selepas itu tahun 1990 mereka kembali mendakap Pas semula.

Orang Kelantan seakan seronok berada di pihak pembangkang dan mereka bangga memiliki kelainan itu. Waktu Malaysia dikuasai UBN tetapi rakyat Kelantan tetap mahu bersendirian kekal dengan sikapnya dengan memilih Pas. Hari ini pun begitu saat PH sebahagian daripada rakannya memiliki Malaysia, Pas masih kekak di takak lama. 

Itu sifat semulajadi orang Kelantan yang unik dan dibangga-banggakan. Orang Kelantan tidak merasa susah dan boleh hidup sendiri. Semangat berdikari sangat kental dalam diri mereka menyebabkan mereka berasa tidak perlu bergantung hidup dengan kerajaan Pusat. Kaum yang berani dan degil tetapi tidak membawa kecemerlangan duniawi adalah orang Kelantan.

Justeru walaupun sudah ada gelombang akan menenggelamkan kerajaan UBN, tetapi rakyat Kelantan pada 9 Mei lalu tetap mahu kekal sebagai pembangkang. Mereka bukan terus mendakap Pas tetapi langsung tidak memberi setitik ruang kepada PH, menerusi Amanah yang dipimpin oleh Husam. Orang Kelantan masih mempercayai undi Pas menjadikan ruang kuburnya terang benderang.

Adapun faktor yang secara sainspolitik yang boleh dihuraikan kenapa PH kalah di Kelantan, mungkin faktor ini juga boleh dipakai untuk Terengganu adalah:

1. Orang Kelantan baik muda atau tua masih sayang kepada Pas. Doktrin yang ditanam oleh pemimpin Pas, bahawa parti itu adalah sebahagian agama masih terlekat kental dalam hati orang Kelantan. Mereka terus menerima konsep Pas adalah agama.

2. Orang Kelantan kurang percaya kepada PH yang akan berperanan untuk membawa dan mengembangkan agama di negeri seperti Pas, kerana di dalam PH tidak ada individu atau sosok yang dilihat ulama. Mereka memerlukan tokoh seperti itu bagi mengekalkan jolokan Kelantan sebagai Serambi Makkah.

3. Orang Kelantan juga percaya dan "makan" kepada taburan isu mengatakan PH menjadi alat kepada DAP. Sebagai masyarakat yang "suntuk" terlindung dengan pelbagai maklumat mereka mudah mempercayai dakwah itu yang dibawa bersama oleh UBN dan Pas.

4. Kajian Invoke mengatakan Pas tidak akan mendapat satu kerusi di Kelantan menjadi daya rangsang utama kepada rakyat Kelantan yang berada di luar untuk balik mempertahankan Kelantan. Kenyataan dibuat Invoke itu satu propganda yang melampau yang menyentuh maruah rakyat Kelantan menjadikan mereka menjadi tidak waras untuk mengekalkan Kelantan kepada Pas. Kajian Invoke dari konteks Kelantan menjadi "back fire" sebab orang Kelantan mempunyai semangat provincial yang tinggi.  

5. Kemenangan Pas itu juga sehingga dapat menambahkan empat kerusi Dun lagi, memberi gambaran mereka tidak boleh menerima Umno, juga atas dasar keturunan. Walaupun Umno mengemukakan seorang tokoh yang marhaen yang kuat bekerja seperti Mustapa Mohamed mereka tetap juga tolak kerana Mustapa tidak dilihat sebagai ulama tidak berkopiah dan berserban.

6. Kesimpulannya sentimen agama dan kepukan di Kelantan masih menebal. Elemen itulah menjadi benteng kepada Pas yang terus mahu menggelarkan diri mereka sebagai parti agama. Penolakan rakyat Kelantan kepada Umno dan PH dan hanya menerima Pas itu menunjukkan kejumudan politik rakyat Kelantan dan berpegang kepada sifat Qannah yang tebal.

6. Lain-lain faktor ialah dari segi strategi, kelemahan jentera pilihan raya PH dan juga kekurangan tenaga kewangan. PH dalam pilihan raya lalu bukan sahaja berhadapan dengan Pas yang memiliki kerajaan di Kelantan tetapi juga dengan UBN. Sekiranya PH berhadapan secara berdepan, mungkin parti itu memperolehi beberapa buah kerusi.

Itulah antara pemerhatian awal saya kenapa PH gagal untuk memenangi satu kerusi pun di Kelantan dan juga membawa kekalahan UBN untuk menawan Kelantan. [wm.kl.12:32 t/hari 13/05/18]

ref: 
.: Faktor rakyat Kelantan tolak PH
Polis mula kawal rumah Najib. 

Polis hari ini mula mengawal laluan keluar masuk ke kediaman peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata ia dilakukan bagi mengawal keselamatan kediaman terbabit.

"Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah ditempatkan untuk mengawal keselamatan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Tinjauan Bernama mendapati lima anggota polis ditempatkan di simpang masuk ke kediaman bekas perdana menteri itu.

Polis turut menempatkan balai polis bergerak selain membuat pemeriksaan ke atas setiap individu mahupun kenderaan yang ingin masuk ke laluan itu.

Difahamkan arahan kawalan keselamatan itu dikeluarkan mulai malam tadi.

Susulan itu, pengamal media yang berkumpul di kawasan kediaman itu juga tidak dibenarkan memasuki laluan berkenaan berbanding semalam yang mana wartawan dan jurugambar telah berkumpul di depan pintu pagar kediaman tersebut bagi membuat liputan. -Bernama

ref: 
KERENGGA: Polis mula kawal rumah Najib


Tiada ulasan: