Isnin, 28 Mei 2018

Pemikiran. 7729.

Malaysia Era Baru. Allahu Akbar
NASIONAL
‘Laporan kata saya mahu pakai Viva ke Mindef tidak benar’ – Mohamad Sabu
By admin -  28 Mei 2018 69 0
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menafikan laporan yang tular di media sosial mengatakan beliau enggan menggunakan kemudahan kenderaan rasmi disediakan kementeriannya.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menafikan laporan yang tular di media sosial mengatakan beliau enggan menggunakan kemudahan kenderaan rasmi disediakan kementeriannya.

Beliau berkata kemudahan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya sesuai dengan jawatan yang disandang namun menolak kemungkinan menggunakan hak itu lebih daripada sepatutnya.

“Kononnya saya mahu memandu kenderaan Perodua Viva milik anak saya dan tidak mahu menggunakan kenderaan rasmi serta pengiring disediakan kementerian pada hari pertama bekerja.

“Menjadi tular perkara-perkara yang tidak benar mengenai diri saya, dan saya ingin tegaskan ia tidak benar,” katanya menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Mohamad yang juga Presiden parti Amanah berkata segala berita mengenai beliau hanya akan dikeluarkan menerusi kenyataannya atau akaun media sosial rasminya di Facebook: Mohamad Sabu – Menteri Pertahanan Malaysia; Twitter: @MSabu_Official; dan Instagram: msabu_official.— BERNAMA

ref:
'Laporan kata saya mahu pakai Viva ke Mindef tidak benar' - Mohamad Sabu - MalaysiaGazette
UTAMA
Kadir Jasin tegur Guan Eng
By Wartawan MalaysiaGazette -  26 Mei 2018 10137 1
AKJ

Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Negara, Datuk A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Keghairahan Menteri Kewangan baharu, Lim Guan Eng di dalam mendedahkan jumlah hutang negara yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu memakan diri apabila pasaran saham memberi reaksi negatif dan para pelabur mula membawa keluar pelaburan masing-masing.

Kesilapan tersebut bukan sahaja mendapat teguran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebooknya malah turut mendapat perhatian daripada “orang dalam” Pakatan Harapan sendiri.

Menurut Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin, Guan Eng seharusnya berhati-hati di dalam membuat sebarang kenyataan dan hebahan kepada media massa.

Malah tokoh dalam bidang kewartawanan itu juga menasihati semua menteri dan pegawai-pegawai mereka untuk melakukan perkara yang sama.

Beliau juga meminta semua wakil rakyat dan menteri yang baharu dilantik untuk melebihkan kerja demi rakyat jelata daripada berkata-kata dan mencari tajuk berita.

“Kesilapan Lim ialah dalam euforia dan keseronokan luar biasa menemui hal-hal yang membuktikan dakwaan HARAPAN selama ini benar, telah terlupa memikirkan semasak-masaknya apakah implikasi buruk pendedahan itu.

Biar saya beri peringatan kepada semua menteri dan pegawai mereka agar lebih berhati-hati membuat kenyataan kepada media massa.

Faedah politik (political milage) tidak sama dengan faedah ekonomi (economic milage). Yang baik untuk politik tidak semestinya baik untuk ekonomi dan pasaran,” katanya di dalam artikel bertajuk Mereformasi Cara Berfikir, Bertindak Sebagai Kerajaan terbitan portal Malaysiakini.

Tambah A. Kadir, di dalam Pakatan Harapan, mereka menjanjikan reformasi maka setiap warganya perlu memulakan dengan mereformasi cara berfikir dan bertindak.

“Kita tidak perlu sensasi atau menjerit di puncak suara lagi. Kita sudah menjadi kerajaan.

“Hendak hukum Najib, Rosmah Mansor, Jho Low, Arul Azrul Kanda Kandasamy, Irwan Serigar Abdullah, Mohamed Apandi Ali, bekas IGP, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, bekas (?) pengerusi SPR, Rizal Mansor, Riza Aziz, Isa Samad, Habibul Rahman Kadir, Abdul Azeez Rahim dan banyak lagi konco-konco era kleptokrasi – boleh, malah wajib.

Tapi biarlah kita lakukan melalui proses undang-undang kerana itulah yang terbaik apatah lagi HARAPAN sendiri berjanji menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ref: 
Kadir Jasin tegur Guan Eng - MalaysiaGazette
UTAMA
Pas rela kalah daripada tanggung hutang negara
By Shawaliah Hadir -  28 Mei 2018 100 0
foto FAREEZ FADZIL,
KUALA LUMPUR – Pas lebih rela menerima hakikat kegagalan untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya baru-baru ini tatkala negara berhadapan dengan bebann hutang, kata Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sebaliknya, katanya, parti tersebut akan merampas takhta yang kini dipegang Pakatan Harapan lima tahun lagi.

“Hutang banyak, nak bayar macam mana? Biarlah orang lain ambil dulu, selesaikan hutang Malaysia.

“Lima tahun lagi kita ambil Malaysia,” katanya dalam ucapan dalam sebuah ceramah.

Rakaman ucapannya itu kemudian menjadi tular di media sosial. 

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, demikian dengan memberi contoh kekalahan Pas di Kelantan pada 1978 untuk tempoh yang lama dalam masa yang sama memberikan peluang parti lain membangunkan negeri Serambi Mekah itu sehingga tahun 1990.

“Serupa kita (Pas) kalah pada 1978, memang kita sedih. Tapi Tuhan ni pandai, dalam tempoh 12 tahun… Dia bagi orang lain memerintah, orang lain buat pembangunan, pejabat… siap semuanya, bagi kita balik.

“Kita boleh pakai yang dah siap. Jadi, kita bagi mereka lima tahun untuk selesai masalah,” ujarnya.

Tambahnya, hutang yang perlu diselesaikan itu termasuk isu yang membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette

ref: 
Pas rela kalah daripada tanggung hutang negara - MalaysiaGazette

UTAMA
Kadir Jasin cuba ugut Majlis Raja-Raja Melayu?
By Nizam Zain -  28 Mei 2018 228 0

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan sepatutnya Kadir menghormati penjelasan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu berhubung aduan SPRM itu.

KUALA LUMPUR – Gesaan Datuk A.Kadir Jasin yang mahu Majlis Raja-raja Melayu dikaji semula susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal mendapat campur tangan institusi DiRaja itu berhubung kes 1MDB merupakan satu ugutan dan hasutan.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan sepatutnya Kadir menghormati penjelasan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu berhubung aduan SPRM itu.

“Tulisan Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan (MPK-PH) ini ia sangat jelas sekali bersifat ugutan dan hasutan.

“Ia satu isyarat dan amaran kepada Raja-Raja Melayu apabila beliau secara terang terangan membangkitkan isu kontrak sosial antara raja dan rakyat! Lebih tepat lagi ianya berbaur hasutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan wartawan veteran itu semalam yang menggesa Kerajaan PH menilai semula tindak balas Majlis Raja-raja Melayu selepas SPRM mengadu hampa dengan tindak balas institusi DiRaja itu berhubung aduan berkenaan 1MDB.

Dalam sidang media, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada 22 Mei lalu mendakwa SPRM hampa dalam usaha mendapatkan campur tangan Majlis Raja-raja.

Shukri mendedahkan pihaknya menemui Majlis Raja-raja dua kali untuk memaklumkan siasatan berkaitan 1MDB dan anak syarikat, SRC Interntional, yang dikaitkan dengan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Annuar juga mendakwa tindakan Kadir itu sekali gus memperlihatkan MPK-PH itu lebih berpengaruh dan tinggi daripada Kabinet hingga boleh bertindak serta mengeluarkan kenyataan sebegitu.

“Apakah ini satu isyarat bahawa pentadbiran baharu sedang bergerak ke arah reformasi Institusi Raja dan cuba meminda Perlembagaan seperti mana pernah dilakukan pada awal 90an yang mengheret kita dalam pertembungan raja dan rakyat?

“Apakah ini suara Kadir atau MPK-PH atau suara orang berkuasa yang lain. Apakah Kadir merasakan beliau kebal dan dilindungi untuk mengeluarkan kenyataan sebegini?” soalnya.

Annuar berkata, orang Melayu tidak akan membiarkan peristiwa 90an berulang dan beliau berharap kerajaan baharu ini tidak menggugat kedudukan Raja-Raja Melauu, agama Islam dan Perlembagaan.

“Sebarang usaha meminda Perlembagaan seperti mana yang cuba dibayangkan oleh Kadir akan kita tentang habis-habisan.

“Kita juga ingin mengingatkan Kadir bahawa mandat daripada pengundi Melayu tidak bersama PH. Statistik jelas menunjukkan lebih dari 70 peratus undi orang Melayu tidak memilih PH,” katanya.

Sebaliknya kata Annuar, PH perlu menumpukan usaha untuk menunaikan segala janji pilihan raya mereka dalam 100 hari pertama yang kini belum sepenuhnya ditunaikan.

“Rakyat sedang menunggu dengan sabar penghapusan GST, tol, harga minyak RM1.50 seliter, pendidikan percuma dan penurunan harga barang.

“Harapan rakyat perlu ditunaikan dan bukannya ugutan terhadap institusi raja atau percubaan meminda Perlembagaan.

“Saya harap pihak berwajib tidak akan merasa takut untuk bersikap adil menjalankan siasatan ke atas tulisan Kadir dan berharap keluhuran undang-undang dapat dipertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette.

ref: 
Kadir Jasin cuba ugut Majlis Raja-Raja Melayu? 


NASIONAL
Mat Sabu balik kampung naik pesawat TUDM, individu lapor SPRM
By Muhammad Azizul Osman -  28 Mei 2018 2625 0
Peguam, Datuk Abu Backer Sidek menunjukkan gambar Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu selepas membuat laporan berkenaan atas alasan salah guna kuasa terhadap aset kerajaan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 MEI 2018

PUTRAJAYA – Seorang individu hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Datuk Abu Backer Sidek yang merupakan seorang peguam bela dan peguam cara bertindak membuat laporan berkenaan atas alasan salah guna kuasa terhadap aset kerajaan.

“Saya mohon agar SPRM buat siasatan agar perkara ini tidak berulang. Saya tidak cemburu kepada dia, tapi biarlah penggunaan aset itu berdasarkan kepada keperluan yang penting untuk tugas,” katanya ketika membuat laporan terhadap salah guna kuasa itu kepada SPRM.

Mohamad Sabu atau Mat Sabu pada Sabtu lalu menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Airbus, A400M daripada 22 skuadron bagi menghadiri satu program di Butterworth.

Ketibaan Mohamad disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang.

Majlis tersebut adalah acara rasmi keduanya selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 22 Mei lepas.

Dalam sidang media medianya selepas majlis itu, Mohamad berkata, beliau teruja apabila dapat pulang ke kampung halamannya dengan menaiki pesawat tentera.

“Saya sendiri tinggal tidak jauh daripada pangkalan ini. Daripada kecil saya dengar bunyi  laluan kapal terbang dan timbul perasaan bangga.

“Sepanjang perjalanan cuaca dalam keadaan baik walaupun awan agak tebal tetapi gegaran kurang dan tidak rasa cemas pun.

“Saya harap kapal terbang ini sentiasa berada dalam keadaan baik membawa pasukan tentera menjalankan tugas mengawal keselamatan negara,” katanya.

Ujar Abu Backer, majlis berbuka puasa yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan itu hanyalah wayang bagi membolehkan Mat Sabu untuk pulang ke kampung halaman beliau di Butterworth.

“Dia mengaku nak balik kampung, jadi dia ditawarkan oleh Panglima Angkatan Tentera. Sekarang ini berlaku aktiviti membodek supaya kekal jawatan sebab beliau sudah nak pencen.

“Saya ada maklumat daripada tentera sendiri yang tidak puas hati dengan aset kerajaan. Bila Panglima Angkatan Tentera nak pergi mana-mana nak pergi, dia boleh buat panggilan telefon sahaja,” katanya.

Tambah beliau, perkara itu dilihat tidak wajar memandangkan negara kini berdepan dengan hutang yang mencecah RM1.087 trilion.

“Dia boleh naik aset kerajaan sebagai menteri. Tapi nak tuntut elaun pakailah Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo. Tapi kalau pakai pesawat TUDM ia akan melibatkan perbelanjaan tidak kurang RM50,000.

“Dalam keadaan negara yang berdepan hutang yang begitu besar, nak belanja sebesar itu saya rasa satu tindakan yang amat tidak wajar,” katanya. – MalaysiaGazette

ref: 
Mat Sabu balik kampung naik pesawat TUDM, individu lapor SPRM - MalaysiaGazette

NASIONAL
Gesa SPRM siasat semula kes libat Ku Nan
By Muhamad Izwan Mohd Zubit -  28 Mei 2018 47 0
Ahli Parlimen Setiwangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad memeriksa pelan pembangunan Taman Tiara bersama Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tiara, Datuk Mohamad Yusof A. Bakar (kanan) dan wakil penduduk Taman Tiara, Sylvester Navaratnam (kiri) pada sidang media mengenai salinan laporan SPRM yang akan diserahkan oleh wakil penduduk Taman Tiara terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor di Pejabat Ahli Parlimen Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Siasatan semula perlu dijalankan terhadap isu penjualan sebidang tanah di Titiwangsa kepada Yayasan Wilayah Persekutuan di mana Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika itu adalah pengerusi yayasan tersebut.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat sebelum ini untuk menyiasat penjualan tanah di Lot PT9885 Mukim Setapak yang ingin dibangunkan dua buah kondominium mewah walhal tapak tersebut digazetkan untuk padang bola sepak dan dewan serbaguna.

Pembinaan kondominium tersebut mendapat bantahan penduduk Taman Tiara kerana tapak rancangan pembinaan itu terletak berhampiran dengan kediaman mereka.

Penjualan tanah tersebut kepada Yayasan Wilayah Persekutuan didakwa bersifat wujud kepentingan individu namun ia ditolak SPRM melalui satu surat balas yang dihantar pada 30 Mei 2017 memaklumkan kepada penduduk bahawa siasatan tidak akan diteruskan.

“Saya berharap pihak SPRM dapat  membuka semula siasatan kes ini kerana pengurusan SPRM sebelum ini mengatakan tidak wujud kes seperti didakwa oleh penduduk.

“Kami harapkan dengan pengurusan SPRM baharu dan kerajaan baharu ini, kita dapat menyiasat isu ini dengan telus dan adil,” kata beliau semasa sidang media di pejabatnya Sri Rampai hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tiara Titiwangsa, Datuk Mohd. Yusof A. Bakar kesal dengan keputusan SPRM yang tidak mahu meneruskan siasatan berhubung isu penjualan tanah tersebut walaupun keberangkalian ada konflik kepentingan.

“Kami harap supaya SPRM yang baharu ini dapat menyiasat semula kerana kami syak ada konflik kepentingan,” kata beliau.


Penduduk membuat laporan kepada SPRM pada 30 Mac 2017 dan menerima maklum balas pada 7 April 2017 dengan mengatakan aduan mereka tidak mempunyai unsur rasuah. – MalaysiaGazette

ref: 
Gesa SPRM siasat semula kes libat Ku Nan - MalaysiaGazette

NASIONAL
Majlis Penasihat Negara mahu lihat cara SRC dipulihkan – KWAP

By Norlaile Abd Rahman -  28 Mei 2018 
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad bercakap kepada media selepas bermesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2018.


KUALA LUMPUR – Isu berhubung hutang bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), SRC International Sdn. Bhd. menjadi sebahagian agenda pertemuan di antara ahli Majlis Penasihat Negara dengan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) hari ini.
“Isu SRC adalah perkara yang sudah diketahui umum dan walaupun kami mendapat jaminan kerajaan (semasa memberikan hutang tersebut), mereka mahu melihat cara bagaimana untuk “rehabilitate” syarikat berkenaan,” demikia menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad kepada pemberita di sini hari ini.
SRC yang ditubuhkan pada Januari 2011 adalah bertujuan untuk membekalkan arang batu bagi kegunaan negara dalam jangka masa panjang.
Ia memperolehi pembiayaan berbentuk geran daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan pinjaman daripada KWAP.
Syarikat tersebut bagaimanapun dipindahkan ke Kementerian Kewangan bagi mengurangkan beban hutang 1MDB.
Ketika ditanya mengenai pembayaran kadar faedah SRC kepada KWAP, Wan Kamaruzaman berkata, setakat tahun lepas ia mengikut jadual.
“Untuk tahun ini kita bergantung kepada penjadualannya.
“Kadar faedah tersebut perlu dibayar pada setiap enam bulan, bukan setiap bulan,” katanya.
SRC meminjam RM4.385 bilion daripada KWAP dengan kadar faedah di antara 4.3 peratus dan 5.1 peratus setahun.
Pinjaman tersebut dibahagikan kepada dua peringkat iaitu pada 2011 dan yang kedua pada 2012 yang mana setiap satunya bernilai RM2 bilion dengan tempoh pembayaran selama 10 tahun.
Selain SRC, Wan Kamaruzaman berkata, beliau memberi laporan terkini mengenai aktiviti KWAP terutama yang melibatkan urus tadbir, pelaburan dan skim pencen.
“Mereka lebih berminat untuk mengetahui bagaimana untuk menyaksikan skim pencen yang lestari,” katanya.
Wan Kamaruzaman merupakan salah seorang daripada enam peneraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) yang diminta untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli Majlis Penasihat Negara yang dipengerusikan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.- MalaysiaGazette
ref: 
Majlis Penasihat Negara mahu lihat cara SRC dipulihkan - KWAP - MalaysiaGazette
NASIONAL
Kritikan pembangkang penting baiki kelemahan kerajaan – Gobind
By Hasnira Hassan -  28 Mei 2018

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bercakap pada sidang media selepas membuat lawatan Kerja ke Wisma Bernama di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 MEI 2018.


KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menegaskan kritikan dan suara pembangkang penting dalam membina pemikiran yang matang.
Sehubungan itu, beliau akan menegakkan dasar bahawa media harus dilihat sebagai suara rakyat dan desakan agar kelemahan kerajaan dapat diperbaiki.
Katanya dalam hala tuju laporan berita, apa yang penting adalah nilai berita itu sendiri.
“Saya tidak menyokong penggelapan kandungan berita. Saya tahu apa rasanya berada di sana (sebagai pembangkang).
“Rakyat mencari maklumat. Jika media arus perdana tidak melaporkan, rakyat akan mencari di tempat lain. Hari ini sama ada suka atau tidak, media ada di mana-mana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Berikutan itu, Gobind berkata, beliau menyokong laporan berita yang relevan dan ada kepentingan dengan isu sema ada.
Pada masa sama, katanya, kebebasan bersuara yang diberikan juga mempunya had.
Katanya, undang-undang sedia ada membolehkan tindakan dikenakan secara sivil atau jenayah bagi laporan berita yang disiarkan tidak benar.
“Kita akan tengok balik untuk jadikannya relevan dengan media hari ini. Kita juga tengok kalau boleh dibentangkan pada sesi pertama (Parlimen) 25 Jun depan dan harap kita akan dapat polisi yang kita boleh gunakan,” katanya. – MalaysiaGazette
ref: 
Kritikan pembangkang penting baiki kelemahan kerajaan - Gobind - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: