Selasa, 8 Mei 2018

Watak-watak neh. 7498.

Ketua Wanita UMNO tak boleh jadi calon?
Mac 26, 2018  Open Artikel
Oleh Azman Anuar

Dewan Rakyat (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri pasti dibubarkan. Detiknya semakin hampir. Desas-desus soal pemilihan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) juga semakin hari kian hangat diperkatakan. Bukan sahaja dalam parti komponen Barisan Nasional (BN), pihak Pakatan Harapan juga sedang sibuk menyusun strategi dan menyenarai nama calonnya.

Pada Pakatan Harapan tidak sukar untuk mereka mencari calon. Calon yang tewas bukan sekali tapi banyak kali pun masih diberi peluang menjadi calon semula. Tak ada yang bising. Tetapi sukar pula hal ini dilaksanakan dalam parti UMNO.

Walhal jika dilihat kembali rekod pilihan raya umum, ada calon BN yang tewas kemudian dipilih semula. Contohnya Datuk Seri Mustapa Mohamed pernah tewas dalam pertandingan kawasan Parlimen Jeli Kelantan kepada calon Pas pada PRU 1999. Namun dipilih bertanding semula kerusi Parlimen yang sama dan kerusi DUN Air Lanas (Jeli) pada PRU 2004.

Jadi bukan satu dilema kepada UMNO atau BN mencalonkan pemimpin yang pernah tewas untuk bertanding semula dalam PRU-14.

Malah sudah ada beberapa pemimpin UMNO melobi untuk bertanding semula kerana mereka yakin dapat menebus semula kerusi yang dirampas pembangkang. Ada juga yang takut-takut kerana bimbang menjadi liabiliti kepada parti.

Dilema ini yang mungkin dialami oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. Delima beliau ialah patutkah dirinya bertanding semula. Pada mulanya beliau nampak yakin bila ‘dibentangkan permaidani merah’ oleh Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos supaya bertanding kerusi Parlimen kawasan tersebut.

Tetapi selepas ada suara-suara menyatakan jika hendak melangkah ke depan pun, janganlah sampai pijak kaki kawan, bagaikan tidak merestui kedatangannya ke Sungai Besar. Hal ini mendorong Shahrizat mengumumkan beliau tidak akan turun ke kawasan tersebut.

Kenapa Shahrizat harus takut? Shahrizat bukan liabiliti atau beban kepada BN. Sebenarnya bukan sedikit pemimpin kerajaan dan pembangkang yang turut memikul liabiliti masing-masing kepada parti yang mereka wakili.

Kegagalan mempertahankan Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum tahun 2008, bukan salah beliau. Bukan disebabkan beliau tidak melakukan sebarang kerja. Pelbagai program kerajaan terutama ketika menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dibawanya ke Lembah Pantai dahulu.

Beliau kalah sebab kuatnya mainan persepsi dan gelombang kebencian terhadap kerajaan ketika itu. Sekarang rakyat di Lembah Pantai merindui suasana semasa Shahrizat menjadi Ahli Parlimen di situ selama tiga penggal apabila memenangi PRU 1995, 1999, dan 2004.

Walaupun tewas tetapi tidak mematahkan semangat Shahrizat untuk membantu dan menggerakkan jentera Wanita UMNO bagi memastikan kemenangan calon BN dalam pilihan raya kecil sejak 2008 hingga sekarang.

Diketengahkan semula

Pada PRU-13, Shahrizat ‘me­ngalah’ dan memberi laluan kepada muka baharu apabila beliau memilih tidak bertanding. De­ngan PRU-14 semakin hampir, ramai pemerhati politik percaya Shahrizat wajar diketengahkan semula sebagai calon.

Kes lembu NFCorp yang memburukkan imej keluarganya pun sudah selesai. Jenuh pihak keluarganya turun naik mahkamah bagi menjawab tuduhan kes yang memalukan BN.

Kesnya sudah dibersihkan oleh mahkamah, dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli yang memutar belit fakta dalam isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan dan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) bagi memburukkan kerajaan. Mohd Rafizi didapati bersalah dan dihukum. Cuma masih tebal ‘kepercayaan’ orang ramai kepada cerita fitnah Rafizi hingga bagaikan melekat pada fikiran sesetengah orang. Jadi, adakah orang seperti Shahrizat tidak wajar diberi peluang semula untuk bertanding pada PRU-14? Shahrizat merupakan calon berkaliber memandangkan kapasiti beliau sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia. Bagaikan tidak ‘kena’ jika Ketua Wanita UMNO dan Pengerusi Wanita BN ini tidak mendapat tempat bertanding pada PRU-14. Beliau bukan calon yang tidak berkelayakan langsung untuk mewakili rakyat.

Kalau menang maka beliau berpeluang besar untuk dilantik menjadi menteri. Bolehlah Shahrizat meneruskan perancangannya yang mungkin tersekat apabila terpaksa melepaskan jawatan Kabinet pada 2012. Jawatan itu pun lantikan sebagai Senator (Ahli Dewan Negara).

Apakah UMNO mahu memberi laluan kepada Shahrizat kembali dalam Kabinet melalui lantikan Senator yang masih ada satu penggal lagi peruntukan kepadanya? Jika demikian, maka tempoh Shahrizat dalam Kabinet mungkin hanya tiga tahun sahaja.

Oleh itu, Shahrizat selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia perlu bertanding dalam PRU-14. Jika menang, beliau akan mendapat jawatan menteri penuh.

Shahrizat perlu bertanding, jika tidak, ia akan menge­cewakan jutaan ahli Wanita UMNO dan penyokong Wanita BN. Malahan langkah tidak pedulikan kedudukan Shahrizat boleh ‘mencemarkan semangat’ dan maruah para pejuang wanita dalam parti UMNO.

Seperkara lagi, jika mahu jadikan Shahrizat sebagai calon payung terjun sekalipun, janganlah dicampak di kawasan tidak selamat. Letaklah belaiu di tempat yang sewajarnya.

UMNO tidak harus takut mencalonkan semula Shahrizat. Menang atau kalah tidak siapa yang tahu.

UMNO harus bersikap lebih positif! Memang dakyah pembangkang melemparkan fitnah dan memburuk-buruk Ketua Wanita UMNO supaya jentera UMNO yang sebati digerakkan oleh Wanitanya dilumpuhkan. Hingga sekarang orang ramai masih percaya pada fitnah Rafizi. PRU-14 masa sesuai untuk Shahrizat membersihkan nama dan keluarganya, dan rakyat kembali yakin kepada UMNO dan BN.

Jika mahu Shahrizat menjadi calon payung terjun, jadikan beliau calon yang mendapat kepercayaan Presiden UMNO.

Sudah ada cakap-cakap me­ngatakan Shahrizat berke- mungkinan bertanding di Parlimen Sungai Besar, tidak kurang juga menyatakan beliau ke Parlimen Putrajaya, Wangsa Maju atau Setiawangsa di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Shahrizat menyifatkan cakap-cakap itu seperti tidak masuk akal. Beliau hanya menyerahkan perkara itu kepada presiden parti untuk diputuskan.

Begitulah Shahrizat, selaku Ketua Wanita UMNO, beliau tidak mahu mementingkan diri. Baginya pemimpin sedia ada masih mampu memberi khidmat dan masih ramai calon tempatan yang boleh diketengahkan untuk mewakili parti.

Jika demikian, adakah Shahrizat boleh dibiarkan dan dilupakan daripada bertanding?

ref:
http://detikoffline.blogspot.my/2018/03/ketua-wanita-umno-tak-boleh-jadi-calon.html

Pensyarah simpati dengan Dr Kamarul Zaman, dakwa kehadiran Tun M diketahui penganjur. 
MALAYSIADATELINE March 23, 2018 9:44 am.

Pensyarah Universiti Teknologi Petronas Dr Muhaimin Sulam yakin kehadiran Tun Mahathir Mohamad dalam wacana membicarakan tentang dirinya di Shah Alam semalam diketahui penganjur.

Dr Muhaimin yang juga naib pengerusi AMANAH Perak berkata, ada beberapa petunjuk membuktikan kehadiran pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu telah diketahui lebih awal oleh pihak penganjur, akhbar Sinar Harian.

Beliau juga bersimpati dengan panelis forum, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang dikenali amat kritikal dengan PH termasuk Tun Mahathir kerana nyata kurang selesa dengan kehadiran bekas perdana menteri itu.

“Walaupun saya banyak tidak sependapat dengan Dr Kamarul Yusoff dalam banyak perkara khususnya politik, saya sempati nasib beliau petang ini (semalam) ‘dimainkan’ oleh pihak penganjur.

“Beliau semacam dijadikan ahli gusti WWF yang dijadikan badut untuk dimalukan,” tulisnya di laman facebook.

Menurut Dr Muhaimin kedatangan Tun Mahathir bagaikan sudah diketahui awal oleh pihak penganjur ataupun moderator Nazri Kahar dari Astro Awani apabila beliau dua kali menyatakan betapa ‘tidak adil’nya membincangkan tuan badan yang tidak hadir dalam forum itu.

“Tambahan pula penganjur awal-awal mengosongkan dua kerusi depan bagi memberi ruang Tun M dan isterinya duduk. Ini satu perancangan yang tidak kemas, mudah dihidu. Saya mungkin berprasangka saja,” ujar Dr Muhaimin.

Menurutnya, kemunculan Tun M telah mengubah seluruh mood dan pendekatan program wacana tersebut dengan fokus hadirin lebih kepada tokoh negara itu.

“Ternyata politik media yang dimainkan oleh Sinar Harian adalah sesuatu yang mengejutkan tetapi ia suatu yang tidak wajar. Jumlah pelawat rancangan itu melonjak jauh naik. Ranking tinggi.

“Jari jemari Dr Kamalurzaman pun sempat bermain-main dengan telefon pintarnya. Bahasa tubuh beliau jelas protes dan bengang,” tulis Dr Muhaimin.

Menurut beliau, ‘agenda setting’ Sinar Harian seperti sedang membentuk persepsi bahawa Tun Mahathir sebagai PM Malaysia selepas PRU14.

Semalam Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan apabila hadir pada program Wacana Sinar Harian ke-53 yang berlangsung di Dewan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf).

Beliau tiba di lobi Karangkraf sekitar jam 4 petang ketika program bertajuk, ‘Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?’ sedang berlangsung.

Kehadiran bekas perdana menteri itu disambut dengan meriah oleh penyokong beliau yang hadir sama bagi mengikuti program wacana tersebut.

Tun Mahathir yang berpakaian lengkap serba kelabu turut ditemani isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.

Selain Dr Kamarul Zaman selaku Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), wacana itu turut menampilkan pakar psikologi Prof Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki dan Cikgu Fitness Malaysia Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

ref:
https://malaysiadateline.com/pensyarah-simpati-dengan-dr-kamarul-zaman-dakwa-kehadiran-tun-m-diketahui-penganjur/

Kamarul jawab Muhaimin, pemimpin AMANAH bodoh
Kamarul Zaman Yusoff  |  Diterbitkan 25 Mei 2017, 11:55 pagi  |  Dikemaskini 25 Mei 2017, 12:52 tengah hari

ULASAN l Saya tertarik untuk mengulas tulisan Naib Pengerusi 1 Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Dr Muhaimin Sulam, bertajuk “Sukarnya berwacana jika bahasa kita berbeza” yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini pada pukul 12:58 tengahari, 24 Mei 2017, sekaligus mengulas tulisan beberapa orang pemimpin AMANAH lain.

Di antara lainnya, Dr Muhaimin Sulam menulis begini:

“Kamarul Zaman adalah seorang penutur bahasa politik yang baik. Adalah tidak benar jika beliau dituduh sebagai sarjana bodoh. Lebih daripada itu, jangan diheret sama universiti yang menaunginya dalam perbahasan wacananya.”

“Universiti itu tidak bersalah dan tidak perlu dihukum kerana bahasa Kamarul Zaman.”

“Pihak yang menuduh beliau sebagai bodoh - pada mata saya - adalah pembaca suatu doktrin politik juga.”

“Noam Chomsky membahagikan bahasa kepada dua; bahasa mengikut kamus dan bahasa mengikut doktrin. Mana mungkin graduan Indiana University dengan pointer tinggi, serta anak didik Prof Dr Redzuan Othman di Universiti Malaya (UM) boleh dihukum bodoh semudah itu?”

Sambung Dr Muhaimin Sulam lagi:

“Bagi saya Kamarul Zaman bijak menggunakan bahasa sebagai modal sosial yang berharga bagi Umno dan PAS. Gagasannya mudah difahami oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu. Sikit atau banyak yang faham, itu persoalan lain.”

“Hampir keseluruhan tulisan Kamarul Zaman cuba membina persepsi bahawa pembangkang - terutamanya Pakatan Harapan - sebagai bermasalah dan salah. Itu objektifnya. Itu motif akhirnya.”

“Sepintas lalu, beberapa terma digunakan Kamarul Zaman seperti, bacul, bodoh, ekstrim, hipokrasi, rakus, dominan, tidak siuman dan lain-lain bolehlah saya kategorikan sebagai persoalan seputar isu Melayu dan Islam yang bersifat etniksiti dan agama. Inilah dogma yang hendak dikemukakan oleh beliau kepada khalayak.”

“Khalayak yang memiliki tahap bahasa yang selari dengan bahasa yang digunakan oleh Kamarul Zaman akan mudah menerima hujah pensyarah universiti itu.”

Terima kasih kepada Dr Muhaimin Sulam kerana masih berfikiran rasional, walaupun sebahagian besar pemimpin AMANAH lain sudah kelihatan dibawa oleh arus emosi, dengan menegur para pemimpin AMANAH, para pemimpin DAP dan para penyokong mereka yang menyifatkan saya sebagai bodoh, atau, di dalam bahasa Khalid Samad, bodoh tahap maksima, walaupun beliau sendiri adalah seorang pemimpin AMANAH.

Walaupun begitu, perlu dinyatakan bahawa saya adalah seorang individu yang suka bercakap atau menulis secara terus-terang, iaitu “straight to the point”, dan bukannya seorang individu yang suka bercakap atau menulis secara puitis dan bombastik sehingga kadangkala terlalu sukar sekali difahami apa isi sebenarnya seperti Dr Muhaimin Sulam.

Perlu diakui bahawa saya, tanpa sebarang provokasi, pernah menggunakan istilah keras seperti “kelentong” di dalam tulisan saya pada 8 April lalu bagi merujukkan kepada Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua; “tohmahan” di dalam tulisan saya pada 25 April lalu bagi merujukkan kepada Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan; dan “hipokrasi” di dalam tulisan saya pada 10 Mei lalu bagi merujukkan kepada DAP.

Bagaimanapun, penggunaan istilah keras tersebut, pada hemat saya, ada justifikasinya.

Istilah-istilah keras lain seperti “bacul”, “bodoh” dan “ekstrim” yang disebutkan oleh Dr Muhaimin Sulam pula sebenarnya hanyalah pemulangan kembali istilah-istilah keras tersebut yang dilemparkan kepada saya sebelumnya oleh para pengkritik saya.

Ini pun sebenarnya tidak bersalahan dengan ajaran Islam sendiri yang di antara lainnya menyebut bahawa “Dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang)” dan bahawa “Maka balaslah pencerobohan itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu”.

Pemimpin AMANAH tidak mampu berhujah

Apa pun, isu-isu yang membabitkan saya dengan Hannah Yeoh dan DAP beberapa hari kebelakangan ini sekadar menjelaskan lagi kepada masyarakat umum mengenai hakikat bahawa AMANAH adalah sebuah parti politik yang diisi oleh segerombolan manusia yang sebahagian besarnya tiada kemampuan untuk berhujah secara intelektual tetapi hanya sekadar tahu menggunakan bahasa kasar untuk menyerang individu lain yang “menyentuh” DAP.

Seperti ramai yang mengikuti isu-isu ini sedia maklum, para pemimpin AMANAH sangat terkehadapan di dalam mempertahankan Hannah Yeoh dan DAP sehinggakan ada masanya belum pun para pemimpin DAP sempat menjawab apa-apa kritikan yang diberikan ke atas mereka, para hulubalang AMANAH sudah terlebih dahulu keluar berpencak silat di gelanggang bagi menepis kritikan terhadap DAP.

Apabila saya membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh pada 17 Mei lalu, terus sahaja para pemimpin AMANAH keluar mempertahankan Hannah Yeoh.

Khalid Samad "membodoh tahap maksimakan" saya kerana kononnya menghujahkan bahawa “tak boleh ada apa-apa buku tulisan mengenai agama lain yang dijual di Malaysia”.

Bila saya jelaskan bahawa tiada sepatah pun di dalam laporan polis ayat yang menggambarkan saya mahu buku Hannah Yeoh diharamkan dan betapa sejak 17 Mei lagi telah terpapar di dalam portal berita NST Online kenyataan saya bahawa buku Hannah Yeoh sepatutnya tidak dijual di rak terbuka tetapi dijual di rak Kristian, tiada siapa pun dari pemimpin AMANAH yang berani mengulasnya.

Salahudin Ayub pula mendakwa Hannah Yeoh diberi kebebasan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengamalkan agama pegangan beliau dengan aman dalam negara kita.

Bila saya jelaskan bahawa kebebasan beragama ini adalah dibataskan oleh Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa “Undang-undang Negeri dan, berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam” dan oleh Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di peringkat negeri yang memperuntukkan bahawa “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seseorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderung kepada agama itu”, tiada siapa pun dari pemimpin AMANAH yang berani mengulasnya.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Zolkharnain Abidin pula mempersoalkan mengapa saya tidak terlebih dahulu mengajak Hannah Yeoh berwacana mengenai kandungan buku beliau.

Bila saya jelaskan bahawa lontaran begini patut ditujukan kepada Hannah Yeoh, bukan kepada saya, kerana beliaulah yang pertama sekali membuat laporan polis terhadap saya sebelum saya membuat laporan polis terhadap beliau, tiada siapa pun dari pemimpin AMANAH yang berani mengulasnya.

Tiga pengakuan Hannah Yeoh

Punca sebenar isu buku Hannah Yeoh timbul ialah kerana tiga pengakuan beliau sendiri, iaitu mengenai betapa beliau menggunakan jawatan politik beliau untuk berdiayah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda; mengenai betapa beliau menyeru agar penganut Kristian membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia; dan mengenai betapa beliau bercita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam.

Bagaimanapun, sehingga kini Hannah Yeoh sendiri mahupun para pemimpin AMANAH dan para pemimpin DAP serta para penyokong mereka gagal membuat apa-apa penjelasan yang memuaskan mengenai pengakuan Hannah Yeoh ini, yang menjadi intipati kepada tulisan awal saya pada 10 Mei lalu bahawa Hannah Yeoh adalah contoh hipokrasi terbesar DAP.

Cabar buat laporan polis, saman fitnah

Begitu juga bila saya umumkan pada 22 Mei lalu bahawa saya telah memulakan inisiatif untuk menyediakan satu memorandum bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberi surat tunjuk sebab kepada DAP mengapa pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan dan seterusnya membatalkan pendaftaran DAP jika DAP gagal memberi representasi yang memuaskan kepadanya selari dengan peruntukan Seksyen 2A (1) dan Seksyen 13 (1) (c) Akta Pertubuhan, dan bahawa setakat itu sudah lebih 100 ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, termasuk 18 Profesor dan 24 Profesor Madya, yang bersetuju, di atas kapasiti peribadi mereka, untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini, terus sahaja para pemimpin AMANAH keluar mempertahankan DAP.

Pengumuman tersebut saya buat pada pukul 7:06 pagi.

Pada pukul 3:06 petang, Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin, terus keluar menyatakan saya tidak cerdik dan tindakan saya memang tidak cerdik, kononnya kerana bersusah-payah hendak membuat benda yang tidak perlu dibuat.

Pada pukul 6:39 petang, Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim, mengeluarkan satu kenyataan rasmi di atas nama KANUN mendakwa bahawa tindakan saya membuat memorandum terhadap DAP adalah salah satu tindakan bagi mendapatkan publisiti murahan semata-mata dan bahawa sekatan ke atas kebebasan berpersatuan hanya boleh dilakukan jika ada ancaman keselamatan ke atas Persekutuan atau ketenteraman awam.

Tambah beliau lagi, KANUN juga melihat tindakan saya lebih berbentuk hasutan kepada orang ramai khasnya orang-orang Melayu untuk membenci DAP dan seterusnya menolak untuk mengundi Pakatan Harapan di dalam PRU 14.

Pada pukul 7:38 petang pula, Ketua Pemuda AMANAH Perak yang juga seorang peguam, Mohd Fitri Asmuni, pula berpencak dengan menuduh saya sebagai cybertrooper bertaraf doktor, penulisan saya tidak lebih dari sampah yang tidak mempunyai nilai akademik sekalipun saya berjawatan doktor dan penulisan saya memenuhi ciri-ciri untuk tindakan saman fitnah difailkan terhadap saya.

Bandingkan kekerasan dan kekerapan tindakan para pemimpin AMANAH membela DAP dalam isu memorandum ini dengan hanya satu kenyataan rasmi dari DAP pada hari itu, yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini pada 23 Mei, iaitu oleh Ketua Pemuda Kebangsaan DAP, Wong Kah Woh, yang berbunyi:

“One do not need a PhD, or a Bachelor of Arts with Double major from Indiana University at Bloomington (IUB), or to be a Senior Achievement Award winner, to understand the 51-years-struggle of DAP for a better Malaysia. Kamarul Zaman just need to get hold of a copy of the DAP Constitution and read it through if he is reluctant to dig into the historical profiles and struggles of DAP in the archives.”

Kepada Wong Kah Woh, suka saya maklumkan bawa saya telah lama mengkaji Perlembagaan DAP dan telah kerap kali membuat komentar mengenainya, termasuk di dalam akhbar Berita Harian sejak 26 Jun 2015 lagi.

Kamulah yang sebenarnya tidak cerdik kerana tidak memahami Perlembagaan DAP walaupun kamu sendiri bergelar Ketua Pemuda Kebangsaan DAP.

Kepada Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin, kamulah juga yang sebenarnya tidak cerdik dan tindakan kamulah yang sebenarnya memang tidak cerdik kerana sebab yang akan saya nyatakan selepas ini.

Kepada Wan Anwar, bagaimana seorang peguam seperti kamu boleh menyatakan bahawa sekatan ke atas kebebasan berpersatuan hanya boleh dilakukan jika ada ancaman keselamatan ke atas Persekutuan atau ketenteraman awam sedangkan Seksyen 2A (1) dan Seksyen 13 Akta Pertubuhan terang-terang memberikan kuasa kepada Pendaftar Pertubuhan untuk membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan yang didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan?

Suka juga saya mencabar Wan Anwar supaya membuat laporan polis kepada saya di bawah Akta Hasutan jika benar tulisan saya adalah berbentuk hasutan.

Suka juga saya mencabar Mohd Fitri Asmuni, supaya mengambil tindakan saman fitnah terhadap saya jika benar tulisan saya mengandungi fitnah.

Pemimpin AMANAH bodoh

Mengapa saya kata pemimpin AMANAH bodoh? Saya katakan pemimpin AMANAH bodoh kerana mereka sendiri sering menyatakan kebimbangan mengenai kurangnya sokongan orang-orang Melayu Islam terhadap Pakatan Harapan.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, malah pernah secara terbuka berucap di hadapan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, begini pada 7 Februari lalu:

“Isu yang kita bawa ini, iya, banyak. Tapi kalau jatuh BN, apa nak jadi pada orang Melayu? Ini tanggapan persepsi, bukan satu fakta. Tapi inilah yang dihadapi oleh kita menjelang pilihan raya yang akan datang. Memang pilihan raya yang ke 2013 kita janji nak hapuskan PTPTN, nak hapuskan tol, nak beri elaun kepada wanita yang tidak bekerja. Cukup menarik Buku Jingga kita.

"Tetapi orang Melayu bertanya, kalau jatuh BN, apa nasib pada orang Melayu? Inilah kita kena bina persepsi ini, terutama sekali rakan-rakan daripada DAP jugak kena membantu nak mengubah persepsi ini.”

Persepsi DAP anti-Melayu anti-Islam ini sudah lama tertanam di kalangan orang-orang Melayu Islam. Kalau persepsi ini dibuat-buat takkanlah dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan milik Kerajaan Selangor, yang DAP sendiri sebahagian daripadanya, antara 13 hingga 15 November 2015 mendapati 64 peratus daripada 1,716 respondennya di Selangor bersetuju DAP anti Islam.

Kalau persepsi ini dibuat-buat takkanlah sampai sekarang Lim Kit Siang, tidak berani mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menyebut bahawa DAP anti-Islam walaupun menyebut mahu berbuat demikian sejak 28 Januari lagi.

Kita pergi kepada kandungan memorandum yang kami, lebih 100 ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, ingin kemukakan bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan memberi surat tunjuk sebab kepada DAP mengapa pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan dan seterusnya membatalkan pendaftaran DAP jika DAP gagal memberi representasi yang memuaskan kepadanya selari dengan peruntukan Seksyen 2A (1) dan Seksyen 13 (1) (c) Akta Pertubuhan.

Hakikat betapa aktiviti-aktiviti dan hal ehwal DAP adalah berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai “Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia” seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 2A (1)(b) Akta 335 terbukti kerana induk yang mendasari aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal DAP, iaitu Perlembagaan DAP, hanya menyebut mengenai “Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi” (Fasal II (4)) tanpa mengandungi pengiktirafan ke atas “Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia”.

Hakikat betapa aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal DAP adalah berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai “Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak” seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 2A (1)(d) Akta 335 terbukti kerana induk yang mendasari aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal DAP, iaitu Perlembagaan DAP, hanya menyebut mengenai “Memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia” (Fasal II (2)), atau mengenai “Memberi peluang yang saksama dan mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai-nilai dalam pasaran yang bersaing dan tata ekonomi yang menegaskan penciptaan kekayaan dan pengagihan kekayaan yang saksama” (Fasal II (10)), atau mengenai “Berjanji untuk mempertingkatkan taraf pendidikan berdasarkan hanya kepada merit dan keperluan, serta memberikan akses penuh dan peluang yang sama kepada pendidikan peringkat awal, peringkat menengah dan peringkat tinggi, terutamanya sektor-sektor teknologi maklumat yang mengutamakan ilmu” (Fasal II (11)), tanpa mengandungi pengiktirafan ke atas “Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak”.

Jika DAP mahu terus bernyawa setelah diberikan surat tunjuk sebab oleh Pendaftar Pertubuhan, maka sudah tentulah DAP di antara lainnya perlu meminda perlembagaannya bagi memasukkan pengiktirafan ke atas “Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia” dan bagi memasukkan pengiktirafan ke atas “Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak”.

Jika ini berlaku maka sudah tentulah serangan bahawa DAP anti-Melayu anti-Islam akan berkurangan, jadi tidakkah ini akan membantu kamu, para pemimpin AMANAH, untuk membantu menarik sokongan orang-orang Melayu Islam terhadap Pakatan Harapan?

Kuda tunggangan DAP

Mengapa pula saya katakan pemimpin AMANAH kuda tunggangan DAP? Saya katakan pemimpin AMANAH kuda tunggangan DAP kerana tindak-tanduk mereka dan tindak-tanduk pemimpin DAP sendiri sering memperlihatkan bahawa pemimpin AMANAH diperkudakan oleh pemimpin DAP.

Seperti disebutkan di dalam tulisan ini sebelum ini, para pemimpin AMANAH sangat terkehadapan di dalam mempertahankan Hannah Yeoh dan DAP sehinggakan ada masanya belum pun para pemimpin DAP sempat menjawab apa-apa kritikan yang diberikan ke atas mereka, para hulubalang AMANAH sudah terlebih dahulu keluar berpencak silat di gelanggang bagi menepis kritikan terhadap DAP.

Seperti disebutkan di dalam tulisan lain sebelum ini, setelah pemimpin PAS yang kalah di dalam pemilihan PAS pada tahun 2015 keluar dari PAS dan menubuhkan AMANAH, rekod menunjukkan pemimpin DAP yang memberi nyawa kepada mereka melalui pelbagai cara, sama ada melalui saluran parti atau Kerajaan Pulau Pinang yang dimiliki DAP.

Belum pun AMANAH dilancarkan, Lim Kit Siang sudah mengumumkan di Gelang Patah pada 5 September 2015 bahawa keutamaan terbesar selepas 16 September (pelancaran AMANAH) adalah merangka rencana terperinci bagi merampas Johor.

Di saat ada pemimpin pembangkang, khususnya dari PKR, yang belum bersetuju Pakatan Harapan ditubuhkan pada 22 September 2015, pemimpin DAP-lah yang bekerja keras bagi meyakinkan mereka supaya menubuhkannya segera demi kelangsungan AMANAH.

Sehari selepas Pakatan Harapan diwujudkan, Setiausaha Agung DAP selaku Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus mengumumkan keputusan mesyuarat bahawa kerajaan itu digelar sebagai Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, bersama jawatan untuk AMANAH.

Dari sudut ideologi pula, Liew Chin Tong sejak awal-awal lagi mewajibkan AMANAH supaya memenuhi mandat progresif/sederhana dan mengemukakan satu wacana menyeluruh post-Islamis mengenai maqasid syariah bagi memenangi sokongan lebih ramai rakyat Malaysia.

Untuk makluman para pemimpin AMANAH, taktik DAP memperkudakan parti lain untuk kepentingan DAP ini pernah diakui oleh Lim Kit Siang sendiri di dalam kenyataan yang diberikan oleh beliau kepada Andy Mickey Choong Tek Choy pada 20 Mac 2006.

Kenyataan Lim Kit Siang ini dimuatkan oleh Andy Mickey Choong Tek Choy di dalam tesis sarjana beliau bertajuk “Democratic Action Party of Malaysia and the Politics of Opposition Coalition Building” dengan National University of Singapore.

“DAP strategy within the opposition grouping was to buttress the young party and hoped that a prolonged opposition cooperation may be sustained and the PKR may come to maturity and lead the opposition forces not in the coming general election but the next. Hence, the DAP were willing to extend the level of cooperation from the various loose alliances with political parties and CSAs and took the next step of transforming the cooperation to a structured opposition coalition for electoral contestation. By doing so, the DAP viewed that it was able to fulfill their long term commitment to Malaysian society and at the same time checking on the expansion of PAS by supporting the development of PKR, which lacked the political machinery and resources as compared to the established political parties.”

“Furthermore, the DAP in the acknowledgement of political realities, attempted to use PKR and Anwar as a counter balance to PAS growth in the Malay political cleavage... In supporting the growth and development of PKR and the cultivation of Anwar supporters, the DAP was able to check on the growth and influence of the PAS in the opposition camp from within a structured coalition.”

Kenyataan Lim Kit Siang ini menggambarkan betapa liciknya strategi DAP, berkawan dengan PAS di dalam satu pakatan politik, tetapi di dalam masa yang sama berusaha keras untuk memastikan PAS tidak terlalu kuat dengan membantu perkembangan PKR bagi memastikan PKR boleh digunakan untuk menghalang perkembangan PAS.

Kini apakah tidak mungkin strategi sama sedang digunakan oleh DAP, iaitu berkawan dengan PKR di dalam satu pakatan politik, tetapi di dalam masa yang sama berusaha keras untuk memastikan PKR tidak terlalu kuat dengan membantu perkembangan AMANAH bagi memastikan AMANAH boleh digunakan untuk menghalang perkembangan PKR?

Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

ref:
https://www.malaysiakini.com/news/383443

‘Saya bukan bodoh, UUM juga bukan universiti kelas rendah’
May 20, 2017
Oleh Dr Kamarul Zaman Yusuff

Yang sebenarnya bodoh dan yang sebenarnya ekstremis adalah mereka yang tidak berhujah berdasarkan kepada fakta dan yang tidak mahu mengikut undang-undang.

Beberapa orang pengkritik saya mempertikaikan tahap kecerdikan saya dan mengaitkannya dengan kualiti universiti tempat saya berkhidmat mahupun universiti-universiti tempatan lain.

Pengarah Komunikasi Amanah merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan saya sebagai “bodoh tahap maksima”.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mempertikaikan kualiti kesarjanaan saya dan pensyarah universiti tempatan lain. Tulis Lim Lip Eng: “Many citizens are worried about the quality of our local university lecturers after Kamarul’s statement”.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dilapor mempersoalkan kredibiliti saya sebagai ahli akademik yang sepatutnya berfikiran matang memahami konsep penulisan buku Hannah Yeoh.

Penolong Setiausaha Publisiti Wanita Kebangsaan DAP, Syerleena Abdul Rashid mempersoalkan kelayakan saya sebagai ahli akademik. Tulis Syerleena Abdul Rashid: “Any sound minded Malaysian would laugh at the absurdity of his remark and quite possibly question his credentials as a learned academician”.

Kolumnis Malaysiakini, Stephen Ng menyifatkan saya memalukan dunia akademik dengan menyifatkan saya sebagai separuh masak dan berpandangan sempit, dan ini dikaitkan beliau dengan ranking UUM yang didakwa rendah. Tulis Stephen Ng: “Kamarul Zaman Yusoff, a lecturer at Universiti Utara Malaysia (UUM), has indeed joined the ranks of controversial academic figures who continue to bring disgrace to the academia. Half-baked and narrow-minded political scientist is how I would describe him. If this is the kind of academic staff that we have at UUM, it is no wonder why UUM has never been ranked highly, locally and internationally.”

Ada di antara pengkritik saya ini yang turut melabelkan saya sebagai ekstrimis dan mengaitkannya dengan kesesuaian saya untuk berkhidmat di universiti.

Penasihat DAP merangkap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendakwa laporan polis saya menimbulkan soalan sama ada saya cocok dan sesuai untuk menjadi seorang pensyarah sebuah universiti awam. Tulis Lim Kit Siang: “Kamarul Zaman Yusof’s false and malicious police report against Selangor Speaker and DAP Selangor State Assemblywoman for Subang Jaya, Hannah Yeoh, accusing her of proselytization of Muslims with the publication of her autobiography “Becoming Hannah”, raises the question whether he is fit and proper to be a lecturer of plural Malaysia’s public universities.”

Naib Pengerusi DAP merangkap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mendakwa pandangan sempit dan ekstrem saya menyebabkan saya tidak sesuai untuk terus menjadi seorang pendidik. Tulis Teresa Kok: “Being a university lecturer, Kamarul’s narrow and extreme way of looking at Yeoh’s book makes one wonder if he is suitable to continue to be an educationist.”

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyebut saya sebagai seorang pelampau yang tidak sesuai menjadi seorang pensyarah. Kata Chong Chieng Jen: “Not only is his bigotry act a shame to a multi-racial country of ours, but he, as a lecturer, will influence the minds of the younger generation to be more intolerant towards other religion.”

Kolumnis Free Malaysia Today, Dennis Ignatius, menyebut saya sebagai seorang ahli akademik yang tidak berkaliber, berpandangan sempit dan pelampau. Tulis Dennis Ignatius: “It’s hard to make sense of such convoluted and confused reasoning. That it should come from a university lecturer speaks volumes about the calibre of those now occupying positions of influence in our universities today. How long must our nation suffer the narrow-mindedness and bigotry of insecure people who still find it hard to accept that Malaysia is a secular, multiracial nation?”

Kepada semua pengkritik saya ini, suka saya tegaskan beberapa perkara.

Pertama, komentar saya bertajuk “Hannah Yeoh Contoh Hipokrasi Terbesar DAP” pada 10 Mei lalu, mahupun komentar-komentar lain yang berkaitan, hanyalah komentar peribadi yang dimuatkan di dalam Facebook saya. Begitu juga dengan laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh pada 17 Mei lalu yang turut merupakan laporan polis yang dibuat di atas kapasiti peribadi saya.

Kedua-duanya tidak mempunyai sebarang hubung kait pun dengan institusi pengajian tinggi tempat saya bertugas sekarang iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), dan adalah cukup tidak kena untuk anda semua mengaitkan tindakan yang dibuat di atas kapasiti peribadi saya ini dengan UUM mahupun mana-mana institusi pengajian tinggi tempatan lain.

Tambahan pula, saya hanya mula bertugas di UUM pada 26 Januari 2015 dan tidak mempunyai sebarang jawatan tinggi di sini melainkan sebagai Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), sedangkan UUM sendiri telah berpuluh tahun wujud, jadi lebih tidak adil untuk mengaitkan tindakan saya dengan UUM.

Kedua, saya tidaklah sebodoh dan seekstremis seperti yang anda sangkakan. Bukanlah niat saya untuk berbangga, tetapi disebabkan terpaksa, maka sukalah saya maklumkan kepada anda bahawa ijazah pertama saya adalah diperoleh dari sebuah institusi pengajian tinggi sekular dari sebuah negara sekular iaitu dari Indiana University, Bloomington (IUB), Amerika Syarikat.

Ijazah Bachelor of Arts, Double Major, yang saya peroleh dari IUB adalah dengan Kepujian Tertinggi iaitu yang dikhususkan kepada graduan yang menamatkan pengajian dengan memperoleh Cumulative Grade Point Average (CGPA) antara 3.90 ke 4.00.

Selain itu, saya juga adalah penerima Senior Achievement Award iaitu satu anugerah yang dikhususkan kepada pelajar yang mempunyai rekod akademik yang cemerlang dan yang ditunjuk oleh jabatan atau pusat pengajian mereka sebagai mempunyai potensi luar biasa dalam bidang mereka.

Sewaktu berada di Amerika Syarikat, saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk belajar dan bergaul bersama masyarakat bukan Islam dari luar negara. Saya juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja dan bergaul bersama masyarakat bukan Islam di Malaysia. Malah, saya cukup menyenangi dan disenangi oleh mereka, termasuklah dengan para pelajar mahupun rakan setugas saya di UUM.

Setakat ini, pendapat yang saya kemukakan juga belum ada lagi yang mencerminkan kebodohan dan keekstremisan. Saya selalunya akan berhujah berdasarkan kepada fakta dan sentiasa mengikut undang-undang.

Jadi sangatlah tidak betul jika anda menyifatkan saya sebagai bodoh, tidak berkualiti, tiada kredibiliti, tidak berkelayakan, tidak berkaliber, separuh masak, berpandangan sempit, ekstremis atau pelampau.

Ketiga, walaupun saya sendiri baru lebih 2 tahun bertugas di UUM, saya cukup berbangga dengan pelbagai pencapaian memberangsangkan yang telah diterima oleh UUM sama ada di peringkat kebangsaan atau di peringkat antarabangsa.

Terlalu panjang senarai anugerah yang telah diterima oleh UUM sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi 2 contoh yang boleh diberikan adalah anugerah “the Best Eminent Management University in Malaysia” yang diberikan oleh Global Brands Magazine dan anugerah GIFA Market Leadership Award 2016 (Bagi Pendidikan dalam Perbankan & Kewangan Islam) yang diberikan kepada Islamic Business School (IBS) UUM oleh Global Islamic Finance Awards (GIFA) pada tahun 2016.

Jadi sangatlah tidak betul jika anda memandang rendah kepada UUM mahupun universiti-universiti tempatan lain yang setiap satunya tentulah mempunyai kekuatan masing-masing.

Yang sebenarnya bodoh dan yang sebenarnya ekstremis adalah mereka yang tidak berhujah berdasarkan kepada fakta dan yang tidak mahu mengikut undang-undang, termasuklah juga mereka yang sanggup memperlekehkan semua perkara yang berbau keMelayuan atau keIslaman semata-mata untuk undi.

Dr Kamarul Zaman Yusuff adalah pensyarah Universiti Utara Malaysia

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

ref:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2017/05/20/saya-bukan-bodoh-uum-juga-bukan-universiti-kelas-rendah/

DAP kuasai M'sia: Ramalan Tun M jadi kenyataan?
Mac 28, 2018  Kritikan
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

Dr Mahathir dan ramai lagi pemimpin Pakatan Harapan  (PH) lain sering menyebut bahawa DAP tidak akan mampu untuk menguasai kerajaan jika PH menang di dalam PRU 14.

Inilah yang Tun Dr Mahathir nyatakan sewaktu diasak oleh saya di dalam Wacana Sinar Harian Ke-53 khamis lalu dan inilah juga yang dinyatakan oleh pengkagum beliau dalam Facebook saya.

Alasan mereka adalah kerana jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh DAP di dalam PRU 14 tidak akan lebih banyak daripada gabungan kerusi PKR, PPBM dan PAN.

Satu lagi alasan mereka adalah kerana pemimpin PH telah bersetuju sejak 8 Januari lalu bahawa calon Perdana Menterinya adalah Tun Dr Mahathir, bukan pemimpin DAP.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir dan para penyokong beliau mungkin sudah lupa bahawa soal ini sebenarnya sudah dijawab oleh beliau sendiri di dalam satu tulisan beliau pada 13 Mac 2014.

Di dalam tulisan ini, Tun Dr Mahathir menepis pandangan yang menyatakan bahawa Cina yang menjadi minoriti tidak akan mampu untuk menguasai Malaysia sebagaimana Cina menguasai Singapura.

Kata Tun Dr Mahathir: “Menjadi Perdana Menteri secara fizikal adalah tidak perlu. Jika Perdana Menteri berada di bawah kawalan DAP maka ia akan menjadi sebuah kerajaan yang didominasi oleh Cina.”

(Ayat sebenar Tun Dr Mahathir: “Physically holding office is not necessary. If the Prime Minister is totally under the control of the DAP then it would become a Chinese dominated Government.”)

Kata Tun Dr Mahathir lagi: “Hari ini Melayu terbahagi kepada tiga buah parti. Untuk mana-mana parti menang, sokongan Cina adalah penting. Parti-parti Melayu bergantung kepada undi Cina untuk menang. DAP melihat ini sebagai satu peluang untuk memilih parti Melayu mana akan menang.”

(Ayat sebenar Tun Dr Mahathir: “Today the Malays are divided into three parties. For any party to win, Chinese support is essential. The Malay parties have become dependent on Chinese votes to win. The DAP sees this as an opportunity to choose which Malay party should win.”)

Tambah Tun Dr Mahathir: “Mereka (pemimpin DAP) percaya bahawa Pakatan mereka akan menang cukup kerusi (di dalam PRU 13) untuk membentuk Kerajaan. Ia akan menjadi Kerajaan yang tunduk kepada DAP kerana jika DAP keluar maka Pakatan akan tumbang.”

(Ayat sebenar Tun Dr Mahathir: “They (DAP leaders) believed that their Pakatan would win enough seats (in the 13 GE) to form the Government. It would be a DAP subservient Government because if it (DAP) leaves the Pakatan it will fall.”)

Bagaimanapun, kata Tun Dr Mahathir lagi, walaupun kalah di dalam PRU 13, DAP tetap tidak berputus asa (the DAP is not about to give up): “Akan ada peluang lain di dalam PRU 14. Jika kecenderungan ke arah kemerosotan sokongan terhadap BN berterusan, ia mungkin menyebabkan visi DAP mengenai dominasi Cina dalam politik dan ekonomi akan terlaksana. Malaysia akan menjadi seperti Singapura.”

(Ayat sebenar Tun Dr Mahathir: “There will be another opportunity in the 14th General Election. If the trend toward declining support for BN continues, it may result in the DAP vision of Chinese dominance in politics as well as the economy being realised. Malaysia will be like Singapore.”)

Sama-samalah kita nantikan apakah ramalan Tun Dr Mahathir bahawa visi DAP mengenai dominasi Cina dalam politik dan ekonomi, dan Malaysia akan menjadi seperti Singapura, selepas PRU 14 akan terlaksana atau tidak.

Paling sadis dan ironis sekali adalah hakikat bahawa, jika ramalan Tun Dr Mahathir ini menjadi kenyataan, ia sebahagian besarnya adalah berpunca daripada saham yang disumbangkan oleh beliau sendiri. Semoga Tun Dr Mahathir tidak lupa ramalan beliau ini. -

ref:
http://detikoffline.blogspot.my/2018/03/dap-kuasai-msia-ramalan-tun-m-jadi.html

BETULKAH BUMIPUTERA ISLAM SOKONG PAKATAN HARAPAN DAN PARTI WARISAN SABAH?

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Sabah yang juga Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew, menyebut di dalam sidang media beliau bahawa gabungan Pakatan Harapan Sabah dan Parti Warisan Sabah berpeluang cerah untuk menguasai negeri Sabah dalam PRU 14.

Kata Christina Liew, beliau percaya kemenangan ini akan terhasil ekoran peralihan sokongan (swing) bumiputera Islam kepada mereka ekoran kehadiran bekas Naib Presiden UMNO yang kini merupakan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Berdasarkan kepada pemerhatian saya, memang strategi Pakatan Harapan Sabah dan Parti Warisan Sabah ini agak bijak, iaitu dengan membiarkan Parti Warisan Sabah, yang tidak menganggotai Pakatan Harapan secara rasmi, untuk menguasai agihan kerusi di Sabah.

Melalui strategi ini, di peringkat Dewan Undangan Negeri, Parti Warisan Sabah diberikan 45 kerusi berbanding PKR 8 kerusi dan DAP 7 kerusi, sekali gus memberikan persepsi bahawa jika mereka menang yang akan berkuasa adalah parti Sabah, bukan parti Semenanjung.

Begitu juga dengan strategi untuk tidak membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak disukai oleh majoriti rakyat Sabah berkempen di Sabah yang memberikan persepsi sama walaupun Datuk Seri Mohd Shafie sebenarnya dilihat sebagai proksi Tun Dr Mahathir.

Bagaimanapun, melihat kepada susunan organisasi Parti Warisan Sabah, saya agak sukar untuk berkongsi keyakinan Christina Liew bahawa akan berlaku peralihan sokongan (swing) bumiputera Islam kepada Pakatan Harapan Sabah dan Parti Warisan Sabah dalam PRU 14.

Dapat dilihat bahawa Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah adalah Ignatius Dorell Leiking, Naib-Naib Presidennya adalah Wong Hong Jun @ Junz dan Datuk Peter Anthony, Setiausaha Agungnya adalah Loretto S Padua Jr dan Bendahari Agungnya adalah Terence Siambun.

Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah, Ignatius Dorell Leiking, yang bertanding di P174 Penampang, adalah bekas Naib Presiden PKR, manakala Naib Presidennya, Wong Hong Jun @ Junz, yang bertanding di N17 Tanjong Aru, adalah bekas Ketua Pemuda DAP Sabah.

Begitu juga dengan calon Parti Warisan Sabah di N20 Moyog, Jenifer Lasimbang, yang merupakan adik kepada calon DAP di N19 Kapayan, Jannie Lasimbang, adalah Timbalan Ketua Wanita PKR Sabah, yang menunjukkan ini adalah percaturan politik semata-mata.

Calon Parti Warisan Sabah di P180 Keningau, Datuk Jake Jikulin Nointin, adalah bekas Ketua Pemuda PBS manakala calonnya di N32 Tambunan, Justin Bin Alip, yang juga adik ipar Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, adalah bekas Ketua Penerangan PBS Tambunan.

Calon Parti Warisan Sabah di P185 Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, adalah bekas Presiden Liberal Democratic Party, begitu juga dengan calonnya di N31 Paginatan, Dr Julian @ Paul Sidin, bekas pensyarah UMS, yang merupakan bekas pemimpin Parti Anak Negeri.

Adalah diragui bahawa nama-nama lain, termasuklah Paderi-Paderi Kristian, iaitu Maklin Masiau di N3 Pitas dan Ahuar Rasam di N38 Nabawan, boleh meyakinkan bumiputera Islam untuk mengundi Pakatan Harapan Sabah dan Parti Warisan Sabah dalam PRU 14.

Tambah-tambah lagi bila tersebar video Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony, yang juga calonnya di N35 Melalap, berceramah: “Sepatut kalau dia dilantik sebagai Menteri, dia kasi orang-orang jadi orang Kristian di negeri Malaysia kita ni”.

Begitu juga dengan Maklin Masiau, bekas Pengerusi Persekutuan Guru-Guru Kristian Sabah dan Pegawai Tugas Khas Sekretariat Majlis Gereja Sabah, umpamanya yang pernah mendakwa “Malaysia yang ada sekarang lahir dari sekolah-sekolah mission (Kristian)”.

Paling tragis adalah Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, yang berkali-kali mengumumkan keyakinan beliau bahawa Sabah akan menjadi negeri pertama jatuh ke tangan Pakatan Harapan walhal sebiji kerusi pun tidak diperuntukkan kepada parti itu di Sabah.

Kalau menang pun, setakat menang sorak sajalah nampaknya Parti Amanah Negara ini.

ref:
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=2138471856163743&id=1644910628853204

...

Tiada ulasan: