Khamis, 21 Jun 2018

Firman Allah maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah al-Zariyat ayat 56) 7798.



MANUSIA DALAM AL-QURAN

Manusia merupakan sebaik-baik makhluk ciptaan Allah yang dianugerahkan dengan akal fikiran untuk membezakan yang benar dan salah atau yang hak dan batil. Disebabkan itu, manusia diciptakan untuk menjadi khalifah dimuka bumi dan sebagai hamba Allah serta yang membezakan manusia paling mulia disisi Allah adalah dengan ketaqwaan.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujuraat ayat 13 :

Maksudnya : "..Sesunggungnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".

Tugas Manusia Dimuka Bumi

Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Zariyat ayat 56: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

1-Tugas khalifah

Mengenal Allah

Mengenal Allah dan beribadah kepadaNya serta menjadi seorang hamba Allah yang baik. Ini merupakan tugas asas seorang khalifah. Manusia juga diwajibkan beriman kepada Allah serta dilarang melakukan syirik kepadaNya.

Mendirikan solat dan zakat

Mengerjakan solat dan zakat merupakan rukun Islam. Masyarakat yang menjaga solat merupakan masyarakat yang berprinsip dan immune dari melakukan maksiat kepada Allah. memberi zakat pula untuk menolong manusia yang berada di dalam kesusahan kerana harta merupakan amanah dari Allah supaya manusia memakmurkan hartanya di jalan Allah seperti sedekah.

Mengerjakan perintah Amar makruf dan Nahi mungkar
Amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan aspek pengukuh kepada Islam dan setiap perkara yang membawa kepada kebaikan akan mendapat tentangan pelbagai pihak. Oleh itu, kesabaran amat diperlukan untuk berdakwah dan berjihad dalam menegakkan syariat Allah dimuka bumi.

Memakmurkan bumi dengan cara Islam
Cara Islam membangunkan manusia adalah dengan membangunkan manusia. Hal ini kerana manusia yang akan mendapat manfaat dari pembangunan. Pembangunan untuk manusia, bukan manusia untuk pembangunan. Pembangunan sebagai komponen agama bukannya agama sebagai komponen pembangunan.

PROSES ATAU PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA

Penciptaan manusia dapat dibuktikan melalui ayat-ayat didalam al-Quran bahawa Allah adalah sebaik-baik pencipta seperti yang dinyatakan didalam surah al-Mukminun ayat 12-14:

Maksudnya : 12. dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; 13. kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh; 14. kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Nutfah

Mani disebut dalam al-Quran sebanyak 3 kali. Mani lebih khusus dari nutfah kerana nutfah adaah campuran mani lelaki dan perempuan. Menurut sains, jumlah sperma yng terkandung dalam air mani lelaki ketika ejakulasi ialah 200-300 juta yang kemudiannya berenang dan bertemu dengan ovum dalam tiub fallopio.

Apabila bertemu dengan ovum, setiap sperma akan cuba menembusi zonapellucida ovum dan biasanya hanya satu yang berjaya. Selepas itu, lapisan ovum akan menebal dan menghalang sperma lain untuk memasuki ovum. Percampuran ini akan membentuk zigot yang sama. Selepas zigot, pembentukan janin bermula dan rupa manusia ditentukan.

Dalam tempoh ini, jantina mula terbentuk melalui kromsom X dan Y daripada ibu dan bapa. Namun segalanya ketentuan dari Allah. sebagaimana firman Allah dalam surah al-Najm ayat 45 dan 46 :

Maksudnya : 45. dan Bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan, - 46. dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke Dalam rahim).

Ketika bersenyawa dalam uterus, Allah namakan tahap kejadian ini dengan tiga kegelapan. Tiga kegelapan yang dimaksudkan ialah :

-kegelapan  perut

-kegelapan rahim (uterus)

-kegelapan cecair dan uri yang menjaga rahim

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Zumar ayat 6 : Maksudnya : Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian ia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); dan ia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak delapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina). ia menciptakan kamu Dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita. Yang demikian (kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu; bagiNyalah kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan dia; oleh itu Bagaimana kamu dapat dipesongkan (dari mematuhi perintahNya)?

‘Alaqah

Bermaksud sesuatu yang bergantung dan melekat, suatu buku atau ketulan darah. Ia ditafsirkan dengan segempal darah berdasarkan kepada pendangan mata kasar. Ia sebenarnya benda yang amat seni yang diselaputi darah. Proses penggantungan dan pembenaman embrio dalam dinding rahim (uterus).

Selepas persenyawaan, zigot akan mengalami pembahagian dan akan membentuk sel-sel yang lebih kecil. Pada hari ke-12-16, sel telah terbentuk dan dinamakan sebagai morula yang kemudiaanya membesar seperti bola dan dipenuhi cecair. Proses pemecahan sel dinamakan sebagai ‘alaqah. Peringkat pembentukan ‘alaqah pada minggu pertama atau hari ketujuh. Peringkat ini juga merupakan peringkat minggu pertama hingga ketiga di dalam rahim.

Mudghah

Bermaksud seketul daging yang dikunyah. Allah menyebutkan dua bentuk mudghah iaitu sempurna dan tidak sempurna. Pada peringkat ini, terbentuk blok-blok bersegmen yang dinamakan somit. Pasangan pertama mula kelihatan pada hari ke 19 dan 21 di bahagian arah kepala embrio. Menjelang akhir minggu kelima, terdapat 42-44 pasang somit. Usia embrio dikira mengikut bilangan somit-somit.

Pada peringkat ini, sudah terbentuknya otak, saraf tunjang, telinga dan anggota lain. Sistem pernafasan juga mula terbentuk dan jantung mula berfungsi atau berdegup. Seterusnya, darah akan mula mengalir dengan lebih banyak lagi bagi membekalkan oksigen dan pemakanan.

‘Izam dan lahm

Pada peringkat ini (minggu keenam dan ketujuh), terjadinya pembentukan tulang mendahului otot-otot. Ketika tulang belulang terbentuk menjadi otot, dan membungkus rangka tersebut. Pada akhir minggu ketujuh, terbentuk satu sistem yang kompleks. Pada tahap ini, perut , usus, seluruh sistem saraf, otak dan tulang belulang. Sebagaimana firman Allah :

Maksudnya : kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (Surah al-mukminun ayat : 5)

Sistem pernafasan dan saluran pernafasan dari mulut ke hidung dan juga paru-paru mula kelihatan. Malah, menjelang bulan ke-8 semua anggota telah lengkap dan sempurna.

Taswiah dan Taswir

Pada peringkat ini, menjelang akhir minggu ke-8, ia telah masuk ke peringkat janin dan pada bulan ke-3 semua tulang janin terbentuk dengan sempurna dan kukunya sudah mula tumbuh.

Pada bulan ke-4, pembentukan bayi yang dinamakan dengan fetus menjadi cukup lengkap menyebabkan kaki bayi dalam kandungan hanya menyempurnakan semua anggota yang sudah wujud.

Nafkah al-ruh

Para ulama tidak dapat menentukan tarikh yang sebenar roh dimasukkan kedalam badan. Alam dunia dan alam kelahiran bukanlah tarikh bermula kehidupan menusia. Ia bermula dengan tiupan roh ke dalam jasad. Apa hakikat roh dan bagaimana bentuknya tidak diketahui manusia kerana itu hanya urusan Allah.

Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja" (Surah al-Israa' ayat : 85)

Kesimpulan

Allah menjadikan manusia dengan beberapa proses kejadian ini agar manusia berfikir tentang kejadiannya dan boleh mengaitkannya dengan keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Ini bukan bermakna Allah tidak boleh jadikan manusia sekelip mata tetapi ada hikmah yang besar disebalik penciptaan-Nya. Andai dilihat dari sisi pandang logik akal, penciptaan neraka itu juga menunjukkan Allah berkuasa mencipta sesuatu walhal pada masa yang sama Allah menyeru manusia untuk melakukan kebaikan agar beroleh natijah syurga di akhir kehidupan mereka. Semoga dengan sedikit pengetahuan mengenai proses kejadian manusia, sedikit sebanyak meningkatkan rasa kehambaan dan keimanan sekaligus mensyukuri nikmat hidup yang diberikan oleh Allah s.w.t.

Susunan:

Siti Kholila binti Roslan
Pelajar Latihan Industri di Bahagian Dakwah
JAIS

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),
Bangunan Sultan Idris Shah,
No 2 Persiaran Masjid,
40676 Shah Alam Selangor
Tel: 03-5514 3600/3400 Fax: 03-5510 3368
Email: info@jais.gov.my

ref:
http://www.jais.gov.my/article/manusia-dalam-al-quran

HIKMAH ALLAH MENJADIKAN PELBAGAI BANGSA
2011-May-04 15:30

HIKMAT ALLAH MENJADIKAN PELBAGAI BANGSA (Surah al-Hujurat ayat 13)

Perkara-perkara penting yang perlu diberi penekanan :

1. Sebab manusia perlu kepada hidup bermasyarakat

2. Manusia pertama dicipta oleh Allah dan sebab Allah mencipta  manusia.

3. Hak serta tanggungjawab sesama manusia.

4. Ukuran darjat manusia di sisi Allah.

5. Konsep iman.

Maksud Firman Allah: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat: ayat 13)

Intisari ayat

Manusia diciptakan oleh Allah S.W.T. daripada satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam a.s. dan Hawa. Manusia dijadikan daripada golongan lelaki, perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya dapat berkenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Orang yang paling mulia disisi Allah S.W.T. ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Huraian ayat

a. Semua umat Islam yang berada di dunia ini berasal daripada keturunan Nabi  Adam a.s. dan Hawa. Daripada mereka berdua manusia terus berkembang  dan membiak ke merata tempat di dunia ini.

b. Hingga kini, sesebuah negara yang berbeza-beza dari segi iklim, cuaca dan     bentuk muka bumi mempengaruhi bentuk fizikal tubuh badan, warna kulit,     pekerjaan, cara hidup, perwatakan dan bahasa sesuatu kaum.

c. Kehidupan yang berpuak-puak ini menyebabkan manusia ingin berkenalan  dan menjalin hubungan baik antara satu dengan yang lain. Masing-masing  memerlukan antara satu dengan yang lain dan tolong menolong untuk  membina kehidupan yang lebih harmoni demi kepentingan seluruh umat  manusia.

d. Untuk mewujudkan masyarakat dan negara yang maju, manusia hendaklah  bekerjasama dalam semua bidang seperti ekonomi, pendidikan, sosial,   politik dan lain-lain.

e. Allah S.W.T. menjadikan manusia terdiri daripada berbagai-bagai kaum dan  keturunan untuk berkenalan, bekerjasama, tolong-menolong dan bergaul  mesra antara satu dengan yang lain. Sudah menjadi lumrah manusia tidak  boleh hidup bersendirian, mereka memerlukan orang lain untuk memenuhi keperluan hidup dalam menjalani kehidupan seharian. Orang yang menjalani kehidupan seharian dengan cara mengasingkan diri daripada orang lain akan susah dan tidak akan maju.

Firman Allah maksudnya: "Wahai sekalian manusia bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah   menciptakan kamu daripada seorang diri dan daripadanya Allah S.W.T.  menciptakan isterinya dan daripada kedua-duanya Allah S.W.T.  mengembangbiakkan manusia lelaki dan perempuan."  (Surah An-Nisa’ : ayat 1)

F. Yang dimaksudkan dengan kalimah dalam ayat di atas bermaksud "kerjasama yang erat" antara sesama manusia dalam usaha-usaha yang  boleh mendatangkan kebajikan dan menafaat bersama bagi membina  kehidupan yang aman dan sejahtera. Tanpa kerjasama yang erat antara satu  sama lain, pembentukan sebuah masyarakat atau negara yang aman dan makmur tidak akan mungkin dapat diwujudkan.

G. Walaupun manusia tinggal di tempat yang berlainan, berbeza keturunan dan   warna kulit namun demikian semua manusia adalah sama. Tidak ada satu  kaum yang lebih mulia daripada kaum yang lain. Kemuliaan yang sebenar ialah kemuliaan hati, budi, perangai, dan taat kepada Allah S.W.T. serta bertakwa.

H. Manusia digalakkan berkerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan   sosial supaya :

i. Negara-negara kaya dapat membantu negara-negara yang miskin  bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

ii. Negara-negara kaya memberi pinjaman kewangan kepada  negara-negara yang sedang membangun untuk memulihkan keadaan negara mereka

iii. Negara-negara yang menghadapi krisis dapat mengadakan  perundingan dengan negara-negara luar untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.

I. Semangat berkerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial ini  juga membolehkan:

i. Negara-negara maju bekerjasama dengan negara-negara yang  mundur bagi mencari jalan untuk membangunkan negara-negara mereka.

ii. Pasukan ketenteraan dari negara tertentu dihantar untuk bertugas ke  negara-negara yang menghadapi masalah keselamatan dalam negara.

iii. Melalui kongres pendidikan yang diadakan oleh wakil-wakil pendidik   dari beberapa buah negara, mereka dapat bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman dengan negara-negara maju untuk kepentingan rakyat.

J. Allah S.W.T. melarang manusia berbangga dengan keturunan dan warna    kulit kerana keadaan tersebut boleh menimbulkan permusuhan di kalangan   manusia. Sikap tersebut juga menjadikan seseorang itu bersifat ego,  sombong,bongkak dan mementing diri sendiri.

Manusia pelbagai bangsa

a. Tujuan Allah menciptakan manusia daripada pelbagai bangsa ialah untuk  saling berkenal-kenalan antara satu sama lain dan merapatkan hubungan.   Disisi Allah tidak ada perbezaan di antara seorang dengan seorang manusia  lain kecuali orang yang bertakwa.

b. Yang dimaksudkan seorang lelaki dan seorang perempuan itu ialah Nabi Adam a.s. dan isterinya, Siti Hawa. Mereka diciptakan Allah daripada tanah  dan akhirnya berkembang biak keserata dunia. Hakikatnya manusia berasal  daripada satu keturunan bagi mengelakkan manusia daripada rasabangga dengan keturunan pangkat, kedudukan dan kekayaan.
 
c. Manusia perlu berkembang biak melalui perkahwinan yang sah antara  pasangan lelaki dan perempuan.

d. Namun setiap bangsa mempunyai kelebihan dan kekurangan  masing-masing. Oleh itu mereka perlu bekerjasama untuk kepentingan    bersama dalam usaha mengekalkan perpaduan, keamanan, dan silaturrahim.

Hikmah Allah menjadikan pelbagai bangsa

a. Supaya dapat berkenal-kenalan dan bekerjasama antara satu sama lain.

b. Dapat berkongsi dan bertukar-tukar kemahiran, maklumat dan ilmu   pengetahuan.

c. Supaya nilai murni yang terdapat dalam budaya bangsa lain dapat dicontohi  oleh kaum lain.

d. Supaya adanya kerjasama dan saling membantu antara negara-negara yang   kaya dengan yang miskin, yang maju dengan yang mundur dan sebagainya  untuk kepentingan sejagat.

e. Bidang kerjasama yang dijalankan ialah dalam sektor ekonomi, politik, pelajaran dan sebagainya.

Punca manusia suka berpuak-puak

a. Tidak menghayati ajaran Islam yang sebenarnya.

b. Tidak bertakwa atau beriman.

c. Tidak malu kepada Allah yang telah menciptakan dan memberi rezeki   kepada mereka.

d. Telah sebati dengan adat dan budaya hidup yang suka berpuak-puak

e. Rasa diri lebih mulia daripada golongan lain dan lupa asal-usul kejadiannya.

Fakta² Penting

a. Semua manusia berasal daripada keturunan Nabi Adam a.s dan Hawa. Nabi   Adam a.s. dijadikan daripada tanah, kemudian Allah S.W.T. meniupkan roh ke  jasad tersebut.

b. Semua manusia adalah sama di sisi Allah S.W.T. kecuali mereka yang paling bertakwa kepadaNya.

c. Allah S.W.T. menjadikan manusia berlainan keturunan, bangsa dan warna   kulit untuk bekerjasama bagi mewujudkan perpaduan dan kesejahteraan di  kalangan hamba hambaNya.

d. Umat manusia dilarang berbangga dengan keturunan, bangsa dan warna  kulit kerana perbuatan tersebut membawa kesan yang negatif kepada diri dan masyarakat.

e. Allah S.W.T. tidak memandang rupa paras, pangkat, harta dan keturunan seseorang itu tetapi Dia memandang hati dan amalan yang mereka lakukan.

ref:
HIKMAH ALLAH MENJADIKAN PELBAGAI BANGSA - Blog - Mannang - Kawanlah.com - Powered by Kawanlah.com

rencana
ARKIB : 23/05/2008
Al-Quran mengajak kepada perpaduan, bukannya perpecahan
Oleh MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID

PERSATUAN, persamaan dan persaudaraan merupakan nilai-nilai fundamental yang menjadi pemangkin bagi perkembangan, kemajuan dan kemakmuran suatu negara. Malahan semua aliran dalam Islam menyatakan bahawa Rasulullah SAW menuntut kita agar memelihara persaudaraan dan rasa saling menghormati di antara sesama Islam. Maknanya persatuan di antara sesama Muslim sangat dititikberatkan oleh Nabi SAW.

Demikian juga semangat al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah semangat persatuan. Kerana itu jumlah ayat yang menganjurkan semangat persatuan atau perpaduan lebih banyak daripada ayat yang menjelaskan perihal perpecahan.

Antaranya ialah Surah al-Hujurat ayat 10, al-Syura ayat 13, al-Mukminun ayat 32 dan ayat yang paling popular ialah surah Ali-Imran ayat 103.

Pada ketika ini umat Islam di negara ini sedang mengalami suatu macam kekalutan yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin politik, ulama-ulama, parti pemerintah dan pembangkang.

Secara fitrah, ummah sebenarnya menuntut keamanan dan perpaduan bukan persengketaan. Fitrah semula jadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia.

Justeru manusia sangat inginkan kepada perpaduan. Lebih penting daripada itu umat Islam inginkan amalan yang sebenar bukan berbaur dengan kepentingan politik, peribadi atau sebagainya.

Umat Islam perlukan kematangan untuk menghadapi situasi hari ini dengan tenang supaya segala faktor negatif tidak memerangkap dan menjatuhkan kita sekali lagi dalam fitnah kekacauan seperti yang berlaku di zaman sahabat (Khalifah Ali dan Othman) dahulu.

Sejarah mencatatkan sering kali kita dikalahkan kerana kita tidak bersatu. Demikian juga dalam keadaan berpecah belah itu pasti akan saling menyerang dan saling berusaha menghancurkan satu sama lain.

Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan, asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain.

Nabi Muhammad SAW telah membuktikan hakikat tersebut dalam setiap tingkah laku, khususnya dalam hubungan sesama manusia.

Sikap jujur, toleransi dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, sekali gus memantapkan penyatuan ummah bagi menangani segala macam bentuk permasalahan yang datangnya sama ada daripada kalangan ummah itu sendiri mahupun dari dunia luar.

Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat diselaraskan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran: 103)

Nikmat yang dimaksudkan menerusi ayat tersebut ialah Islam – yang menyebut Islam itu sebagai nikmat (yang membuat manusia bersaudara) bukan ahli tafsir atau ulama, tetapi Allah SWT sendiri.

Tidak ada yang menyatukan perbezaan di antara selain Islam dan tidak ada yang menciptakan persaudaraan, juga selain Islam. Ingatlah, bahawa Islam bukan hanya milik umat tertentu sahaja.

Justeru, tiada alasan bagi sesama umat Islam untuk berpecah belah kerana al-Quran mengajar kita agar jangan terlalu cepat menghukum orang lain yang mungkin kebetulan berbeza dari segi fahaman. Kita seharusnya membetulkan fahaman yang salah atau meragukan itu dengan penuh hikmah dalam suasana persaudaraan. Itulah yang diajarkan atau disarankan oleh al-Quran.

Sikap tidak mahu bertolak ansur dengan mengatakan diri sendiri yang benar belaka sedangkan orang lain tidak betul merupakan antara sifat yang akan melonggarkan ukhuwah sesama ummah.

Inilah yang disebut di dalam al-Quran sebagai tanda-tanda musyrik kerana ‘memutlakkan’ pendapatnya sendiri dan tidak menghiraukan pendapat orang lain.

Justeru kita mengakui al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.

Amat malang apabila seseorang yang telah dianugerah Islam serta menjadi pengikut Nabi SAW yang pengasih dan penyayang sentiasa berada di jalan perpecahan.

MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID ialah Pengurus Penyelidikan
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Sumber:
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pengaturcaraan dan Penyelidikan
ڤڠاتورچارأن دان ڤڽليديقن
(Nota: blog ini mengandungi teks bahasa Melayu bertulisan jawi, bukan bahasa Arab)

MONDAY, AUGUST 19, 2013
Mengapakah manusia dijadikan pelbagai kaum dan bangsa?
(Nota: Penulisan ini lebih merupakan pendapat peribadi berdasarkan pengamatan dan pengalaman sendiri. Ia bukannya suatu kajian ilmiah mahupun penyelidikan saintifik. Anda disarankan memikirkannya secara kritikal, itupun jika mahu, dan tidak menerimanya secara bulat-bulat apa yang dituliskan di sini)
(Gambar hiasan. Sumber)
Dalam Al-Quran, suraht Al-Hujurat, ayaht 13 yang bermaksud, "Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti".

Ayaht tersebut secara tersuratnya menyatakan bahawa manusia dijadikan berbilang kaum supaya saling mengenal. Saya tidak berhasrat memberi tafsiran selain terjemahan, kerana saya bukan ahli tafsir Al-Quran.

Cuma apabila saya memerhatikan sekeliling dan cuba mendalami 'intipati' ayaht tersebut (berdasarkan terjemahannya, dan kemudian dibandingkan dengan cerapan dan berfikir), saya mendapati bahawa hikmah terjadinya pelbagai golongan manusia itu seakan lebih daripada sekadar saling kenal mengenal. Sama ada apa yang saya fahami ini merujuk kepada tafsir ayaht tersebut atau tidak, saya tidak pasti.

Kepelbagaian golongan manusia hakikatnya didatangkan secara pakej dengan kelebihan dan kekurangan. Setiap manusia, masing-masing ada keupayaan dan ketidakupayaan yang berbeza (dan mungkin hampir sama). Selain keupayaan fizikal, keupayaan mental dan naluri juga berbeza (dan ada yang hampir sama) antara manusia. Justeru 'hikmah' penciptaan pelbagai kelompok manusia, menurut apa yang saya fahami, antaranya ialah untuk memenuhi kehendak dan keperluan sesama manusia.

Saban hari apabila berinteraksi dengan orang lain, saya dapat merasai mendapat 'sesuatu yang baharu' daripada interaksi tersebut. Kadang-kadang orang memberitahu saya suatu perkara yang tidak/belum saya ketahui. Ada masanya saya melihat orang melakukan perkara yang sama sekali tidak mampu saya lakukan. Ada pula orang yang menghadapi suatu perkara yang terlalu ekstrem sehinggakan saya kagum dengannya (kerana saya yakin saya tidak mampu menghadapi keadaan tersebut). Ada orang dapat idea, ilham dan cetusan fikiran yang tidak pernah saya terfikir, dan segala macam kelebihan lagi ada pada orang lain. Justeru dengan adanya orang lain yang mempunyai kelebihan, dapat menampung pelbagai 'kekurangan' yang ada pada diri, bahkan yang mungkin saya tidak sedari jika saya tidak berinteraksi dengan orang tersebut.

Namun kelebihan orang lain itu janganlah dieksploitasi pula untuk kepentingan diri sendiri kita semata-mata. Seharusnya kita gunakanlah pula kelebihan yang ada pada diri kita untuk membantu atau memenuhi keperluan orang lain juga jika diperlukan. Dengan adanya timbal-balik yang dilakukan dengan ikhlas, tentunya akan mewujudkan suatu set interaksi dan tindakbalas yang dapat memastikan 'sistem' hidup kita berjalan dengan baik.

Wallahua'lam (Allah lebih mengetahui). Rajin-rajinlah belek/baca Al-Quran dan sama-samalah kita renungkan...

Posted by Mohd Yunus Sharum at 9:51 PM

ref:
http://cikgu-menulis.blogspot.com/2013/08/mengapakah-manusia-dijadikan-pelbagai.html

9 Ayat Al-Quran Yang Galakkan Umat Manusia Untuk 'Travel' Dan Lihat Dunia
Published by Farouq Johari — 07 Jan 2016, 07:25 PM
Tuhan tak kata pun 'travel' hanya untuk orang yang banyak duit.
#lifestyle  #islam  #travel  #alquran  #seismik  #Country::my
Bbc7
Sebelum kita mulakan, kita lihat dulu pada surah Al-Mulk ayat 15. Baca dan hayati maksudnya:

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.

Daripada ayat ini saja jelas menunjukkan bahawa dunia ini merupakan satu hamparan luas terbentang yang perlu diterokai oleh sekalian manusia
F2ac
Allah telah berfirman di dalam Al-Quran dan menggalakkan umat manusia supaya berkelana ke setiap pelusuk dunia. Malah ada lebih daripada satu ayat di dalam Al-Quran yang menyebut perkataan "berjalanlah" atau "mengembaralah" di muka bumi.

Islam sejak awal pengajarannya menggalakkan seseorang mengembara untuk menimba ilmu pengetahuan. Allah menegaskan manusia supaya melihat alam yang pelbagai rupa, melihat kesan-kesan kaum yang terdahulu, berkenalan antara bangsa, dan pelbagai lagi.

Kesemuanya itu bertujuan meningkatkan pengetahuan insan tentang kehidupan dan mendalami pengetahuan tentang Tuhan.

Ada banyak perkara yang Tuhan suruh kita tengok di Bumi ini. Bukanlah sekadar tengok dengan mata kepala saja, tetapi pandanglah dengan mata hati.
Ed78
Setiap ciptaan-Nya pasti ada kegunaan. Setiap yang kita lalui dan temui juga pasti ada hikmah.

Yang paling Dia mahu kita tengok ialah kesan tinggalan orang-orang terdahulu yang musyrik, iaitu apa yang berlaku kepada orang-orang yang bongkak, sombong, dan mendustakan Dia.

Tidak Allah jadikan sesuatu itu sia-sia. Ada yang mahu Dia beritahu melalui setiap perkara yang dijadikan oleh-Nya.

Tak semestinya travel perlu menelan kos yang tinggi. Tuhan tak pernah kata mengembara hanyalah untuk orang yang ada banyak duit.
D0b3
Rujuk kisah pengembaraan ilmu ulama zaman silam, malah zaman sekarang. Berkelana jauh meninggalkan keluarga tanpa wang yang banyak, kerana mahu jadi hamba Allah yang lebih baik.

Pengembaraan yang bernilai tinggi hanyalah yang dilakukan demi Dia. Semakin banyak tempat dijejak, semakin tunduk. Semakin banyak pengalaman dilalui, semakin rendah rasa diri. Semakin banyak dipelajari, semakin bodoh dirasakan.

Kitab-kitab Islam terdahulu mencatatkan kembara para ilmuwan dalam usaha menuntut ilmu. Setiap ilmuwan pasti ada catatan mengenai kembara mereka. Kembara juga melonjak nama mereka dalam bidang ilmu.

Untuk itu, di bawah ada 8 lagi ayat Al-Quran yang menggalakkan manusia untuk mengembara dan berkelana ke seluruh dunia:

1. Surah Muhammad Ayat 10
A954
Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu.

2. Surah Luqman Ayat 31
4d3c
Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.

3. Surah Yusuf Ayat 109
A4ec
Dan tiadalah Kami mengutus Rasul-Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?

4. Surah Ar-Rum Ayat 42
4b9b
Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik.

5. Surah Ali 'Imran Ayat 137
414d
Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).

6. Surah Ar-Rum Ayat 9
A6ef
Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-Rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

7. Surah An-Naml Ayat 69
4890
Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu.

8. Surah Al-An'aam Ayat 11
9c70
Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul) itu.

Dan sebelum kita akhiri, nak tahu apa lagi satu kelebihan mengembara?

Doa orang yang mengembara ni mustajab.

Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tiga doa yang mustajab, tanpa syak padanya; doa ibubapa untuk anak, doa orang bermusafir, dan doa orang kena zalim” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dll. Bertaraf sahih).
84b6
Jadi mengembaralah. Itu salah satu tanggungjawab kita sebagai Muslim. Kembara dengan hati, kembara dengan iman. Selamat beramal :)
189a
Sumber: Facebook Muslim Bacpackers, drmaza.com, sigir.uitm.edu.my

LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitterdan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baca lagi artikel mengenai Islam DI SINI:

[SHARE] Anda Seorang Muslim Yang Tak Sembahyang? Teruskan Membaca

Semoga artikel ini dapat membuka mata sesiapa yang membacanya.
says.com

[SHARE] 8 Kesilapan Yang Sering Umat Islam Lakukan Pada Hari Jumaat

Nampak 'simple' tetapi ia sangat memberi kesan kepada pahala Jumaat seseorang, terutamanya lelaki.
says.com
ref:
http://says.com/my/seismik/ayat-al-quran-yang-menggalakkan-umat-islam-untuk-mengembara























Tiada ulasan: