Ahad, 15 Julai 2018

Berhati-hatilah dalam percakapan, kita ada Akhirat dan di sana nanti kita akan disoal. 7874.


Ustaz Kazim sabar hadapi tohmahan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi cnews@nstp.com.my
PENCERAMAH bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih popular dengan panggilan Ustaz Kazim hanya berlapang dada dengan segala tohmahan terhadap dirinya yang tular di media sosial susulan tindakannya ingin menjual Unit Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya.

Terbaharu terdapat individu yang mendakwa tindakan penceramah itu hanya ingin meminta simpati untuk mendapatkan kewangan dan mengetahui status sebenar akaun simpanan peribadi Ustaz Kazim.

Individu berkenaan mendakwa mengetahui status kewangan milik Ustaz Kazim yang diperiksa melalui peguamnya dan akan mengambil tindakan saman bagi menuntut ganti rugi membabitkan anaknya yang didakwa mengalami trauma akibat dicabul ketika belajar di pusat berkenaan.

Ustaz Kazim berkata, beliau percaya perkara itu ada kaitan dengan kes pencabulan yang dihadapi pusat tahfiznya kira-kira dua tahun lalu dan menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada polis.

"Dalam keadaan ini (tohmahan) saya boleh membuat laporan polis dan jika ingin saman pun boleh kerana individu itu mengeluarkan kenyataan sudah menceroboh akaun bank peribadi saya.

“Kes ini (cabul) dah serah kepada polis sama ada kes itu berlaku atau tidak kita serahkan kepada polis dan saya juga masih menunggu laporan penuh berhubung kes berkenaan.

"Biar polis yang keluarkan kenyataan sama ada pencabulan itu berlaku atau sebaliknya dan kita janganlah keluarkan sebarang kenyataan," katanya ditemui media selepas menyampaikan ceramah perdana sempena Karnival Keusahawanan di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau (SKKK) di Parit Buntar, malam tadi.

Katanya, dakwaan cabul itu sudah dua tahun berlaku dan jika ada kes berlaku sudah pasti dia akan didakwa.

"Saya serahkan kepada polis sepenuhnya dan tidak perlulah kita buat cerita yang bukan-bukan, jadi saya sentiasa berlapang dada dan sedia memaafkan individu yang membuat tohmahan berkenaan.

"Di Malaysia kita ada undang-undang, jika dia rasa ada hak untuk saman, samanlah dan saya sentiasa ada di sekolah dan mudah dihubungi pada bila-bila masa atau berjumpa saya secara berhadapan.

"Berhati-hatilah dalam percakapan, kita ada akhirat dan disana nanti kita akan disoal,” katanya.

Pada Ogos 2016, Ustaz Kazim membuat laporan polis berhubung penularan dakwaan kes pencabulan seksual dan seks luar tabii di pusat tahfiz miliknya yang dibuat oleh ibu kepada seorang pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Sementara itu, mengenai perkembangan lanjut isu masalah kewangan dihadapi Pusat Pendidikan Al Barakah, Ustaz Kazim memaklumkan sudah berhubung dengan pihak Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan dijangka akan membuat pertemuan serta perbincangan selewat-lewatnya minggu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 11:10 AM
Sumber: 
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/357979/ustaz-kazim-sabar-hadapi-tohmahan

Mohamad Ariff speaker Dewan Rakyat - PM
Ekhwan Haque Fazlul Haque ekhwan@nstp.com.my
BEKAS Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof  (merangkap Ketua Jawatankuasa Disiplin AMANAH.) disahkan sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, pelantikan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Ya, dia adalah bekas hakim," katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkara itu di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 dijadual berlangsung selama 20 hari, mulai Isnin ini dengan urusan pertama mesyuarat pada hari berkenaan adalah pelantikan Speaker Dewan Rakyat, diikuti majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat dan pelantikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Istiadat pembukaan persidangan dijadual disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Selasa ini.

Berita berkaitan:
Mohamad Ariff beri bayangan beliau dilantik Speaker Dewan Rakyat
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 9:56 AM
Sumber: 
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/357971/mohamad-ariff-speaker-dewan-rakyat-pm

Tun M mengesahkan bekas hakim dan juga ketua jawatankuasa disiplin AMANAH sabagai Speaker Dewan Rakyat
Norman Goh

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

Ditemui pemberita selepas pertemuan dengan kerajaan Sarawak di Kuching hari ini, beliau berkata perkara itu akan diumumkan tak lama lagi.

"(Speaker baru adalah) bekas hakim," katanya.

Ketika ditanya adakah bekas hakim itu adalah Mohamad Ariff, Mahathir menjawab, "ya".

Pada 11 Julai lalu, Malaysiakini melaporkan sumber berkata Mohamad Ariff mungkin dipilih selepas calon terdahulu Datuk Johari Abdul mencetuskan kontroversi ekoran kedudukannya sebagai ADUN Gurun.

Mohd Ariff juga ketua jawatankuasa disiplin AMANAH.

at 7/15/2018 12:25:00 PTG
Sumber: 
KERENGGA: Tun M mengesahkan bekas hakim dan juga ketua jawatankuasa disiplin AMANAH sabagai Speaker Dewan Rakyat

Anwar Ibrahim tanding Presiden
Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@nstp.com.my
KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan menawar diri bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu yang bakal diadakan bulan depan.

Katanya, keputusan itu dimuktamadkan selepas berbincang dengan isterinya yang juga Presiden PKR ketika ini, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan pimpinan yang lain.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu berkata, keputusan bertanding jawatan Presiden itu juga dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta akar umbi yang mahukannya menggantikan Dr Wan Azizah.

"Setelah berbincang dengan (Wan) Azizah, Timbalan Presiden dan kepimpinan, serta mengambilkira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan KEADILAN, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden KEADILAN.

"InsyaAllah sekiranya mandat diperoleh daripada akar umbi parti seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku Presiden selepas selesai Kongres Nasional KEADILAN pada November 2018," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar berkata, desakan akar umbi parti yang mahukannya memimpin PKR sebagai Presiden sudah kedengaran sejak pemilihan parti itu pada 2007.

Bagaimanapun, Anwar mendakwa wujud sekatan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) ketika itu yang memungkinkan PKR terbubar jika beliau menjadi Presiden, sekali gus terpaksa berundur dan memberi ruang kepada Wan Azizah untuk kekal mengemudi parti itu sejak 1999.

"Maka wajar kita melihat ke belakang sebagai pedoman ke hadapan, Azizah mengemudi KEADILAN selaku Presiden usai 1999 dengan pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi.

"Namun iktikad Presiden, Timbalan Presiden, pimpinan dan akar umbi, ditambah keazaman rakyat menyaksikan kita mendobrak sejarah memimpin Pakatan Rakyat (ketika itu) bersama Azizah menafi dua pertiga UMNO-BN pada PRU Ke-12, meraih undi popular mencecah 51 peratus pada PRU Ke-13, dan melangkah gagah ke Putrajaya dengan menjadi parti komponen terbesar di Parlimen melalui muafakat Pakatan Harapan tanggal 9 Mei yang lepas," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan mengakui wujud dua kumpulan yang menyokong pencalonan ke jawatan presiden menjelang pemilihan parti itu.

Katanya, satu pihak mahu Dr Wan Azizah kekal sebagai Presiden, manakala satu lagi mahukan Timbalan Perdana Menteri itu berundur dan memberi laluan kepada Anwar, sebagai persediaan menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jawatan Presiden PKR tidak pernah bertukar tangan daripada Dr Wan Azizah yang mengisi jawatan itu sejak tertubuhnya parti itu pada 1999 (ketika itu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional) sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 11:24 AM
Sumber: 
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/357983/anwar-ibrahim-tanding-presiden

Manfaatkan aset untuk pembangunan Sarawak
Ekhwan Haque Fazlul Haque ekhwan@nstp.com.my
SARAWAK perlu memanfaatkan aset yang dimilikinya untuk memastikan pembangunan dinikmati rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, berdasarkan taklimat yang dibuat Ketua Menteri, pembangunan kini tidak terhad di bandar besar seperti Kuching tetapi turut dinikmati di pedalaman.

Menurutnya, Sarawak memiliki banyak sungai yang dilihat sebagai aset yang perlu dimanfaat dan dieksploitasi sebaik mungkin untuk membangunkan negeri.

"Berdasarkan taklimat yang diberikan kepada saya tadi, saya dapati pembangunan bukan saja terhad di Kuching tetapi di tempat lain juga (turut membangun).

"Sungai menjadi aset yang baik untuk dieksploitasi bagi pelbagai tujuan seperti pengangkutan dan penjanaan kuasa (elektrik).

"Pelaburan asing juga sudah banyak di Sarawak dan saya yakin ia dapat ditingkatkan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri taklimat tertutup bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

Pertemuan selama satu jam itu juga turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan barisan menteri Kabinet Sarawak.

Dalam pertemuan itu, kerajaan negeri turut mengadakan sambutan ringkas hari lahir ke-93 tahun Dr Mahathir.

Ketika ditanya mengenai hubungan antara Putrajaya dan Kuching, Dr Mahathir berkata, kerjasama kedua-dua pihak berada pada tahap yang baik.

"Kami sudah bertemu beberapa kali dan saya dapati hubungan antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri berada pada tahap yang baik," katanya.

Dr Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dijangka berlepas pulang ke ibu negara menggunakan pesawat khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, 10 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 10:22 AM
Sumber: 
Manfaatkan aset untuk pembangunan Sarawak | Harian Metro

Tiada ulasan: