Jumaat, 13 Julai 2018

Saman semasa sebagai penguasa sebagai gertakan sahaja? 7867.


Y xteruskan saman. Banyak sudah saman ditarik balik. Sepatutnya teruskanlah saman tersebut supaya keadilan tertegak. Barulah kekalahan adalah kemenangan yang tertangguh terbukti ada benarnya, tidaklah sekadar igauan sahaja atau sekadar berani cakap besar sahaja. 

BERITA»Kes
Jumaat, 13 Julai 2018 | 4:31pm
Najib mohon tarik balik saman
Murni Wan Omar murni@nstp.com.my
Datuk Hafarizam Harun, peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak. - Foto Rosela Ismail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 26 Julai bagi mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menarik balik saman terhadap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee, Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

Peguam Datuk Ahmad Hafarizam Harun yang mewakili Najib ketika ditemui berkata, Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam kedua-dua pihak di kamarnya di sini.

Pua diwakili peguam Tan Ch'Eng Leong.

Hafarizam berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada mahkamah sama ada pihaknya boleh menarik balik saman sedangkan Pua sudah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu kes saman oleh Najib.

Tambah beliau lagi, Pua sebagai defendan juga membantah pihaknya untuk menarik balik kes saman itu.

Najib sebelum ini sudah memperoleh perintah injuksi menghalang Pua daripada menerbitkan sebarang fitnah membabitkan kenyataan dan klip video berhubung RUU355.

Najib, 63, bertindak atas kapasiti peribadi memfailkan saman itu dengan menamakan Pua, 44, sebagai defendan.

Melalui pernyataan tuntutannya, Najib mendakwa Pua pada 6 April 2017, ada memuat naik rakaman Live Video (video langsung) mengandungi pernyataan fitnah.

Pua membuat satu kenyataan di ruang legar Bangunan Parlimen yang dirakam dan dimuat naik olehnya dalam laman Facebook atas nama Tony Pua bertajuk BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU 355 Private Member's Bill.

Kenyataan itu, menurut Najib, adalah fitnah terhadap jawatannya selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bermaksud beliau menyalahgunakan kuasa dengan memberikan arahan melalui Kabinet kepada Speaker Dewan Rakyat supaya mengusulkan Rang Undang-undang Persendirian dan mengenepikan rang undang-undang lain.

Beliau berkata, ia juga bermaksud dirinya tidak menghiraukan doktrin pengasingan kuasa dan berkonspirasi dengan PAS untuk memecah undi Melayu dalam kalangan pembangkang.

Pautan:
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/07/448695/najib-mohon-tarik-balik-saman

BERITA»Nasional
Jumaat, 13 Julai 2018 | 5:29pm
Dewan Rakyat pasca PRU14 jadi tumpuan
GAMBAR fail, persidangan Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR: Berlatarbelakangkan Malaysia baharu, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 bakal melakar sejarah negara apabila memulakan persidangan pada Isnin, 16 Julai ini.

Mesyuarat pasca Pilihan Raya Umum ke-14 itu merupakan yang pertama selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) sejak 60 tahun lepas, menjadikannya antara acara yang dijangka menjadi tumpuan peminat politik dalam dan luar negara.

Ramai yang menaruh harapan agar kerajaan baharu itu dapat melaksanakan penambahbaikan untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik dan tidak kurang juga yang ternanti-nanti untuk menyaksikan bagaimana wakil rakyat BN 'membawa diri' sebagai pembangkang di Parlimen.

Membentuk kerajaan berdasarkan majoriti mudah, PH yang dianggotai PKR, DAP, PPBM dan Amanah menguasai 114 kerusi Parlimen keseluruhannya, dengan 48 kerusi disumbang PKR, DAP (42 kerusi), PPBM (13 kerusi) dan Amanah (11 kerusi).

PH turut menikmati sokongan parti tempatan Sabah iaitu Warisan yang memenangi lapan kerusi Parlimen menjadikan jumlah keseluruhan kerusi dalam genggaman PH kepada 122 kerusi.

Sementara itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan hasil tindakan PBB, SUPP, PRS dan PDP keluar daripada BN pada awal Jun lepas pula menguasai 19 kerusi di Parlimen, dan ia juga telah menyatakan sokongannya terhadap PH.

Komposisi kerusi Parlimen selebihnya adalah dipegang oleh BN iaitu sebanyak 54 kerusi, iaitu 51 daripada UMNO, MIC (dua) dan MCA (satu).

PAS pula memiliki 18 kerusi manakala parti tempatan Sabah iaitu UPKO, PBS, PBRS dan Star masing-masing mempunyai satu kerusi Parlimen. Lima kerusi selebihnya adalah dimiliki anggota Parlimen Bebas.

Seramai 90 orang anggota Parlimen (MP) baharu akan membuat penampilan julung kali mereka pada sidang ke-14 ini, selain kemunculan semula 11 anggota Parlimen yang dahulunya pernah berkhidmat sebagai MP manakala 121 lagi merupakan anggota Parlimen daripada penggal lepas yang berjaya dipilih semula pada 9 Mei lepas.

Pelajar kolej jurusan undang-undang P. Prabakaran (PKR-Batu) yang berusia 22 tahun bukan sahaja merupakan MP termuda pada sidang Parlimen kali ini, tetapi juga mencatat sejarah sebagai wakil rakyat paling muda pernah dipilih, sekali gus memadamkan rekod MP Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusia 23 tahun ketika dipilih pada tahun 1976.

Mesyuarat pertama Parlimen ke-14 selepas PRU dijadual bermula dengan pemilihan dan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Jawatan itu boleh dipegang seseorang yang dipilih daripada anggota Dewan Rakyat ataupun bukan dalam anggota Dewan Rakyat, yang mempunyai kelayakan.

Walaupun belum disahkan, nama dua bekas hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunos antara yang disebut-sebut sebagai calon bagi jawatan itu.

Selepas pemasyhuran Yang Dipertuan Dewan, istiadat angkat sumpah anggota-anggota Parlimen akan dimulakan dengan diketuai perdana menteri, timbalan perdana menteri, jemaah menteri, timbalan menteri serta anggota-anggota Dewan yang lain dan akhir sekali pemilihan dua orang daripada kalangan wakil rakyat kerajaan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali aktif berpolitik setelah bersara pada 2003 memenangi kerusi Parlimen Langkawi, turut mencipta sejarahnya sendiri apabila dipilih menjadi perdana menteri untuk kali kedua dan sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh pada usia 93 tahun.

Kali pertama beliau menerajui pentadbiran negara ialah selama 22 tahun iaitu dari tahun 1981 hingga 2003 ketika beliau menjadi perdana menteri keempat.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan merasmikan serentak persidangan penggal pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Selasa.

Selain itu, tumpuan juga terarah kepada kemampuan kerajaan PH untuk melaksanakan janji-janji dalam manifestonya termasuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan secara tergesa-gesa pada Mac dan diwartakan April lepas serta Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Pemansuhan GST enam peratus iaitu satu daripada manifesto utama PRU PH. Putrajaya telah melaksanakan 0 peratus GST mulai 1 Jun dan ia akan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai September ini.

Mesyuarat pertama ini akan berlangsung selama 20 hari iaitu sehingga 16 Ogos. - BERNAMA

Pautan:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/448719/dewan-rakyat-pasca-pru14-jadi-tumpuan

BERITA»Nasional
Jumaat, 13 Julai 2018 | 7:20pm
Pelantikan Richard Malanjum tidak jejas kedudukan Islam
Oleh Siti A'isyah Sukaimi sitiaisyah@nstp.com.my
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. - Foto Luqman Hakim Zubir
PUTRAJAYA: Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara tidak akan menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tidak timbul isu Islam tidak selamat susulan pelantikan Malanjum dan ia hanya persepsi yang digambarkan menerusi media sosial.

Beliau berkata, tindakan itu adalah motif bagi menggambarkan kerajaan baharu hari ini seolah-olah tidak menjaga Islam dan Melayu sedangkan ia tidak ada kena mengena.

"Beliau dilantik atas 'seniority' (paling kanan) dan sudah sampai layak, malah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V turut memperkenankan dan ini bermakna, baginda tidak akan memperkenankan sesuatu yang bercanggah dan merosakkan agama memandangkan baginda adalah pelindung agama.

"Ya betul, kita mencadangkan tetapi baginda boleh saja untuk tidak bersetuju sekiranya apa yang dikata di luar sana, menggugat Islam dan sebagainya," katanya kepada media ketika ditemui selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Kompleks Nasyrul Quran di sini, hari ini.

Rabu lalu, Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu di hadapan Sultan Muhammad V pada satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, persepsi yang ditimbulkan itu adalah kenyataan politik untuk merendah-rendahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kononnya tidak menjaga Islam.

"Bagi saya, kewujudan Ketua Hakim Negara adalah untuk melaksanakan keadilan dan Islam itu mementingkan keadilan.

"Justeru, saya meminta orang ramai berhenti menimbulkan perkara yang boleh menjejaskan.

"Ini bukan soal menjejaskan kerajaan kami (PH) tetapi menjejaskan keutuhan dan kemakmuran yang selama ini terbina atas proses undang-undang yang kita semua terima pakai dan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja pastinya tidak akan buat sesuatu untuk merosakkan agama," katanya.

Mengenai Kompleks Nasyrul Quran, Mujahid berkata, beliau kagum dengan kewujudan kilang cetak al-Quran berkenaan iaitu kedua terbesar di dunia selepas Madinah.

"Kita kena beri sokongan padu dan uniknya di sini adalah al-Quran dikeluarkan dalam konsep Malaysia dengan corak dan motif. Kita selalu tengok al-Quran mungkin dari Arab khususnya Madinah.

"Di sini kita tunjukkan Malaysia juga mempunyai keupayaan dalam mengeluarkan naskhah al-Quran versi Malaysia," katanya.

Pautan:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/448759/pelantikan-richard-malanjum-tidak-jejas-kedudukan-islam
BERITA»Nasional
Jumaat, 13 Julai 2018 | 8:58pm
Anwar selamat jalani dua pembedahan
Daripada Ismail Mat cnews@nstp.com.my
Anwar ditemani Dr Wan Azizah dan anak mereka, Nurul Izzah, 
selepas menjalani dua pembedahan di Istanbul, hari ini. - Foto Ihsan Keluarga Anwar Ibrahim
ISTANBUL: Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini selamat menjalani dua pembedahan termasuk pada bahu kanan yang mengalami kecederaan serius pada kaf rotor.

Dalam pembedahan di Medipol Mega University Hospital itu, Anwar turut menjalani pembedahan mikro bagi merawat sakit belakangnya yang kronik akibat kegelinciran disk.

Pakar kardiologi peribadinya, Prof Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad, berkata pembedahan berjaya kerana Anwar tidak berdepan masalah koronari.

"Fungsi jantung beliau berada pada tahap normal tanpa penyempitan saluran koronari arteri yang signifikan, sekali gus membolehkan beliau menjalani kedua-dua pembedahan terbabit.

"Beliau berada dalam keadaan ceria dan beransur pulih berikutan pembedahan lancar tanpa komplikasi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berdasarkan gambar yang dikongsi selepas pembedahan itu, isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut menemaninya di hospital.

Dr Wan Azman berkata, Anwar perlu menjalani prosedur fisioterapi di hospital terbabit terlebih dulu.

Katanya, Anwar turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada pakar yang merawatnya di Malaysia sebelum ini.

Pautan:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/448803/anwar-selamat-jalani-dua-pembedahan


...

Tiada ulasan: