بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.
Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Bukan pula hanya dengar sahaja, faham!. Kepatuhannya kena usulkan juga.
Jangan abai nasihat isteri
YA, ini bukan cerita rekaan tetapi baru sahaja berlaku lebih seminggu lalu di sebuah pasar raya di Shah Alam.
Selepas bayar harga sehelai kemeja lengan pendek berjalur, saya tanya gadis juru jual itu sama ada dia boleh tolong seterika kemeja saya masa itu juga.
“Saya nak pakai sekarang!” kata saya bersungguh-sungguh.
Tidak sempat pula untuk saya mengusul periksa gadis itu orang mana. Tetapi kalaulah dia berasal dari sebelah negeri saya, rasanya saat itu juga akan terkeluar dari mulutnya “cheewiii sungguh aih dia ni!”
Ya, ‘cheewii” mengikut istilah orang tempat asal saya maksudnya lebih kurang tergedik-gedik atau tidak sabar-sabar lagi untuk mencuba, memakai atau menggunakan sesuatu yang baru dibeli atau dimiliki.
Contohnya, jika seseorang itu baru beli kereta, petunjuk ‘kecheewiiannya’ ialah apabila dia tidak lagi mahu tidur di dalam rumah atau di dalam bilik bersama isterinya tetapi dengan selimut bantal sekali dibawa masuk ke dalam kereta untuk dia tidur di dalam kereta barunya itu.
Ada pun hal yang terjadi kepada saya itu, tidak ada kena mengena sedikit pun dengan ‘cheewii’. Sungguh, saya bukan ‘cheewii’ walaupun ada sesekali pada ketika lain hal ‘kecheewiian’ saya itu tidak boleh dinafikan.
Sesungguhnya apa berlaku pada diri saya hari itu kerana secara tiba-tiba dan dengan tidak dirancang dikehendaki hadir ke rumah seorang menteri di Kuala Lumpur untuk satu tugasan rasmi.
Sedangkan pada hari itu, saya yang asalnya tidak pun merancang hendak ke mana-mana atau bertemu dengan sesiapa daripada pihak luar untuk urusan rasmi. Lantaran itu, saya pun berpakaian sekadar ‘separuh rasmi’ sahaja ke pejabat.
Tidak! Tidaklah pula saya berseluar pendek atau berbaju T akan tetapi pakaian saya sama sekali sangat tidak sesuai untuk bertemu pegawai tinggi kerajaan, apa lagi seorang menteri.
Sudahlah begitu, temu bual saya dengan menteri itu pula akan disiarkan dalam web TV akhbar kami. Malulah saya dengan bos-bos saya sekali jika berpakaian seperti itu menemubual menteri - walaupun di rumahnya - disiarkan.
Kerana itu, mahu tidak mahu dalam keadaan masa yang suntuk, saya keluar ke pasar raya yang paling hampir untuk mendapatkan baju lebih sesuai. Melilaulah juga dibuatnya kerana masa sudah sangat suntuk, dan yang paling saya risau, kalaulah tidak sempat diseterika!
Bayangkan saya ke rumah menteri itu, menginterbiunya dalam keadaan baju dengan di dada seperti ada petak bendang, berbatas-batas dan bersimpang-simpang kesan lipatan. Aduhai!
Dan benarlah, kebimbangan saya itu akhirnya dijelmakan Tuhan. “Maaf encik, kami tidak ada seterika di sini,” kata gadis juru jual itu yang ternyata bijak menyembunyikan soalannya yang sebenar, “mengapalah dia ni ‘cheewii’ sangat, tak sabar-sabar nak pakai baju baru agaknya?”
Tak mahu berdakwa-dakwi, saya bergegas pulang ke pejabat dan bertanya kawan-kawan satu soalan yang sangat gila “hang pa ada bawak mai seterika dak weh?Aku nak pinjam…”
Dan seperti gilanya soalan itu, jawapan pun gilalah juga “ Gila ka apa, nak bawa seterika ke office!”
Akhirnya, kerana masa yang semakin suntuk, saya pakailah juga baju baru dengan bau Pasaraya The Store ke rumah menteri itu. Dan seperti yang dijangka, memang saya terlambat juga beberapa minit dari jadual.
Mujurlah Pak Menteri tidak banyak ‘songeh’ dan tidak pula bertanya, “baju bau kedai… baru beli ka?”
Itu pun saya telah diyakinkan berkali-kali oleh rakan-rakan di pejabat tadi baju saya itu tidak ada langsung petak bendang di dada.
Ya, cerita seperti ini mungkin remeh tetapi yang remeh dan temeh inilah mengelilingi kita setiap hari.
Selama ini saya sudah sering diingatkan isteri supaya bersiap siaga selalu untuk hal seperti itu. Pesannya, kain pelikat perlu sentiasa ada dalam kereta untuk guna solat mana tahu kalau-kalau seluar hilang kesuciannya.
Manakala dipesannya supaya bawa baju dan seluar beberapa helai dalam kereta, saya sering mencebik. Kata saya, orang yang bergantungan baju dalam kereta itu seperti tidak berumah sahaja.
Maka hari itu, ‘kopak’lah juga tiga angka untuk satu perbelanjaan tidak dirancang, boleh dielakkan tetapi akhirnya berlaku juga kerana ego saya enggan mengikut nasihat isteri.
Manakala dalam usia semakin ke penghujung dan sudah sering pula memikir soal pembersihan hati, saya terima ini sebagai padah kerana selalu memperlekeh usaha orang lain untuk kebaikan diri mereka (menggantung baju di dalam kereta) sedangkan diri saya sendiri akhirnya ditimpa kesusahan dek kesombongan itu.
Sumber: (sinarharian) .
Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan