'PAS perlu keluar Pakatan jika bertegas laksana hudud'
ULASAN Sekali lagi isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan menjadi polemik yang hangat dalam media massa arus perdana. Isu ini timbul semula selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan di Parlimen kesediaan Kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh Umno untuk membantu PAS melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan.
Isu pelaksanaan hudud sebenarnya bukan satu isu baru dalam persada politik Malaysia. Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) telah diluluskan di DUN Kelantan pada tahun 1993 dan di DUN Terengganu pada tahun 2002.
Namun, enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana undang-undang yang melibatkan jenayah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan hanya boleh diluluskan melalui Parlimen. Jadi, itulah sebabnya dikatakan bahawa pelaksanaan Hudud adalah tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Semua pihak mengetahui pendirian DAP dalam isu ini iaitu DAP tidak pernah dan tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang tersebut kerana ia tidak pratikal dan tidak sesuai dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.
Bagaimanakah penguatkuasaan undang-undang jenayah dapat dijalankan dengan berkesan sekiranya ada dua set undang-undang yang diaplikasikan secara berlainan kepada orang yang beragama Islam dan bukan Islam. Jenayah tidak ada sempadan warna kulit dan agama dan adalah mustahil penjenayah hanya melakukan jenayah ke atas mangsa dari kalangan agamanya sendiri sahaja.
DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud tidak sama sekali bersamaan dengan DAP menentang agama Islam ataupun anti-Islam. DAP tidak pernah mempersendakan hukum Islam untuk menimbulkan ketakutan ataupun phobia di kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin MCA.
Malah, saya sendiri pernah mempertahankan Tok Guru Nik Aziz di Parlimen apabila pemimpin MCA mendakwa kononnya Tok Guru mengizinkan wanita yang tidak menutup aurat dirogol. Saya juga pernah mengatakan kepada masyarakat bukan Islam bahawa tidak ada apa yang perlu ditakuti sekiranya kita tidak mencuri dan merompak.
Ya, DAP sanggup mempertahankan PAS untuk membantu PAS dalam proses mengikis ketakutan dan perasaan phobia di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan agama Islam supaya PAS boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.
Kita mahu mereliasasikan perubahan politik di bawah Pakatan Rakyat untuk membawa agenda politik yang baru yang menekankan prinsip-prinsip keadilan untuk semua, pentadbiran yang baik tanpa rasuah dan meninggalkan politik perkauman warisan Umno dan Barisan Nasional. Kita menghayati dan serius dalam misi tersebut.
DAP juga mengetahui bahawa pelaksanaan hudud merupakan salah satu matlamat utama perjuangan politik PAS. Prinsip yang telah dimeterai dalam kerangka Pakatan Rakyat ialah parti masing-masing boleh mengekalkan matlamat perjuangan asalnya namun apa-apa keputusan dari segi pelaksanaan dasar dan undang-undang di mana-mana peringkat kerajaan perlu mendapat konsensus bersama dari semua parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP.
Dokumen yang mengikat permuafakatan dan kerjasama ketiga-tiga parti ialah Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai oleh pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam.
Semangat yang paling utama dalam Dasar Bersama tersebut ialah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan dengan jelas mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama untuk Persekutuan dan hak kebebasan beragama untuk agama-agama lain, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
DAP tidak pernah membelakangkan prinsip-prinsip tersebut termasuk di negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh setiausaha agung DAP. Seluruh pimpinan dalam Pakatan Rakyat membuat keputusan tersebut secara sedar dengan mendahulukan perkara-perkara yang kita persetujui bersama dan tidak menyentuh isu-isu yang tidak dipersetujui. Amat jelas bahawa, pelaksanaan hudud di mana-mana negeri bukan merupakan agenda yang dipersetujui dalam kerangka Pakatan Rakyat.
Justeru itu, apabila ada sebahagian pimpinan PAS khususnya pimpinan kerajaan negeri Kelantan yang bertegas secara persendirian untuk mengemukakan satu Rang Undang-undang Persendirian (Private Member’s Bill) di Dewan Rakyat melalui Ahli Parlimen PAS dari Kelantan tanpa mencapai kata sepakat atau konsensus dalam Majlis Presiden atau pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, maka keputusan dan tindakan tersebut adalah dilihat sebagai mencabuli permuafakatan Pakatan Rakyat.
Sebagai parti politik yang berprinsip dan bertanggungjawab, PAS perlu menghormati dan mengikuti asas-asas permuafakatan yang telah dipersetujuinya.
Sekiranya PAS bertegas untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan yang tidak ada konsensus dalam Pakatan Rakyat, maka langkah yang paling terhormat dan sewajarnya untuk PAS ialah berundur dari Pakatan Rakyat.
PAS tidak boleh terus bertindak bertentangan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat tetapi pada masa yang sama tetap bersandar kepada Pakatan Rakyat.
Sebagai pendukung Pakatan Rakyat, saya amat berharap kerjasama di antara kita tidak berkesudahan sebegitu kerana pertalian di antara PAS dan DAP terutamanya di peringkat akar umbi telah terjalin dengan begitu akrab dan utuh sekali.
Namun begitu, kami perlu membuat satu keputusan yang berprinsip daripada terus berdolah-dalih di depan rakyat. Seperti ungkapan mendiang Sdr Karpal Singh, “tidak ada kawan atau musuh yang kekal dalam dunia politik, tetapi kita mesti mempunyai prinsip yang berkekalan”!
ANTHONY LOKE adalah setiausaha organisasi kebangsaan DAP dan ahli Parlimen Seremban.
s3v3n
Tiada ulasan:
Catat Ulasan