Jumaat, 25 April 2014

4924. Terlalu Cinta dengan Tak Lalu Cinta.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.


Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Meja www.peceq.blogspot.com  

  • PART II

    Aku terlalu rindukan Azam. Kenapa Azam tiba-tiba sahaja menghilangkan diri. Sudah lama dia tak menghubungi aku. Hampir 3 bulan aku tak mendengar suaranya. Azam masih lagi di London.

    Dahulu, di awal usia perkahwinan kami Azam sering menelefon aku. Suaranya benar-benar memberi aku semangat. Azam tahu mengenai masalah aku dan Wazed. Dia juga tahu rancangan aku mengenai 'perkahwinan kontrak' ini.

    Azam langsung tidak memarahi aku. Dia tahu bahawa aku menerima Wazed bukan atas dasar cinta tapi atas dasar hormat aku pada ayah. Dia jugalah yang  menyokong aku dan katanya lagi bahawa dia sanggup menunggu aku bukan saja setahun malah selama hayatnya masih hidup dia sanggup menanti aku.

    Aku dapat rasakan ketika itu akulah wanita yang paling bertuah kerana dapat memiliki cinta Azam yang betul-betul ikhlas menyayangi aku. Namun suara Azam hanya dapat aku dengar 3 bulan yang lalu. Di mana Azam sekarang? Mungkinkah dia terlalu bosan menunggu dan terus menunggu kehadiran aku dalam hidupnya? Ahh... kalau aku jadi Azam pun sudah pasti  perkara yang sama akan aku lakukan.

    Satu tahun bukannya tempoh yang singkat. Sedangkan hati boleh berubah inikan pula penantiannya yang boleh dianggap satu angan-angan yang tak pasti. Ini semuanya berpunca daripada Wazed. Kadangkala aku terlalu bencikan Wazed tetapi kehadiran Wazed jugalah sedikit sebanyak telah mengubah hidup aku. Tidak dapatku sangkal bahawa dia seorang suami yang baik dan benar-benar mengambil berat tentang diri ini.

    Aku sahaja yang tidak pernah menghargai kehadirannya dalam hidup aku. Tiada lelaki lain selain Wazed yang tulus ikhlas menyayangi, menyintai dan menghormati aku. Bila difikir-fikirkan, aku rasa bertuah kerana punya seorang suami yang terlalu memahami aku. Memanjakan aku seolah-olah aku ini budak kecil yang perlu didodoi.

    Aku sakit dia menjadi doktorku, aku lapar dia menjadi tukang masakku malah bila aku terlambat ke pejabat dia sanggup menghantarku sedangkan ketika itu dia punya urusan lain. Tapi, kenapa mesti Wazed? Bukan Azam?

    Tiba-tiba saja hati aku terdetik, mungkinkah jodohku memang bersama Wazed. Sisa-sisa hayatku adalah hidup bersama Wazed sehingga aku mati. Di mana Azam sekarang? Kenapa dia menghilangkan diri? Sudah tiada lagi cintakah di dalam hatinya untukku? Atau aku sahaja yang mengangankan sesuatu yang bukan milikku.

    Sedangkan sesuatu yang sudah tentu menjadi milikku aku abaikan begitu saja. Antara Wazed dan Azam?? Siapa yang harus aku pilih? Ooohhh...Terlalu sukar hidup ini.

    "Masih panas lagi suhu badan awak ni. Saya bawa awak ke klinik.." Aku ingat lagi peristiwa pertama yang mencetuskan rasa sayang aku pada Wazed dan wujudnya rasa cinta dan kasih di hati ini pada Wazed. Ketika itu aku demam panas. Memang aku tak mampu nak berbuat apa-apa kerja ketika itu. Nak bangun dari katil pun tak terdaya. Mungkin waktu itu aku terlalu rindukan Azam dan dalam masa yang sama aku juga sibuk dengan kerja-kerjaku di pejabat.

    "Tak pe, saya sihat. Panas sikit je. Lepas makan Panadol, sihatlah. Awak tak payah nak risaukan saya. Saya tahu apa yang saya buat. Awak buatlah kerja awak. Jangan ganggu saya, boleh tak?" Aku meninggikan suara. Tapi bukannya aku marahkan Wazed, cuma aku tak tahan dengan kesakitan di kepala yang aku alami.

    Wazed masih tak berganjak. Dia meletakkan tangannya di dahiku. Aku menepis dengan kuat tangan Wazed. Berkerut-kerut dahiku menahan sakit. Aku bangun tapi tak mampu. Dengan pantas tanpa pedulikan kemarahanku, Wazed terus mendukungku keluar dari bilik. Aku benar-benar terkejut dengan tindakannya. Habis tubuh Wazed menjadi sasaran aku untuk memukul.

    "Awak nak bawak saya ke mana ni ? Lepaskan saya!!" Aku menjerit tapi badan aku terlalu lemah dan tak mampu untuk aku meninggikan suara. "Awak sakit di hadapan mata saya. Takkan saya nak jadi orang bodoh untuk dengar kata-kata awak supaya tinggalkan awak dalam keadaan macam ini. Saya nak bawak awak ke klinik. Nyawa awak lebih penting sekarang."

    Wazed....Sungguh mulia hatimu. Aku buta untuk menilai kasih sayangmu yang mencurah-curah mencintai diri ini sedangkan aku terus bodoh menanti pada orang yang tak pasti. Sedikit demi sedikit hati wanitaku mulai cair. Sepanjang aku terlantar sakit Wazed menjaga aku siang dan malam. Dia sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menemani aku.

    Segala makan dan pakai semuanya Wazed  yang lakukan untuk aku, biarpun pada mulanya aku malu dengan tindakan Wazed. Entah mengapa, perasaan benci dan marah dalam diri ini pada Wazed berubah menjadi kasih dan sayang pada Wazed. Aku benar-benar terharu dengan  keikhlasannya selama ini dan aku juga bangga dengan ketabahan Wazed yang sanggup hidup bersama aku susah dan senang.

    Dia tidak pernah kisah dengan caci makiku dan kutukan aku pada dirinya selama ini. Kesabarannya terhadap kedegilan aku membuatkan aku mula jatuh cinta pada Wazed. Tetapi keegoan aku mengatasi segalanya. Aku malu untuk meminta maaf pada Wazed walaupun selama ini aku yang banyak melakukan kesilapan. Aku tahu, aku seorang isteri tapi aku tak pernah menjalankan kewajipanku. Aku gagal menjadi isteri yang sempurna pada Wazed.  


    Dua minggu lagi akan tamatlah ikatan kontrak perkahwinan kami. Sepatutnya aku boleh gembira sekarang kerana tidak lama lagi Wazed akan melafazkan kata-kata keramat bagi seorang isteri. Namun, kegembiraan itu tidak dapat aku rasakan sekarang. Buat pertama kali dalam hidup aku, aku dapat melupakan ingatan aku pada Azam. Kerinduan pada Azam sudah tiada lagi. Yang terbayang di dalam fikiran aku sekarang hanyalah Wazed Bin Hamzah, seorang suami yang terlalu agung darjatnya dalam hati aku.

    Aku benar-benar takut untuk berpisah dengan Wazed. Selepas ini Wazed bukanlah lagi peneman setia aku. Aku dapat rasakan bahawa hidupku selepas ini akan sunyi. Tiada lagi senyuman Wazed dan gurauan Wazed. Ooohh..TUHAN!! Apa yang telah aku lakukan sekarang?

    "Selagi awak di hadapan mata saya dan awak hidup bersama saya, selagi itulah kewajipan saya sebagai suami akan saya lakukan. Biarpun dalam kontrak tidak tertulis, namun sudah menjadi tanggungjawab seorang suami supaya menjaga isterinya samada dalam keadaan susah mahu pun senang.

    Dua minggu lagi hubungan kita akan tamat. Tapi, percayalah biar pun sehari malah sesaat pun, awak tetap
    di hati saya. Saya tahu kebencian awak pada saya tidak akan hilang. Begitu juga dengan cinta saya. Ianya tidak akan pernah pudar. Andai diberi peluang sekali lagi, saya mahu teruskan hidup ini bersama awak Masturaini. Nama awak sudah terpahat di dalam hati saya."

    Wazed mengusap rambutku dengan kain basahan sewaktu memandikan aku yang terlantar sakit. Tiba-tiba satu ciuman diberikan di dahiku. Terasa ingin mengalir air mata ini, namun aku dapat bertahan. Mataku ketika itu masih tertutup. Mungkin Wazed menyangkakan aku sedang tidur tetapi tidak sebenarnya.

    Segala kata-kata luahan hati Wazed dapat aku dengar cuma aku tidak berani untuk menatap wajah Wazed ketika itu. Wazed kenapa kau terlalu baik pada diri ini yang seharusnya tidak layak untuk berada di hatimu yang suci itu. Aku tidak mampu untuk menyintai seperti mana engkau menyintai aku.

    Andai engkau dapat mendengar luahan hati ini, berjuta-juta kemaafan ku pohon darimu tapi untuk meluahkannya hati aku amat berat. Aku malu sebenarnya Wazed. Terasa kecil diri ini di hadapan matamu Wazed.

    "Kenapa awak menerima saya untuk menjadi isteri awak sedangkan sebelum ini kita tidak pernah berjumpa. Awak tak pernah mengenali saya, tapi awak sanggup berkahwin dengan saya. Bukankah itu satu tindakan yang bodoh  namanya?" Aku memberanikan diri untuk bertanya pada Wazed sewaktu kami menjamu selera di sebuah restoran selepas balik dari berjumpa dengan ibu dan ayah.

    Wazed tersenyum. Dia memandang aku. Aku jadi kaget. "Soalan itu rasanya sudah saya jawab sebelum kita menjadi suami isteri lagi. Nama awak sebenarnya sudah lama terpahat di dalam hati saya. Hampir dua tahun saya mengenali awak sebelum saya berjumpa dengan awak." Wazed sengaja menoktahkan ayatnya di situ supaya aku semakin keliru.

    Kali ini aku yang memandang wajahnya dengan seribu pertanyaan di kepala. "Dunia ini tidaklah sebesar mana. Tuhan mentakdirkan hidup saya supaya bertemu dengan awak bukan di bumi Malaysia. Saya juga pernah belajar di luar negara dan sama universiti dengan awak."

    Aku ternganga. Ligat otakku mengingati semula wajah-wajah pelajar Malaysia yang pernah aku jumpa di London. Rasanya tiada langsung wajah Wazed yang pernah aku jumpa. Betulke dia ni atau sengaja nak memainkan aku?

    "Setahu saya pelajar Malaysia tidaklah sebanyak mana pun, tapi kenapa saya tak pernah berjumpa dengan awak? Awak jangan nak bergurau dengan saya." Aku seakan tidak percaya. Benarkah apa yang Wazed cakapkan sebentar tadi?

    "Saya belajar part time. Awak memang tidak akan perasan saya. Saya belajar waktu malam, tapi awak dan Azam selalu datang makan di restoran tempat saya bekerja. Ingat tak Café Bistroze? Saya jadi pelayan bar di situ. Maklumlah, saya ni orang miskin, tak mampu nak belajar sepenuh masa. Siang saya bekerja dan malam saya belajar. Ketika itulah saya sempat mengenali awak." Wazed menamatkan ayatnya di situ.

    Dia menghabiskan minuman. Aku terdiam. Sungguh tak ku sangka, dunia ini terlalu kecil. Allah SWT menemukan aku dan Wazed tanpa aku mengenali siapa dirinya. Wazed terlalu pandai menyimpan rahsia. 

    "Esok, genap setahun kita menjadi suami isteri yang sah seperti mana termaktub dalam kontrak yang telah saya tandatangani. Biarpun hati ini berat untuk melepaskan awak tapi saya tidak pernah lupa dengan janji saya. "Melukakan hati dan perasaan awak adalah satu dosa paling besar di mana saya tidak dapat memaafkan diri saya sendiri. Awak terlalu suci di mata saya. Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang seringkali melukakan hati awak selama ini. Saya benar-benar berharap agar awak dapat ampunkan dosa-dosa saya."

    Wazed tertunduk menahan sebak di dada. "Terus terang saya katakan, esok adalah hari yang paling saya takutkan. Saya dapat rasakan bahawa esok akan mengubahkan segala takdir hidup saya yang selama ini saya rasakan indah. Hidup bersama awak adalah satu kenangan yang paling manis buat saya. Segalanya berubah bila awak hadir dalam diri saya. Awak adalah semangat saya untuk saya teruskan hidup ini yang kian singkat..."

    Aku rasa hairan dengan kata-kata terakhir Wazed. Apa yang dia maksudkan? Wazed yang berada di hadapan aku sekarang bukanlah Wazed yang selama ini aku kenal. Aku dapat lihat perubahan di wajahnya. Lain benar seakan menyimpan satu rahsia yang tidak aku ketahui. Aku juga dapat lihat air mata lelakinya hampir mengalir tapi mampu ditahan. 

    "Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang sepatutnya memohon ampun dan maaf dari awak kerana dosa saya sebagai isteri adalah terlalu besar. Saya kagum dengan awak kerana menghormati saya dan keputusan saya selama ini. Awak seorang lelaki yang terlalu baik dan saya tidak layak untuk berada di hati awak. Saya percaya selain saya akan ada seorang wanita lain yang akan muncul dalam hidup awak dan benar-benar menerima cinta awak dan menyayangi awak lebih dari segala-galanya di dunia ini."

    Aku juga menahan sebak. Tidak mahu air mata ini mengalir di hadapannya. Percayalah Wazed sesungguhnya hati ini telah lama engkau miliki tapi aku tak mampu untuk berterus terang. Aku perlukan masa. Tidak tahu berapa lama lagi. Aku sebenarnya terlalu malu untuk berhadapan dengan dirimu yang tulus ikhlas mencintai aku.

    Aku tahu, aku bodoh selama ini kerana tidak nampak sebutir permata yang boleh menerangi sepanjang hidupku. Wazed hanya mampu tersenyum. Dia memegang tanganku lantas ciuman kasihnya diberikan. Aku dapat rasakan mungkin itu adalah ciumannya yang terakhir sebelum kami berpisah.

    "Selepas ini, saya harap awak tidak akan hilangkan ingatan awak pada saya. Biarpun diri saya ini hanyalah sebesar zarah di hadapan mata hati awak, namun awak jangan lupakan saya. Kalau boleh, biarlah berkekalan sampai ke akhir hayat awak. Setahun adalah satu tempoh yang singkat untuk saya lebih mengenali awak.

    "Kalau Tuhan mentakdirkan umur saya panjang ingin rasanya sekali lagi saya harungi hidup ini bersama awak di dalam satu keadaan yang berbeza di mana awak benar-benar mencintai saya dan menyayangi saya sepenuh jiwa dan hati awak. Andai terjadi, saya dapat rasakan bahawa sayalah manusia yang paling bertuah dapat memiliki awak." Kami bertentangan mata buat kali terakhir.

    Aku jadi sayu apabila memandang wajahnya. Takdir kami akan berubah esok. Mungkinkah ianya terjadi.... Malam itu aku tidur di dalam seribu ketakutan. Esok pasti akan terjadi, begitu juga dengan lafaz kontrak akan termaktub. Ahhh..undang-undang yang dibuat manusia. Sentiasa menyusahkan. Takdir hidup aku esok akan  ditentukan. Aku tahu bukan sahaja aku, malah Wazed lebih merasai ketakutannya. Dia terlalu mencintai aku. Malah kerana cintanya itu akhirnya memakan dirinya sendiri. Dia menghormati segala keputusan aku kerana ikhlasnya cinta Wazed pada diri ini.

    Keesokan harinya aku terlewat bangun. Tergopoh gapah aku keluar dari bilik. Aku dapat rasakan sesuatu..Wazed tiada di dalam biliknya. Begitu  juga dengan kereta Wazed, tiada di luar. Aku terduduk di ruang tamu.

    Terlalu cepat Wazed meninggalkan cintanya. Tidak sempat untuk dia berkata sesuatu pada aku buat kali yang terakhir. Mungkin Wazed tidak mampu untuk  berhadapan dengan aku. Surat kontrak perkahwinan terletak kemas di atas meja. Aku dapat lihat sepucuk surat bersampul warna biru di atas kontrak tersebut.

    Hati aku  berdebar-debar. Semakin lama getaran di dadaku semakin terasa. Tanganku menjadi sejuk. Menggigil-gigil jari jemari ini untuk menyentuh surat tersebut. Lama aku perhatikan surat Wazed. Aku tak sanggup nak buka kerana aku tahu segala keputusan semuanya berada di dalam baris-baris ayat surat tersebut. Aku takut namun aku pasrah. Ia kehendak Allah SWT dan hati aku sendiri. Aku harus menerima segala keputusan dengan tenang.

    Lagi pun selama ini itulah yang aku minta pada Wazed biar pun Wazed berat untuk melakukannya. Dengan lafaz Bismillah aku membuka lembaran tersebut dan akhirnya....

    "Bahawasanya saya WAZED BIN HAMZAH dengan ini menceraikan MASTURAINI BTE JABAR dengan talak satu. Segalanya adalah mengikut kontrak perkahwinan yang telah kami tandatangani iaitu bertarikh 30 DISEMBER 2002" - WAZED BIN HAMZAH -

    Dia benar-benar melakukannya... Pertama kali air mataku mengalir. Aku kini bukan milik Wazed lagi.Tahniah untuk diriku sendiri kerana permainkan undang-undang Allah SWT dan natijahnya aku yang terima sekarang. Ooohh.. Wazed. Kenapa kau berlalu pergi begitu saja. Tiada langsung ucapan selamat tinggal yang keluar dari mulutmu. Kenapa hatimu terlalu lembut? Kenapa kau tidak memujuk aku supaya jangan berpisah?

    Andai ianya berlaku sudah pasti aku tak mahu engkau meninggalkan aku. Aku mula menyayangi  dirimu Wazed... Benih-benih cinta dan kasih dalam diri ini pada Wazed sudah bercambah tapi aku tak mampu untuk tunaskannya...
    **********************************************************
    Hampir dua bulan selepas perceraian kami, aku tidak pernah bertemu dengan Wazed. Dia menghilangkan diri begitu sahaja. Aku tidak tahu ke mana Wazed membawa diri. Sudah puas aku mencari tapi Wazed tidak juga aku temui. Aku sudah bernekad bahawa aku mesti mencari Wazed. Aku ingin mengikat semula tali perhubungan kami yang terputus.

    Aku telah bersumpah bahawa tiada lelaki lain selain Wazed yang boleh menjadi suamiku. Aku ingin bina semula istana cinta kami yang telah aku runtuhkan dahulu disebabkan kebodohan aku. Tapi, di mana aku nak mencari Wazed? Sudah merata tempat aku pergi. Telah pelbagai cara aku lakukan namun gagal. Adakah sengaja Wazed tidak mahu  berjumpa dengan aku? Terlalu besarkah dosa aku padanya?

    Ibu dan ayah sudah tahu mengenai perceraian aku dan Wazed. Mereka benar-benar terkejut dengan tindakan kami pada mulanya. Ayah marahkan aku, begitu juga ibu. Aku tahu aku yang bersalah. Namun marah mereka tidak lama  kerana mereka tahu takdir sudah tertulis bahawa aku dan Wazed tidak boleh kekal bersama cuma mereka kesal dengan sikap dan perangai aku yang tidak pernah berubah. 

    Aku terlalu degil dan sukar untuk dibentuk. Tapi itu dulu,  sebelum kehadiran Wazed. Sekarang, aku bukan seperti aku yang dulu. Wazed telah mengubah pendirian aku. Dialah punca segala-galanya. Dia jugalah yang telah membuka pintu hati ini untuk mengenal apa itu erti cinta, kasih, sayang dan rindu.

    Aku terlalu rindukan kehadiran Wazed di sisi. Cinta, kasih dan sayang pada Wazed semakin hari semakin bertambah. Nama Azam terus hilang dari ingatan aku. Dia bukanlah lelaki yang boleh dipercayai. Segala kegiatan  jahatnya terbongkar apabila satu hari aku terbaca diari Wazed yang tertinggal di rumahku selepas Wazed menghilangkan diri pada pagi yang keramat itu.

    Setiap detik dan hari sudah pasti ada kisah aku dan Azam di London tertulis di dalam diarinya. Dari situlah aku tahu, Azam bukanlah seorang lelaki yang jujur. Dia banyak memainkan perasaan wanita seperti aku. Sampai sekarang Wazed tidak tahu bahawa aku telah membaca diarinya.  Segala isi hatinya dan perasaannya pada aku ditulis dalam diari itu. Barulah aku tahu memang Wazed lebih mengenali aku daripada aku mengenali diriku sendiri. Dia begitu hebat di hati aku kini.Wazed.....Di mana kau sekarang...

    Suatu hari, aku dapat berita yang rasanya boleh meluruhkan jantung aku di saat itu jua. Berita tentang orang yang sangat-sangat aku ingin jumpa. Akhirnya dapat juga aku mendengar berita tentang Wazed tetapi malang  kerana ketika itu aku berada di luar negara menguruskan perniagaan ayah yang ada masalah. Aku menggantikan kerja-kerja Wazed kerana Wazed bukan sahaja berpisah dengan aku malah jawatannya sebagai CEO di syarikat ayah juga turut dilepaskan.

    Ibu yang menelefon aku ketika itu mengkhabarkan berita tidak baik tentang Wazed. Wazed kini berada di wad jagaan rapi (ICU). Wazed sakit kuat sekarang. Begitulah kata-kata terakhir yang sempat aku dengar dari ibu sebelum perbualan kami terputus disebabkan cuaca buruk di New Zealand yang ketika itu musim sejuk.

    Aku tidak dapat menghubungi ibu untuk mengetahui berita selanjutnya tentang Wazed. Aku menangis semahu-mahunya. Aku ingin pulang segera tetapi semua penerbangan dibatalkan untuk beberapa hari kerana cuaca buruk. Aku takut andai aku akan kehilangan Wazed dan aku tak sanggup untuk mendengar berita kehilangan Wazed sekali lagi. Wazed...Ya Allah, selamatkan Wazed.

    Andai ada jodohku bersama Wazed, pertemukanlah kami di bawah Limpahan Rahmat kurnia-Mu... Aku tidak dapat tidur lena selepas mendengar berita Wazed. Setiap waktu yang berlalu aku terkenangkan Wazed. Bagaimana keadaan Wazed sekarang? Jariku tidak putus asa ligat mendail nombor telefon ibu, namun tidak berjaya.

    Setiap saat degup jantung ini dapat aku rasakan semakin laju. Semuanya kerana mengenangkan keadaan Wazed. Mungkin sekarang Wazed amat memerlukan aku berada di sisinya tapi aku tak boleh Wazed. Kita terpisah dengan benua dan lautan. Aku jauh darimu tapi hati ini terlalu dekat padamu. Andai kau dapat mendengar suara hati ini, ingin aku katakan bahawa di saat ini aku sentiasa mendoakan agar dirimu selamat dan dijauhkan dari segala kesulitan hidup.

    Akhirnya malam keramat itu telah merubah takdir hidupku sekali lagi. Tidak dapat aku lupakan, bagaimana sayunya suara ibu menyampaikan berita yang paling takut untuk aku dengar. Mungkin ini adalah balasan Allah SWT di atas  keangkuhan aku memainkan undang-undang ciptaan Allah SWT selama ini. Harriz...Nama itu kini hanya tinggal bayangan masa silam. Dia benar-benar telah meninggalkan aku bersama kenangannya. Wazed tidak lagi akan aku temui sampai bila-bila...

    "Maafkan ibu, Aini. Ibu tak dapat hubungi Aini dua hari yang lalu. Wazed sudah tiada lagi di dunia ini. Dia dah tinggalkan kita semua buat selama-lamanya. Maafkan ibu, ibu lambat beritahu Aini. Kanser hatinya dah semakin merebak dalam tubuh Wazed. Dia terlalu rindukan Aini tapi dia tak mampu untuk bertahan lama. Ibu benar-benar minta maaf Aini....."

    Kata-kata ibu tidak berupaya lagi untuk aku dengar. Aku terasa berada di awangan. Semuanya bagaikan halilintar yang membelah bumi. Aku terduduk. Air mata mengalir tanpa henti. Aku menangis dan terus menangis tanpa henti. Tidak sempat untuk aku sujud di kakinya, memohon ampun dan maaf. Dosa aku terlalu banyak pada Wazed.

    "Maafkan Aini, Wazed. Aini bersalah pada Wazed dan Aini tidak sempat untuk sujud di kaki Wazed. Maafkan Aini, maafkan Aini..." Aku menjerit sekuat hati tapi siapalah yang mampu untuk menenangkan aku di saat itu. Aku  keseorangan. Ibu dan ayah tiada di sisi. Hanya semangat Wazed yang wujud dalam diri ini tapi kini Wazed meninggalkan aku secara tiba-tiba.

    Aku hilang arah tuju. Dunia dapat aku rasakan gelap. Wazed tidak pernah  menceritakan pada aku tentang penyakitnya. Patutlah kata-kata Wazed malam itu aku rasakan lain benar. Dia benar-benar maksudkannya. Kalaulah aku tahu begini jadinya tidak akan aku bertindak bodoh untuk berpisah dengan orang yang ikhlas mencintai aku. Akan aku jaga Wazed sehingga dia mengucapkan lafaz kematian di hadapan mata aku sendiri. Tapi, itu semua telah terlambat untuk dijadikan realiti dalam hidup aku. Wazed meninggalkan aku di saat-saat cinta ini telah berputik....

    Kepulangan aku ke bumi Malaysia tidak membawa apa-apa makna pada aku kerana orang yang ingin sangat aku jumpa selama ini sudah pergi. Hanya pusara yang tinggal untuk aku lawati. Setitis demi setitis air mata ini jatuh mengalir tatkala aku sampai di pusara Wazed. Aku dapat merasakan Wazed seakan berada di sebelah aku melihat aku mengalirkan air mata kerana meratapi kematiannya.

    Wazed jika dapat kau dengar luahan hati ini, ingin sekali aku bermohon ampun dan maaf padamu yang tidak pernah sempat terucap di bibir ini biarpun ketika kita bersama. Baru kini aku dapatmenilai erti cintamu yang mendalam terhadap diri ini. Aku terlalu angkuh dan keegoan ini telah memakan diri aku sendiri.

    Sepucuk surat yang terakhir kau tujukan untukku baru kini dapatku baca.

    Meruntun hati ini tatkala aku membaca bait-bait puisi yang engkau karangi hanya semata-mata untukku. Aku tahu aku benar-benar bersalah !!!.. Ikhlasnya cintamu itu tidak setanding dengan apa yang ada di dalam hati ini untuk aku beri. Rendahnya martabat diri ini jika kita dapat bersama. Selafaz doa aku bacakan untukmu, begitu jua jutaan kemaafan aku pohon padamu Wazed..

    Sajak yang ditujukan khas buat diri ini tidak puas aku membacanya. Sekali lagi aku menatap agar ia dapat menenangkan aku kerana tidak dapat melihat di saat-saat pemergianmu yang tidak dirancang tapi telah ditentukan Allah SWT.

    Sesungguhnya...
    Syurga seorang suami adalah ketika bersama isterinya dalam susah dan senang..
    Permata hati buat isteri yang disayangi Masturaini Bte Jabar..
    Dunia saya sewaktu bersama awak dirasakan amat luas....
    Awak adalah anugerah Allah SWT yang tak ternilai buat saya..
    Biarpun cinta ini tidak pernah wujud dalam diri awak..
    Namun, harapan itu tetap ada dalam impian saya
    Saya sayang awak lebih dari segalanya
    Saya mencintai awak dengan setulus hati
    Tatkala lafaz nikah terucap di bibir ini
    Memiliki awak adalah amanat yang harus saya jaga
    sebagaimana Allah SWT menciptakan Adam untuk Hawa...
    Namun, pemergian saya tak dirancang..
    Bila-bila masa sahaja nyawa ini akan menghentikan nafasnya.
    Biar pun saya tiada di sisi awak lagi
    Saya harap awak tidak pernah lupa akan diri ini yang sentiasa mencintai awak...

    moral of the story: cintailah org yang menyintai kita setulus hati..... 
    pearlnur

    In Syaa Allah Allahyarham sememangnya telah memaafkan bekas isterinya. Takwanya menyebabkan Allahyarham berada di posisi sedemikian semasa hayatnya. 

    My Dashboard. 
    s3v3n

    s3v3n.
IP

Tiada ulasan: