Sabtu, 21 Februari 2015

5150. Kita perlu menjadikan Nabi Muhammad, sebagai insan yang paling kita cintai.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Assalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh.

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين
  • Mesir 1

    Bayu pada tengah hari itu bertiup dingin. Suhu yang jarang-jarang berada pada 8°C benar-benar menguji iman sama ada hendak turun solat berjemaah atau tidak mahupun menguatkan diri ke kelas pengajian.

    Sesampainya ke dalam Masjid Asyraf yang terletak di Muqattom, suasana mula bertukar.
    Tenang.

    Ruang masjid yang agak tertutup di bawah tanah benar-benar memerangkap haba dan menjadikan khutbah Jumaat dan pengajian selepas itu begitu selesa.

    Hari ini hari istimewa.

    Syeikh Yusri membuka kitab baru tambahan daripada kitab yang masih dalam pembacaan iaitu al-Muwatto' , Khosois al-Kubra dan al-Azkar. Kitab al-Azkar ini setahu aku ia baru sahaja dibuka menggantikan kitab yang sebelumnya.

    Kitab baru yang dibuka ialah kitab karangan Dr Usamah al-Azhariy iaitu al-Haq al-Mubin. Dr Usamah merupakan menantu kepada Syeikh Yusri dan kitab ini baru sahaja berada di pasaran. Ia merupakan kritikan ilmiah beliau terhadap pemikiran Syed Qutb dan juga ISIS.

    Jarang sekali pengajian dan majlis umum seperti ini diadakan di Mesir bagi menjawab isu semasa umat Islam.

    Hatiku berbunga-bunga ceria. Terubat kerugian kerana tidak dapat menghadiri majlis bersama Syeikh 'Ali Jumuah yang juga menjawab persoalan-persoalan semasa daripada mahasiswa Malaysia di Mesir.

    Benarlah pembimbing itu penting. Syeikh Yusri mengetuk pintu hatiku lagi pada kali ini dengan pelbagai penjelasan dan persoalan. Kefasihan beliau dalam membaca kitab-kitab Turath benar-benar mengujakan aku.

    Memang berbeza jika buku dibaca sendiri berbanding dibaca bersama-sama guru. Banyak ta'liqat (input-input tambahan) yang mampu diperoleh daripadanya kerana orang yang 'alim sudahpun mengkhatamkan ratusan malahan ribuan buku berbanding kita yang masih terkial-kial membaca dan mahu berlagak jaguh setelah membaca beberapa buku (semoga Allah melindungi kita daripada penyakit ini).

    "Kita perlu menjadikan Nabi sebagai insan yang paling kita cintai..." kata Syeikh Yusri. "...kerana apabila kita mencintai Baginda, kita akan turut sama mencintai masyarakat di sekeliling kita."

    Syeikh Yusri benar-benar menghayati dan memahami agama ini. Pengajian beliau yang istiqamah sehingga ke hari ini membuktikannya. Berada di bidang perubatan tidak membuatkannya berasa ingin berlepas daripada memahami agama. Pangkat sarjana dalam bidang Syariah al-Azhar merupakan manifestasinya.

    "Tidak kiralah kamu dalam bidang perubatan, kejuruteraaan, mahupun pertanian, ini Agama kamu. Kamu perlu memahaminya." 

    Aku teringat tulisan Prof Wan Mohd Nor dalam autobiografi beliau, Rihlah Ilmiah yang menceritakan jerih payah beliau dalam mempelajari Islam di Amerika Syarikat. Kata beliau, masyarakat umum yang tidak berada di Jurusan Syariah dan yang berkaitan dengannya (Usuluddin, Lughoh, Ulum Islamiyyah, dll), paling tidak, perlu memahami asas-asas yang digariskan oleh Islam.

    Dalam mensyarahkan kitab al-Muwatto', Syeikh Yusri mencadangkan beberapa kitab wajib bagi ilmu tasawwuf yang mana kesemua kitab-kitab yang dikarang selepas itu, pasti akan berlegar-legar dalam lima kitab ini iaitu Risalah Qusyairiah, Manazil as-Sairin, Hikam ibn Athoillah, Ihya' 'Ulum ad-Din dan Qut al-Qulub.

    Beliau juga menyebut bagaimana pemikiran usul fiqh Imam Syafie yang menjadi rujukan kebanyakan ulama' sehingga ke hari ini iaitu lima Qawaid Fiqhiyyah ; al-Umur Bimaqosidiha, ad-Dhoror Yuzal, al-Yaqin la Yazul bi as-Syak, al-Masyaqqah Tajlib at-Taysir dan al-'Adah Muhakkamah.

    Kelima-lima kaedah ini telahpun dipelajari secara kasar bagi sesiapa yang mengambil subjek Syariah Islamiah di sekolah menengah dahulu dan permasalah fiqh hakikatnya begitu banyak dan memerlukan aqal yang benar-benar cerdas bagi memahami dan menyelesaikan masalah mengikut teks dan konteks.

    Pengajian pada hari itu benar-benar menarik dan tergetus di jantung hatiku betapa beruntungnya mahasiswa jurusan pengajian Islam yang dapat berdamping rapat dengan para masyaikh dan memperoleh banyak titipan-titipan nasihat dalam beragama dan mengamalkannya berbanding jurusan sains yang condong kepada pembentukan pemikiran saintifik.

    Sumber: (nuruddinazrizulkifli
    My Dashboard. 
    IP
    s3v3n

    s3v3n

Tiada ulasan: