Sabtu, 13 April 2013

368. Harapan dari individu yang tidak berparti.

Salam semua pengujung tetamu blog ini.

Pertamanya aku minta maaf banyak-banyak kepada semua. Bukan niat untuk menyinggung sesiapa. Kebenaran itu kadang-kadang pahit untuk seseorang.

Semua sedia maklum, sebahagian ahli Parti Keadilan Rakyat ialah bekas ahli Umno. Sesetengah-tengahnya masih sebati dengan amalan dan sikap Umno. Pendapat aku perkara yang baik semasa dalam Umno dulu baguslah dijadikan amalan untuk diperbaiki dan diperteguhkan. Cuma perkara atau sikap buruk semasa dalam Umno dulu, kuburkanlah tanpa tanda.

Masa telah membuktikan adanya "musuh dalam selimut" dalam parti, jika tidak masakan ada wakil rakyatnya menang bertanding semasa PRU12 telah berpaling tadah. Belajarlah dari kelemahan yang sudah-sudah, kelemahan itu bukan untuk diulang-ulang tetapi diperbaiki dan diatasi.

Aku yakin memang ada jenis "kaki bodek" dalam setiap organisasi. Kaki bodek inilah penjahanam masa depan parti. Kaki bodek ini jiwanya berkarat, langsung tiada kemurniannya. Berwaspadalah dengan hakikat menyatakan terdapatnya golongan berpenyakit "hasad dengki" dan hipokrit dalam sesebuah organisasi.

Calon bidan terjun, baru jadi ahli sudah terpilih jadi calon parti. Buat ahli baru tetapi berpeluang jadi calon parti dalam pilihan raya ke 13, buktikan anda berperinsip. Bukan talam dua muka. Bukan individu yang dikirim oleh parti lawan, dengan perjuangan yang berpura-pura dan bermuka-muka penyokong tegar parti.

Bukan ahli baru yang bila menang pilihan raya atas tiket parti, cabut lari dan berpaling tadah dan bernama baru yang kononnya "YB Bebas". YB Bebas tetapi sebenarnya bersekongkol dengan parti lawan sejak mula mendaftar menjadi ahli parti.

Dari sejarah dan peristiwa untuk sebahagian ahli politik, aku perhatikan rupa-rupanya kejujuran diri, mudah dibeli apabila berkecimpung dalam arena politik. Politik itu bersih dan tambah molek untuk ahli politik muslim, dahulukanlah Islam sebelum berpolitik.

Umno pada aku tidaklah segagah dahulu. Aku rasa masih ramai bijak pandai dalam parti tersebut. Carilah kaedah untuk memperteguhkan semula parti tanpa bantuan individu yang layaknya seperti si kitol dan sepertinya mamak mendeliar di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu.

Untuk ahli politik muslim, bersainglah secara sihat dengan berpegang teguh kepada Islam Addin untuk kecemerlangan hamba Allah S.W.T., dan umat Nabi Muhammad S.A.W.. In Syaa Allah hidup kita sebagai muslim mendapat berkat, hidayah dan rahmat Allah S.W.T., dan beroleh syafaat Nabi Muhammad S.A.W..


Tiada ulasan: