Setiap manusia tidak terlepas
daripada ujian Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Iman yang kental, takwa
dan kesabaran boleh mengatasi kesemua ujian ini. Setiap musibah yang
datang, ada hikmat disebaliknya. Anak kecil yang tak berbapa adalah
musibah kepada anak kecil itu, dia akan terdedah kepada berbagai-bagai
ancaman sosial. Namun demikian, Islam telahpun mengatur semua urusan hidup
ini dengan cara yang terbaik bagi mencapai kehidupan yang selamat dan
bahagia. Maka anak kecil yang tak berbapa atau lebih dikenali sebagai anak
yatim diberi perhatian yang sewajarnya, supaya dia akan menghadapi hidup
ini dengan penuh harapan.
Tidak dinafikan dalam masyarakat
kita masih kaya dengan sifat kasih sayang, simpati dan bertanggungjawab
terhadap anak-anak yatim. Umpamanya ditubuhkan Dana Pengiran Muda Mahkota
Haji Al-Muhtadee Billah untuk anak-anak yatim dan lain-lain pihak adalah
tanda sifat kasih sayang itu.
Dalam hubungan anak yatim ini,
bagaimanakah tafsiran syara‘ dalam menentukan siapakah yang berhak digelar
sebagai anak yatim. Irsyad hukum kali ini akan menjelaskan perkara yang
berhubung dengan anak yatim.
Tafsiran Anak Yatim
Anak yatim ialah anak kecil yang
tiada mempunyai bapa. Maksud tidak mempunyai bapa itu ialah tiada
mempunyai bapa yang diketahui menurut syara‘ sebagaimana yang dikatakan
oleh Al-‘Allamah Al-Fadhil Wa Al-Qudwah Al-Kamil Asy-Syeikh Ibrahim
Al-Baijuri.
Berdasarkan takrif tersebut,
Asy-Syeikh Ibrahim Al-Baijuri telah menggolongkan anak zina, anak yang
dinafikan nasabnya dengan li‘an antara suami isteri atau half
(sumpah) dan anak pungut sebagai anak-anak yatim.
Had Umur Anak Yatim
Had umur anak yatim itu ialah
kanak-kanak yang masih belum lagi mencapai had umur baligh sama ada lelaki
ataupun perempuan. Apabila seseorang itu sudah mencapai umur baligh, maka
tidaklah lagi dinamakan dia sebagai anak yatim bahkan mereka dipanggil
sebagai orang yang baligh. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam:
Maksudnya:
“Tidak ada keyatiman apabila telah bermimpi (yakni mencapai
umur baligh).”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Adapun tanda-tanda baligh bagi
lelaki dan perempuan ialah telah mencapai umur lima belas tahun (Qamariah)
atau bermimpi dengan keluar air mani (ketika berumur sembilan tahun
Qamariah).
Manakala tanda-tanda baligh bagi
perempuan sahaja (selain sukat-sukat umurnya lima belas tahun) ialah
keluar darah haid iaitu kira-kira berumur sembilan tahun Qamariah.
Hukum Memakan Harta Anak Yatim
Memakan harta anak yatim secara
zalim adalah termasuk dalam dosa-dosa besar dan mendapat seksa yang amat
pedih. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu akan harta
mereka, dan janganlah kamu tukar gantikan yang baik dengan yang buruk, dan
janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) kepada harta
kamu, kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.”
(Surah
An-Nisa’: 2)
FirmanNya
lagi yang tafsirnya :
“Sesungguhnya orang-orang
yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu
hanyalah menelan api ke dalam perut mereka, dan mereka pula akan masuk ke
dalam api neraka yang menyala-nyala.”
(Surah An-Nisa’: 10)
Banyak disebutkan dalam hadis
tentang ancaman dan peringatan terhadap orang-orang yang memakan harta
anak yatim. Di antaranya, hadis daripada Abu Dzar yang maksudnya :
“Bahawasanya Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya aku
lihat kami ini orang yang lemah. Sesungguhnya aku sangat menyayangimu.
Janganlah engkau memberikan kepimpinan kepada dua orang sekaligus dan
janganlah engkau membiarkan harta anak yatim dikuasai oleh orang yang
tidak bertanggungjawab.”
(Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi daripada Abu
Hurairah Radhiallahu ‘anhu maksudnya :
“Daripada Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam Baginda bersabda: “Hindarilah tujuh perkara yang
merosakkan (dosa besar).”
Mereka berkata: “Apakah dia wahai
Rasulullah?
Baginda bersabda: “Menyekutukan
Allah, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah (membunuhnya)
melainkan dengan (jalan) yang hak (yang dibenarkan oleh syara‘), makan
riba, makan harta anak yatim, melarikan diri ketika perang dan menuduh
(berzina) wanita-wanita yang muhshanat (wanita yang menjauhkan perkara
dosa) yang beriman lagi tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan
Muslim)
Haram bagi penjaga memakan harta
anak yatim walau sedikit pun melainkan yang dibenarkan oleh syara‘. Firman
Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Dan sesiapa (di antara
penjaga harta anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri
(dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya
dengan cara yang sepatutnya.”
(Surah An-Nisa’: 6)
Penjaga yang miskin harus mengambil
sedikit daripada harta anak yatim itu dengan kadar hajat sahaja dan
janganlah pula melampaui batas.
Walau bagaimanapun dalam kitab
Ar-Raudah, jika penjaga yang miskin itu mampu setelah dia mengambil
sedikit harta anak yaitm tersebut adalah tidak wajib baginya untuk
mengganti semula harta anak yatim itu menurut pendapat yang azhar.
Ganjaran Bagi Kafil Anak
Yatim
Kafil
bererti orang yang bertanggungjawab mengurus nafkah,
pakaian, mengasuh anak yatim dan sebagainya. Wali atau penjaga anak-anak
yatim itu hendaklah berlaku adil dan berbuat baik terhadap mereka.
Ganjaran bagi orang-orang yang berbuat baik terhadap anak-anak yatim
amatlah besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sabda Rasulullah
Shallallahu ‘alaiihi wasallam yang maksudnya :
“Saya dan penjaga anak
yatim berada dalam syurga seperti ini, Baginda mengisyaratkan dengan
kedudukan jari telunjuk dan jari hantu, dan merenggangkan keduanya
sedikit.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi daripada hadis
Abu Hurairah katanya yang maksudnya :
“Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda: “Penjaga anak yatim daripada kerabat atau bukan
kerabatnya, saya dan dia (penjaga itu) seperti dua (jari) ini di dalam
syurga. Malik (periwayat hadis) mengisyaratkannya dengan jari telunjuk dan
jari hantu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu
‘anhu katanya yang maksudnya :
“Daripada Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda: “Sebaik-baik rumah orang muslim ialah rumah
yang ada di dalamnya anak yatim sedang (penjaga itu) berbuat baik
kepadanya. Seburuk-buruk rumah orang muslim ialah rumah yang ada di
dalamnya anak yatim sedang (penjaga itu) berbuat jahat kepadanya.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Zakat Anak Yatim
Adapun anak yatim yang mempunyai
harta sama ada daripada tanam-tanaman, emas dan perak, perniagaan,
binatang dan sebagainya adalah wajib bagi penjaga mengendalikan pembayaran
zakat daripada harta anak yatim itu. Adapun jika penjaga itu tidak
mengeluarkan zakat daripada harta anak yatim tersebut, maka wajib bagi
anak itu membayarnya sesudah baligh. Akan tetapi berdosa bagi penjaga yang
melengahkan pembayaran zakat itu.
Manakala zakat fitrah bagi anak
yatim, wajib ke atas penjaga atau penanggung nafkah membayar zakat fitrah
untuk anak yatim tersebut. Ini kerana penjaga itu mengantikan tempatnya.
Adapun jika anak yatim itu memiliki
harta, wajib bagi penjaga mengendalikan pembayaran zakat fitrah daripada
harta anak yatim itu.
Korban Dan Aqiqah Untuk Anak Yatim
Tidak harus bagi penjaga anak yatim
melakukan korban atau aqiqah dengan menggunakan harta anak yatim. Ini
bertujuan untuk mengambil langkah berhati-hati, kerana ditegah bertabarru‘
(sedekah) dengan menggunakan harta anak yatim sedangkan korban itu adalah
tabarru‘.
Penutup
Adalah menjadi tanggungjawab kita
semua dalam mengambil berat terhadap anak yatim lebih-lebih lagi orang
yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak yatim tersebut, agar berlaku
adil dan sekali-kali jangan melakukan kezaliman terhadap mereka.
Sikap pemedulian masyarakat terhadap
anak yatim ini hendaklah dikekalkan agar mendapat ganjaran yang besar
daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan