Isnin, 22 Jun 2015

5416. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Bismillahirrohmanirrohim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

SubhanAllah.
•............
Astaghfirullahalazim.
Astaghfirullahalazim.
Astaghfirullahalazim.
•............
Wanita Cina ini 'kutip' bayi Melayu dalam tong sampah


Sedang duduk di pejabat pertanyaan, datang seorang perempuan tua berbangsa Cina berumur 60 tahun bersama dengan dua orang kanak-kanak lelaki.

Saya hairan kerana kanak-kanak tersebut memanggil wanita tua itu 'mummy'

Hairan, kedua-dua kanak-kanak itu langsung tiada iras-iras wajah berketurunan Tiong Hwa. Maka saya pun bertanya kepada wanita itu.

"Aunty, budak dua orang ini siapa?"
"Ini Ridzuan dan ini Jefri. Anak angkat saya. Dua orang ini saya pelihara semasa mereka masih bayi. Ridzuan kena buang di tempat buang sampah dalam kotak. Manakala Jefri pula ditinggalkan oleh ibunya dan keluarganya menyerahkan kepada saya untuk dijaga," katanya.
Saya pun tergamam seketika.

"Saya beragama Buddha tetapi anak saya ini saya kekalkan agama mereka, Islam. Saya hantar pergi ke kelas agama dan mereka juga turut berpuasa bila tiba bulan Ramadan. Bila makan, saya akan pastikan mereka makan makanan yang halal dan kami menggunakan pinggan yang berasingan," jelasnya.

Sekali lagi saya terpegun. Ini adalah sisi mulia dari orang yang bukan sebangsa dan seagama yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.

Di Sabah sebenarnya perkara ini adalah sesuatu yang biasa berlaku. Menghormati kepercayaan dan pegangan agama yang lain membuatkan kita seolah-olah berada di dalam sebarisan pelangi yang berwarna-warni.

Dengan melalui sendiri peristiwa gempa bumi yang melanda Sabah baru-baru ini, saya percaya ikatan tali keharmonian di sini tidak pernah kusai. Malah bertambah utuh dan padu.

Salam sayang Sabah. - Ameer Carlief.

Sumber:
http://peceq.blogspot.com/2015/06/5408-bukan-ilusi.html
http://penburukonline.blogspot.com/…/wanita-cina-ini-kutip-…

Usahawan Cina, Sunny Ung bantu pusat tahfiz, ada lebih 250 anak angkat

Sunny (tengah) bergambar dengan pelajar tahfiz dan anak yatim pada majlis berbuka puasa di Kota Bharu. - Foto TRP/Adnan Mohamad

KOTA BHARU, 21 Jun: Meskipun berlainan bangsa dan agama, Datuk Seri Sunny Ung mungkin satu-satunya individu di negara ini yang ikhlas membantu sebuah pusat tahfiz al-Quran tanpa sebarang syarat.

Yang lebih menariknya, usahawan berjiwa emas ini juga antara pihak yang pertama sekali tampil menghulurkan bantuan apabila pusat tahfiz al-Quran PEKAYATIM, di sini, dilanda banjir tahun lalu.

Difahamkan, selain membantu di segi keperluan asas seperti barangan dapur kepada lebih 20 pelajar tahfiz terbabit, Sunny juga turut mendermakan pelbagai buku rujukan dan kitab agama kepada pusat tahfiz itu.

Paling menyentuh rasa, usahawan terbabit juga turut menyumbangkan kitab al-Quran kepada pusat tahfiz itu yang sebelum ini banyak rosak dimusnahkan bah besar Disember tahun lalu.

“Sebenarnya saya rasa bangga sekiranya semua pelajar atau anak-anak yatim yang saya biayai ini berjaya dalam kehidupan mereka. Bagi saya, kejayaan mereka adalah kejayaan saya sendiri.

“Bagi saya semua kanak kanak ini istimewa dan saya tidak pernah memilih sama ada mereka beragama atau berbangsa apa untuk diberikan sumbangan bantuan,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post pada majlis berbuka puasa bersama pelajar tahfiz dan keluarga angkatnya.
Sunny Ung (baju hitam) bertanya khabar kepada sebahagian 
Pelajar Pusat Tahfiz al Quran di Kota Bharu yang dibantunya. 
Foto TRP/Adnan Mohamad
Sunny yang berasal dari Pasir Mas berkata setakat ini dia mempunyai lebih 250 anak angkat serta lebih lima keluarga angkat yang diketahui berdepan pelbagai kesukaran di dalam kehidupan mereka.

Katanya, dia akan cuba sedaya upaya termampu membantu mereka ini termasuk membaiki tempat tinggal, menyalurkan bantuan bulanan serta membiayai pelajaran sehinggalah mereka mampu sehingga ke universiti.

“Sebenarnya saya puas hati sekiranya mengetahui kesemua anak angkat saya ini berjaya. Mungkin pada masa hadapan mereka akan menurut jejak langkah saya serta tidak melupakan asal usul mereka dengan.membantu mereka yang dalam kesusahan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Pusat Tahfiz al Quran PEKAYATIM, Ahmad Hilmi Ahmad berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan daripada Sunny.

Beliau berkata sumbangan boleh diterima daripada sesiapa sahaja termasuk mereka yang bukan Islam seperti Datuk Seri Sunny Ung.

“Setahu saya beliau seorang yang suka membantu sesiapa sahaja yang menghadapi kesusahan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Apa yang penting sumbangan yang diberikan itu dapat dimanfaatkan dengan langkah yang betul dan dapat membina satu insan yang cemerlang di.kemudian hari,” katanya.


Sumber:
(wak-labu.blogspot.com)

Pencerahan: 
Adakah non-muslim memusuhi Islam bila mengkritik atau membantah salahguna kuasa Muslim?
Dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 begitu jelas Allah menyatakan: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. 

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) setelah membentang pendapat-pendapat mengenai ayat di atas, berkata:

“Pendapat yang lebih tepat ialah; ayat ini bermaksud Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan adil kepada sesiapa yang tidak memerangi kamu dari kalangan penganut semua agama. Ini kerana Allah menyebutnya secara umum dengan katanya “orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu” merangkumi sesiapa sahaja yang bersifat demikian” (Al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Aiy al-Quran 28/66 Beirut:Dar al-Fikr).

Juga telitilah firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 6-7 (maksudnya):

“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrikin (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrikin) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”

Pengarang al-Jihad fi al-Islam yang merupakan tokoh Mazhab Syafi’i di Syria iaitu Said Ramadan al-Buti dalam mengulas ayat di atas, berkata:

“Dari dua ayat tersebut, kita dapat fahami dengan jelas ia meyanggahi apa yang difahami oleh ulama mazhab al-Syafi`i dan al-Zahiri. Dari sini kita kemukakan kepada mereka (para ulama tersebut) soalan-soalan yang mereka tidak mungkin dapat menjawabnya, iaitu; Sekiranya `illah (punca hukum) jihad atau peperangan ialah kekufuran, sedangkan perintah Allah agar kita melindungi kaum musyrikin sepanjang tempoh mereka berada di samping kita, dengan harapan mereka mendengar ayat-ayat Allah dan beriman denganNya. Kemudian diperintahkan agar kita menghantarkan mereka ke tempat yang aman sekiranya mereka ingin pergi tanpa beriman… 

Andainya kekufuran adalah sebab yang membawa kepada kita membunuh mereka, apakah mungkin untuk kita membantu mereka dengan perlindungan yang seperti ini, sedangkan mereka itu musyrikin? 

Sekiranya kekufuran mewajibkan peperangan, apakah mungkin untuk kita berurusan seperti itu dengan golongan Allah perintahkan kita memerangi mereka?. Ternyata sebab (kita dibenarkan berurusan baik dengan mereka) kerana mereka tidak menzahirkan permusuhan dan cenderung kepada perdamaian”. (Sa`id Ramadhan al-Buti, al-Jihad fi al-Islam, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr)

Dengan ini jelas, jihad berlaku hanya apabila mereka menzahirkan peperangan terhadap umat Islam kerana agama. 

Jika non-muslim mengkritik atau mencabar muslim melalui saluran undang-undang dalam negara Islam itu sendiri, ataupun membantah salahguna kuasa pihak umat Islam itu tidak  dianggap memusuhi umat Islam kerana agama.

Bahkan itu hak yang negara Islam berikan kepada mereka. ~ sumber


Sumber:
(alhusseyn51.blogspot.com)

Tiada ulasan: