Jumaat, 22 Disember 2017

6748. Polis, SPRM siasat pindah milik tanah Felda.

Polis, SPRM siasat pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak

FMT Reporters
 | December 21, 2017

Penelitian SPRM setakat ini mendapati kes itu menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan pecah amanah, tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa.
PETALING JAYA: Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyiasat kes pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, bernilai RM200 juta yang dilaporkan Berita Harian (BH) hari ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata penelitian agensi anti-rasuah setakat ini tidak menemui unsur rasuah dan salah guna kuasa, maka ia dirujuk kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Kami juga mendapat maklum bahawa Felda turut melaporkan perkara itu kepada polis dan ia masih dalam siasatan pihak berkuasa itu,” katanya lapor BH.
Menurut Azam, penelitian pihaknya mendapati kes itu menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan pecah amanah.
Bagaimanapun, SPRM akan mengambil tindakan lanjut jika polis menemui unsur jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

BH hari ini mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik bernilai lebih RM200 juta di Jalan Semarak apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Menurut akhbar itu, sumber memberitahu pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan tanah itu.
Felda dipengerusikan Tan Sri Isa Samad sehingga Januari lalu. Beliau merupakan pengerusi FIC sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga kini.
Menurut carian BH di Jabatan Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebuah lot tanah seluas 16 hektar menempatkan ibu pejabat lama Felda, Anjung Felda dan Wisma Felda, kini ditukar nama kepada syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama itu pada 21 Julai 2016.
Sehingga kini, Felda tidak membuat pengumuman berhubung pindah milik itu atau transaksi pengambilalihan tanah dengan pemaju utama terbabit, menurut BH.

Sumber:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/12/21/polis-sprm-siasat-pindah-milik-tanah-felda-di-jalan-semarak/
.

Tiada ulasan: