Khamis, 19 Julai 2018

TERPAKSA. Bom layang-layang ancam Israel. 7888.








































































































BERITA»Nasional
Khamis, 19 Julai 2018 | 9:54am
Pesawat MAS berpatah balik
Oleh Fazrik Kamarudin cnews@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH134 dari Brisbane ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada jam 11.18 malam tadi akibat isu teknikal yang berlaku selepas pesawat itu berlepas.

MAS dalam satu kenyataan berkata, di atas faktor keselamatan penumpang dan anak kapal, juruterbang yang bertugas membuat keputusan untuk berpatah balik ke Brisbane.

"Penerbangan itu yang dijadualkan mendarat di Kuala Lumpur pada jam 5.50 pagi ini, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada jam 12.34 malam. Pemeriksaan teknikal ke atas pesawat terbabit sedang dijalankan.

"Penginapan, makanan dan pengangkutan untuk penumpang pesawat berkenaan sudah diuruskan. Pihak kami juga berusaha keras memastikan penumpang dapat tiba ke destinasi mereka dalam waktu terdekat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syarikat penerbangan itu turut memohon maaf kepada semua penumpang atas kesulitan berkenaan sehingga menyebabkan rancangan perjalanan terganggu.

Sementara itu, pesawat berkenaan kemudiannya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 7.50 pagi tadi.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/451033/pesawat-mas-berpatah-balik

Polis panggil Najib lagi
Ekhwan Haque Fazlul Haque ekhwan@nstp.com.my
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah dipanggil sekali lagi oleh polis untuk memberi keterangan berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, Najib dipanggil memberi keterangan beberapa hari lalu.
Katanya, keterangan Najib itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan termasuk rampasan barangan dan wang tunai baru-baru ini.

"Saya sahkan beliau (Najib) sudah dipanggil sekali lagi memberi keterangan kepada polis untuk kes 1MDB.

"Siasatan lanjut juga sedang giat dijalankan terutama membabitkan barangan dan wang tunai yang dirampas selain yakin kertas siasatan dapar diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching, hari ini.

Jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak kini dipangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim yang menggantikan Datuk Seri Amer Awal yang bersara wajib.
- tiada gambar dan hanya detail foto disertakan -
NOOR Rashid menyaksikan Amer (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Mohd Dzuraidi (kanan). FOTO Jannah Kho
Dalam perkembangan berkaitan, polis masih giat mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Menurutnya, risikan dan pertukaran maklumat antara negara yang dipercayai menjadi lokasi Jho Low terus dipertingkatkan.

"Walaupun mengambil masa, tapi saya beri jaminan beliau (Jho Low) tetap akan dibawa balik ke Malaysia untuk siasatan lanjut," katanya.

Jho Low dikatakan sudah melarikan diri dari Macau ke China menggunakan pasport lain.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:40 AM
Polis panggil Najib lagi | Harian Metro

Kantoi guna laluan tikus ladang sawit
Ekhwan Haque Fazlul Haque ekhwan@nstp.com.my
POLIS Sarawak menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi menggunakan laluan tikus di ladang sawit di Kampung Mongkos, Serian, kelmarin.

Serbuan 10.30 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching hasil risikan dan maklumat awam.
Hasilnya, polis berjaya merampas 19 tong gas, 48 kotak makanan sejuk beku, empat kotak minuman keras dan peralatan elektronik yang dianggarkan bernilai RM45,300, dipercayai cuba diseludup ke wilayah berjiran.

Selain itu, 15 lelaki Indonesia masing-masing berusia antara 20-an hingga 40-an bersama motosikal yang ditugaskan menjadi ‘pengangkut’ barang seludup turut ditahan ketika sedang dalam perjalanan menyeludup barang keluar dari Malaysia.

Pegawai Pemerintah, Superintendan Rosdi Inai berkata, hasil risikan mendapati laluan ladang kelapa sawit berkenaan menjadi pilihan penyeludup kerana lokasinya paling hampir dengan Kalimantan Barat.

Menurutnya, penyeludup kebanyakannya menyeludup barangan bersubsidi seperti tong gas.

“Suspek dipercayai diupah individu tertentu di negara mereka untuk menyeludup keluar barang dari Malaysia.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab di kawasan sempadan negara yang bersekongkol menyediakan bekalan untuk diseludup,” katanya di Serian, hari ini.

Rosdi berkata, kesemua suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Tebedu, dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:29 AM
Kantoi guna laluan tikus ladang sawit | Harian Metro

Parlimen: Fokus bersihkan kerosakan dalam kerajaan - Dr M
Mohd Anwar Patho Rohman wananwar@bh.commy
TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan komited merealisasikan 60 janji dan 42 iltizam yang terkandung di dalam Buku Harapan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga komited merealisasikan semua 10 janji dalam tempoh 100 hari apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Bagaimanapun, beliau mengakui semua 10 janji itu tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh dijanjikan berikutan terdapat beberapa perkara yang perlu diutamakan.

“Harus diingat, tumpuan kerajaan bukan hanya kepada 10 janji sahaja. Dalam 100 hari kerajaan ada banyak kerja perlu dilaksanakan.

“Yang diutamakan ialah tindakan membersih kerajaan daripada kerosakan hasil daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa yang melanda jentera kerajaan terdahulu.

“Tindakan undang-undang terhadap jenayah yang dikesan dalam kerajaan, usaha mengesan dan mendapatkan balik wang yang hilang, menyusun semula jabatan dan lain-lain,” katanya ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Fong meminta Perdana Menteri menyatakan apakah janji kerajaan PH 100 hari selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan apa yang telah, sedang dan belum ditunaikan serta sebab kelewatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:55 AM
Fokus bersihkan kerosakan dalam kerajaan - Dr M | Harian Metro

JAKIM tak dibubar
Fairul Asmaini Mohd Pilus asmaini@nstp.com.my

KERAJAAN tidak berhasrat untuk membubarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) namun, peranan dan struktur akan dikaji semula bagi memperkasakan lagi kedudukannya sebagai agensi agama peringkat persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Fuziah Salleh berkata, kerajaan juga berharat untuk menjadikan JAKIM lebih efektif dan efisyen pada masa hadapan.

"Usaha untuk memperkasakan dan mertabatkan Islam dari semua sudut sememangnya menjadi keutamaan kerajaan.
"Ia selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan dan agama lain bebas diamalkan," katanya ketika menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-UMNO Ketereh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Fuziah turut mencetuskan suasana hangat ketika menjawab soalan tambahan daripada Annuar mengenai isu maksud Hifzuddin oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Fuziah menegaskan kenyataan menterinya sudah diputar belit oleh pihak media.

"Hifzuddin yang dimaksudkan oleh Menteri adalah kita perlu menjaga agama (Islam) tetapi pada masa sama perlu melakukan "engagement' dengan agama lain

"Ini kerana sebelum ini, agama Islam seolah-olah menyisihkan agama lain," katanya.

Annuar yang tidak berpuas hati kemudiannya bangun mencelah dah menegaskan penerangan itu berlawanan dengan maksud sebenar toleransi agama.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Amanah Hulu Langat) mengenai pendirian kerajaan terhadap Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) pula, Fuziah berkata, peranan intitusi itu akan dikaji semula.

"Permohonan dana IKSIM turut dibekukan ketika ini sehingga kita bersihkan dan nilai semula kedudukan mereka sama ada akan menukar lembaga (pengarah), teruskan atau bubarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 12:45 PM
JAKIM tak dibubar | Harian Metro

Parlimen: SST tak cekap, tak beban rakyat - Lim
Fahmy Azril Rosli cnews@nstp.com.my

PELAKSANAAN Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mempunyai impak yang kurang berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, walaupun SST tidak ‘setelus’ dan ‘secekap’ pelaksanaan GST, tetapi kesannya kepada pengguna akhir iaitu rakyat tidak membebankan.

Beliau berkata, paling penting ketika ini adalah kerajaan perlu memberi tumpuan dan prihatin dengan memastikan rakyat menerima impak yang rendah daripada pelaksanaan SST.

“Kita kena lihat, SST dikenakan kepada pengguna pada satu peringkat sahaja, tetapi GST pelbagai, itu sebab harga tidak akan turun (sebaliknya) harga akan naik.

“Kita tidak nafikan ada impak tertentu. Yang penting, kesan SST adalah lebih kurang GST. GST kita kutip RM44 bilion, SST RM21 bilion iaitu kurang RM23 bilion.

“Impak ada, tetapi separuh rakyat derita di bawah GST,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, yang membangkit persoalan adakah SST cukai yang tidak telus berikutan dikononnya 223 barang turun harga tetapi sebenarnya tidak.

Lim juga sempat ‘mengusik’ seorang bekas timbalan menteri terdahulu yang mengatakan bahawa GST menyebabkan harga turun.

Bagaimana, beliau tidak menyebut nama timbalan menteri itu.

Mengulas lanjut kelebihan SST berbanding GST dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata sebanyak 38 peratus barang tidak dikenakan SST berbanding GST, 60 peratus dikenakan ke atas barangan.

Contoh barang GST kini tidak lagi dikenakan adalah sardin, susu, kopi, teh, sos cili, motosikal dan basikal perlu ditegaskan sudah kembali ke cukai lama dengan pelaksanaan SST.

“SST tidak jadi isu dalam politik dan rakyat. SST adalah cukai satu peringkat yang dikenakan kepada pihak pengilang dan bukannya pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 12:43 PM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/359393/parlimen-sst-tak-cekap-tak-beban-rakyat-lim

Usaha bawa Radiohead ke Malaysia
Shaarani Ismail shaarani@nstp.com.my

AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar tetap mengotakan janjinya untuk membawa kumpulan muzik kegemarannya, Radiohead bagi mengadakan konsert amal di Malaysia.

“Jika mereka (Radiohead) setuju dengan cadangan saya untuk mengadakan konsert amal, saya akan bawa.

"Jadi (media) janganlah laporkan lagi dengan terperinci, nanti kalau surat tak keluar Radiohead tolak. Siapa yang perlu dipersalahkan... media Malaysia juga (yang dipersalahkan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel pada hari terakhir Persidangan Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Ke-5 2018 (WCIT 2018) di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh, hari ini.
Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Nurul Izzah berjanji membawa kumpulan rock berasal dari Abingdon, Oxfordshire itu ke negara ini jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Berdasarkan kenyataannya sebelum ini, beliau akan membawa kumpulan itu ke Malaysia selepas Ramadan bagi menghormati bulan berkenaan selain perlu memberikan perhatian kepada isu lebih penting.

Beliau juga dilaporkan berkata, urusan untuk membawa kumpulan kegemarannya bakal membabitkan banyak perbincangan termasuk beberapa prasyarat tertentu yang perlu diambil kira supaya tiada kebimbangan dibangkitkan kelak.

Anak sulung pasangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu berkata, beliau komited untuk menunaikan janji yang dibuatnya.

Komitmen itu turut dinyatakan beliau di laman media sosial Twitternya, baru-baru ini.

Kumpulan Radiohead yang ditubuhkan pada 1985 di United Kingdom, terkenal dengan beberapa lagu antaranya Creep, No Surprises, Karma Police, Exit Music, High and Dry dan My Iron Lung.

Kumpulan rock Inggeris itu dianggotai oleh Thom Yorke (penyanyi, gitaris dan pemain piano), Jonny Greenwood (gitaris utama dan keyboard), Colin Greenwood (bass), Ed O'Brien (gitaris, penyanyi latar) dan Philip Selway (pemain dram dan instrumen perkusi).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 9:28 PM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/359204/usaha-bawa-radiohead-ke-malaysia

Terserlah wibawa Syed Saddiq
MyMetroMutakhir
Mohd Anwar Patho Rohman wananwar@nstp.com.my

KEWIBAWAAN Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman sebagai pendebat terserlah pada hari pertama beliau menjawab soalan dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pada usia 25 tahun, menjadi menteri termuda dalam sejarah, Syed Saddiq kelihatan tenang dan bersahaja menjawab soalan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan.

Beliau tidak kekok berdepan dan melayan usikan Ahli Parlimen pembangkang yang cuba membuat kenyataan provokasi tehadapnya.
Memakai kot coklat muda, Ahli Parlimen Muar itu menjawab tenang soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Pesar) berhubung isu migrasi orang muda luar bandar ke bandar sambil mengemukakan hujah serta fakta.

Malah, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) atas pelantikannya sebagai anggota Kabinet dalam usia muda.

“Tahniah diucapkan kepada Yang Berhormat Muar yang menjadi Menteri Belia dan Sukan pada usia muda, 25 tahun. Saya dulu jadi Menteri Belia dan Sukan pada usia 33 tahun,” kata Annuar.

Sementara itu, menjawab soalan Mohd Shahar, Syed Saddiq berkata, antara langkah diambil kerajaan bagi mengurangkan migrasi orang muda ke bandar ialah melahirkan lebih banyak usahawan di luar bandar.

Ia termasuk meningkatkan program latihan kemahiran kepada belia luar bandar dikendalikan Institusi Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan meningkatkan kemudahan awam sebagai daya penarik golongan itu kekal di luar bandar.

“Kerajaan juga akan melantik golongan belia berusia 21 tahun ke atas yang layak untuk dilantik sebagai ketua kampung atau ahli majlis daerah.

“Ini dapat menyemai semangat golongan terbabit berkhidmat dan menyumbang bakti memajukan kawasan luar bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 4:12 PM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/359104/terserlah-wibawa-syed-saddiq

10 tahun menanti masjid
Norzamira Che Noh cnews@nstp.com.my

Klang: Kariah Surau an-Nur di Bandar Puteri di sini mengimpikan sebuah masjid bagi menampung jemaah yang semakin meningkat setiap tahun.

Ia berikutan kawasan berkenaan masih belum mempunyai masjid dan hanya bergantung kepada surau yang dibina sejak 2006 termasuk untuk solat Jumaat.

Pengerusi surau, Nurul Amali Mohd Shamsudin berkata, masjid terdekat dengan kawasan itu adalah di Taman Sentosa iaitu Masjid al-Baraqah.

“Walaupun begitu, masjid yang dinaik taraf daripada surau ini kecil dan sesak sehingga menyebabkan jemaah lebih memilih Surau an-Nur.

“Pada awalnya, penduduk beragama Islam di Bandar Puteri menggunakan sebuah rumah kosong untuk dijadikan surau sementara sebelum membeli dua kontena pada 2006.

“Selepas itu beberapa siri pembesaran dilakukan dari semasa ke semasa untuk menampung jemaah yang semakin meningkat dan surau kini boleh memuatkan kira-kira 1,400 jemaah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika solat Jumaat surau berkenaan turut menampung pekerja kilang dari Bandar Botanik dan Bandar Putera berikutan lokasinya berdekatan dengan Lebuh raya KESAS.

Katanya, permintaan bagi membina sebuah masjid dibuat sejak 2008, malah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga memberi kebenaran untuk pembinaannya.
Bagaimanapun, berikutan dana tidak mencukupi, pembinaan masjid baru itu terpaksa ditunda.

“Kami difahamkan pembinaan masjid di Bandar Puteri memang ada dalam senarai projek kerajaan negeri tetapi tidak pasti bila pembinaannya akan berlaku.

“Justeru, besar harapan kami supaya pembinaan masjid dapat dilakukan secepat mungkin selepas 10 tahun menunggu,” katanya.

Nurul Amali berkata, pembinaan masjid baharu itu dijangka dapat menampung kira-kira 2,500 ke 3,000 jemaah selain bakal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Surau kami sangat aktif dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah agama, kelas mualaf, tuisyen, lokasi untuk kenduri dan banyak lagi,” katanya.

Bandar Puteri adalah antara kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis selepas persempadanan semua pada awal tahun ini sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Kerusi DUN Sungai Kandis kini kosong selepas wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 10:52 AM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/359316/10-tahun-menanti-masjid

'Jemaah Malaysia memang popular'
Tuan Asri Tuan Hussein

KETIBAAN penerbangan KT1 yang membawa kumpulan pertama bakal haji dari Malaysia ke sini pada Sabtu lalu, juga menandakan musim rezeki sudah tiba kepada peniaga di bandar ini.

Sejak pasukan media Tabung Haji (TH) tiba, seminggu lebih awal iaitu pada 7 Julai lalu, peniaga yang kami temui berulang kali bertanya bila bakal haji Malaysia akan tiba, seolah-olah tidak sabar menunggu.
Puncanya, kuasa beli yang dimiliki bakal haji kita cukup besar biarpun kuantiti kita tidak seberapa berbanding jemaah negara lain. Contohnya, jemaah dari India dan Pakistan, yang jumlah mereka ramai tapi kuasa membeli kecil.

Atas sebab itu jugalah, ramai peniaga di sini mampu berbahasa Melayu, ada yang cuma sepatah dua untuk sekadar membuka bicara, namun ada juga yang fasih dan lancar dangan sapaan paling popular 'Malaysia Boleh', 'apa khabar' dan 'mari masuk.'

Difahamkan, secara purata seorang jemaah Malaysia berbelanja antara RM3,000 hingga RM10,000 seorang dan angka itu hanya di bandar ini, tidak termasuk Makkah.

Pemilik ladang kurma Abdul Majed yang premisnya menjadi lokasi wajib dikunjungi berkata, jemaah Malaysia memang menjadi 'kegemaran' peniaga di Madinah.

"Bukan sekadar ada kuasa beli yang besar tapi jemaah Malaysia juga ramah dan mesra. Kalau tawar menawar pun tidak keterlaluan, berbanding jemaah dari beberapa negara lain," katanya.

Dia hanya tersenyum dan menggeleng-gelangkan kepala apabila ditanya berapa kos seorang jemaah haji Malaysia berbelnja di premisnya, namun difahamkan secara purata jumlahnya tidak kurang RM200.

Majed ditemui ketika hampir 800 jemaah Malaysia yang menaiki 20 bas 'menyerbu' premisnya untuk membeli kurma dan pelbagai barangan lain sebagai 'ole-ole' dari Madinah.
PETUGAS PosLaju di hotel Al-Haram, Madinah 
sibuk menguruskan penghantaran barangan jemaah haji Malaysia.
Seorang petugas PosLaju Malaysia di Madinah pula memberitahu, pihaknya mula membuka kaunter untuk jemaah Malaysia menghantar barang ke tanah air sejak Isnin lalu dan dalam masa dua hari saja mereka sudah melakukan 500 penghantaran.

Kos penghantaran antara setiap jemaah tidak seragam, ada yang cuma kira-kira RM100 dan ada juga yang mencecah RM1,000.

Menurutnya, sejak musim haji 2015 hingga 2017 secara purata PosLaju menguruskan barangan seberat 200 tan milik jemaah haji untuk dihantar ke Malaysia selepas membeli belah di Makkah dan Madinah.

Sementara itu, penuntut Universiti Madinah, Mohamad Fathan Adi Tarmizi yang menjadi petugas sambilan TH untuk aktiviti ziarah luar memberitahu, imej suka membeli belah memang sukar dipisahkan dengan jemaah Malaysia.

"Jemaah Malaysia memang popular dalam kelangan peniaga di sini kerana mereka tahu kita ada kuasa beli yang besar, cuma saya selalu peringatkan jemaah agar jangan hilang fokus.

"Kehadiran jemaah di sini untuk beribadat, bukan untuk membeli belah. Lagi, sattu saya juga pesan kalau nak beli kurma, pastikan beli kurma yang ditanam di Madinah, itu yang sebaik-baiknya," katanya.

Sehingga Khamis, lebih 5,000 daripada 9,661 jemaah yang dijadual tiba di Madinah dulu sebelum ke Makkah,sudah tiba di sini. Jumlah keseluruhan jemaah haji dari Malaysia bagi tahun ini ialah 30,200 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 1:18 PM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/359417/jemaah-malaysia-memang-popular

Bom layang-layang ancam Israel
AFP
Baitulmaqdis: Israel memperketat sekatan di Semenanjung Gaza berkaitan isu layang-layang membawa bom api ke wilayahnya yang menimbulkan kebimbangan pemerhati boleh mencetuskan peperangan.

Beberapa hari selepas serangan udara besar-besaran di Gaza serta bedilan kira-kira 200 roket serta mortar Hamas ke wilayah Israel, rejim Zionis menutup laluan keluar masuk ke Gaza, sebaliknya hanya makanan dan ubatan dibenarkan dibawa masuk.

Israel juga memperketat kawasan tangkapan ikan dengan mengurangkannya daripada 11 kilometer kepada hanya 5.6 kilometer.
Minyak dan gas tidak lagi dibenarkan dibawa masuk melalui Kerem Shalom, satu-satunya laluan membawa masuk barangan ke Gaza, mewujudkan tekanan hebat kepada dua juta penduduk Gaza.

Selain ‘serangan layang-layang’ dan berbalas tembakan hujung minggu lalu, bantahan besar-besaran serta pertempuran di sempadan Gaza sejak 30 Mac lalu, sudah menyebabkan puluhan penduduk Palestin mati ditembak tentera Israel.

Satu-satunya pintu sempadan lain di Gaza ialah Rafah yang bersempadan dengan Mesir, turut ditutup mulai kelmarin, atas sebab ‘teknikal’.

Penutupan itu menimbulkan spekulasi Mesir yang menjadi orang tengah rundingan antara Israel dengan Hamas, mahu mewujudkan tekanan kepada Hamas supaya mengekal serangan bom layang-layang itu.

Israel menegaskan akan bertindak balas terhadap serangan ratusan bom layang-layang itu yang diterbangkan penduduk Palestin sejak April.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang menghadapi tekanan politik berkaitan isu itu mengarahkan ia dihentikan.

Pembangkang mendesak tentera menembak mereka yang menerbangkan layang-layang itu tetapi dibantah kerana mungkin membabitkan kanak-kanak. Namun, ketika melawat ibu pejabat tentera ketumbukan Gaza, Netanyahu berkata, tentera bersedia menghadapi sebarang keadaan dalam kempen itu yang ‘membolehkan tindakan balas’.

Menurut perkhidmatan bomba Israel, kira-kira 750 kebakaran memusnahkan kira-kira 2,600 hektar tanah dengan kerugian dianggar ratusan ribu dolar akibat bom layang-layang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:55 AM
https://www.hmetro.com.my/global/2018/07/359371/bom-layang-layang-ancam-israel

6 beranak kongsi bubur berlauk garam
MyMetroMutakhir
Hazsyah Abdul Rahman cnews@nstp.com.my

TERPAKSA berkongsi makan bubur nasi berlaukkan garam atau dua biji telur kerana tiada wang membeli makanan, menggambarkan keperitan hidup ibu tunggal bersama lima anak di Kampung TB Ward, dekat Batu Dua, Sandakan.

Enam beranak itu juga terpaksa tinggal dalam pondok usang yang sempit di kawasan setinggan dan sentiasa basah apabila hujan, selain tiada bekalan elektrik serta air bersih.

Rosinah Hussin, 34, yang berpisah dengan suami selepas ditangkap atas kesalahan dadah sejak setahun lalu berkata, keluarganya terpaksa berdepan kesusahan kerana dia tidak dapat bekerja bagi menjaga anak-anak berumur setahun hingga 15 tahun.

“Sebelum ini, saya tinggal bersama nenek serta datuk dan mereka membantu menjaga anak-anak saya ketika saya masih bekerja di sebuah stesen minyak. Tetapi sekarang mereka sudah meninggal dunia, jadi tiada siapa dapat membantu.

“Selepas kematian mereka, saya terpaksa berhenti kerja kerana risau membiarkan anak-anak, apatah lagi mereka perlu bersekolah. Ketika itu, suami masih ada tetapi dia tidak pedulikan kami.

“Hidup kami bertambah teruk apabila rumah tempat berteduh dirobohkan pihak berkuasa, di lokasi rumah ini juga. Saya tidak tahu hendak tinggal di mana. Adik-beradik lain merantau ke negeri dan daerah lain,” katanya ditemui NSTP di pondok usangnya di Sandakan

Rosinah berkata, dia terpaksa memungut beruti, zink terbuang dan papan lapis lalu meminta pertolongan orang lain membina pondok sebagai tempat berteduh mereka enam beranak, namun basah apabila ditimpa hujan.

Katanya, walaupun bertaraf warganegara, dia tidak pernah mendapat bantuan kebajikan atau Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana menyangka rumah berkenaan perlu dibayar secara ansuran setiap bulan.

“Saya takut memohon dan tidak tahu macam mana kerana tiada pendapatan. Saya hanya harap hasil jualan tin dan besi buruk, jadi macam mana mahu bayar deposit, bil air dan elektrik nanti. Duit untuk pergi mengurus permohonan pun tiada,” katanya.

Katanya, anak pertamanya, Mohd Azmil, 15, terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai penggali kubur untuk membantunya menyara keluarga, selain menerima kiriman RM50 sebulan daripada kakaknya di Kota Kinabalu dan jiran yang selalu berkongsi makanan.

Ketika ini, hanya dua anaknya masih bersekolah iaitu Dayang Azlianna, 9, dan Dayang Azrina, 8, di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Anib 1, manakala seorang anaknya Dayang Azriani, 6, dipelihara kakaknya.
KEADAAN dapur Rosinah yang serba kekurangan. FOTO/HAZSHAH ABDUL RAHMAN
“Anak bongsu saya, Mohd Alif, baru berumur setahun. Saya sedih dia hanya meminum air susu pekat atau air biasa kerana saya tak mampu beli susu tepung bayi untuknya,” katanya.

Rosinah berkata, walaupun reda dengan kehidupan mereka sekeluarga, dia berharap ada pihak dapat membantu seperti mendapatkan rumah PPRT atau rumah lain berdekatan sekolah anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 2:25 PM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/359451/6-beranak-kongsi-bubur-berlauk-garam














Tiada ulasan: