Isnin, 27 Ogos 2018

Pengorbanan sebuah Keluarga untuk Tanah Air dan Revolusi dalam Novel Keluarga Gerilya (Pramoedya Ananta Toer). 8109.


Langka (Indonesia) = Jarang berlaku (Melayu) 
Pengorbanan, Tanah Air dan Revolusi
Capaian dari beberapa web berkaitan Novel Keluarga Gerilya 

SINOPSIS KELUARGA GERILYA
Novel Keluarga Gerilya ini merupakan sebuah kisah tragis tentang perjuangan sebuah keluarga dan juga masyarakat di Jakarta dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajah Belanda.Novel ini juga banyak mengisahkan tentang pengorbanan seperti korban nyawa, korban harta, korban diri, korban masa depan dan juga korban keluarga.

Terdapat sebuah keluarga dalam novel ini yang mempaparkan kehidupan pada zaman sebelum merdeka. Pengkarya memaparkan penderitaan yang dialami oleh keluarga tersebut. Sa’aman merupakan watak utama dalam novel ini. Beliau merupakan seorang lelaki yang menjadi tunjang dalam keluarganya dan beliau juga merupakan salah seorang pejuang yang turut menuntut kemerdekaan daripada pihak Belanda. Pada suatu hari, Sa’aman telah ditangkap oleh pihak polis militer Belanda. Hal ini kerana beliau telah membunuh ayah tirinya. Ayah tiri Sa’aman ini merupakan tali barut kepada pihak Belanda. Sa’aman telah mengambil keputusan untuk membunuh ayah tirinya kerana ingin memberhentikan kekejaman yang berlaku pada masyarakat ketika itu. Dua lagi adik beradiknya turut terlibat dengan pembunuhan ayah tirinya iaitu Canimin dan Katiman.

Canimin dan Katiman ini merupakan adik lelaki bagi Sa’aman. Mereka ini terlibat sebagai pejuang di barisan hadapan dalam Gerilya. Manakala, Salamah pula adik perempuan Sa’aman yang keempat. Beliau terpaksa menjaga adik beradiknya yang lain kerana Sa’aman telah ditangkap. Ibunya Amilah pula telah hilang akal dengan ketiadaan Sa’aman. Hal ini kerana Sa’aman merupakan tunjang dalam keluarganya.  Banyak penderitaan yang berlaku dalam keluarga mereka ini.

Penderitaan keluarga ini berterusan apabila Sa’aman dihukum mati oleh pihak Belanda. Namun begitu Sa’aman berasa tenang kerana beliau telah pun melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai seorang pejuang dengan betul. Manakala adik-beradik Sa’aman iaitu Canimin dan Katiman pula telah mati di medan pertempuran. Ibunya Amilah pula telah menjadi kurang waras dengan situasi yang telah dihadapi oleh keluarga ini. Salamah pula bertanggungjawab menjaga adik beradiknya yang lain.

Pengkarya serba sedikit telah bermain dengan emosi para pembaca dengan menghasilkan novel seperti ini. Jalan ceritanya yang cukup menarik dapat menarik minat pembaca untuk membaca novel seperti ini.

http://karyaagung2016.blogspot.com/2016/06/sinopsis-keluarga-gerilya.html

RUJUKAN | BMS 3022 Karya Agung Melayu (Kumpulan 7) Sesi 2015/2016
http://karyaagung2016.blogspot.com/2016/05/rujukan.html

http://karyaagung2016.blogspot.com/

Friday, 29 May 2015
PENGENALAN ANALISIS KELUARGA GERILYA  

Pengenalan 

Karya agung ditakrifkan sebagaikarya yang nilainya tahan zaman, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah Mohd Rashid Md. Idris 2016:1). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 680), karya ialah buatan atau ciptaan seni dan lain-lain. Moden pula bermaksud dari masa sekarang, berkaitan dengan masa kini, yang terbaru dan cara atau kaedah baru (Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:1039). Oleh itu, karya moden bermaksud ciptaan seni yang terbaru atau berkaitan dengan zaman sekarang. 

Pramoedya Ananta Toer dilahirkan di Blora, Jawa Tengah pada 6 Februari 1925. Beliau merupakan seorang putera Jawa yang pertama berhasil baik pada bidang prosa dalam kesusasteraan Indonesia moden selepas peperangan dunia yang kedua. Beliau juga ialah seorang daripada Angkatan ’45. Beliau juga merupakan tokoh yang kuat dari Angkatan ’45. Pramoedya telah menghasilkan lebih daripada 50 karya tetapi terdapat 15 karya penting yang dihasilkan oleh beliau, iaitu 

1. Di Tepi Kali Bekasi (Keranji Dan Bekasi Jatuh)
2. Perburuan
3. Mereka Yang Dilumpuhkan, Jilid I dan II.
4. Gulat di Jakarta
5. Kerupsi
6. Midah si Manis Bergigi Mas
7. Dia yang Menyerah
8. Keluarga Gerilya
9. Calun Arang
10. Panggil Aku Kartini Saja, Jilid I dan II
11. Percikan Revolusi
12. Cerita Dari Blora
13. Bukan Pasar Malam
14. Cerita Dari Jakarta
15. Subuh

Pada tahun 1970, novel Keluarga Gerilya: kisah keluarga manusia dalam tiga hari tiga malam telah diterbitkan oleh PT Pembangunan Jakarta pada tahun 1955. Keluarga Gerilya terdiri daripada 13 bab dan menceritakan kejadian di sekitar revolusi nasional yang terserak-serak. Kehancuran keluarga dan pengorbanan akibat revolusi nasional ini. 

Cerita ini bermula dari Sa’aman diculik hingga kematian Sa’aman (watak utama). Pramoedya Ananta Toer telah menggunakan 3 hari 3 malam untuk merangkai cerita ini. Novel ini dikarang oleh beliau semasa beliau berada di penjara di Bukit Duri pada tahun 1949. Keluarga Gerilya telah mengajarkan nilai kehidupan melalui sastera. Dalam novel ini penuh dengan nilai moral, prinsip, pengorbanan, dan pembelajaran yang berharga. 

Posted  by 
PENGENALAN ANALISIS KELUARGA GERILYA | BMS 3022 Karya Agung Melayu (Kumpulan 7) Sesi 2015/2016
http://karyaagung2016.blogspot.com/2016/05/pengenalan-analisis-keluarga-gerilya.html

Friday, 29 May 2015
ANALISIS KARYA AGUNG MODEN : KELUARGA GERILYA 

1.0       Pengenalan 

Menelusuri bicara Pramoedya Ananta Toer, yang dilahirkan pada tahun 1925 di Blora, Jawa Tengah, menerusi “ Keluarga Gerilya”, sebuah novel yang diterbitkan pada tahun 1970 telah memberi peluang kepada pembaca untuk merasai sendiri penderitaan dan kehancuran sebuah keluarga akibat peperangan. 

Penulis yang merupakan seorang anak kepada seorang pendidik dilahirkan pada tahun 1925 di Blora, sebuah daerah yang miskin dan terkebelakang. Kawalan yang begitu rapi oleh ayahnya yang memiliki jiwa nasionalis yang tinggi akhirnya menjadikan dia seorang yang amat dewasa dari segi pemikiran dan fizikal yang tahan lasak. 

Walau bagaimanapun, sikap mementingkan diri sendiri yang begitu tinggi dalam jiwa akhirnya memisahkan mereka apabila dia melarikan diri dari rumah selepas berlakunya satu pergeseran antara mereka. 

Semasa menjalani kehidupan di kota Jakarta, beliau sempat bertemu dengan tokoh-tokoh ternama seperti Mohammad Hatta dan Soekarno. Kehidupan di bawah penjajah banyak memberi kesan dalam jiwanya. 

Rasa tanggung jawab yang tinggi untuk mempertahankan maruah dan kemanusiaan bangsa telah mendorongnya untuk melibatkan dirinya dalam pasukan mempertahankan kampungnya seperti Badan Keamanan Rakyat (Baharum Rangkuti 1963: 10 dalam Ratna Roshida Ab Razak, 2010). 

Kisah tragis sebuah keluarga pejuang kemerdekaan Indonesia menentang Belanda di Daerah Merdeka dan terpaksa mengorbankan segala-galanya demi sebuah kebebasan. 

Keupayaan pengarang melalui proses kreatifnya untuk menceritakan kembali perihal zaman revolusi telah memberi kesempatan kepada pembaca untuk turut sama merasai pengalaman pahitnya, terutama apabila beliau menjadi tahanan Belanda di penjara Bukit Duri, Jakarta (Ratna Roshida Ab Razak, 2010). 

2.0       Keluarga Gerilya 

2.1       Sinopsis Keluarga Gerilya 

Keluarga Gerilya adalah kisah tragis sebuah keluarga pejuang yang mengorbankan segala-galanya demi kemerdekaan negara. 

Korban nyawa, korban masa depan, korban ayah, korban. Ayah dibunuh kerana menjadi tali barut Belanda. Ibu hilang akal kerana mengenangkan nasib anak-anak. 

Anak-anak lelaki semuanya berjuang menyertai revolusi kemerdekaan. Anak perempuan tidak bersekolah dan mencari kerja kerana derita kehilangan sumber pencarian. 

Watak-watak dalam cerita ini yang seakan hidup telah berjaya membawa mesej yang tersendiri, terutama dalam persoalan manusia dan kemanusiaan dalam usaha menentang penjajahan Belanda dan menuntut kemerdekaan negara. 

Amilah seorang ibu berusia 41 tahun telah mengalami penderitaan batin apabila anaknya Sa’aman ditangkap oleh Polis Tentera. 

Sa’aman anak yang paling dikasihi oleh ibunya Amilah dan dia menjadi tunjang dalam keluarga. 

Dengan pekerjaannya sebagai tukang beca, Sa’aman mampu menyara kehidupan ibu dan adik-beradiknya. Akibat kehilangannya, kehidupan keluarganya telah berubah, Amilah menjadi hilang akal dan adik-beradiknya hilang tempat untuk bergantung. 

Sa’aman seorang yang sanggup membunuh bapanya sendiri kerana bapanya telah menjadi tali barut Belanda yang akhirnya terpaksa menghabiskan hari-hari terakhir kehidupannya di dalam tahanan. Namun, sisa-sisa kehidupan terakhir yang dilaluinya ini sarat dengan makna dan tujuan sebenar kehidupan-kehidupan sebagai seorang pejuang. 

Salamah, seorang gadis sunti berusia 19 tahun terpaksa mengambil peranan abangnya, membantu adik-adiknya dengan mengharap belas kasihan daripada tunangnya, Darsono

Kartiman, adiknya, memiliki kawalan emosi yang agak lemah dan seorang yang pemarah, melibatkan dirinya dengan perjuangan kemerdekaan menentang Belanda. Kartiman juga telah menembak ayahnya yang menjadi tali barut Belanda. 

Canimin, abang kepada Kartiman dan adik kepada Sa’aman yang memiliki pangkat koperal dalam pasukan gerilya, memiliki muka yang cacat kerana kebakaran menimpanya dalam pertempuran di Madiun. 

Kelima-lima watak ini berdiri sebagai watak penting dalam novel ini kerana penglibatan mereka dalam perjuangan.

Amilah, seorang wanita tua, duduk di ruang tamu di rumahnya di Jakarta menanti anak tersayangnya, Sa’aman. Dia dihampiri oleh anak keempatnya, Salamah. Salamah minta izin untuk bekerja bersama adiknya, Patimah, agar boleh menyara kehidupan keluarga kerana Sa’aman sudah tiga bulan tidak pulang setelah ditangkap polis militer. Dengan kasar, Amilah menolak, lalu Salamah pergi termenung, memberitahu Patimah perkataan ibu mereka. Salamah termenung, teringat pada waktu abangnya diambil. Dalam imbas kembali, Sa’aman pulang dari kerja dalam kepenatan. Setelah tidur dan mandi, Sa’aman membantu adik-adiknya membuat kerja sekolah dan memberi nasihat dan tiba-tiba ada ketukan di pintu. Ketika pintu terbuka, sekelompok polis militer masuk, menangkap Sa’aman dan menanyakan saudara gerilya lain, Canimin dan Kartiman. Setelah teringat pada kejadian yang malang ini, Salamah pun tertidur. 

Pada waktu yang sama, empat puluh kilometer dari Jakarta, Canimin dan Kartiman duduk, terjaga di baris depan. Kartiman dengan abangnya, mengakui bahawa dia merasa tidak akan melihat satu pun fajar merah lagi; dia dihantui oleh ayahnya, yang telah ditembak kerana bekerja untuk Belanda. Canimin berusaha untuk menenangkan adiknya, tetapi Kartiman tetap gelisah. Menjelang fajar, Canimin mendapat perkhabaran bahawa akan ada konvoi NICA yang datang. Canimin membuat rancangan untuk menyerang konvoi ini, dan menyiapkan perajurit – perajuritnya. Serangan ini berhasil, tetapi Kartiman terkena peluru. Sebelum Kartiman meninggal, dia memohon abangnya untuk menjaga isterinya dan adik-adik mereka. Akhirnya, perasaan Kartiman terbukti benar dan dia meninggal sebelum matahari mendaki.

Di Jakarta, Amilah masih terjaga menanti Sa’aman sambil membayangkan kekasih pertamanya, Benni, seorang Manado. Tiba-tiba dia teringat akan dunia realiti ketika ada ketukan di pintu. Amilah mendekati pintu dan bertanya siapa di luar dan tetamu di pagi buta itu tidak mahu menjawab sampai masuk ke rumah, ketika akhirnya mengakui “Sarsan Kasdan”. Sarsan Kasdan bercerita yang besar-besar tentang dirinya sendiri dan kepentingannya dalam pemerintah Belanda, lalu menyatakan bahwa dia membawa pesanan daripada Sa’aman. Menurutnya, Sa’aman akan dibebaskan pada siang hari pukul dua. Amilah tidak mahu mempercayainya, tetapi setelah diancam oleh Sarsan Kasdan akhirnya Amilah terdiam. Amilah disuruh mengirimkan Salamah atau Patimah untuk menjemput Sa’aman di tempat tahanan pada pukul dua petang.

Amilah curiga lalu mengusir Sarsan Kasdan tetapi segera menyesal dan berlari ke jalan, memanggil Sarsan Kasdan seperti orang gila. Namun, ia tidak diendahkan oleh Sarsan Kasdan. Amilah kembali ke dalam rumah di mana anak-anak sudah mulai bangun tidur. Walaupun disuruh tidur oleh Salamah, Amilah mengambil baju untuk dijual dan keluar untuk mengejar Sarsan Kasdan. Salamah bingung atas perbuatan ibunya dan merasa bahawa ibunya sudah mulai hilang ingatan. Namun, dia tidak ada kesempatan untuk memikirkan perkara itu kerana didatangi temannya, Hadijah, yang mahu menghantar dia dan Patimah bekerja. Namun, atas rasa bertanggungjawab kepada adik-adik yang lain, hanya Patimah yang diizinkan bekerja.

Setelah Hadijah dan Patimah berangkat, Salamah berusaha untuk membantu adik perempuan lainnya, Salami, dengan perhitungan. Namun, pelajaran itu terhenti kerana ada tukang loak membawa adiknya yang terakhir, Hasan. Hasan telah merosakkan sebuah wekker dan dia diminta untuk membayar ganti rugi sebanyak lima belas rupiah. Namun, setelah melihat keadaan keluarga dan mengetahui bahawa abang-abang hasan berjuang untuk kemerdekaan, tukang loak itu tidak sanggup dan memberikan mereka sepuluh rupiah untuk membeli beras. 

2.2       Pemikiran dalam Keluarga Gerilya 

Pemikiran menurut Mohd. Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2014: 69) bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan.  Di samping itu, setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya.  Sehubungan dengan itu, setiap karya agung yang dihasilkan memiliki pemikirannya yang tersendiri.  Hal yang sama juga dimiliki oleh Keluarga Gerilya.  Hikayat ini juga mempunyai pemikiran atau mesej-mesejnya yang tersendiri yang ingin disampaikan oleh pengarang.

Patriotisme atau semangat cinta akan tanah air merupakan pemikiran utama yang terdapat dalam karya Keluarga Gerilya karangan Pramoedya Ananta Toer ini.  Karya ini memperlihatkan masyarakat pada zaman tersebut yang memiliki semangat yang sangat tinggi untuk mempertahankan tanah airnya.  Mereka sanggup diseksa, malah berkorban nyawa demi memastikan negara berada dalam keadaan yang aman dan damai.  Hal ini dapat dilihat dalam bab “Aku Tidak Jijik Melihat Tuan” pada muka surat 157 sebagaimana berikut: 

“Tuan tidak pernah lalu, bagaimana satu keluarga hancur kerana mempertahankan tanahairnya.  Hancur!  Hancur seperti serumpun bambu habis dimakan api.  Tuan belum pernah lihat betapa seorang nenek-nenek memanggul senjata mempertahankan tanahairnya.  Tuan pasti belum pernah melihat kanak-kanak dari tujuh tahun menggeranati konvoi Inggeris, kerana ibu bapaknya dibakar-bakar hidup oleh apa yang dinamainya musuhnya.  Semua itu pernah ku lihat di sini – di Jakarta tahun empat lima”. (Halaman 157)

Berdasarkan petikan di atas, dapatlah dilihat masyarakat pada waktu itu yang sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk mempertahankan tanah air yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur sama ada kanak-kanak mahupun orang tua.

Seterusnya, pengarang turut menyelitkan pemikiran atau mesej kemiskinan dalam karya ini.  Hal ini dapat dicerminkan dalam petikan di bawah:

“Rumah kajang yang didiami keluarga Amilah itu tak nyata bentuknya oleh liputan kegelapan malam.  hanya sinar pelita minyak-tanah yang menerobosi lubang-lubang kajang jualah yang menunjukkan pada orang lalu lintas bahawa di situ ada rumah – ada keluarga manusia” (Halaman 2)

Mesej ini dapat dibuktikan lagi dalam muka surat yang seterusnya, iaitu:

“pelitanya menyala gelisah – pelita sebagai pelita-pelita yang lain pelita yang melambangkan kemiskinan keluarga manusia.  Nyalanya merah-kuning.  Dan semua bayangan dalam rumah itu menggetar bila api itu dipuputi angin. (Halaman 4) 

Situasi ini menggambarkan kehidupan masyarakat pada zaman itu majoritinya bergantung hidup kepada pelita untuk menerangi rumah masing-masing.  Hal ini menunjukkan masyarakat yang susah dan miskin hidupnya. 

Selain itu, pengarang juga mengetengahkan pemikiran atau mesej tentang ketelusan dan kejujuran.  Pemikiran ini boleh dilihat daripada watak Kartiman yang jujur dan telus dalam menjalankan amanahnya sebagai koperal pasukan Gerilya. Buktinya, beliau telah membunuh bapanya sendiri yang menyokong dan menjadi tali barut pihak musuh meskipun dengan perasaan yang sangat berat untuk melakukannya.  Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan dialog di bawah:

“Aku bilang, jangan turutkan perasaanmu yang bukan-bukan itu,” kata Kopral Canimin. “Engkau perajurit yang baik dan berdisiplin. Kalau bapakmu sendiri menggabungkan diri dengan musuh dan musuh itu jualah yang mau membunuh kita-kita bersama-siapa lagi yang harus memberesi bapakmu kalau bukan engkau sendiri? Engkau harus berfikir begitu. Maman! Cuba, sekiranya bapakmu jatuh ke tangan pasukan lain-akan lebih sengsara matinya. Cuba, kalau dia dibamburuncing orang-” (Halaman 29) 

Berdasarkan petikan tersebut, jelas ditonjolkan perasaan serba salah Kartiman yang telah membunuh bapanya sendiri disebabkan bapanya tersebut telah menggabungkan diri dengan pihak musuh.

Di samping itu, pengarang juga menekankan pemikiran atau mesej tentang kehidupan masyarakat yang taat beragama dalam karya ini.  Hal ini dapat dilihat menerusi watak Canimin yang tetap berusaha berulang kali agar Kartiman menyebut kalimah Allah di penghujung nafasnya, meskipun Kartiman tidak menurutinya.  Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan dialog sebagaimana berikut: 

“…dan dirangkulnya leher adiknya. “Adikku, adikku, moga-moga engkau diampuni oleh Tuhan. Sebutlah, adikku, sebutlah: Alla-hu-akbar-Tuhan mahabesar. Sebut adikku!”

Tapi kekuasaan alam lebih kuasa daripada pelukan manusia.

“Mukamu – mana mukamu?”

“Ini. Alla-hu-akbar. Sebut, adikku! Engkau pahlawan. Sebut! Ratni anak baik. Dia mesti ku urus. Jangan khuatir. Kopral Canimin selalu bersedia memenuhi janjinya. Sebut adikku, sebut: Alla-hu-akbar.” (Halaman 50)

Berdasarkan petikan di atas, jelas terpancar watak Canimin yang sangat menekankan kehidupan yang taat pada agama.  Beliau berusaha sedaya upaya untuk membantu adiknya, Kartiman agar berupaya menyebut kalimah tauhid di akhir hayatnya. 

Selanjutnya, pemikiran tentang individu yang terlalu mengagung-agungkan kecantikan sehingga merosakkan dirinya sendiri turut diselitkan dalam karya Keluarga Gerilya ini.  Mesej ini dapat dilihat menerusi watak Amilah yang mencemburui kecantikan anaknya, iaitu Salamah.  Hal ini demikian kerana, menurutnya, kecantikan yang dimiliki oleh Salamah turut dimilikinya suatu masa dahulu, bahkan kecantikan dirinyalah yang Salamah perolehi sekarang.  Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah: 

“Sementara itu Amilah memandang anaknya tajam-tajam. Irihatinya bertambah menjadi-jadi melihat kecantikan anaknya – kecantikannya sendiri yang direbut anaknya. …” (Halaman 8) 

Pemikiran yang berikutnya adalah tentang ketaatan seorang anak terhadap ibunya, meskipun ibunya itu selalu mencemuh dan membencinya.  Mesej ini dapat dilihat daripada watak Salamah yang sedaya upaya cuba menjaga hati ibunya, walaupun dia mengerti bahawa ibunya selalu mencari kesalahan dirinya.  Walau bagaimanapun, sebagai seorang anak yang baik, dia cuba menasihati ibunya.  Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut: 

“Mak, katanya, “Kak Aman bilang padaku, bahawa aku harus menghormati dan menghargai orang tua – menghormati dan menghargai emak.  Mak, kalau bukan anak-anakmu sendiri yang berbuat begitu, siapakah yang akan berbuat begitu? Siapa lagi orang di dunia ini yang sudi? Siapa? Tapi pada kami emak masih juga marah-marah saja.  Emak selalu memaki-maki.  Kami selalu menerima kemarahan dan cacian itu dengan kesedihan yang terlalu menyengsarakan.  Pada orang lain emak tak bias berbuat begitu.  Kalau emak berbuat juga, emak mencari musuh.  Emak, engkau selamanya mencari musuh.  Di mana saja setahuku” (Halaman 10) 

Seterusnya adalah kebertanggungjawaban.  Pemikiran atau mesej ini turut dapat dilihat menerusi watak Salamah.  Sebagai anak yang paling tua selepas ketiadaan abangnya (Sa’aman), Salamah merasa bertanggungjawab untuk menyara keluarganya meskipun ibunya tidak mengizinkannya.  Hal ini dapat dilihat melalui petikan di bawah: 

“Emak, aku ingin sekali melaksanakan apa yang sudah dikatakan dan dijalankan oleh Kak Aman – adik-adik harus disekolahkan terus. Dan aku sangggup. Aku tamatan sekolah rakyat. Aku bisa baca-tulis. Dan aku bisa juga bicara Belanda. Dan selama ini Kak Aman turut mengajar aku juga. Mengapa aku takkan sanggup membelanjai keluarga kita? Hanya saja aku tak punya pakaian. Tapi pakaian bagus tak begitu perlu untuk kerja di bagian menempelkan etiket dan melipat kertas. Kawanku si Jaja sudah menjanjikan. Atau aku kerja saja di pabrik sabun? Asal emak memberi izin-Mak, berilah aku izin. Izin saja, mak?” (Halaman 11) 

Salamah berusaha sedaya upaya untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga setelah abangnya Sa’aman ditangkap oleh pihak Belanda.  Selain itu, Salamah juga merasa bertanggungjawab untuk menanggung persekolahan adik-adiknya yang lain.  Justeru, dia tekad mencari dan keluar bekerja, meskipun ibunya tidak membenarkannya.  Salamah tetap nekad untuk keluar mencari kerja walaupun ibunya, iaitu Amilah tidak mengizinkannya kerana menurutnya, kerja yang dilakukannya itu tiada salahnya, malah menjadi satu keperluan untuk mereka sekeluarga. 

Selanjutnya, pemikiran yang menggambarkan cinta itu buta turut dipaparkan dalam karya ini.  Pemikiran ini ditimbulkan menerusi watak Alimah yang sangat mencintai sepandri Benni telah mendorongnya untuk berlaku tidak adil dalam memberikan kasih sayang buat anak-anaknya. Dia bahkan sentiasa bersikap bengis terhadap anak-anaknya, kecuali Sa’aman yang merupakan anaknya dengan sepandri Benni tersebut.   Hal ini jelas terpancar menerusi petikan berikut: 

“Dan Amilah merenungi pintu lagi. Tak sudi ia mendengarkan kata orang. Apa lagi kalau orang itu anaknya sendiri-anak kemarin dulu! Namun lain halnya bila ia berhadapan dengan Sa’aman. Sa’aman luarbiasa buatnya-dalam segala-galanya. Ia tak tahu mengapa begitu. Hanya yang ia tahu-ia seorang-bapak si Aman ialah satu-satunya lelaki yang sungguh-sungguh dicintainya… (Halaman 10) 

Akhir sekali, pemikiran yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam karya ini adalah pembelotan terhadap tanah air si pembelot itu sendiri.  Hal ini dapat ditinjau melalui watak Paijan, iaitu bapa kepada Kartiman, Canimin, Sa’aman dan adik-adiknya yang lain telah berkhidmat dengan pihak musuh, iaitu Nica yang merupakan pasukan musuh Belanda.  Buktinya boleh dilihat berdasarkan petikan di bawah:

“Ingeris mendarat. Nama Nica ribut disebut oleh tiap mulut. Disebut oleh anak-anak, oleh orang dewasa. Oleh orang tua, oleh bayi-bayi yang sedang belajar bicara. Nama itu tak ubahnya dengan nasi yang teramat sulit di waktu itu. Dan sebulan sesudah itu pertempuran mulai mengamuk di seluruh kota Jakarta. Dan pada suatu hari-hari yang takkan bisa ia lupakan – bapaknya, Kopral Paijan, pulang ke rumah. Ia diantarkan oleh truk dan banyak barang dibawanya dengan truk itu.” (Halaman 40) 

Disebabkan Paijan ini membelot dan berada di sebelah pihak musuh, maka dia telah diberikan ganjaran yang berupa harta benda yang sangat banyak.  Justeru, Paijan berasa sangat gembira dan bangga dengan pangkat yang diperolehinya daripada pihak Belanda tersebut. 

Secara keseluruhannya, karya Keluarga Gerilya ini mengisahkan tentang perjuangan sekelompok masyarakat yang ingin mempertahankan tanah air daripada dicemari tangan pihak musuh, iaitu pihak Belanda.

2.3 Ciri-Ciri Kepengarangan dan Estetika dalam Keluarga Gerilya 

Umum mengetahui bahawa sastera merupakan hasil penciptaan seni kreatif. Sastera juga menggunakan medium bahasa untuk menyampaikan maksud dan tujuannya. Keadaan ini disokong oleh beberapa elemen teknik untuk membentuk kekuatan sesuatu karya. Karya yang tercipta menjadi tatapan pembaca. Dari itulah  berlaku dialog, dialog pengarang dengan pembaca, dialog dalam diri pembaca sendiri, dialog dalam kumpulan yang lebih besar, sehingga membentuk pemikiran dan budaya. Ia membentuk nilai, mewujudkan konsep estetik yang meresap jauh ke jiwa pembaca dan menjadi wahana yang ampuh dalam menyatupadukan masyarakat. Seseorang pengarang perlu mempunyai pengalaman artistik dan berharga kerana ianya akan mempengaruhi daya kreativiti seorang pengarang. Pengalaman yang diperolehi oleh pengarang kebiasaannya dikutip melalui bayangan, ingatan, kenangan, kutipan pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan dan apa sahaja unsur yang hadir termasuklah yang bersifat konseptual dan kontekstualan. Pendek kata, kepengarangan dapat dirumuskan sebagai cara atau bagaimana seseorang itu menulis bagi mendapatkan sebuah jalan cerita yang lengkap. Teknik kepengarangan juga merujuk kepada kebijaksanaan seseorang pengarang dalam menyampaikan ceritera sesebuah cerita.

Apabila membicarakan tentang sesebuah karya sastera, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan tentang konsep estetik yang wujud dalam sesebuah karya sastera itu. Estetik atau keindahan dalam sesebuah karya sastera hanya ditemui melalui penilaian dan penghayatan. Perkataan estetik berasal daripada perkataan Yunani iaitu “aesthesis” yang membawa makna kepekaan. Istilah ini memberi tumpuan hanya kepada hal-hal yang bersangkutan dengan ungkapan indah. Keindahan puisi ialah memiliki makna yang kuat, padu dan teguh yang disampaikan secara eksplisit atau implisit dengan bahasa yang sesuai dan sederhana. Dalam prosa pula menggambarkan pengalaman kehidupan, yang asli atau realiti, berunsurkan kesuraman. Ciri-ciri kepengarangan yang terdapat dalam novel Keluarga Gerilya, antaranya ialah:

2.3.1  Pengalaman Sebenar

Hasil penulisan novel ini berkisarkan kisah hidup dan pengalaman sebenar pengarang. Oleh sebab itu, hasil penulisan beliau lebih bersifat nyata, hidup dan berkesan kepada para pembaca. Tulisan yang dihasilkan oleh pengarang banyak menyentuh jiwa dan perasaan bukan sahaja kepada pengarang, malah kepada pembaca itu sendiri. Hal ini demikian kerana mungkin disebabkan oleh pengalaman pengarang sendiri yang sudah berkali-kali dipenjarakan. Hasil penulisan yang dihasilkan juga lebih banyak menceritakan tentang sesuatu perkara yang benar-benar terjadi pada zaman pengarang. Penceritaan yang dihasilkan ini akan memberikan keindahan kepada jalan cerita ini. Misalnya, digambarkan oleh pengarang kehidupan di bawah penguasaan penjajah dan pada zaman peperangan.

2.3.2  Mengambarkan Seorang Pengarang yang Kuat dan Tabah

Novel Keluarga Gerilya yang dihasilkan oleh pengarang ini jelas menggambarkan keutuhan dirinya sendiri dalam keadaan yang dihadapinya. Hal ini demikian dapat dilihat melalui gambaran watak utama yang dinamakan Sa’aman untuk menggambarkan perwatakan sahabat karibnya sendiri, iaitu Wahab. Pengarang juga kuat dan tabah dalam memerihalkan dan mengulas satu persatu perwatakan Wahab dalam gambaran Sa’aman berserta dengan segala kesusahan dan kesengsaraan yang dilalui oleh mereka sepanjang hidup bersama.

Mereka selalu bersama dalam apa jua yang dilakukan. Sehinggalah Wahab akhirnya dihukum mati oleh Belanda. Keadaan ini benar-benar menguji kekuatan dan ketabahan beliau untuk mendepani hari-hari yang berlalu. Kehilangan orang yang tersayang betul-betul mencabar tahap kemanusiaannya sehingga beliau banyak mengurungkan diri. Kehidupannya seolah-olah terhenti kerana tunjang kekuatannya sudah tiada lagi di sisinya. Sepanjang tempoh berkurung itu, pengarang banyak menulis mengenai Wahab, dan empat minggu berikutnya, maka terhasillah ‘Keluarga Gerilya’ ini.

2.3.3 Olahan Jalan Cerita

Pengarang novel ini bijak mengolah jalan cerita ini sehingga ianya kelihatan menarik dan sering kali mendapat tempat di hati pembaca setia. Pramoedya bijak mengolah jalan cerita dengan mengaitkan serba sedikit berkaitan dengan pengalaman hidup sebenar, yang betul-betul berlaku pada saat dan ketika itu. Plot atau kronologi penceritaan juga dihuraikan dengan baik, bermula daripada kisah tragis yang berlaku dalam sesebuah keluarga pejuang yang mengorbankan segala-galanya demi kemerdekaan negara. Korban nyawa, korban masa depan, korban ayah dan korban segalanya. Ayah dibunuh kerana menjadi tali barut Belanda. Ibu hilang akal kerana mengenangkan nasib anak-anak. Anak-anak lelaki semuanya berjuang menyertai revolusi kemerdekaan. Anak  perempuan tidak bersekolah dan mencari kerja kerana derita kehilangan sumber pencarian.

2.3.4 Penggunaan Unsur-Unsur ‘Tricky’

‘Tricky’ didefinisikan sebagai helah atau pedaya. Pengarang memperlihatkan susunan perkataan yang cukup indah dan terperinci untuk setiap babak yang dihasilkan. Kematangan dalam mengolah sesuatu plot atau jalan cerita menjadikan karya-karya Pramoedya sangat unik dan berkesan kepada pembaca sehingga sukar untuk mencari kekurangan dalam pengolahan idea beliau. Begitu juga dengan cerita yang dikarang oleh pengarang ini melalui watak si ibu, iaitu Amilah yang pada permulaan cerita tidak dapat dikesan tentang ketidakwarasannya.

Selain itu, unsur ‘tricky’ ini juga hadir dalam cerita mengenai baju kebaya Salamah, iaitu anak perempuan sulung Amilah yang dikatakan hilang apabila Salamah meletakkan bajunya di penjuru katil sebelum dia ke bilik air untuk membersihkan diri. Baju tersebut dikatakan hilang apabila dijual oleh ibunya, Amilah kerana ingin membeli peralatan dapur bagi measak lauk kesukaan anak kesayangannya, Sa’aman. Selain itu, terdapat juga unsur-unsur ‘tricky’ yang digunakan oleh pengarang dalam bahagian-bahagian yang lain.

Teknik kepengarangan yang begitu unik dan indah inilah menjadikan jalan cerita ini kelihatan indah dan menimbulkan tanda tanya dalam diri pembaca akan situasi yang bakal terjadi selepas itu. Keupayaan dan keistimewaan hasil penulisan yang dimiliki oleh pengarang ini, iaitu Pak Pram jarang-jarang dimiliki oleh pengarang lain. Keadaan inilah yang telah menjadikan karya Pak Pram mendapat perhatian daripada ramai pembaca.

2.3.5 Memasukkan Nilai Keagamaan

Seperti yang kita sedia maklum bahawa nilai keagamaan sangat penting dalam kehidupan ini. Agama dapat dijadikan landasan yang baik dalam kehidupan manusia. Walaupun di permulaan cerita ini sudah diceritakan betapa hinanya watak yang ditonjolkan oleh si ibu, iaitu Amilah yang garang terhadap anak-anak dan pernah menjadi perempuan tangsi. Namun, di suatu sudut yang lain, pengarang tidak terlupa memasukkan nilai keagamaan dalam jalan cerita ini. Hal ini dapat dilihat melalui watak Sa’aman yang bertanggungjawab terhadap adik-adiknya dan tidak terlupa untuk memohon pertolongan daripada Tuhan. Selain itu, dalam cerita ini juga diceritakan tentang watak Canimin dan Kartiman yang selalu memohon doa daripada Tuhan atas segala dosa-dosa mereka. Situasi ini dapat dilihat melalui contoh petikan berikut:

“-dan bila aku kembali kepadaMu, “Kartiman menyambung permohonannya, seakan-akan Tuhan betul-betul ada di depannya, “dan bila Engkau tak sudi mengampuni makhlukMu ini, aku rela juga bila jiwaku tinggal terliputi dan terperciki darah musuh yang ku binasakan…. (Halaman 38)

2.3.6 Seni Bahasa

Pengarang juga turut menggunakan beberapa contoh unsur bahasa yang indah-indah dalam setiap perincian huraiannya. Antara contoh seni bahasa yang sering digunakan dalam teks penulisan ialah metafora, personifikasi, simile, hiperbola, simbolik, repetisi dan sebagainya. Unsur bahasa ini digunakan dalam teks penulisan bagi menimbulkan keindahan dan kepelbagaian maksud cerita yang cuba disampaikan oleh pengarang. Dalam novel Keluarga Gerilya, terdapat juga beberapa penggunaan bahasa yang indah bagi memberi keindahan kepada jalan cerita novel ini. Antaranya ialah:

2.3.6.1 Hiperbola

Hiperbola merupakan sejenis bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya. Jenis gaya bahasa ini sering digunakan untuk meluahkan perasaan mahupun tanggapan secara melampau. Hiperbola mampu menekankan sesebuah penerangan dengan lebih mendalam. Contoh penggunaan gaya bahasa hiperbola dalam novel ini ialah:

“Engkau kan ada Lee Enfield?” terdengar kopral itu memberanikan.“Baik-baik sekali! Aku suka kalau adikku sendiri yangmemecahkan tempurung otakku. Aku toh sudah tercat, Maman!. (Halaman 37)

2.3.6.2 Simile

Simile merujuk kepada perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang menggunakan unsur-unsur perlambangan dan ditandai dengan bak, laksana, seperti, bagai, umpama dan sebagainya. Sebagai contohnya dapat dilihat dalam contoh petikan berikut:

Kemudian ia diam lagi dan mulutnya berkecumik seperti     berkata-kata    pada Sa’aman. (Halaman 80)

2.3.6.3 Anafora

Menurut Corbett dan Connors dalam buku Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012) juga, anafora merujuk kepada pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berurutan. Contohnya seperti berikut:

Malam sudah sepi sekarang. Bulan tidak timbul. Dan harapan pun tidak menyala. Harapan telah lama mati dari keluarga manusia itu. Dan sekiranya masih ada, maka itu adalah harapan yang membuta-tuli. Dan tak ada kabar yang datang. 

2.3.6.4 Sinkof

Sinkof boleh didefinisikan sebagai penyingkatan sesuatu perkataan. Contoh penggunaan sinkof dalam novel ini, tak, saja, ku, yang sepatutnya tidak, sahaja, kakak, aku. Contohnya ialah:

“Jadi tak belanja kita sekarang, kak?”
“Belajarlah saja.”
Kertas tulisku sudah habis.”
“Baca saja. Tak usah menulis.” (Halaman 80)

2.3.6.5 Personifikasi

Personifikasi dikenal juga sebagai perorangan atau penginsanan. Personifikasi membawa maksud tindakan pengarang memberikan sifat manusia, sama ada daripada segi perasaan, perwatakan, atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang abstrak. Tamsilannya dapat dilihat melalui petikan di bawah:

Tenang dan aman api dapur menjilati pantat periuk nasi. (Halaman 81) 

2.3.6.6 Metafora

Metafora pula merupakan perbandingan secara terus atau langsung tanpa menggunakan kata-kata seperti, bak, umpama, ibarat, dan sebagainya Metafora ialah perbandingan yang menggunakan kata konkrit (boleh nampak) dengan kata abstrak (tidak boleh nampak). Misalnya ialah: 

Kadang-kadang aku merasa kesepian dan ketakutan pada malam dan pada hari depan kalau aku toh harus mati di bawah langit putih dan tak ada azan meniupi kupingku. (Halaman 92)

Terutama kalau hujan kecil turun, dan dingin – aku rasatangan maut sudah meraba kakiku.  (Halaman 93)

2.4 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Keluarga Gerilya

2.4.1    Konsep Budaya

Budaya adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sebuah kelompok orang, serta diwariskan dari generasi ke generasi. Budaya terbentuk dari banyak unsur yang rumit, termasuklah sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan, dan karya seni. Jadi, budaya adalah elemen yang membezakan manusia daripada hidupan lain. Istilah budaya banyak digunakan dalam bidang antropologi. Budaya berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal manusia. Budaya dalam pengertian biasa ialah suatu cara hidup manusia dan membawa makna yang sangat luas. Dengan prinsip bahawa budaya itu dicipta oleh manusia, maka budaya itu perlu dan dihasilkan oleh manusia itu sendiri bagi keperluan hidup.

Dari sudut etimologi, perkataan “budaya” berasal dari akar kata yang tersusun daripada dua perkataan yang terpisah iaitu “budi” dan “daya”. Kalimah “budi” bererti cahaya atau sinar yang terletak di dalam batin manusia. Perkataan “daya” bertalian dengan upaya, iaitu usaha, keaktifan manusia melaksanakan dengan anggotanya apa yang digerakkan oleh budinya. Manakala dari pandangan Inggeris, istilah budaya disebut culture berasal dari perkataan Latin colere yang bermaksud menyedia dan mengerjakan tanah atau menanam. Oleh itu, istilah budaya berkait rapat dengan ‘adab’ atau ‘peradaban’. Budaya dapat disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat.

2.4.2    Konsep Pandangan Hidup

Pandangan hidup merupakan satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Ia juga bererti pendapat atau pertimbangan yang dijadikan pegangan, pedoman, arahan, petunjuk hidup di dunia bagi membimbing kehidupan jasmani dan rohani manusia. Pendapat atau pertimbangan itu hasil pemikiran manusia berdasarkan pengalaman sejarah menurut waktu dan tempat hidupnya.

Menurut pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Pandangan hidup terbahagi kepada tiga, iaitu:

(i) Pandangan hidup yang berasal dari agama, iaitu pandangan hidup yang mutlak kebenarannya.

(ii) Pandangan hidup yang berupa ideologi, iaitu bersesuaian dengan kebudayaan dan norma yang terdapat pada negara.

(iii) Pandangan berdasarkan renungan, iaitu pandangan hidup yang relatif kebenarannya.

Sehubungan dengan itu, pandangan hidup orang Melayu lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan hubungan sesama manusia. Secara keseluruhannya, pandangan hidup orang Melayu telah melalui beberapa peringkat evolusi dan diperincikan kepada tiga bahagian, iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat. Karya sastera adalah cerminan masyarakat dalam nilai budaya dan pandangan hidup masyarakat Gerilya. Orang Indonesia sangat menghargai nilai budaya kerana ia merupakan satu prinsip untuk menjamin masyarakat yang harmoni, tenang dan tenteram, tanpa perselisihan dan pertentangan, iaitu bersatu-padu dan saling membantu. Jika diteliti orang Indonesia sangat mementingkan nilai-nilai budaya. Hal ini sangat penting bagi menjamin semua orang sedia bekerjasama, saling mengambil sikap menyerah dan bersepakat (Suseno 1988: 39).

Salah satu nilai budaya yang terdapat dalam novel “ Keluarga Gerilya” ialah pengorbanan. Pandangan hidup masyarakat dalam “ Keluarga Gerilya” lebih mengutamakan kepentingan masyarakat dan negara daripada kepentingan diri. Nilai inilah dapat melahirkan masyarakat yang harmoni. Karya ini menggambarkan semangat bangsa Indonesia yang rela berkorban dan menderita, khususnya dalam perjuangan revolusi. Dalam novel ini, pengarang menggambarkan watak Sa’aman sebagai pelopor yang mengadakan gerakan di bawah tanah sejak aksi polis yang pertama. Akhirnya, dia ditangkap polis tentera Belanda. Akibatnya, keluarganya yang terdiri daripada ibunya dan semua adiknya menderita kerana sudah kehilangan orang yang mencari nafkah hidup mereka. Canimin dan Kartiman, kedua-dua adik Sa’aman bukan sahaja sudah menjadi perajurit Gerilya di barisan hadapan, tetapi juga telah membunuh bapa mereka kerana dia sanggup menjadi pengkhianat dan penghalang kepada  perjuangan merdeka. Penderitaan mereka bertambah buruk setelah Amilah, ibu mereka menunjukkan gejala sakit jiwa. Selepas itu, Kartiman dan Canimin pula gugur dalam medan pertempuran, sementara Sa’aman dijatuhi hukuman mati.

Selain itu, nilai ketabahan dalam menghadapi dugaan dan cabaran “Keluarga Gerilya”. Hal ini menjelaskan bahawa melalui kekuatan rohani mampu menjadikan seseorang individu yang tertawan itu terus ‘bebas’ dan tabah menjalani kehidupannya. Apabila kita meneliti kekuatan spiritual atau rohani yang ada kepada Sa’aman, pembaca berupaya memahami rahsia di sebalik kekuatan, semangat dan ketabahan beliau.  Para pembaca  dapat menyelami penderitaan  sebuah keluarga semasa menghadapi zaman penjajahan dan penderitaan yang dialami oleh seorang insan yang telah dipenjarakan. Kehidupan dalam penjara akhirnya menjadi lokasi terpenting perjuangan Sa’aman. Meskipun secara fizikal diri Sa’aman telah dipenjara, namun dua lagi unsur penting kejadian seorang insan, iaitu rohani atau ‘spritual’ dan minda atau intelektual terus bebas. Keadaan ini jelas kelihatan sepanjang penjalanan hidupnya di dalam tahanan. Keadaan Sa’aman yang tenang dan tabah dalam menanti saat genting, saat untuk menerima hukuman mati yang perlu dilaluinya, menggambarkan keaslian dirinya, seorang yang memiliki rohani yang kuat. Kisah tragis sebuah keluarga pejuang kemerdekaan Indonesi menentang Belanda di Daerah Merdeka dan mereka terpaksa mengorbankan segala-galanya demi sebuah kebebasan. Kepentingan erti kehidupan mereka yang lebih menghargai sebagai sebuah keluarga pejuang kemerdekaan.

Di samping itu, nilai kemanusiaan dalam watak-watak “Keluarga Gerilya”. Watak-watak penting yang telah berjaya digambarkan oleh pengarang dengan jelas dan mesej tentang kemanusiaan.. Dari segi peribadinya, kemuliaan hati nurani Sa’aman pernah diakui oleh seorang perajurit, ia boleh dilihat sebagaimana contoh berikut:

“... Sudah lama aku bergaul dengan Kak Aman, setidak-tidaknya aku kena pengaruhnya. Dan dia begitu baik. dan dia banyak berfikir...” (Halaman 30)

Kebaikannya juga telah diketahui oleh jiran-jirannya...’ 

Kasihan, nak Aman’ kata tetangga, ... ‘dia anak baik-baik...”. (Halaman 141)

Namun demikian, Sa’aman juga terpaksa mengorbankan nilai kemanusiaan, iaitu dengan melibatkan diri dalam pembunuhan bapa tirinya, iaitu Kopral Paijin bin Suto. Perkara ini yang dipaksanya sendiri untuk menjalani kekejaman dan pembunuhan agar orang yang ada di bumi yang dipijak ini tak perlu lagi melakukan seperti itu untuk meneruskan kehidupan mereka. Walaupun Sa’aman seakan menyesal dengan perbuatannya membunuh bapa tirinya, namun jauh di sudut hatinya perbuatan yang dilakukan adalah demi bangsanya dan dia yakin bahawa itulah perkara yang terbaik yang telah dilakukan terhadap tanah airnya. Kita melihat pandangan hidup seorang insan sanggup berkorban nilai kemanusiaan demi menegakkan kebenaran dan keadilan.

Dalam pada itu, penderitaan yang terpaksa dilalui oleh keluarga Gerilya. Dilema kehidupan dalam perjuangan untuk membebaskan diri dari belenggu penjajahan Belanda. Kesegaran watak Sa’aman mampu untuk meruntun perasaan para pembaca tentang penderitaan sebagai seorang tawanan yang amat menghargai nilai kemanusiaan. Contohnya, di dalam kes Sa’aman, penderitaan yang terpaksa ditanggungnya selama tiga bulan dalam penjara merupakan suatu penderitaan yang tidak dapat dielakkan. Sa’aman juga pernah berkata bahawa; 

... Kita harus merelakan mereka. Dan kadang-kadang mereka itu berangkat pergi untuk tak kembali lagi. Engkau sendiri pun sudah mengerti bahawa orang yang berangkat berjuang bukanlah hak keluarga lagi, tapi sudah jadi hak tanah dan bangsa yang diperjuangkannya...” (Halaman 134) 

Selain itu, penderitaan yang ditanggung oleh Sa’aman terutama apabila mengenangkan adik-adiknya dan juga ibunya, terdapat ada satu nilai yang besar padanya. Nilai dalam penderitaan inilah yang menjadikan dia terus kuat untuk mengharungi kehidupannya dalam penjara sehingga sanggup menolak tawaran Van Keerling untuk lari dari penjara kerana bagi Sa’aman takdir telah ditentukan padanya untuk berjuang meskipun secara tertawan. Nilai ini telah mempamerkan sifat harga diri Sa’aman yang begitu tinggi sebagai seorang yang jelas tentang tujuan dan makna dalam hidupnya Sa’aman mampu memberi senyuman dan hanya berterima kasih atas pelawaan tersebut dan dia menegaskan bahawa itu bukan keputusannya. Watak Sa’aman ini merupakan salah seorang antara beribu-ribu pemuda yang bertekad dengan rela menyerahkan jiwa raga mereka untuk tanah air dan bangsa, pada hakikatnya dia telah menemui tujuan sebenar dalam kehidupannya meskipun tindakan yang perlu diambilnya itu mengundang penderitaan yang bukan sedikit. Hal ini jelas menunjukkan bahawa penderitaan itu mengajar dan mendidik diri kita agar menghargai erti sebuah kehidupan.

Seterusnya, semangat perjuangan dalam menentang penjajah. Pengarang menggambarkan watak Sa’aman begitu semangat demi  rasa cinta terhadap tanah air dan membebaskan bangsanya dari belenggu penjajah Belanda. Sa’aman seorang yang sanggup membunuh bapa tirinya kerana bapa tirinya telah menjadi tali barut Belanda akhirnya terpaksa menghabiskan hari-hari akhirnya kehidupannya di dalam tahanan. Penglibatan Sa’aman dalam perjuangan membebaskan bangsanya dari belenggu penjajah boleh dianggap sebagai satu keputusan untuk memberi nilai yang tinggi terhadap kewujudan dan kehidupannya. Namun, sisa-sisa kehidupan terakhir yang dilaluinya ini sarat dengan makna dan tujuan sebenar kehidupannya sebagai seorang perajurit. Salamah, seorang gadis sunti yang berusia 19 tahun terpaksa mengambil peranan abangnya, membantu adik-adiknya yang mengharapkan belas kasihan daripada tunangannya Darsono. Kartiman, adiknya memiliki kawalan emosi yang agak lemah dan seorang yang pemarah serta melibatkan dirinya dengan perjuangan kemerdekaan menentang Belanda. Kartiman juga telah menembak bapanya yang menjadi tali barut tentera Belanda. Canimin, abang kepada Kartiman dan adik kepada Sa’aman yang memiliki muka yang cacat kerana kebakaran menimpanya dalam pertempuran di Madiun. Kelima-lima watak ini berdiri sebagai watak penting dalam novel ini kerana penglibatan mereka dalam perjuangan.

Matlamat hidup Sa’ aman sebagai seorang perjuang. Dia menyatakan bahawa, 

“... Apabila orang telah tekad berjuang, bejuang untuk tanahairnya dik Imah, dia sudah bersumpah. Dia sudah tekan kontrak pada tanahairnya...’ Sa’aman meneruskan lagi luahan hatinya;... “Semua orang yang benar-benar bermaksud berjuang, ya mereka itu sudah bersedia... bersumpah menyerahkan jiwa dan raganya...” (Halaman 133) 

Misi dan matlamat hidup Sa’ aman  sebagai pejuang untuk kebebasan begitu jelas meskipun perjuangan secara sulit yang dipilihnya. Hal ini adalah kerana dia amat diperlukan untuk menyara kehidupan keluarganya. Hal ini menunjukkan pandangan hidup beberapa orang watak dalam novel ini sanggup berkorban segala-galanya dan sanggup berani mati demi memperjuangkan bangsa dan negara. 

Kepentingan ilmu juga ditekankan dalam novel “Keluarga Gerilya” ini. Sa’aman menasihati adik-adiknya menerusi surat yang dihantar kepada mereka: 

“... Yang penting dalam hidupmu, adik-adik ku, bukanlah didikan yang kau terima dari orang. Ini harus kau ingat-ingat! Yang penting ialah didikan yang diberikan oleh fikiranmu sendiri yang waras pada dirimu ...” (Halaman 212) 

Selain itu, sebagai anak yang turut sama merasai kegersangan kasih sayang yang sebenarnya dari seorang ibu, lantaran sikap ibunya yang begitu garang, menasihati adik-adiknya:

“... Dan kelak, didiklah anakmu sebagaimana anak manusia harus dididik. Ibu adalah alam tersendiri buat manusia... (Halaman 214)

Hal ini menunjukkan pandangan hidup masyarakat pada waktu ini ialah betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan. Hanya dengan ilmu, dapat mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik.

Budaya menghormati orang yang lebih tua ditekankan dalam novel “Keluarga Gerilya” ini.  Mentaati ibu bapa adalah satu kewajipan. Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa. Pandangan hidup telah meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang paling tinggi. Contoh petikan menunjukkan bahawa Sa’aman selaku anak kepada Amilah dan abang yang bertanggungjawab sentiasa menasihati adik-adiknya agar menghormati ibu mereka. Walaupun ibu mereka agak garang, tetapi sebagai anak mereka wajib mentaati dan mematuhi segala permintaan ibu mereka.

Mak, katanya, “Kak Aman bilang padaku, bahawa aku harus menghormati dan menghargai orang tua – menghormati dan menyayangi emak . (Halaman 10) 

“Dan kata Aman selanjutnya,” ia menyambung bisikannya mengulangi kata-kata Sa’aman, ‘aku tahu juga, engkau akan mendapat kesulitan dari emak. Tapi, jangan takut Amah, semua harus kau kerjakan. Engkau dan Imah. Dan jangan lupa – hormati dan hargai selalu emaknya yang sudah tua itu. Jangan sakiti hatinya.” (Halaman 15)

Akhir sekali, sifat bertanggungjawab setiap perkara yang dilakukan. Hal ini menjelaskan pandangan hidup seseorang yang benar-benar memiliki perasaan tanggungjawab yang tinggi sanggup mengetepikan kesenangan peribadi. Contohnya, Sa’aman menyatakan bahawa:

orang berjuang untuk membebaskan tanah air dan bangsanya dari diperbudakkan adalah sesungguhnya lebih suci daripada orang yang belum pernah berdosa selama hidupnya, malah lebih suci daripada orang yang pulang naik haji dengan serban setebal gendang, juga lebih suci daripada orang yang seumur hidupnya hanya bersembahyang kerjanya. Kerana mereka itu mencari syurga hanya untuk dirinya sendiri, tetapi orang berjuang adalah menyediakan syurga untuk berpuluh juta manusia bangsanya” 

Hal ini kerana perasaan tanggungjawab inilah hukuman terhadap perbuatannya membunuh seramai lebih dari lima puluh enam orang militer diterimanya dengan lapang dada. Dia memang rela untuk mati digantung atau ditembak atau dipancung. Dalam keadaan yang sukar Sa’aman masih mampu untuk menyuarakan isi hatinya bahawa: 

“... Dosaku banyak. Lebih dari lima puluh ku bunuh – ku hancurkan sumber penghasilan keluarganya. Tapi kerana aku merasa bertanggungjawab atas segala perbuatanku – atas segala dosaku, aku serahkan  semuanya itu kembali kepada Tuhan”.  (Halaman 130) 

2.5       Nilai Ilmu dalam Keluarga Gerilya

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau yang buruk dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) juga memberikan definisi terhadap ilmu sebagai pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Oleh itu dapat dikatakan bahawa ilmu adalah hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat.

Terdapat beberapa jenis nilai ilmu yang dapat dilihat dalam novel Keluarga Gerilya, antaranya;

2.5.1    Ilmu Firasat

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka, badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang termasuklah firasat kematian. Kematian seseorang adalah rahsia Allah. Semua tidak akan pernah tahu nyawanya akan diambil Sang Pencipta bahkan Nabi sekalipun. Meskipun seseorang tidak akan pernah tahu waktu datangnya ajal tetapi seseorang itu akan merasai dan alami tanda-tanda atau firasat bahawa kematian itu semakin dekat. Walau bagaimanapun kebenarannya hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Dalam novel Keluarga Gerilya pengarang memaparkan ilmu firasat mengenai kematian. Diceritakan dalam novel ini mengenai tanda-tanda orang yang akan menemui kematian. Diceritakan dalam novel ini saat-saat sebelum ajal menjemput dalam pelbagai keadaan. Para gerilya yang telah meninggal dunia dalam peperangan juga mengalami firasat seperti yang diperkatakan oleh pengarang.

“Itu dia,” kata Ahmad. “Yang sipit itu! Dia itu, ada juga tanda-tandanya waktu hampir-hampir mati. Sebentar dia murung. Sebentar dia gembira seperti pemuda terbalas cinta-pertamnya. Sebentar lagi murung sambil menyanyikan lagu ‘Selamat tinggal, Ibunda’, lamat-lamat. Kemudian dia mati konyol – tertembak waktu bercanda.” (Halaman 43)

Walaupun meninggal dalam peperangan dan pertempuran, seseorang itu berkelakuan aneh, tidak seperti biasa. Hanya orang terdekat sahaja dapat merasainya seperti kawan baik dan ahli keluarga yang sudah mengenali sikap dan perangai seseorang.

“Ya, pak. Sebelum guru dia jadi pendiam. Dalam sehari sebelum guru itu tak sepatahpun dia mengeluarkan suara. Di dapur umum dia makan diam-diam saja. Cabe rawit sekepal dihabiskannya. Dan kalau ada orang mendekat mau mengganggu atau mengajak bercanda dia pergi menjauh sorder bilang apa-apa. Kemudian dadanya hancur kena pecahan mortir di pertempuran Cibarusa – belah – tepat kena dadanya…” (Halaman 43)

Beberapa minit sebelum Kartiman meninggal dunia, dia berpesan kepada abangnya, Canimin supaya sampaikan salam kepada ibu dan adik-beradiknya serta memohon maaf kepada mereka atas kesalahannya. Ternyata dia telah mendapat firasat akan datangnya kematian.

“Kak Mimin -, kelak sampaikan salam pada emak. Pak Kak Aman. Pada Amah. Pada Imah. Pada Mimi. Pada Hasan. Dan Ratni – pelihara dia baik-baik. Dan maafmu untukku. Dan maafku untukmu. ..” (Halaman 45)

Tanda-tanda kematian itu hanyalah kiraan manusia sahaja. Tetapi ajal seseorang adalah hak mutlak Allah. Seperti yang diajarkan dalam Islam, kematian itu tidak kira waktu, tempat dan keadaan. Oleh itu, setiap manusia yang masih hidup sentiasa berada dalam keadaan baik dan berbuat baik serta menjaga hubungan dnegan Allah supaya kematian kelak dalam husnul khatimah.

2.5.2    Ilmu Agama

Ilmu agama paling menonjol bagi kebanyakan pengarang yang beragama Islam. Hal ini dapat difahami kerana apabila permulaan Islam diperkenalkan kepada umat Melayu, diperlukan pengembangan ajaran Islam dalam segala sudut yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat bangsa Melayu, selaras dengan kesepaduan yang ditekankan oleh Islam, iaitu hubungan dengan Tuhan (hablum min Allah) dan hubungan dengan sesama manusia dan bahkan makhluk lain (hablum min al-nas).

Berdasarkan novel Keluarga Gerilya, beberapa orang watak tampil sebagai orang beragama walaupun hidup dalam keluarga yang serba kekurangan. Pendidikan agama anak-anak Amilah jelas kelihatan walaupun Amilah itu adalah bekas perempuan tangsi. Anak-anak Amilah digambarkan anak-anak yang soleh, yang ingat kepada Allah ketika susah mahupun senang. Nilai Islam ditunjukkan melalui watak Sa’aman, Salamah, Canimin, Kartiman, dan Hassan.

Kartiman memohon ampun kepada Tuhan atas kesalahannya membunuh bapanya sendiri iaitu Paijan. Kartiman tetap berasa bersalah atas dosa yang dilakukannya tetapi juga berasa betul dengan tindakannya itu untuk mempertahankan negaranya daripada terus dijual oleh orang seperti bapanya. Hal ini menunjukkan bahawa Kartiman seorang anak dan perajurit yang masih ingat Allah dan mengharapkan dosanya diampunkan.

“…Ya, Tuhan – sekiranga ini dosa yang sehina-hinanya – ya, Tuhan, berilah aku ampun selama ada kesempatan padaMu untuk mengampuni.” (Halaman 30)

“Tuhanku!” katanya kehamba-hambaan, “-biarlah aku mengagumi fajar merah sekali lagi. Dosaku banyak. Aku tahu. Dan Engkau mahamengetahui. Engkau sendiri yang mengizinkan dosa-dosa itu berlaku di dunia ini..” (Halaman 39)

Walaupun Kartiman menjadi perajurit, tanggungjawabnya sebagai orang Islam tidak ditinggalkannya. Kartiman juga seorang perajurit yang menjaga solatnya di mana sahaja dia berada. Dinyatakan dalam novel ini Kartiman meminta izin untuk sembahyang lalu dia sembahyang di bawah sebuah pohon.

“minta izin – mau sembahyang.”… perajurit Kartiman bersembahyang di bawah pohon itu. Ia tak mengambil air wuduk’  (Halaman 39)

Juga ditunjukkan dalam novel ini bagaimana seorang abang yang prihatin soal agama berasa bertanggungjawab ke atas adiknya walaupun di saat kematian menghampiri. Kopral Canimin telah mengajarkan adiknya, Kartiman menyebut kata yang baik iaitu ‘Alla-hu-akhbar’ ketika adiknya itu nazak akibat ditembak. Berkali-kali Canimin meminta adiknya mengucap tetapi Kartiman tidak mahu berkata sehinggalah maut menjemputnya.

“Alla-hu-akhbar!” sebut Canimin. Ia tunjuk menekuri adiknya. “Sebut, Maman, sebut: Alla-hu-akhbar -Tuhan mahabesar.” (Halaman 49)

Kopral Canimin beberapa kali mengulangi kata “Alla-hu-akhbar” kepada adiknya dan meminta adiknya itu iaitu Kartiman mengulanginya, namun dia hampa kerana sehingga ke nafas terakhir adiknya tidak mahu menyebut perkataan itu.

“Menyebut, Maman – Alla-hu-akhbar – Tuhan mahabesar.” Tak tersahut. Hanya nafas gelisah juga terdengar.“Adikku, adikku, moga-moga engkau diampuni oleh Tuhan. Sebutlah, adikku, sebutlah: Alla-hu-akhbar – Tuhan mahabesar. Sebut adikku!” (Halaman 50)

Watak salamah juga ada memaparkan nilai agama terhadap adik-adiknya.. Salamah mengajar adiknya, Salami erti syukur walaupun ujian ditempuhi tetapi mereka masih hidup aman. Mereka tetap hidup bahagia dan aman walaupun serba kekurangan tetapi berbeza dengan abang-abang mereka yang lain yang ditangkap oleh M.P dan menjadi perajurit di gerilya.

“Engkau aman di kota sini, Mimi. Kerana itu, kalau kita terpasa makan nasi saja – nasi saja dengan tiada lauk atau sayur – dan barangkali  juga kita harus minum the saja sampai kapan aku tak tahu; janganlah engkau menggerutu. Berterimakasihlah engkau, Mimi.”

Ia diam lagi sebentar. Kemudian meneruskan dengan suara dalam: 

Ya Tuhan, kami berterimakasih atas segala rahmatMu.” 

Ia memandang Salami. Berkata:

“Berdoalah, Mimi.” “Ya Tuhan, kami berterimakasih atas segala rahmatMu” (Halaman 78)

Kehidupan adik-beradik yang serba kekurangan ini dengan kematian bapa dan ibu yang kurang waras masih mempercayai akan kewujudan Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun dosa. Walau keluarga mereka diuji sedemikian rupa, amalan ibadah seperti sembahyang dan berdoa tetap dilakukan mereka yang menunjukkan bahawa agama itulah yang menghubungkan antara mereka dan menjadi punca kebergantungan hidup mereka.

2.5.3    Ilmu Perang

Ilmu perang atau taktik perang adalah ilmu tentera atau angkatan bersenjata menggunakan muslihat, siasah atau tipu daya yang ditetapkan oleh strategi. Taktik perang adalah penting dalam sebuah pertempuran kerana sesebuah negara mampu kalah jika taktik perang tidak dirancang dengan baik.

Dalam novel Keluarga Gerilya memaparkan strategi berperang dan ilmu menggunakan senjata. Pasukan gerilya sentiasa berjaga-jaga daripada sebarang serangan musuh pada setiap waktu. Walaupun gerilya bukanlah daripada tentera terlatih yang mempunyai pangkat, senjata yang tidak mencukupi dan ilmu pertempuran yang cetek, dengan semangat cintakan negara mereka menggunakan taktik untuk menghadapi peperangan itu.

“Kita akan selamat terus. Pasti!” sambung Ahmad. “Sebab kita selamanya di pihak penyerang bila musuh sedang lalai. Dan kita selamanya lari bila musuh menyerang. Kita selamat terus – sampai di Tanjung Priuk nanti.” (Halaman 44) 

Gerilya juga diajar kemahiran menggunakan senjata apabila musuh serang mengganas. Dalam novel ini tidak dinyatakan secara menyeluruh jenis senjata yang digunakan. Hanya dinyatakan senjata tangan menembak yang mengeluarkan peluru serta api. Senjata amat penting dalam peperangan yang melibatkan pihak musuh bersenjata sebagai alat untuk mempertahankan diri ketika diserang atau menyerang.

…kemudian tembak-menembak  mengamuk di penjagaan yang paling terdepan. Kepada konvoi mulai diserang. Tampak dari leteranya, Cuma satu truk yang ada di depan saja yang nekat mencerobosi musuhnya… Canimin memuntahkan peluru. Dan Kartiman juga. Dan api bersemburan. Dan peluru berterbangan seperti percikan kilat. (Halaman 48)

Ilmu perang ini berbeza dengan perang masyarakat Melayu klasik yang hanya berperang menggunakan keris, parang dan tombak semata-mata. Fenomena ini berubah dek kemajuan teknologi dan peningkatan aras pemikiran masyarakat.

2.5.4    Ilmu Pendidikan

Ilmu pendidikan merupakan suatu kumpulan pengetahuan atau konsep yang tersusun secara sistematik dan mempunyai kaedah-kaedah tertentu yang bersifat ilmiah dalam mempersiapkan diri seseorang untuk kehidupan yang lebih bermakna. Ilmu pendidikan telah berkembang pesat seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan  teknologi lain yang mendukungnya.

Dalam novel Keluarga Gerilya menunjukkan bahawa hidup dalam suasana perang tidak menghalang rakyatnya belajar di sekolah. Asas pendidikan masih diperlukan dan dituntut. Hasan, adik bongsu Sa’aman menyatakan keputusan ujian pelajarannya iaitu bahasa Belanda, bahasa Inggeris dan Aljabar atau Matematik.

“Imah,” katanya pada Patimah., “bagaimana pelajaran hati ini?”

Dan Patimah menjawab: 

“Bahasa Belanda aku mendapat tujuh. Inggeris sembilan. Aljaba delapan. Senangkah hatimu, kak?”

Sa’aman pun berkata gembira:

“He-e. Nanti kalau engkau lulus dari S.M. dengan baik, engkau meneruskan di S.M.A.” (Halaman 17)

Salami juga digambarkan seorang anak yang masih belajar. Dia selalu bertanyakan kakaknya untuk menyelesaikan tugasan. Salami mempunyai buku untuk belajar bagi pelajarannya.

..dan di saat itulah Salami datang di sampingnya membawa buku terbuka di tangannya.

“Kak,” katanya.
“Mimi, engkau mendapat kesukaran lagi?
Dan Salami mengangguk.
:Sulitkah pelajaran yang kau pelajari?”
“Aku tak mengerti sama sekali. Sudah ku cuba berkali-kali tapi tak bisa juga.” (Halaman 83) 

Kehidupan pada zaman peperangan memperlihatkan kesusahan dan penderitaan masyarakat yang mengalaminya. Walau bagaimanapun, kehidupan masyarakat yang mempunyai asas agama dan nilai-nilai murni menjadikan kehidupan itu aman walaupun diuji. Nilai ilmu yang terdapat dalam novel Keluarga Gerilya memberikan kesedaran dan pengajaran baharu kepada pembaca yang jelas berbeza kehidupan zaman itu dan sekarang.

3.0       Kesimpulan

Kesimpulannya, keupayaan pengarang menguasai pengalaman sewaktu di penjara telah memberi kesempatan untuknya melukiskan watak seorang insan yang mempunyai makna kehidupan yang jelas. Pemilihan Sa’aman sebagai watak utama banyak digunakan untuk menyampaikan mesej yang bersifat kemanusiaan. Pengarang telah berjaya menggunakan Sa’aman untuk menggambarkan pergolakan revolusi. Watak Sa’aman yang hidup juga telah berjaya membawa pembaca merasai sendiri penderitaan sebagai tahanan dalam penjara dan pada masa yang sama juga menghargai nilai kemanusiaan sebenar. 

Ceritanya yang sarat dengan nilai kemanusiaan, yang berjaya diungkapkan dengan susunan perkataan yang indah dan terperinci telah menjadikan Keluarga Gerilyasebuah rakaman sejarah yang unik, kerana peristiwa yang dijadikan rujukannya merupakan pengalaman peribadi pengarang sendiri yang terkandung di dalamnya perihal manusia dan kemanusiaan yang tinggi. Pengarang telah berjaya menzahirkan nilai-nilai budaya dan kemasyarakatan semasa menuntut kemerdekaan. Pelbagai konflik budaya dan kemasyarakatan cuba diungkapkan oleh pengarang melalui bicaranya tentang falsafah kehidupan. Kisah duka sebuah keluarga yang kehilangan tonggaknya akibat ditembak anak sendiri, yang memiliki perbezaan fahaman, telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca. Penerokaan untuk menyelami watak Sa’aman sebagai seorang pejuang kemerdekaan terbukti berjaya menemukan pembaca dengan pelbagai rahsia kekuatan, ketabahan dalam berjuang dan yang paling penting ialah makna hidup bagi seorang pejuang seperti Sa’aman. Maka, di sinilah dapat dilihat kehebatan dan keistimewaan novel Keluarga Gerilya

Bibliografi
Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris, (2012). Nota Kuliah Semester 1 2012/2013.
Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Ali Ahmad, (1977). Ulasan buku keluarga gerilya untuk HSC. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti
Neil Turnbull, (1999). Filsafat. Indonesia : Penerbit Erlangga.
Dewan Bahasa dan Pustaka, (2010). Kamus dewan edisi keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani, (2014). Karya agung Melayu. Tanjung Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Pramoedya Ananta Toer, (1977). Keluarga gerilya. Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka     Antara.
Ratna Roshida Ab Razak, (2010). Memahami watak Sa’aman dalam keluarga gerilya: Satu pendekatan logoterapi Frankl. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. 

Posted by Karya Agung Melayu at 08:25 
ANALISIS KARYA AGUNG MODEN : KELUARGA GERILYA
http://karyamelayuterpahatdihati.blogspot.com/2015/05/analisis-karya-agung-moden-keluarga.html

Rujukan analisis Keluarga Gerilya
Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris. (2012).
Nota Kuliah Semester 1 2012/2013. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Andri Wicaksono. (2014). Menulis Kreatif Sastra dan Beberapa Model Pembelajarannya. Jakarta: Penerbit Garudhawaca.
Ali Ahmad. (1977). Ulasan buku keluarga gerilya untuk HSC. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti
Christopher Allen Woodrich. (2010). Pengertian Struktural Keluarga Gerilya Karya Pramoedya Ananta Toer
Bab Satu Sampai Dengan Empat. Diakses pada April 18, 2016 daripada https://www.scribd.com/doc/27302865/Analisis-Struktural-Keluarga-Gerilya-Bab-I-IV
Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani. (2014). Karya agung Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shanti Subramaniam & Mah Boon Kiet. (2008). Pengajian Perniagaan. Shah Alam: Arah Pendidikan Sdn. Bhd.
Pramoedya Ananta Toer, (1977). Keluarga gerilya. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara

....

Tiada ulasan: