Rabu, 20 Mac 2019

Berita Malaysia. 9273.


Shah Alam catat bacaan IPU tidak sihat
Amirah ShariffudinAstro Awani | Diterbitkan pada Mac 20, 2019 10:31 MYT

Shah Alam catat bacaan IPU tidak sihat
Laman web Jabatan Alam Sekitar menyatakan hanya tiga kawasan mempunyai bacaan IPU pada tahap yang sihat iaitu Tawau, Sandakan dan Kota Tinggi.
KUALA LUMPUR: Kawasan yang mempunyai Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Malaysia kini adalah Shah Alam dengan bacaan IPU sebanyak 107 pada pukul 11 pagi Rabu.

Berdasarkan bacaan IPU terkini di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Shah Alam berada pada tahap tidak sihat sementara 62 kawasan berada pada tahap sederhana dan tiga lagi kawasan berada pada tahap baik.
Walau bagaimanapun, Rompin yang mempunyai IPU tertinggi pada Selasa telah pulih semula ke tahap sederhana dengan bacaan IPU 96 pada pukul 8 pagi hari ini.

IPU di kawasan Balok Baru Kuantan semalam berada di tahap yang tidak sihat tetapi telah dipulihkan ke tahap sederhana pada jam 4 pagi hari ini.

Sementara itu, Bukit Rambai dan Alor Gajah di Melaka pulih ke tahap sederhana pada pukul 11 malam dan 12 tengah malam semalam.

Laman web JAS turut menyatakan bahawa hanya tiga kawasan mempunyai bacaan IPU pada tahap yang sihat iaitu Tawau, Sandakan dan Kota Tinggi.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 hingga 200 adalah tidak sihat, 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan 300 ke atas adalah bahaya.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/shah-alam-catat-bacaan-ipu-tidak-sihat-201642?

45 kamera AWAS beroperasi sejak 1 Mac lalu
Rahimah AbdullahAstro Awani | Diterbitkan pada Mac 20, 2019 13:36 MYT
45 kamera AWAS beroperasi sejak 1 Mac lalu
Ketika ini kerajaan masih belum melaksanakan sebarang pemasangan kamera baharu dengan menggunakan peruntukan kerajaan sepenuhnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 45 kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) telah beroperasi sejak 1 Mac lalu, ujar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Daripada jumlah itu, 29 adalah kamera peraturan had laju dan 16 kamera peraturan lampu isyarat.

“Untuk pengetahuan, daripada jumlah ini tiada pun satu pun kamera di Sabah Sarawak. Semua di Semenanjung Malaysia sahaja,” katanya sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat.
Tambahnya, ketika ini kerajaan masih belum melaksanakan sebarang pemasangan kamera baharu dengan menggunakan peruntukan kerajaan sepenuhnya.

“Kesemua kamera AWAS yang terlibat telah dipasang di bawah kontrak terdahulu. Kos pemasangan bagi pemasangan kamera adalah ditanggung oleh kedua syarikat dan tiada dinyatakan dengan terperinci dalam kontrak sedia ada.

“Namun begitu, adalah dianggarkan kos pemasangan sebuah kamera adalah di antara RM200 ribu sehingga RM250 ribu termasuk kos kerja tanah, kos kabel elektrik, kos pembangunan infrastruktur dan kos kamera,” tambahnya lagi.

Kerajaan juga sebelum ini telah memansuhkan lebih 4 juta saman AES bernilai RM600 juta memandangkan hasil kutipan berkenaan tidak diperoleh kerajaan, sebaliknya dua syarikat swasta dilantik.

“Sistem AES terdahulu melibatkan lebih 4 juta saman yang dikeluarkan. Kita telah mansuhkan saman itu sebelum 31 Ogos 2018. Apabila kontrak dahulu tamat, maka semua saman itu kita batalkan semuanya. Maka apa-apa hasil saman yang dikutip, bukan kerajaan dapat. Namun dibayar kepada dua syarikat swasta tersebut,” katanya

Setakat ini katanya, lebih kurang 90,000 saman AWAS telah dikeluarkan.

“Bagaimanapun ia berada di kadar yang rendah iaitu 10 peratus sahaja. Namun, kita galakkan pihak yang kena saman bayar saman atau anda diambil tindakan,” ujarnya.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/45-kamera-awas-beroperasi-sejak-1-mac-lalu-201655?

Projek ECRL masih dalam proses rundingan - Dr Mahathir
Rahimah AbdullahAstro Awani | Diterbitkan pada Mac 20, 2019 11:31 MYT
Projek ECRL masih dalam proses rundingan - Dr Mahathir
Dr Mahathir berkata, jika usaha rundingan semula ini berhasil, kerajaan yakin projek ECRL akan diteruskan dengan skala yang sesuai dengan manfaat yang bakal dijana oleh rakyat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menjalankan proses rundingan semula dengan pihak berkaitan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sejak Julai 2018 digantung semua kerja dan perkhidmatannya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, projek itu perlu dinilai semula dan hanya boleh diteruskan jika dilaksanakan pada skala yang sesuai.

“Kerajaan terpaksa menilai semula projek ini secara lebih teliti bagi memastikan negara mendapatkan pulangan yang terbaik dan menjejaskan pembangunan negara.

“Pada masa ini kerajaan telah melantik Tun Daim Zainuddin sebagai utusan khas PM bagi mengetuai proses perundingan semula dengan kerajaan China supaya penyelesaian menang-menang diperolehi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, hasil rundingan berkenaan akan dimaklumkan apabila ia dimuktamadkan sedikit masa lagi.

“Jika usaha rundingan semula ini berhasil, kerajaan yakin projek ECRL akan diteruskan dengan skala yang sesuai dengan manfaat yang bakal dijana oleh rakyat dan menyelamatkan Malaysia dari beban hutang yang tinggi,” ujar beliau.

Pada 4 Julai tahun lalu, China Communication Construction Company Ltd (CCCC) selaku kontraktor utama ECRL menyatakan, semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer digantung berkuat kuasa serta-merta. 

BACA: "ECRL disambung jika harga munasabah" - PM 

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan berpendapat projek berkenaan telah diuruskan tanpa melalui prosedur biasa oleh kerajaan terdahulu.

“Pentadbiran terdahulu, tidak memanggil tender terbuka sebaliknya dianugerahkan satu syarikat sahaja kononnya atas alasan kerjasama G2G.

"Pentadbiran kerjaaan sepatutnya tidak tergesa-gesa menandatangani perjanjian kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dan perjanjian besar.

"Kontrak EPCC itu didraf mengikut harga lump sum (sekali gus) yang tinggi,” tambahnya.

BACA: Kerajaan bayar RM200 juta faedah hutang ECRL - Dr Mahathir 

Malah katanya, satu sistem keretapi baharu di Pantai Timur boleh diwujudkan dengan lebih sempurna jika pentadbiran dahulu mengambil kira semua aspek ekonomi kerajaan, nilai komersil, kesan alam sekitar dan hubungan dua hala dengan China.

Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia mungkin berdepan bankrap jika Pakatan Harapan (PH) tidak menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Memang pun kalau PH tak menang, maka negara kita akan dijual kepada orang lain sebab kalau kita hutang dan tak dapat bayar maka kita dikenakan tindakan bankrap. Seperti Greece.

"Mujur rakyat sedar dan beri kemenangan pada PH untuk elak negara dijual kepada orang lain,” tambahnya.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/projek-ecrl-masih-dalam-proses-rundingan-dr-mahathir-201645?

Kelantan tiada hasrat buka panggung wayang
Vivi SumantiAstro Awani | Diterbitkan pada Mac 20, 2019 16:15 MYT
Kelantan tiada hasrat buka panggung wayang
Kelantan tidak berhasrat membuka panggung wayang di negeri ini bagi mengelakkan berlaku masalah sosial.
KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan tidak berhasrat membuka panggung wayang di negeri ini bagi mengelakkan berlaku masalah sosial.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri bagi membincangkan isu berkenaan secara terperinci.
“Hari ini majlis mesyuarat Kelantan bebincang dengan terperinci mengenai masalah pawagam. Kita sudah tiada pawagam selama 30 tahun dan tiada apa masalah kerana banyak sumber sekiranya mahu tengok cerita.

“Kita boleh mengenakan syarat ketat kepada pawagam namun, jika kita buka ruang, penguatkuasaaan terhadap pelanggaran syarat juga akan berdepan masalah dan perkara itu perlu diambil kira.

“Perkara kedua, kita juga boleh kawal dalam pawagam, namun masa anak-anak keluar dan akan pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam itu akan banyak mengundang masalah gejala sosial" katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Hasrat kerajaan Kelantan seperti yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menyasarkan untuk mengurangkan gejala sosial menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak membenarkan pembukaan pawagam di seluruh Kelantan.

Pada Selasa, Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mencadangkan kerajaan negeri supaya membenarkan pembukaan pawagam patuh syariah di negeri ini selepas operasinya dihentikan kira-kira 20 tahun lalu.

Katanya, setiap hujung minggu, ramai rakyat negeri ini ke Terengganu semata-mata untuk menonton wayang.

BACA: Adun BN minta Pas buka panggung wayang di Kelantan
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kelantan-tiada-hasrat-buka-panggung-wayang-201669?

Bapa dan anak dituduh bunuh pemandu lori di taman permainan
Adie Sufian ZulkefliAstro Awani | Diterbitkan pada Mac 20, 2019 14:50 MYT
Bapa dan anak dituduh bunuh pemandu lori di taman permainan
Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian Manimaran A/L Paramasivan di hadapan Taman Permainan di Taman Desa Makmur, Lunas 1 Mac lalu. - Foto Astro AWANI
KULIM: Dua beranak berhadapan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori di Taman Desa Makmur, Lunas di sini awal Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh merupakan bapa dan anak, Rahman A/L Muniappan, 55, dan Gobee A/L Raman, 35, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.

Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian
Manimaran A/L Paramasivan di hadapan Taman Permainan di Taman Desa Makmur, Lunas pada jam 6.30 petang 1 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh turut tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut fakta kejadian kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan dengan memukul kepala mangsa dengan menggunakan topi keledar dan sebatang kayu sehingga mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syifa Mohd Hamzah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 April untuk tarikh sebutan semula kes.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/bapa-dan-anak-dituduh-bunuh-pemandu-lori-di-taman-permainan-201661?



Tiada ulasan: