PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata, beliau
tidak beredar meninggalkan bilik mahkamah bila Datuk Seri Anwar Ibrahim
melancarkan ‘serangan’ terhadap beliau dan empat hakim lain yang mengekalkan sabitan
sodominya Selasa lepas.
“Pendekatan saya mudah. Bila saya rasa ia tidak adil, saya hanya beredar. Kami
boleh tangguhkan perbicaraan dan itu yang saya lakukan. Menangguhkan
perbicaraan.
“Saya ‘bukan cabut’”, kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
“Saya tangguhkan perbicaraan untuk menenangkan suasana,” kata Arifin, dan
menyatakan beliau tidak mendengar apa yang diperkatakan Anwar pada hari itu.
Ditanya sama ada beliau ada berasa hati dengan Anwar, Arifin menjawab beliau
tidak menyimpan “perasaan” terhadap sesiapa dan beliau menjalankan tugasnya
dengan penuh ikhlas.
Tentang sama ada akan diambil prosiding komital terhadap Anwar berikutan
kenyataannya mengenai badan kehakiman semasa mitigasi pada 10 Feb, Arifin
berkata tidak ada komen, dan menegaskan itu hal lain dan beliau tidak tahu.
Pada 10 Februari lalu, Arifin dan empat hakim lain yang membicarakan rayuan
Anwar terhadap sabitan sodominya beredar meninggalkan bilik Mahkamah
Persekutuan bila pemimpin pembangkang itu menyelar mereka dari kandang
tertuduh, menuduh mereka bersekongkol dengan tuan politik mereka.
Beberapa minit kemudian, hakim-hakim itu masuk semula ke bilik mahkamah dan
menyampaikan keputusan mereka terhadap rayuan Anwar mengenai hukumannya,
mengekalkan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd
Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Awal hari itu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar terhadap
sabitannya.
Dalam ucapannya di majlis mengangkat sumpah jawatan hari ini untuk empat hakim
yang masing-masing dinaikkan kedudukan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan
dan Mahkamah Tinggi, Arifin memberi amaran bahawa tindakan sewajarnya akan
diambil terhadap mereka yang mencemar kemuliaan dan integriti badan kehakiman.
Beliau berkata, badan kehakiman terbuka kepada kritikan tetapi tidak akan
membiarkan tuduhan tidak berasas di media sosial dan forum awam.
“Saya tegaskan bahawa mahkamah memandang serius sebarang tingkah laku yang
mencemar kemuliaan dan integriti badan kehakiman dan tidak akan teragak-agak
untuk mengambil tindakan sewajarnya,” kata beliau.
Arifin berkata, kritikan tidak berasas terhadap mahkamah akan melemahkan
perjalanan kehakiman dan menghakis keyakinan awam terhadap institusi itu.
Beliau berkata, serentak dengan penyebaran teknologi komunikasi, terdapat ramai
dalam masyarakat yang tidak segan silu dan tidak rasa bersalah melemparkan
sindiran tentang segala perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
“Seolah-olah menganggap tindakan mereka dapat diterima bila mereka membuat
kenyataan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan
YouTube yang mempunyai pengikut yang semakin bertambah - sekalipun kritikan
seumpama itu tidak ada justifikasinya, dan boleh dipersoalkan.”
Arifin mengingatkan hakim agar sentiasa menegak dan mempertahankan kebebasan
badan kehakiman dengan membuat keputusan yang adil berasaskan prinsip
undang-undang yang sah.
Beliau berkata, kebebasan badan kehakiman adalah perkara paling utama dalam
pentadbiran negara dan Perdana Menteri dikehendaki menjamin kebebasan institusi
itu di bawah Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009.
Arifin juga mengingatkan pihak-pihak lain khususnya peguam agar tidak bertindak
menentang undang-undang bila menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap
keputusan mahkamah.
Beliau berkata, tanggungjawab integriti kehakiman tidak terletak pada bahu
Perdana Menteri dan para hakim semata-mata, tetapi perlu dipertahankan oleh
pihak awam.
“Dengan penuh kesedaran, saya mesti nyatakan, perkara mengenai perjalanan
kehakiman di negara ini perlu diserahkan sepenuhnya kepada badan kehakiman
tanpa gangguan.”
“Badan kehakiman mestilah dilihat sebagai institusi yang bertugas memberi
keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan dalam
menegakkan prinsip pemisahan kuasa yang demokratik.”
“Badan kehakiman mestilah juga dilihat sebagai pemelihara Perlembagaan dan
pelindung hak rakyat,” kata Arifin.
Terdahulu, hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaharah Ibrahim, 62, mengangkat sumpah
sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, sementara hakim Mahkamah Tinggi Datuk
Zamani A. Rahim, 64, dinaikkan pangkat hakim Mahkamah Rayuan.
Dua Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera, 53; dan Datuk Douglas Cristo
Primus Sikayun, 63, disahkan sebagai hakim-hakim Mahkamah Tinggi. – Bernama
Sumber: (PenburukOnline)
Semakan Kehakiman Jalan Terakhir Selamatkan Anwar
Datuk Singh Baljit Sidhu.
PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan dan hukuman lima
tahun penjara atas tuduhan meliwat bekas pembantunya. Hukuman itu secara
langsung mematikan kerjaya politik dan cita-cita beliau. Tetapi adakah keputusan itu turut menandakan berakhirnya jalan
perundangan yang ada untuk menghalangnya daripada dipenjara dan
seterusnya menyelamatkan masa depan politiknya?
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peguam, pensyarah dan penulis Datuk Baljit Singh Sidhu berkata,
satu-satunya jalan undang-undang yang ada bagi Anwar adalah untuk
memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan.
Namun, beliau mengingatkan bahawa kadar kejayaan bagi langkah itu adalah amat tipis.
“Jika permohonan semakan difailkan, mahkamah akan menetapkan tarikh dan
mengadakan pendegaran. Satu panel yang terdiri daripada beberapa hakim
akan bersidang untuk melihat sama ada korum sebelumnya telah membuat
kesalahan, yang membawa kepada kesilapan prosedur dan undang-undang,”
kata ahli Jawatankuasa Majlis Undang-undang Jenayah Majlis Peguam itu
kepada Semut Harian.
Berhubung kemungkinan pengampunan diraja, Baljit menyatakan ia lazimnya
digunakan kepada mereka yang dijatuhkan hukuman mati, dan bukannya untuk
kesalahan jenis ini.
“Ia sudah menjadi hak kepada mereka yang menerima hukuman mati. Untuk
kesalahan jenis ini pula, permohonan boleh dibuat namun saya tidak fikir
akan membawa hasil yang positif. Tidak pernah berlaku sebelum ini,”
katanya lagi.
Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir
Anwar terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan selepas didapati
bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.
Menurut laporan, Ketua Umum PKR itu memiliki dua pilihan, iaitu sama ada
memfailkan semakan kehakiman di mahkamah tertinggi itu untuk menilai
semula sabitan. Pilihan kedua adalah untuk memohon pengampunan daripada
pemimpin negeri atau wilayah tempat di mana kesalahan dibuat.
Dalam kes ini, kesalahan itu terjadi di Kuala Lumpur maka permohonan perlu dibuat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Malaysiakini pada 12 Februari lalu memetik peguambela Anwar, Ramkarpal
Singh sebagai berkata, mereka belum memutuskan sama ada akan membuat
semakan kehakiman atau tidak.
“Kami belum meneliti sepenuhnya asas kehakiman itu. Selepas itu baru
kami boleh membuat keputusan,” kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.
Seorang lagi peguam Anwar, N Surendran pula dilaporkan berkata,
pengumuman berhubung jalan perundangan yang akan diambil pasukan
pembelaan Anwar akan dibuat tidak lama lagi.
Pengampunan daripada Agong adalah pilihan terakhir yang dimiliki
individu yang disabitkan bersalah. Antara contoh kejayaan yang paling
diingati adalah Ketua Pemuda Umno dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri
Harun Idris yang menerima pengampunan penuh selepas didapati bersalah
dalam tuduhan rasuah pada tahun 1970-an.
Satu lagi contoh adalah pengampunan terhadap Menteri Budaya, Belia dan
Sukan Datuk Mokhtar Hashim yang dijatuhkan hukuman mati selepas didapati
bersalah membunuh seorang seteru politiknya.
Hukuman itu diringankan menjadi penjara seumur hidup. Selepas beberapa
tahun di penjara, Mokhtar dilepaskan selepas mendapat pengampunan
diraja.
Rayuan untuk pengampunan diraja perlu dibuat dalam masa 14 hari selepas
keputusan mahkamah. Ini bermakna Anwar memiliki masa sehingga 24
Februari ini untuk memfailkan rayuan itu, demi mengenepikan hukuman
penjara dan kekal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Belum diketahui sama ada Anwar akan mengambil langkah itu, memandangkan
beliau menolak untuk berbuat demikian ketika dipenjarakan atas kesalahan
salah guna kuasa pada tahun 1999.
Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad dilaporkan berkata, Anwar
mungkin tidak akan memohon pengampunan diraja kerana ia sama seperti
mengaku bersalah atas kesalahan itu.
Dekan fakulti Undang-undang Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Ahmad
Marthada Mohamed pula dilaporkan berkata, Agong perlu bertindak
berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan dalam memberikan pengampunan.
Untuk memohon pengampunan diraja, peguam pesalah perlu menulis surat
kepada Lembaga Pengampunan yang ahlinya terdiri daripada Peguam Negara,
Menteri Wilayah Persekutuan dan tidak lebih daripada tiga lagi ahli.
Ketika keputusan kehakiman, pasukan pendakwaan yang diketuai Tan Sri
Muhammad Shafee Abdullah meminta hukuman penjara yang lebih lama – yang
boleh sehingga 20 tahun, berbanding lima tahun yang dijatuhkan.
Dengan pasukan pendakwaan yang membuat permintaan itu, mungkinkah peguam negara akan mengesyorkan pengampunan?
Adakah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
– daripada kem politik bertentangan, juga akan mengesyorkan
pengampunan?
Faktor ini pasti akan ditimbang secukupnya oleh Anwar dan pasukan peguamnya dalam menetapkan langkah seterusnya.
Bagi keluarga dan penyokongnya pula, setiap jalan akan dan pasti digunakan sebelum akhirnya menerima dan mengaku kalah.
Sumber: (Atsixty-ZakriAli)
My Dashboard.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan