[EKSKLUSIF] Walaupun Sudah Islam, Tak Halang Felixia Yeap Rai Tahun Baru Cina
Saya Islam, tetapi saya tak lupa asal usul.
Sudah lapan bulan Felixia Yeap memeluk Islam.
Tindakan beliau pada masa itu menarik pelbagai reaksi daripada orang
Islam dan bukan Islam, dengan beberapa pihak menuduhnya hanya mencari
publisiti.
Tetapi, wanita berusia 28 tahun dari Ipoh yang kini dikenali dengan nama
Islam, Raisyyah Rania Yeap atau Rara itu berkata, keputusan itu dibuat
dengan niat yang suci dan baik.
Namun, sebagai seorang Islam, ia tidak menghalangnya daripada meraikan
Tahun Baharu Cina dan menyertai keluarganya untuk makan besar bersama,
kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Malah katanya, tahun ini beliau pertama kali menyambut kedatangan tahun
baru lunar sebagai seorang Islam, membuatkannya lebih menghargai
keturunan bangsanya.
Berikut sebahagian daripada temu bual dengannya di mana beliau
menjelaskan mengenai pandangannya terhadap perayaan dan tradisi Tahun
Baharu Cina.
TMI: Tahun Baharu Cina bukan perayaan agama tetapi lebih merupakan
sambutan budaya. Apa pandangan anda mengenai perkara ini? Bagaimana anda
menyambutnya dan memastikan ia tidak bercanggah dengan kepercayaan
sebagai seorang Islam? Terdapat beberapa ritual yang dijalankan semasa
sambutan berlangsung, bagaimana anda melihatnya?
Rara: Ya, saya bersetuju kebanyakan perayaan Tahun Baharu Cina tiada
kaitan dengan agama atau kepercayaan agama, tetapi sebaliknya satu
sambutan tahun baharu dalam kalendar Cina yang kekal dengan budaya Cina
yang berwarna-warni.
Walaupun dahulu saya tidak mempunyai kepercayaan agama (ateis
/freethinker), saya hampir tidak pernah terlibat dalam upacara berdoa
atau ritual, dan saya percaya saya bukan satu-satunya yang begitu
sebagaimana ia banyak dilakukan oleh orang tua pada masa kini. Oleh itu,
sebagai seorang Islam kini nampaknya tidak banyak berbeza dengan
keadaan di mana sebelum saya mengucapkan syahadah.
TMI: Sebagai seorang Islam apakah perkara-perkara yang anda tidak
akan lakukan atau akan elakkan dalam merayakan Tahun Baharu Cina?
Rara: Saya menikmati perayaan budaya seperti yang lain, tetapi saya
memastikan ia tidak bercanggah dengan agama saya, seperti mengelakkan
semua yang haram – judi, makanan tidak halal, sembahyang dan ritual
mereka serta alkohol. Saya tidak berjudi atau minum sebelum Islam, jadi
semua ini mudah sahaja bagi saya, tidak banyak yang perlu dielakkan.
TMI: Akan ada makan malam perjumpaan besar dengan keluarga. Bagaimana
susunan hidangan untuk anda dan keluarga? Sesetengah keluarga mempunyai
daging babi sebagai hidangan utama mereka. Bagaimana pula dengan anda?
Rara: Ya, “Reunion Dinner” memang sangat dinanti-nantikan atau dalam
bahasa Kantonis, "Tuen Yuen Farn". Kami Hakka, jadi kita akan mempunyai
semua masakan Hakka seperti yang kita hidang setiap tahun, dan ya,
daging babi panggang dengan salad dicelup sos manis adalah salah satu
kegemaran keluarga.
Bagi pinggan mangkuk saya, ibu saya menyediakan peralatan memasak yang
baharu untuk saya memasak makanan halal sendiri dari rumah, dan saya
akan membawa makanan yang dimasak untuk dihidang dan dimakan bersama
keluarga.
Ia masih sama, hanya saya menikmati hidangan berbeza daripada yang lain.
Ia adalah satu simbol kebersamaan sebagai keluarga besar, setiap Tahun
Baharu Cina duduk dan makan bersama-sama, dan ia sangat penting bagi
semua keluarga Cina pada malam itu. Makanan hanya makanan untuk mengisi
perut. Nenek saya memahami perkara ini dan dia hanya mahu saya makan di
meja yang sama dengan semua orang, walaupun saya makan makanan yang
berbeza.
TMI: Apakah mengenai Tahun Baharu Cina yang anda suka?
Rara: Perasaan semua ahli keluarga berada di rumah dan riuh rendah.
Sangat seronok melihat semua ahli keluarga berkumpul di ruang tamu dan
ketawa bersama mendengar jenaka bodoh dan juga masa yang terbaik untuk
mengimbas kenangan dengan rakan sepermainan masa kecil. Oh, tidak lupa
keseronokan balik kampung dan menikmati udara segar juga.
TMI: Ceritakan sedikit mengenai persiapan Tahun Baharu Cina anda,
berapa lama cuti yang anda biasa ambil bagi merayakan Tahun Baharu Cina
bersama keluarga?
Rara: Sebelum Islam, saya memperuntukkan maksimum 4 atau 5 hari setiap
kali Tahun Baharu Cina di kampung dengan alasan saya mahu kembali
bekerja dan dapatkan lebih banyak peluang kerja. Tetapi tahun ini dan
seterusnya selepas Islam, saya mahu memastikan saya memperuntukkan
sekurang-kurangnya 7 hingga 10 hari bersama keluarga setiap tahun,
terutamanya pada Tahun Baharu Cina.
Saya suka menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga selepas memberi
keutamaan kepada kerja selama bertahun-tahun. Saya sedar, hidup ini
singkat dan saya bersyukur kerana masih boleh menghargai mereka. Bagi
hiasan Tahun Baharu Cina, ibu saya jarang menghiasi rumah kami kerana
kami akan menghabiskan sebahagian besar masa di tempat nenek saya di
kampung. Kami hanya akan membersihkan rumah bersama-sama sebelum Tahun
Baharu Cina dan meletakkan beberapa lampu.
TMI: Apakah perbezaan anda menyambut Tahun Baharu Cina sekarang berbanding sebelum menjadi seorang Muslim?
Rara: Dahulu saya selalu membeli pakaian dan mahu memakai pakaian paling
bergaya dan terkini untuk Tahun Baharu Cina tetapi kini, selepas
pengalaman Raya yang pertama pada tahun lepas dan diperkenalkan kepada
budaya Melayu, membeli kain dan membuat pakaian raya sendiri, saya lebih
teruja untuk merekabentuk dan membuat jubah sendiri dan pakaian untuk
Tahun Baharu Cina dengan motif dan gaya Cina.
Ia benar-benar membuat saya tertarik untuk meneliti dan mempelajari
pakaian tradisional Cina serta mendapatkan inspirasi dari sana, dengan
ciri-ciri Islam dalam rekaannya. Anda akan kagum mengetahui pakaian
tradisional Cina hampir sama dengan jubah dan ia longgar dan besar, sama
seperti bagaimana wanita Muslimah sepatutnya pakai. Saya katakan, saya
kini belajar untuk lebih menghargai akar umbi keturunan Cina saya.
Alhamdulillah. -TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan