“Makin bertambah ilmuku makin terasa kebodohanku” – Imam Syafie.
Adab Tegur-menegur dalam Islam.
Posted: February 27, 2013 in My live
‘‘Hai orang-orang yang beriman
taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada
pemangku kekuasaan di antaramu. Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu
(perkara), kembalilah ia kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul, jika
kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari kemudian. Itulah yang
lebih baik dan lebih bagus kesudahannya.”
Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 tersebut dengan jelas
memperingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan sesuatu pertelingkahan
atau perbezaan pendapat itu mencetuskan perpecahan di antara mereka.
Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai
pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru
apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah
membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan
memburukkan sesiapa.
Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ”
Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.”
Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya
perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya
ditangani dengan sebijak-bijaknya.
Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang
bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud
cabar-mencabar.
Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan
dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang
yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh
Allah.
Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud;
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”
Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak
yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu
mempunyai kebenarannya.
Sesungguhnya Rasulullah telah mengingatkan bahawa sesuatu
kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga
menegaskan,
”Siapa sahaja di antara kalian yang
melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika
tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka
tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”
Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah
berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang
perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.
Panduan
Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah;
1) tidak merendahkan ego orang yang ditegur
2) mencari waktu yang tepat
3) memahami kedudukan orang yang ditegur
Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi
teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus
melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita
melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.
Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan
mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak
tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan
diperhitungkan oleh Allah.
Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan
berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara
kita.
Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,
‘‘Dan berpegang teguhlah kamu
sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan
ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan,
maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah
itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di
jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah
Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”
Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama
tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada
umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.
Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa
dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana
firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;
‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”
Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para Nabi bercakap dengan
lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka
jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.
Rasulullah bersabda,
”Percakapan orang yang berakal
muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih
dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia
harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan”
Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu
elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang
bukan-bukan kepada seseorang ini.
Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.
Dalam buku Ihya ‘Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam
bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut
iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian
dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.
Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan
pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji
dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi
sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang
tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia
telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu
melakukan kesalahan.
Bangga
Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan
merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) – kedua-dua adalah penyakit
yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang
dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.
Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan
lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah
sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.
Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di
akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan
kebatilan.
Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;
(104)“Dan hendaklah ada di antara kamu
segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada
makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang
beruntung. (105) “Dan janganlah kamu seperti
orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan
yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan
mendapat azab yang berat.”
Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan